Kalam Perantau

Icon

Harakah, Siasah dan Pilihanraya Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Selasa, 22hb. Mac, 2011 saya berkesempatan membentang kertas kerja berkaitan dengan  Harakah sebagai Media Dakwah bersama seorang Professor di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan dalam Bicara Dakwah kali ke-10 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebanyak 10 kertas kerja di dalam program sehari ini. Bicara Dakwah ke X kali ini lebih memfokuskan perbincangan dan pembentangan kajian berkaitan dengan Internet dan Media Baru dalam konteks dakwah.

Ramai yang terkejut bahawa harakah tidak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bila Harakah Edisi Internet (lihat contoh, di http://harakah4.tripod.com) telah dilancarkan sejak tahun 1997 lagi sebelum berkembang kemudiannya menjadi portal berita harakahdaily selepas tahun 2000. Kemudiannya satu demi satu produk berasaskan ICT dimanfaatkan seperti SMS, Facebook, Twitter dan lain-lain dalam menyampaikan berita dan risalah dakwah.

Mereka terkejut dan berminat dengan harakah mungkin kerana akhbar berkenaan sukar didapati dipasaran kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang untuk dijual secara terbuka. Lutfi dan Dinsman ada membicarakan persoalan ini dalam kolum mereka di harakah, Catatan Hujung dan Wacana Budaya.

Ketika saya berbicara dengan Lutfi beberapa minggu lepas dia juga ada menyebutkan sukar untuk mendapat akhbar Siasah di sekitar tempat tinggalnya di Ampang. Saya tidak pasti apakah Siasah juga menghadapi masalah pengedaran sebagaima harakah?   

Jika di Semenanjung akhbar harakah dan Siasah sukar diperolehi, bagaimana agaknya dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang mempunyai rangkaian perhubungan jalanraya yang tidak sebaik di Semenanjung untuk mendapatkan akhbar ini?.

Dilaporkan oleh Lutfi dalam kolumnya itu, sekitar 2,000 naskah sahaja Harakah yang beredar di Sarawak. Saya kira sejumlah itu juga beredar di Sabah. Cukupkah dengan jumlah itu untuk rakyat mendapat maklumat terus dari PAS?

Bila akhbar berkernaan Harakah dan Siasah sukar didapati di Sarawak atau terhad pengedarannya, bagaimana mungkin maklumat hendak disalurkan kepada rakyat Sarawak untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan dan seterusnya berubah untuk memilih Pakatan rakyat khususnya PAS dalam pilihanraya yang akan diadakan beberapa minggu sahaja lagi.

Dalam kolumnya, Ahmad Lutfi Othman ada mencadangkan agar dermawan-dermawan membeli pada harga kos untuk diedarkan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil. Mungkin PAS kena mempertimbangkan untuk mengadakan edisi Sabah dan Sarawak, malah berusaha memcetak akhbar berkenaan di Sabah dan Sarawak pada masa hadapan untuk membolehkan PAS terus berkembang di kedua-dua negeri berkenaan. 

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-10

Teka-teki tarikh pilihanraya negeri yang ke-10 hampir berakhir DUN Sarawak telah dibubarkan pada 21hb. Mac, 2011 untuk memberi laluan kepada pilihanraya DUN ke-10 diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Ketika rencana ini ditulis, SPR belum lagi mengadakan mesyuarat (SPR akan bermesyuarat pada hari Rabu, 23hb. Mac)  untuk memutuskan tarikh pilihanraya Sarawak. SPR memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan logistik walaupun mereka telah bersedia.

Kalau pada pilihanraya negeri Sarawak tahun 2006 dahulu, pembubaran DUN dilakukan pada 24hb. April, 2006 dan penamaan calon diadakan pada 9hb. Mei, 2006. Manakala pengundiaan diadakan pada 20hb. Mei, 2006, bermakna tempoh berkempen selama 11 hari.

Pada pilihanraya kali ini, jika jangkaan penamaan calon diadakan pada 9hb. April, 2011 dan pengundian pada 16hb April, 2011 sebagaimana yang dijangkakan oleh banyak pihak, bermakna tarikh berkempen hanya selama 7 hari sahaja. Ianya menjadi yang terpendek dalam sejarah.

Sekiranya benar, SPR membuat ketetapan tempoh berkempen selama 7 hari sahaja, saya rasa kewibawaan dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai badan bebas akan tercalar lagi memandang demografi bumi Sarawak yang luas dan kemudahan perhubungan yang masih kurang baik.

Pakatan Rakyat meminta tempoh berkempen selama 21 hari memandangkan bumi Sarawak yang luas dan media yang dikawal ketat serta perhubungan yang masih tidak memuaskan menyukarkan mereka memperkenalkan calon dan juga menerangkan manifesto kepada rakyat Sarawak.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad Pas yakin rakyat Sarawak akan buat kejutan dalam pilihanraya kali ini. Mereka akan merdekakan diri daripada belenggu BN terutama dengan janji “Buku Jingga” antaranya 20% royalti minyak akan diberikan kepada Sarawak setelah 30 tahun dibawah kepimpinan Taib Mahmud.

Manakala Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, berdasarkan dari respon masyarakat di sana tidak mustahil PAS mampu memenangi kerusi dan menghantar wakil ke Sidang DUN Sarawak. Kesungguhan PAS Nampak ketara bila akhbar rasminya banyak membuat liputan dan pendedahan tentang kepincangan pemerintahan BN Sarawak yang membolot kekayaan Sarawak seperti yang didedahkan dalam media internet melalui Sarawak Report.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lepas, pembangkang hanya memenangi 9 dari 71 kerusi dengan 6 DAP, 1 PKR, 1 SNAP (Sarawak National Parti) dan 1 PCM (Parti Cintai Malaysia). Inilah prestasi terbaik sejak tahun 1987, bila Taib Mahmud nyaris-nyaris tumbang berikutan pemberontakan dalaman BN melalui peristiwa “Ming Court” untuk membawa usul undi tidakl percaya dalam Sidang DUN.

PKR hendak bertanding 52 kerusi DUN dan SNAP pula hendak bertanding 40 kerusi DUN. Berapa pula yang hendak ditandingi oleh Parti Cinta Malaysia (PCM) dalam pilihanraya kali ini? DAP dan PAS agak realistik dan boleh bertolak ansur dalam rundingan permbahagian kerusi. Apakah pilihanraya kali ini dua penjuru atau tiga penjuru ekoran SNAP, parti tertua di Sarawak tidak berpuashati berhubung pembahagian kerusi dengan PKR.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Advertisements

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , ,

Wajarkah mahasiswa dibelenggu di kampus?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri 

SELALUNYA saya tidak ketinggalan mengikuti program Soal Jawab atau diskusi berhubung dengan mahasiswa di televisyen. Itu memang minat saya sejak dahulu walaupun telah lama meninggalkan kampus. Kali ini, saya terlepas program Soal Jawab Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ibrahim Abu Shah di TV3 baru-baru ini. 

Pasca program ini menarik minat ramai bekas-bekas aktivis kampus untuk memberikan respons. Beberapa aktivis kampus yang sedang bergelumang dengan PAS seperti Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah (bekas Setiausaha Agung, Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia, PMUTM 85/86) dan Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS (bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, PMUKM 1987/88) tidak ketinggalan memberikan komentar masing-masing berhubung dengan isu mahasiswa.

Mengikut komen Ahmad Lutfi Othman dalam kolumnya di Harakah, “Malam itu Saifuddin memang bintang dan wira bagi gerakan pelajar. Beliau mencadangkan, selain guru, pensyarah patut diberi peluang bergiat aktif dalam parti, manakala mahasiswa dipertimbangkan untuk terbabit menjadi ahli parti politik”.

“Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberipeluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian,” katanya.

Kerajaan, tambah beliau, wajar menerima mahasiswa sebagai rakan kepemimpinan, selain menghargai peranan pelajar sebagai sebahagian masyarakat sivil yang mempunyai tugas penting dalam sistem demokrasi.

Politik Kampus

Dengan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, beliau mungkin sedikit terhalang untuk melakukan reformasi bagi mengembalikan semula mahahasiswa sebagaimana yang dihatinya walaupun melakukan sedikit percubaan awal dengan membenarkan semula “sudut pidato” di kampus-kampus.

Menteri Pengajian Tinggi sendiri tidak bersependapat dengan timbalannya, Saifuddin Abdullah dalam hal pembabitan mahasiswa dalam politik. Saifuddin seolah-olah menjadi pemimpin “pembangkang” kepada menterinya sendiri, Mohamed Khaled Noordin!

Seperti biasa, tidak semua pentadbir utama kampus-kampus universiti bersetuju dengan pandangan beliau. Masih Naib Canselor yang sealiran atau bersependapat dengan Datuk Ibrahim Abu Shah, bekas Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Agak ralat, saya juga tidak dapat hadir mendengar sendiri syarahan perdana bertajuk “university, kreativiti dan inovasi” teman lama, Datuk Professor Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seorang bekas aktivis pelajar Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1980an yang mempunyai idealism yang tinggi dalam memberikan kebebasan kepada perjuangan mahasiswa di kampus.

Sedikit sebanyak rasanya Zaini seperti juga Saifuddin masih berpegang kepada idealisme yang diperjuangkannya semasa di kampus dahulu bila dalam bukunya, “Mengangkasa Pengajian Tinggi”  mengungkapkan fenomena yang menyedihkan di universiti hari ini: “Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.

Cuma saya ingin menyarankan kepada beliau, sebagai Naib Canselor UTM beliau bersedia membuka gelanggang UTM mengadakan debat, forum atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi.

Walaupun tidak setanding dengan Debat Agung Ekonomi yang pernah dianjurkan di universiti Malaya pada dekad 1980’an dahulu, di UTM setidak-tidaknya tidak kurang diadakan debat, forum atau diskusi berkaitan politik semasa dan sebagainya ketika saya bersama dengan beliau menjadi aktivis pelajar di UTM.

Saya bersetuju dengan pandangan Idris Ahmad, sepatutnya pendedahan politik kepada mahasiswa adalah perlu kerana ia sebagai medan mengasah bakat kepimpinan pada masa akan dating. Banyak kepimpinan mahasiswa telah melahirkan tokoh-tokoh politik dipihak pembangkang, kerajaan dan ahli akademik.

Perkara ini tidak boleh dinafikan kerana sejarah telah membuktikan terserlahnya mereka dalam kepimpinan politik adalah hasil perjuangan mereka di universiti melalui gelanggang Majlis Perwakilan Pelajar dan juga kegiatan persatuan-persatuan di universiti.    

Saya juga telah lama menulis bahawa walaupun seseorang itu aktivis mahasiswa seolah-olah menentang establishment semasa dikampus, tetapi apabila terlibat dalam politik nasional mereka masih boleh menjadi pendokong UMNO dan Barisan Nasional seperti Ahmad Shabery Cheek (mantan Presiden PMUM dan PMIUM), Datuk Fuad Zarkasyi (mantan Setiausaha Agung PMUM) dan Datuk Saifuddin Abdullah sendiri.

Dari universiti lain pun sama, sebagai contohnya, Abd Rahman Sheikh, bekas Timbalan Presiden PMUPM yang pernah dilabelkan dari kumpulan Islam (Persatuan Mahasiswa Islam) sekarang ini adalah AJK UMNO Bahagian Teluk Intan. 

Beberapa orang aktivis mahasiswa yang bertanding diatas tiket Islam Penyelamat Ummah (IPU) di UKM juga menjadi wakil rakyat UMNO seperti Ramli Hj Noh (ADUN Tepuh), Ismail Said (Ahli Parlimen Kuala Krau) dan lain-lain.

Bagi saya, Saifuddin Abdullah, seorang bekas aktivis pelajar Universiti Malaya yang sinonim dengan tuntutan agar belenggu kampus ditamatkan wajar menerima pelawaan mengetuai kaukus parlimen mengenai penyertaan mahasiswa dalam politik yang dicadangkan Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR)demi mengembalikan semula kegemilangan gerakan mahasiswa.

Lebih menarik lagi, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO pun turut mendesak kerajaan agar memberikan kebebasan kepada mahasiswa dibenarkan berpolitik di kampus. 

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

Mahasiswa berpolitik : Takut Mahsiswa Tidak Sokong Umno ?

Oleh Idris Haji Ahmad
 
Benarkanlah mahasiswa berpolitik, apa yang hendak ditakutkan mahasiswa berpolitik. Adakah kerana  takut mahasiswa tidak menyokong umno. Itu hanya andaian sahaja. Bukankah mahasiswa seorang yang cerdik, kalau bodoh mereka tidak masuk ke universiti. Mereka adalah manusia terpilih dari kalangan 26 juta rakyat di Malaysia. Biarkanlah  mereka berpolitik. Alasan Tan Sri Ibrahim Abu Shah (mantan Naib Canselor UITM) seorang pengampu tegar umno , takut ganggu pelajaran. Ini alasan yang tidak berpijak kepada kebenaran.

Berapa ramai pelajar yang tidak terlibat dalam persatuan dan tidak memperdulikan sekeliling mereka, tetapi kecundang dalam pelajaran. Malahan ramai di kalangan mereka yang hidup berpoya-poya  dan gila dengan budaya hidonisme, akhirnya gagal dalam pelajaran. Tidak dengar pula rungutan daripada pihak universiti bising dalam hal ini. 
 
Kalau ada larangan pelajar  jangan terlibat dengan politik, ini hanya arahan untuk pelajar yang menyokong pembangkang, tidak kepada penyokong umno. Begitulah juga amaran hanya diberi kepada pensyarah yang membantu pembangkang. Pihak university redha dengan pensyarah yang menjadi tali barut umno di universiti. Sebenarnya Akta Universiti Kolej (AUKU) hanya untuk mereka yang menentang BN, bukan untuk pengampu umno.

Sekarang universiti sudah hilang daya intelektual, sepatutnya kampus bukan tempat untuk mencari pengaruh politik kepartian sempit. Biarkan mahasiswa berpolitik, biarkan mereka tegakkan idealisma mereka. Usah bimbang kepada kelantangan mahasiswa kerana itulah mahasiswa, tidak perlu takut kepada mereka. 
  
Universti ialah sebagai proses pembelajaran, ia mesti berlaku bukan sahaja di dalam kelas. Sepatutnya pendedahan politik kepada mahasiswa adalah perlu kerana ia sebagai medan mengasah bakat kepimpinan pada masa akan datang. Banyak kepimpinan mahasiswa  telah melahirkan tokoh-tokoh politik di pihak pembangkang, kerajaan dan ahli akademik. Perkara ini tidak boleh di nafikan, kerana sejarah telah membuktikan  terserlahnya mereka dalam kepimpinan politik adalah hasil; perjuangan mereka di universiti melalui gelanggang  Majlis Perwakilan Pelajar dan juga kegiatan persatuan di universiti. 
  
Tokoh-tokoh politik yang berada di persada politik tanah air kini samada berada di gelanggang kerajaan atau pembangkang seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Universiti Malaya), Ibrahim Ali (ITM), Ustaz Halim Arshad bekas Setiausaha Agung Pas (UKM), Dato’ Fuad Hassan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor (UKM), Dr Fuad Zarkasyi (UM), Sabri Cik (UM), Dato’ Tajudin Abdul Rahman Ahli Parlimen Umno Pasir Salak (UM), Kamarul Zaman Yaakob (UM), Mohd Sabu (ITM), Dr Sanusi Osman (UM), Sdr. Lutfi Osman (UTM), Saifudin Nasution (UPM), Ustaz Fadhlullah Syuaib (UKM), Ustaz Abu Bakar Cik (UKM). Inilah rekod sejarah kepimpinan mahasiswa yang banyak menyumbangkan kepada pembangunan politik dan intelktual di negara ini.
 
Pimpinan universiti jangan jadikan mahasiswa  pelajar sekolah yang masih beruniform tadika Kemas. Jangan lacurkan intelektual, sehingga  hilang wibawa dan daya kreatviti. Budaya mengampu inilah menyebabkan kita melihat gred universiti sudah turun  macam kelas dewasa tahun 60 an. Mereka hendak membudakkkan pelajar universiti supaya otak yang sama dengan mereka. Sedangkan pemimpin Umno selalu menyebut untuk menjadi universiti Wold Class tetapi realitinya seperti Universiti  Jawatankuasa Kampung (UJKK).
 
Saya pernah menyebut dalam Forum di Konvensyen Kepimpinan  Mahasiswa yang terdiri daripada  Majlis Perwakilan Pelajar IPTA seluruh negara pada 16 Mei 2005 di Melaka yang dianjurkan oleh Biro Tata Negara.  Majlis yang dipengerusikan oleh Dr Junaidi Abu Bakar yang dulunya penah bertanding atas tiket Islam Penyelamat Ummah (IPU)  di UKM, sekarang telah menjadi orang kuat umno. Saya memberi tahu kepada majlis, kerana waktu itu  ada Timbalan Naib Canselor HEP. Jangan bimbanglah dengan pergerakan pelajar. Kerana ramai di kalangan pimpinan pelajar yang kecundang dalam dakapan pangkat dan wang.

Sekadar saya menyebut beberapa nama dahulu merupakan golongan yang anti Umno seperti Dr Fuad Zarkasyi daripada PMUM sekarang Timbalan Menteri Pelajaran dan Ketua Bahagian Umno Batu Pahat, Datuk Shabri Cik Presiden PMUM sekarang Menteri Belia Dan Sukan,  Datuk Zaidi Mohd Zin bekas Timbalan Presiden PMUM, sekarang  Umno bahagian Serdang, Johan Che Pa Timbalan Presiden PMUM sekarang Naib Ketua Bahagian Umno Pasir Mas, Abdul Rahman Shaik Timbalan Presiden PMUPM sekarang AJK Bahagian Teluk Intan, Ismail Said Ahli Parlimen Kuala Krau Pahang bekas speaker PMUKM sesi 87/88 zaman saya menjadi presiden PMUKM. Oleh itu pihak universiti biarkan mereka berpolitik secara sihat di atas padang yang rata. Jangan ganggu mereka.

Pilihan politik mereka adalah hak mereka, mahasiswa adalah orang cerdik, mereka tidak boleh diperalatkan oleh mana-mana pihak. Saya ucap tahniah kepada Datuk Saifudin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang memperjuangkan supaya mahasiwa dibenarkan berpolitik. Walaupun cadangan ini ditolak oleh kabinet pada 10/8/2010, sekurang-kurangnya beliau telah membawa aspirasi beliau sebagai bekas pimpinan pelajar di university Malaya satu ketika dahulu. 
  
Kabinet tolak kerana mereka bimbang ia akan memberi kesan yang buruk kepada perjuangan umno pada masa akan datang. Pemimpin BN dengan penuh tawaduk tahu, sekarang zaman rakyat tidak mahu kepada umno. Mereka yang menyokong umno hanya terdiri dari kalangan mereka yang buta maklumat dan yang ada kepentingan projek, itu pun hanya umno projek, bukan umno ideologi. Kabinet tahu ketika pelajar tidak dibenarkan terlibat dalam politik sekarang, umno ditolak di universti apabila calon proksi umno ditolak setiap kali pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar. 

Umno terpaksa bertungkus lumus dengan membuat macam-macam cara supaya proksi mereka menang melalui orang suruhan yang menjadi abdi mereka di universiti. 
  
Walaupun tindakan jahat mereka lakukan, namun mereka tetap gagal dalam setiap kali pilihanraya kampus. Maka sekarang mereka mengubah sistem dan peraturan rimba untuk menang dalam pilihanraya seperti dikenakan deposit, ada temuduga, tidak dibenarkan berkempen dan mencetak poster. Mereka melawan bukan sebagai  anak jantan . Mungkin mereka belajar daripada bapa mereka UMNO di luar kampus.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

‘Berkempen’: Keahlian kelab pelajar UKM digantung

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu dan menghadapi prosiding tatatertib digantung tugas dan jawatan mereka dalam Kelab Sains Politik, universiti itu.

Menurut timbalan presiden kelab itu, Mohd Rahimi Hassan, keempat-empat mereka menerima surat penggantungan pada surat yang bertarikh 14 Jun lalu dan ditandatangani oleh ketua Jabatan Perkhidmatan Pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman.

Mereka yang digantung tugas itu ialah Hilman Idham selaku presiden, Ismail Aminuddin – naib presiden, Azlin Shafina – setiausaha dan Woon King Chai selaku exco kelab berkenaan.

“Kandungan surat yang diterima menyatakan bahawa penggantungan tugas dan jawatan mereka adalah bermula daripada tarikh 2 Jun atas alasan bahawa prosiding ke atas keempat-empat mereka masih lagi belum selesai,” kata Mohd Rahimi dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, keempat-empat mahasiswa itu berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Mereka pada 1 Jun lalu memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Menurut Mohd Rahimi, sehubungan dengan penggantungan itu, kelab berkenaan mengambil keputusan mengadakan mesyuarat tergemparnya pada Selasa depan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bagi membincangkan tindakan susulan.

“Agenda mesyuarat antaranya ialah membincangkan pendirian persatuan berkenaan keputusan UKM untuk menggantung kedudukan keempat-empat ahli berkenaan,” katanya.

Filed under: News, , ,

Pelajar UKM dapat injuksi halang prosiding

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lepas berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh pelajar itu pada 1 Jun lepas, sehingga pelupusan saman pemula mereka.

Keempat-empat pelajar itu dari jurusan Sains Politik, pada 1 Jun lepas memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Pelajar itu tiga lelaki, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon King Chai, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan seorang pelajar perempuan, Azlin Shafina Mohamad Adza, 22, pada ketika kejadian berada di tahun kedua pengajian dan akan memulakan pengajian tahun ketiga mereka pada Julai ini.

AUKU bertentangan Perlembagaan

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Seksyen itu menyebut bahawa tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.

Mahkamah menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar saman pemula itu.

Dalam saman itu, mereka mendakwa universiti itu melalui satu surat bertarikh 13 Mei, telah meminta mereka hadir ke bilik mesyuarat universiti itu pada 2 Jun bagi menjawab dakwaan terhadap mereka, dan jika mereka tidak hadir atau tidak mengemukakan apa-apa representasi bertulis dalam tempoh 14 hari, mereka dengan serta-merta akan digantung daripada menjadi pelajar universiti itu.

Salah seorang pelajar itu, Muhammad Hilman, dalam afidavitnya bagi menyokong saman pemula itu mendakwa pada April lepas, mereka berada di Hulu Selangor antara lain untuk membuat pemerhatian secara langsung bagi membantu pemahaman mereka mengenai situasi sebenar semasa kempen sesebuah pilihan raya kecil.

“Kami juga berhasrat untuk memerhatikan cara bagaimana pihak-pihak politik dari kedua-dua parti utama yang bertanding menarik undi rakyat dalam keadaan politik negara kita yang dikatakan menuju ke arah politik baru,” katanya.

Bagaimanapun, mereka telah ditahan oleh polis serta pasukan pemantauan pilihan raya kementerian pengajian tinggi dan pegawai pemantau UKM dan diarahkan keluar dari kawasan itu.

Keempat-empat pelajar itu diwakili peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah, manakala peguam kanan persekutuan Aida Adha Abu Bakar mewakili kerajaan Malaysia serta Menteri Pengajian Tinggi dan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili UKM.

– Bernama

Filed under: News, , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories