Kalam Perantau

Icon

Karpal tidak wajar bangkit dasar negara Islam

KOTA BHARU 6 Julai – Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak wajar membangkitkan soal dasar negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas kerana kepimpinan pakatan pembangkang telah bersetuju untuk tidak membincangkan perbezaan yang wujud di antara parti-parti terbabit secara terbuka.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kesepakatan itu telah diputuskan pada konvensyen pakatan pembangkang yang pertama pada 19 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, tumpuan utama pada masa sekarang adalah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan sebuah negara yang adil.

“Gagasan bersama (pakatan pembangkang) sememangnya wujud, saya sendiri sebagai Penolong Setiausaha Agung terlibat. Kita komited dengan kesepakatan dan kesefahaman, tanpa menyentuh isu yang berbeza, ia telah diputuskan pada konvensyen pakatan dahulu.

“Untuk berlaku adil, kenapa tidak Karpal dan Pas wujudkan sebuah negara yang adil, adil ikut kaca mata Pas dan DAP. Bagi Pas sebuah negara yang adil adalah negara yang mengamalkan dasar Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran dan Pertunjukkan Ular di Muzium Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal yang menyatakan Pas perlu menghormati DAP berhubung pendirian parti itu menolak konsep negara Islam.

Takiyuddin yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, pada masa sekarang, Pas tidak lagi membangkitkan isu penubuhan negara Islam secara ‘keras’ kerana memberikan penekanan kepada konsep keadilan.

“Isu negara Islam kita tidak bangkitkan secara keras, yang penting bagi kita adalah keadilan. Ucaptama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar agung lalu bertemakan ‘adil untuk semua’.

“Contoh negara adil atau Islam adalah Kelantan, selepas 20 tahun memerintah, kita diterima oleh semua kaum malah bukan Islam juga melihat kepimpinan Pas di sini bukan satu masalah yang besar,” katanya.

Advertisements

Filed under: News, , , , , , ,

Kenangan Hari Raya Korban

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Tahun ini kali kedua saya tidak balik berhariraya dikampung dalam masa hampir 20 tahun bermastautin di rantau orang. Sungguhpun begitu, saya dan beberapa orang rakan perantau sempat menyediakan lembu untuk dikorban sebagai tanda ingatan kami kepada negeri kelahiran.   

Seorang kenalan yang bergelar Datuk, mantan pegawai kanan kerajaan Terengganu yang telah bersara menghubungi saya pada hari khamis sehari sebelum Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban baru-baru ini.

Beliau memberikan beberapa komen terhadap Siasah. Saya hanya mendengar pandangan-pandangannya tentang Siasah dan meminta saya menyampaikannya kepada Ketua Pengarang.  Katanya Siasah semakin nipis dan tidak lagi menyentuh isu-isu politik semasa yang hangat diperbincangkan.

Malah Datuk berkenaan yang saban minggu mengikuti tulisan saya dalam ruangan ‘Kalam Perantau’ juga bertanya kenapa sudah lama yang tidak menyentuh persoalan politik semasa dalam tulisan-tulisan saya?

Korban Perjuangan

Menjelang hariraya korban baru-baru ini, ketenangan kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS kembali bergolak. Bermula dengan isu tajaan pemergian Tok Guru dan keluarganya mengerjakan haji yang pada mulanya disensasikan oleh media massa hingga berjangkit kepada isu kronisme dan nepotisme yang diletupkan sendiri oleh orang dalam kerajaan negeri Kelantan sendiri.

Sepanjang ingatan saya mengikuti perkembangan Kerajaan Kelantan sejak tahun 1990, saya kira peristiwa menjelang hariraya korban baru-baru ini begitu memberikan kesan yang mendalam kepada Tok Guru Nik Aziz.

Kalau cabaran-cabaran sebelum ini seperti sekumpulan ADUN-ADUN Semangat 46 yang berpaling tadah kepada UMNO secara beramai-ramai dan ketika kerajaan Kelantan memerintah dengan majoriti satu kerusi pun Tok Guru Nik Aziz masih mampu mengendalikan kerajaannya dengan berkesan.

Tetapi dalam menghadapi serangan dalaman kali ini, Tok Guru Nik Aziz tidak mempunyai pilihan melainkan beliau terpaksa “korban”kan menantunya, Ir. Arifahmi Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), sayap pelaboran kerajaaan negeri pimpinannya gara-gara serangan bertubi-tubi pihak media dan blogger.

Walaupun saya tidak mengenalinya, saya cukup bersimpati dengan Ir. Arifahmi yang terpaksa akur dengan kehendak mentuanya yang juga Menteri Besar Kelantan demi menyelamat maruah keluarga, parti dan kerajaan negeri Kelantan dari diserang hendap oleh “orang kepercayaan” kerajaan Kelantan sendiri sebelum ini.

Surat terbuka Nik Abduh dan Nik Amalina yang disiarkan dalam berbagai blog menggambarkan suasana keluarga Tok Guru yang sebelum ini aman dan tenteram berkocak sedikit dengan serangan dari dalam yang tidak dijangkakan dari awal.

Malah Tok Guru Nik Aziz sendiri menyatakan bahawa terdapat ‘Kolonel Mat’ yang sememangnya merancang untuk menjatuhkan beliau dari kerusi Menteri Besar Kelantan sejak dari dahulu lagi tetapi tidak Berjaya lagi setakat ini.

Disebabkan Tok Guru Nik Aziz, tidak menyatakan secara berterus terang, siapakah Kolonel Mat tersebut, pihak media dan ahli-ahli PAS termasuk juga UMNO mula mencari siapakah ‘Kolonel Mat’ yang dimaksudkan oleh Menteri Besar Kelantan tersebut.     

Sementara disatu pihak yang lain mula sibuk membincangkan, siapakah pengganti yang sesuai kepada Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Setakat yang saya baca, yang jelas dan berterus terang tidak berminat untuk dicalonkan ke jawatan Menteri Besar Kelantan adalah Datuk Husam Musa sahaja.

Malah setakat ini, nama yang dicadangkan oleh banyak pihak adalah Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaakob, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Kalau tidak silap ingatan saya, semasa Tuan Guru Nik Aziz diangkat menjadi Menteri Besar Kelantan, selain dari Pesuruhjaya adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Kedudukan Ahmad Yaakob sekarang ini hampir melayakkannya menjadi pengganti jika berlaku keadaan di luar jangka kepada Tuan Guru Nik Aziz.

Tetapi perlantikan Menteri Besar Kelantan adalah hak mutlak PAS Pusat setelah namanya dicadangkan oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan. Sebab itu, saya kira Tuan Guru Nik Aziz bertindak bijak dengan tidak menamakan calon pilihannya secara terbuka untuk tidak menyusahkan parti jika parti dan istana merasakan ada calon lain yang lebih sesuai dari yang dicadangkannya.

Pengalaman Terengganu baru-baru ini yang menyebabkan Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tidak dilantik semula menjadi Menteri Besar Terengganu walaupun UMNO menang dalam pilihanraya tersebut seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.   

Malah Penolong Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, dalam konteks negeri Kelantan pihak istana hendaklah dirunding terlebih dahulu sebelum seseorang nama Menteri Besar diumumkan oleh parti yang memenangi pilihanraya.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Tahniah! TAKIYUDDIN PENOLONG S/U AGUNG PAS BARU

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat baru baru ini telah bersetuju melantik Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Penolong Setiausaha Agung PAS.

Antara tugas dan tanggungjawab Dato Takiyuddin ialah hal-hal berkaitan pendaftaran ahli baru PAS, pendaftaran pertubuhan berkaitan PAS dan hal ehwal pakatan rakyat

Beliau akan membantu Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dalam hal-hal berkaitan pendaftaran ahli baru PAS, pendaftaran pertubuhan berkaitan PAS dan hal ehwal pakatan rakyat.

Di peringkat PAS negeri Kelantan, beliau adalah Timbalan Yang Di Pertua PAS kawasan Kota Bharu.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bunut Payung merupakan exco kerajaan negeri Kelantan memegang potfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Filed under: News, , , , ,

Pengganti Nik Aziz mesti ada latar belakang agama

KOTA BHARU 27 Nov. – Para pemimpin Pas Kelantan berpendapat hanya orang yang mempunyai latar belakang agama layak untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar kerana ia berasaskan dasar parti tersebut yang berteraskan Islam.

Mereka juga bersetuju bahawa orang yang paling layak untuk mengisi jawatan tersebut buat masa sekarang ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berdasarkan pengalaman serta jawatannya sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat.

Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, sewajarnya jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar diisi oleh individu yang mempunyai latar belakang pendidikan agama bagi meneruskan kepimpinan ulama.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kuasa untuk melantik Menteri Besar di negeri ini adalah di bawah kuasa mutlak Sultan dan ia jelas dalam Perlembagaan Kelantan.

“Saya yakin dengan banyak pengalaman yang dimilikinya dalam politik, Datuk Ahmad mampu untuk melaksanakan tugasnya ditambah dengan jawatannya di peringkat Pusat dan beliau amat tenang dalam menguruskan pentadbiran negeri ini.

“Tetapi perlu diingat di Kelantan, Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar, perlembagaan negeri ini dengan negeri-negeri lain dan parti hanya boleh mencadangkan nama-nama calon,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Dato’ Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyarankan Nik Abdul Aziz menamakan penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan.

Beliau berkata, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.
Mohd. Amar dan Timbalan Pesuruhjaya IIPas Kelantan, Dato’ Husam Musa sebelum ini mencadangkan Ahmad kerana kebolehannya serta mengikut hierarki kepimpinan parti terbabit.

Takiyuddin yang juga bekas Setiausaha Pas Kelantan berkata, saranan Mohd. Amar ada kebaikannya supaya peralihan kuasa berlaku dalam keadaan lancar.

“Bagi saya peralihan kuasa adalah perkara biasa, sudah semestinya kuasa ini akan diserahkan kepada timbalannya. “Tetapi saya perlu tegaskan bahawa tok guru (Nik Aziz) tidak pernah menyatakan hasratnya untuk menyerahkan jawatannya dalam masa terdekat dan saya lihat beliau masih mampu menjalankan tugasnya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku, Fatah Harun berkata, semua calon yang ada pada masa sekarang ada kelebihan masing-masing tetapi mengikuti hierarki Ahmad yang paling sesuai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Harian Pas Kelantan berkata, pada masa kini, kewibawaan Ahmad tidak terserlah kerana masih terdapat pemimpin nombor satu dan beliau hanya melaksanakan tugasnya mengikut arahan.
“Semua calon ada kelebihan, baik Ahmad, Husam atau Mohd. Amar. Bila ditonjolkan ada kelebihan masing-masing tetapi ia tidak semestinya akan pergi kepada Ahmad.

“Sebab dalam sejarah Pas, tidak semua Timbalan Menteri Besar jadi Menteri Besar kerana ia tertakluk kepada pucuk kepimpinan parti.

“Orang yang ada latar belakang agama lebih sesuai untuk jawatan ini pada masa sekarang tetapi untuk masa depan tidak tahulah. Kadang-kala ada ciri-ciri agama tetapi tidak cukup kelengkapan untuk menjadi pemimpin tidak boleh juga,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories