Kalam Perantau

Icon

PRN11: BN yakin bentuk kerajaan negeri, menang 60-70 kerusi DUN Sarawak?

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Dalam pilihan raya negeri ke-11 (PRN11) , jumlah kerusi sebanyak 82 DUN dipertandingkan berbanding 71 kerusi pada PRN10 yang diadakan pada April 2011. Dari segi pertambahan 11 kerusi, menjadikan 82 kerusi DUN kesemuanya telah mencatat angka terbesar berbanding persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak 1985, 1995 dan 2005.

Sebelas (11) kerusi baharu turut menjadi rebutan berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun lepas adalah; Dun Gedong di Parlimen Batang Sadong, Dun Stakan di Parlimen Kota Samarahan, Dun Batu Kitang di Parlimen Stampin, Dun Serembu di Parlimen Puncak Borneo, Dun Tellian di Parlimen Mukah, Dun Samalaju di Parlimen Bintulu, Dun Murum di Parlimen Hulu Rajang, Dun Selirik di Parlimen Kapit, Dun Long Lama di Parlimen Baram, Dun Serian di Parlimen Tribon dan Dun Kabong di Parlimen Saratok.

Amat luar biasa dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak 2015, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperlihatkan mereka mengambil satu tindakan untuk membezakan tugasan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat negeri dengan wakil rakyat Parlimen.

Keanehan tanpa penglibatan persempadanan kerusi Parlimen ada rasionalnya kerana BN tidak mempunyai undi majoriti 2/3 untuk mengubah kerusi parlimen. Perbezaannya, persempadanan 2015 di Sarawak hanya melibatkan kawasan DUN tetapi tidak melibatkan perubahan dan penambahan kawasan pilihan raya Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima notis pembubaran daripada Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada 1 April selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pada 31 Mac lepas tarikh pembubaran pada 11hb April 2016 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) diadakan selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

BN Sarawak masih berpecah!

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN Negeri Sarawak dilaporkan yakin Barisan Nasional (BN) Sarawak mampu mengekalkan kerajaan negeri yang ada sekarang akan terus berkuasa pada penggal akan datang dengan memenangi sekurang-kurangnya 60 hingga 70 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-11 ini dengan barisan calon yang ada dalam ‘Pasukan Adenan’,.

Dengan tindakan politik yang ditunjukkan oleh Adenan sekarang begitu disenangi rakyat Sarawak ekoran bebberapa tindakan beliau yang mengutamakan kepentingan rakyat, pemerhai politik yakin BN tidak bermasalah untuk membentuk semula sebuah kerajaan yang baru selepas PRN ke-11 nanti. Cuma yang sedang diperhatikan sekarang adalah berapa kerusi yang bakal diperolehi oleh pembangkang dalam pilihanraya kali ini.

Malah satu kelainan adalah Adenan terpaksa meletakkan calun terus BN terutama bagi mengambil hati dan sokongan dari parti-parti serpihan komponen BN Negeri Sarawak seperti Parti Rakyat Bersatu (UPP) serpihan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan juga Parti Tenaga Rakyat (Teras) adalah parti serpihan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang diketuai Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Seri Wong Soon Koh, dan Parti Tenaga Rakyat (Teras), yang diketuai Menteri Pembangunan Sosial negeri Tan Sri William Mawan yang diiktiraf sebagai pro-BN walaupun tidak diterima secara rasmi sebagai komponen BN kerana UPP dan Teras belum lagi diterima sebagai anggota BN, manakala SPDP, SUPP dan PRS tidak mahu parti itu berada dalam gabungan itu.

Kedua-duanya berharap dapat mempertahankan kerusi DUN yang telah dimenangi atas tiket BN sebelum ini. Wong telah menyandang kerusi Bawang Assan selama lima penggal. Mawan pula berharap dapat mempertahankan kerusi Pakan, yang disandangnya selama lima penggal.

Selain Wong, UPP mempunyai tiga anggota dewan undangan negeri daripada masyarakat Dayak dan mereka masih berpengaruh di kawasan masing-masing. Di samping Mawan, empat anggota Teras menduduki kerusi dewan undangan negeri, tiga daripada mereka adalah menteri muda. Ramai yang ternanti-nanti keputusan Adenan mengenai kedudukan Adun UPP dan Teras ini. Semuanya berharap dicalonkan semula diatas tiket BN. Ini yang memeningkan pasukan Adenan.

Setakat ini hanya Parti Bersatu Bumiputera (PBB) yang diketuai Tan Sri Adenan Satem diperuntukan dengan 40 kerusi dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dipimpin oleh Tan Sri Dr James Masing diberikan 11 kerusi yakin dapat memenangi semua kerusi yang ditandingi bagi membolehkan BN memperolehi majority mudah dalam Dun sebelum ditambah dengan kerusi-kerusi lain yang ditandingi oleh SUPP dan SPDP selain dari calon terus dari parti-parti UPP dan Teras yang pro-BN.

Setakat ini belum dapat dipastikan berapa kerusi akan diperolehi oleh parti-parti pembangkang, yang tidak dikatakan tidak selesai membahagikan kerusi dikalangan mereka. Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 2011 yang lalu, BN berjaya memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dan16 kerusi selebihnya dimenangi oleh pembangkang dan bebas, iaitu DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1).

Satu perkara yang pasti bagi seorang Ketua Menteri yang pertama kali diuji dalam pilihanraya yang dipimpinnya sendiri, beliau bukan sekadar mahukan kemenangan, tetapi satu kemenangan besar bagi BN-Pasukan Adenan, dan oleh itu, beliau mungkin memanfaatkan semua peluang yang ada untuk mencapainya sehingga beliau tersasul ‘mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pembuangan yang dikehendakinya pada 30hb April 2016, satu perkara yang musthail dipatuhi oleh SPR bila diumumkan secara terbuka.

Advertisements

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , ,

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 : PAS bakal dapat ADUN sulung?

Oleh : Shuhaimi Almaniri

Ketika memulakan coretan sulung untuk kolum Kalam Perantau dalam akhbar Harakah pada Februari lepas, saya ada menulis berhubung pilihanraya negeri Sarawak ke-11. Sebelum itu pun, saya juga ada membuat analisa Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-10 pada tahun 2011.

Berbanding dengan pilihanraya Sarawak ke 10 pada 2011 dengan 71 kerusi DUN dipertandingkan, pilihanraya Negeri Sarawak ke11 kali ini sebanyak 11 kerusi DUN Sarawak telah ditambah menjadikannya 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.

Sebelas (11) bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Juga terdapat pindaan nama ke atas empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak iaitu: N.19 daripada Bengoh ke Mambong, N.34 daripada Batang Air ke Batang Ai, N.41 daripada Belawai ke Kuala Rajang dan N.68 daripada Kidurong ke Tanjung Batu.

Saya tidak bercadang untuk mencatat semula apa yang telah ditulis dahulu, artikel berkenaan bertajuk “harakah, kalam perantau dan pilihanraya Sarawak” dan lain-lain artikel berkaitan dengan pilihanraya sarawak boleh rujuk dalam kalam Perantau (https://kalamperantau.wordpress.com) atau menggeledah arkib ePaper Harakah bagi melanggannya.

DUN Bubar 11 April, Buang Undi 7 Mei?

Teka teki bila tarikh pilihanraya Sarawak belum lagi terjawab sepenuhnya. Sekurang-kurangnya kita sudah tahu satu pilihanraya negeri Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN sarawak dibubarkan pada 11hb April, 2016 nanti.

Apa yang pasti adalah tidak mungkin bagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengadakan PRN ke-11 Sarawak pada 30 April, 2016 dengan penamaan calon pada 18hb April 2016 seperti yang dicadangkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini.

Dari sumber-sumber yang layak dipercayai, penamaan calon dijangka akan diadakan pada 25hb April dan pengundian dilakukan pada 7hb Mei, 2016 kerana SPR memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan terutama di 11 DUN yang baru diwujudkan untuk pilihanraya kali ini.

PAS bertanding Pilihanraya Negeri Sarawak

Tahun 2001 merupakan kali pertama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melibatkan diri dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak. Sebelumnya PAS Sarawak telah mengukir sejarah bila buat julung kalinya bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun 1999 untuk Kerusi Parlimen iaitu di P.174 Batang Sadong.

Pada pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ke-8 yang diadakan pada 27 September 2001, PAS membuat keputusan bertanding di tiga Kerusi daripada 62 Kerusi DUN pada masa tersebut, dengan calon seperti berikut:

  1. N.07 Samariang : Mohd Shokri Mohd Fauzi
  2. N.18 Sadong Jaya : Haji Adam Ahid
  3. N.21 Beting Maro : Calon: Abang Ahmad Abang Dahalan

Keputusan calon PAS di DUN Beting Maro dan Sadong Jaya pada Pilihanraya Negeri tahun 2001 amat memberangsangkan. Namun di DUN Samariang, calon PAS telah hilang deposit dalam satu pertandingan 3 penjuru dengan calon BN (PBB) dan PKR.

Dalam PRN Sarawaki Ke-10 yang diadakan pada 16 April 2011, PAS bukan sahaja bertanding lagi di Beting Maro bahkan bertanding di 4Kerusi DUN yang lain. Selain Beting Maro, PAS bertanding semula di DUN Sadong Jaya yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu di samping 3 Kerusi DUN lagi, iaitu DUN Sebuyau, Tanjung Datu dan Muara Tuang.

PAS telah mengumunkan untuk bertanding sekali lagi di DUN yang telah ditandingi pada PRN ke10 yang lepas kecuali DUN Tanjong Datu untuk menentang Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah diserahkan kepada PKR.

Sebelas (11) kerusi Dun yang telah dikenalpasti dan diumumkan ditandingi PAS pada pilihanraya negeri ke-11 ini adalah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut dengan menawarkan ‘Sejahtera Untukmu Sarawak’ yang dilancarkan pada 12hb Mac 2016 dengan hasrat untuk melihat kehadiran ADUN PAS di dalam DUN Sarawak.

Berikut adalah calon-calon PAS yang telah dikenalpasti, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj Jofri Jaraiee (51 tahun, professional) bertanding di N74 – Pujut, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohamad Ariffiriazul Paijo (32 tahun, professional) bertanding di N72 – Lambir, Pengarah Pilihanraya, Zharuddin Naruddin (31 tahun, professional) bertanding di N70 – Samalaju, Ketua Penerangan PAS Sarawak, Hj Kiprawi bin Aman (67 tahun, pesara kerajaan) bertanding di N67 – Jepak, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Clement Bayang (59 tahun, Seniman dan tuai Rumah) bertanding di N60 Kakus, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Sarawak, Hamidah Mokhtar (26 tahun, usahawanita) bertanding N29-Beting Maro, pendakwah bebas, Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad (44 tahun, agamawan bertanding N27 – Sebuyau, Timbahan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Cikgu Hassan Sinkro (63 tahun, Pesara Guru) bertanding di Sadong Jaya, Bendahari PAS Sarawak, Zulkifli Ramzi (38 tahun, setiausaha kerja PAS) bertanding N16 – Muara Tuang), pendakwah bebas Ustaz Yusof Assadiqi Ahmad Sarkawi (30 tahun, Qari Al-Quran) bertanding di N7 – Samariang, Timbalan Yang Dipertua PAS Santubong Zainal Abidin Yet (49 tahun, kakitangan swasta) bertanding di N4 – Pantai Damai.

Daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi PAS, seorang calon yang bukan beragama Islam dari Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) dicadangkan bertanding di DUN Kakus pernah bertanding kerusi DUN Semena sebelum ini sebagai calon tetapi bukan diatas tiket PAS.

PAS kembali bertanding di DUN Samariang yang pernah ditandingi pada tahun 2001 dahulu. Manakala DUN di Zon Utara Sarawak, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut adalah ditandingi untuk kali pertama.

PAS berpeluang Menang

PAS menaruh harapan untuk menang di 3 DUN yang berpotensi pada kali ini. Tiga (3) DUN berkenaan adalah DUN Beting Maro yang telah ditandingi 3 kali sebelum ini dan Dun Lambir dan Samalaju yang pertama kali bertanding juga berpotensi untuk PAS menang.

Selepas persempadanan semula, PRN Ke-9 menyaksikan pertambahan 9 kerusi DUN baru lagi menjadikan 71 kerusi DUN keseluruhannya. Pilihanraya Negeri Sarawak ke-9 pada tahun 2006, PAS telah membuat keputusan untuk bertanding hanya satu kerusi DUN sahaja dan memfokuskan DUN Beting Maro.

PAS mengejutkan banyak pihak bila Dun Beting Maro kalah dengan majoriti PAS kecil, 895 undi pada kali kedua bertanding pada PRN ke-9 (2006). Berikut merupakan keputusan penuh 2 pilihanraya pilihanraya bagi Kerusi DUN berkenaan:

  1. N.24 BETING MARO (PRN ke-9; 2006) – Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 895 undi. PAS – Alem bin Din (1,901 undi) ; BN – Bolhassan bin Di @ Ahmad bin Di (2,796 undi)
  2. N.24 BETING MARO (PRN ke-10; 2011) – Keputusan: BN Menang dengan Majoriti 391 undi. BN – Razaili Gapor (3,069 undi) ; PAS – Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (2,678 undi)

Berdasarkan kepada ‘track record’ PRN Sarawak yang lepas, PAS menaruh harapan yang tinggi untuk menang DUN Beting Maro pada PRN kali ini yang hanya ketinggalan sebanyak 391 undi sahaja,

Dengan membawa politik matang dan sejahtera, PAS berharap rakyat Sarawak memberikan peluang kepada PAS menang di Beting Maro untuk mencipta satu lagi sejarah, iaitu masuk ke DUN Sarawak.

Dari cakap-cakap politik di Beting Maro, sekurang-kurangnya 3 calon akan bertanding merebut kerusi Beting Maro pada kali ini, PAS bukan sahaja akan menentang calon BN dari PBB untuk kali keempat tetapi parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) juga dikatakan akan bertanding dikerusi berkenaan.

Apa pun PAS telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding untuk semua kerusi yang telah dikenalpasti dan diumumkan sebelum ini. Semua calun PAS yang akan bertanding diumumkan serentak di Bintulu pada 6 April.

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , ,

Harakah, Kalam Perantau dan Pilihanraya Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Sudah lama kolum Kalam Perantau tidak ditulis secara tetap dan berkala. Sebelum ini, kolum Kalam Perantau ini (https://kalamperantau.wordpress.com) adalah ditulis seminggu sekali untuk pembaca akhbar Siasah.

Hari ini Isnin 1hb Februari, 2016 saya berkesempatan meluangkan sedikit masa untuk menulis kembali kolum Kalam Perantau setelah dipelawa oleh Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Sdr. Wan Nordin untuk tatapan pembaca Harakah.

Saya diberitahu Harakah sukar didapati di Sarawak. Saya ada diberitahu, sekitar 2,000 naskah sahaja Harakah yang beredar di Sarawak. Saya kira sejumlah itu juga beredar di Sabah. Cukupkah dengan jumlah itu untuk rakyat atau pengundi Sabah dan Sarawak mendapat maklumat terus dari PAS?

Jika di Semenanjung akhbar harakah sukar diperolehi, bagaimana agaknya dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang mempunyai rangkaian perhubungan jalanraya yang tidak sebaik di Semenanjung untuk mendapatkan akhbar Harakah ini?.

Mungkin PAS kena mempertimbangkan untuk mengadakan edisi Sabah dan Sarawak, malah berusaha memcetak akhbar berkenaan di Sabah dan Sarawak pada masa hadapan untuk membolehkan PAS terus berkembang di kedua-dua negeri berkenaan.

Bila akhbar Harakah sukar didapati di Sarawak atau terhad pengedarannya, bagaimana mungkin maklumat hendak disalurkan kepada rakyat Sarawak untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan dan seterusnya berubah untuk memilih PAS dalam pilihanraya Sarawak yang akan diadakan. Malah ada mencadangkan agar dermawan-dermawan membeli pada harga kos untuk diedarkan dalam pilihanraya Negeri Sarawak nanti.

Untuk mengatasi masalah komunikasi dan birokrasi di Sabah dan Sarawak, Harakah sudah memperkenalkan ePaper Harakah (eharakah) sejak 2009 lagi dan mulai tahun 2015, epaper telah menjadi sebahagian produk digital kad Istiqamah yang dilancarkan pada Muktamar PAS ke61 pada Jun tahun lepas.

Masa menghadiri Konvensyen Usahawan (koUSAHA) pada 16hb Januari, 2016 di Hotel Everly, Putrajaya. Saya telah bertemu seorang wakil PAS Sarawak, Abang Raini yang bersedia menjadi ejen Kad Istiqamah di Kuching, Sarawak.

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11

Saya ke Sarawak tiga hari, 29-31hb Januari untuk meninjau perispan PAS bagi menghadapi pilihanraya Sarawak. DUN Sarawak bakal dibubarkan dalam masa terdekat dan pilihanraya negeri diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Malah telah terdapat khabar-khabar angin yang berlegar-legar dalam aplikasi maya khususnya whatsapp yang DUN Sarawak bakal dibubarkan pada 25hb Februari, 2016 sebaik sahaja selepas perayaan tahun baru Cina diadakan dan pilihanraya diadakan pada bulan April, 2016 .

Sama ada benar atau tidak DUN Sarawak dibubarkan pada tarikh tersebut, tiada siapa pun yang tahu lagi setakat ini. Ianya masih menjadi rahsia, Tan Sri Adenan Satem, Ketua Mentri Sarawak bila dia hendak bubar DUN Sarawak bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menguruskan Pilihanraya Negeri Sarawak yang ke-11.

Tetapi Adnan Satem membuat satu kejutan, dia beritahu telah membincangkan dengan wakil SPR untuk mengadakan PRN ke-11 Sarawak pada 30 April, 2016 dengan penamaan calon pada 18hb April 2016. Ini satu kejutan dan pembaharuan yang sedang dibuat Ketua Menteri Sarawak yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Mengimbau kembali pilihanraya negeri Sarawak ke10 pada 2011 yang lepas, pada awalnya Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS) berbincang dengan parti lama yang di asaskan di Sarawak, SNAP berbincang untuk bertanding satu lawan satu menentang Barisan Nasional di 71 DUN. Akhirnya, PKR dan SNAP bertembung di 25 kerusi semasa hari penamaan calon.

Selepas proses penamaan selesai, terdapat pertandingan tiga penjuru membabitkan 23 DUN dan empat penjuru di 17 DUN. Dua kawasan berlaku pertandingan enam penjuru iaitu di DUN Belaga dan DUN Balai Ringin manakala pertandingan lima penjuru berlaku di DUN Ngemah serta DUN Jepak.

BN meletakkan 67 calon lelaki dan empat wanita, PAS (tiga lelaki dan dua wanita), DAP (11 lelaki dan empat wanita), Snap (26 lelaki), Bebas (40 lelaki dan seorang wanita) PKR (45 lelaki dan empat wanita), PCM meletakkan lima calon lelaki dan seorang wanita.
BN meneruskan penguasaan Kerajaan negeri buat penggal ke-10 dengan memperolehi kemenangan majoriti 2/3 dalam pilihan raya ini dimana BN memperolehi 55 kerusi namun peratusan undi popular yang diperolehnya menurun berbanding pilihan raya negeri 2006.

Berdasarkan maklumat dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada keluar mengundi kali ini. 5 tahun lalu, pada 2006 BN menerima 62.91 peratus (341,587 undi) dan 71.16 peratus (382,137 undi) pada 2001.
Keputusan rasmi, BN memenangi 55 kerusi, DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1). Keputusan itu menunjukkan BN kehilangan lapan kerusi, berbanding 63 kerusi yang dimenanginya pada 2006. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bertanding di 35 kawasan DUN telah memenangi kesemua kawasan yang dipertandingkan.

Bagi Pakatan Rakyat pula, memenangi sebanyak 15 kerusi dengan Democratic Action Party (DAP) sebanyak 12 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 3 kerusi serta satu lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas Faktor undi cina telah menyebabkan DAP dan PKR juga menyapu bersih kesemua lima kerusi DUN di Kuching.

Bagaimana pula dengan prestasi BN dan pembangkang dalam pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 yang akan diadakan pada bila-bila masa dibawah ketua Menteri yang baru, Tan Sri Adenan Satem?

Berbanding dengan pilihanraya Sarawak ke 10 pada 2011 yang lepas dengan 71 kerusi DUN, SPR telah berjaya mendapat kelulusan DUN Sarawak dan Parlimen Malaysia untuk menambah 11 kerusi DUN lagi menjadikannya 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada pilihanraya Negeri Sarawak ke11 kali ini.

Sebelas (11) bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan pindaan nama ke atas kawasan Parlimen Mambong (P.198) di Sarawak kepada Parlimen Puncak Borneo. Juga terdapat pindaan nama ke atas empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak iaitu: N.19 daripada Bengoh ke Mambong, N.34 daripada Batang Air ke Batang Ai, N.41 daripada Belawai ke Kuala Rajang dan N.68 daripada Kidurong ke Tanjung Batu. Bagi bahagian Pilihan Raya Persekutuan, tiada perubahan bilangan dan kekal dengan 31 kawasan Parlimen

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories