Kalam Perantau

Icon

Harakah 2011 : Luahan hati Ketua Pengarang

Artikel ini agak lewat diterbitkan, namun ianya wajar diterbitkan untuk muhasabah khusus untuk akhbar harakah. – moderator

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hanya beberapa hari lagi tirai  2010 akan berlabuh. Tahun penuh warna-warni ini bakal ditinggalkan.  Pastinya, ramai yang berminda positif cuba melakukan muhasabah, meneropong kelemahan diri dan organisasi. Aspek kejayaan tidak seharusnya melekakan kita. Proses berterusan memaknakan kehidupan ini tentu juga berdepan dengan kekecewaan. Lebih malang jika kegagalan itu berpunca daripada faktor kealpaan dan kelemahan peribadi. 

Jatuh-bangun perkara biasa dan tidak seharusnya dibiarkan menghalang kita untuk melalui takah-takah yang lebih tinggi dengan semangat jitu. 

Begitu juga dengan kami di Harakah. Sebagai pembaca, anda lebih layak untuk menghakimi prestasi kami dalam tempoh setahun ini. (Kebetulan, sejak diserang penyakit jantung akhir November 2009, sudah lebih setahun sentuhan saya cukup terbatas).

Harakah yang diasaskan lebih 23 tahun lalu tidak sunyi daripada kelemahan. Usianya sudah menginjak dewasa, namun pencapaiannya mungkin boleh dipersoalkan. Dunia maklumat bergerak pantas. Ya, terlalu cepat sekali sehingga kita selalu tertinggal. Teknologinya begitu mengkagumkan sekali. Kemajuan datang bersama cabaran. Tanpa keupayaan daya saing yang tinggi, kita mungkin menjadi makhluk asing yang terpinga-pinga dengan arus perubahan.

Mudah melafazkan istilah perubahan, namun usaha mengisinya jarang kesampaian. Ramai yang menjerit slogan perubahan tetapi tidak sempat menghadam makna di sebaliknya.Ia menuntut tekad dan azam luar biasa, selain perincian dan perancangan sistematik. Segalanya mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Serius. Cepat belajar.

Tahun 2011 dijangka tahun pilihan raya. Dan ia bukan seperti pilihan raya umum sebelum ini. PRU13 cukup istimewa. Sebagai organ parti, di kala permit Suara Keadilan masih terbenam, harapan buat Harakah menjulang. Akhbar dua kali seminggu ini perlu memenuhi aspirasi pendukung perubahan dan kehendak rakyat seluruhnya, yang mengimpikan sebuah Malaysia yang lebih makmur dan adil.

Meskipun kuasa siber diakui faktor yang semakin dominan untuk mempengaruhi kecenderungan mengundi, namun media tradisional seperti akhbar, terutama buat sasaran khalayak Melayu masih penting dan berbisa. Perang maklumat dan usaha membentuk pandangan awam melalui akhbar tetap merupakan satu agenda yang tidak boleh dikesampingkan.

Edaran akhbar-akhbar harian yang dikontrol Umno-BN memang menurun. Jualan Utusan Malaysia dan Berita Harian di bawah paras 200,000 naskhah. Bagi penganalisis media, trend penurunan ini tidak mungkin dapat disekat, cuma boleh diperlahankan kemerosotannya. Seolah-olah tiada pembaca baru daripada generasi muda. Kehilangan penggemar akhbar-akhbar berkenaan sukar dicari ganti.

“Kita tidak perlu menunggu lama untuk menunggu kepupusan sepenuhnya akhbar bercetak, seperti yang sudah berlaku di beberapa negara maju,” ramal seorang wartawan kananakhbar harian berbahasa Melayu. Mungkin jangkaannya itu boleh ditolak tetapi sekurang-kurangnya ia amaran awal buat semua syarikat akhbar di negara ini, termasuk Harakah. Realitinya, banyak majalah berita antarabangsa sudah ditutup, seperti Asiaweek, atau terpaksa dirombak kandungannya secara drastik, seperti Newsweek.

Menurut laporan terkini dikeluarkan firma penyelidikan Audit Bureau Circulation (ABC), akhbar yang mengambil pendekatan santai seperti Harian Metro dan Kosmo mengambil alih pasaran. Media seumpama ini jarang memuatkan bahan-bahan serius seperti perkembangan politik. Kalau ada pun, ia sekadar berita kaki atau bahan sendal.

Apakah fenomena ini menunjukkan masyarakat kita semakin kurang “berahi” dengan berita-berita semasa yang dahulunya dilihat penting ataupun mereka mula beralih sepenuhnya kepada sumber internet?

Saya tidak mudah untuk memborong pandangan bahawa pembaca sudah muak dengan “berita putar-belit”. Trend kejatuhan jualan akhbar tidak sesenang itu untuk dibuat kesimpulan. Harakah turut terkena tempiasnya jika tiada usaha bersungguh-sungguh menepisnya.

Memang cabaran kuasa siber cukup gagah dan sukar ditandingi. Rasanya hampir semua akhbar cetak mempunyai versi “dalam talian”. Ini bermakna, yang menjadi saingan adalah produk daripada syarikat yang sama. Daripada sudut perniagaan, banyak kos yang terpaksa “dihanguskan” untuk akhbar on-line, sedangkan pulangannya hanya tersudutkepada jualan iklan semata-mata.

Masyarakat sekarang pula lebih terbuka pemikiran dan bersikap kritikal dengan maklumat yang dihidangkan. “Pengikut fanatik” terhadap mana-mana parti semakinberkurangan. “Golongan atas pagar” lebih ramai. Mereka tidak mahu terkongkong dengan satu-satu aliran politik. Bagi aktivis Pakatan Rakyat, ia mungkin satu perkembangan positif apabila kecenderungan mengundi terbuka untuk dipengaruhi.

Apa pun, pengamal media cetak — termasuk Harakah — mesti serius menangani gugatan genting berkenaan. Diharapkan sesi permukiman kami pada 25 dan 26 Disember inimampu menawarkan jalan keluar ke atas kemelut sejagat itu. Anda, pembaca, turut dipelawa menyalurkan pandangan. Salurkan kepada lutfi_detik@yahoo.com.

Advertisements

Filed under: News, , , , , , ,

Asri mohon maaf cadang Anwar ‘bersara’

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf atas pandangan sebelum ini yang mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya “bersara politik.”

“Justeru, sebagai saudara Muslim, saya sekali lagi – seperti kenyataan awal – pohon kemaafan atas pandangan tersebut.

“Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah SWT mendatangkan hal yang sebaliknya. Dia Maha Mengetahui segalanya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan digunakan oleh akhbar Umno Utusan Malaysia dalam ‘perancangan’ untuk mencemarkankan nama baik Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menyifatkan dakwaan ‘digunakan’ terhadapnya sebagai agak berat, Mohd Asri menjelaskan cadangannya supaya Anwar ‘bersara politik’ bukan berkaitan peribadi, sebaliknya pandangan politik yang berniat baik.

“Pada awal moderator (blog saya) Minda Tajdid sendiri pun risau (dengan pandangan saya). Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia.

“Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar,” katanya sambil memberitahu tidak pernah memusuhi, bahkan simpati dengan keadaan Anwar sekarang.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Anwar hari ini mempersoalkan masa yang digunakan untuk menyerang dirinya dan naib presiden PKR Azmin Ali.

Anwar mendakwa terdapat kempen bersepadu di Utusan menggunakan Dr Mohd Asri dan lidah pengarang akhbar itu supaya beliau meletakkan jawatan.

Tidak di belakang Zaid, Mustaffa Kamil

Dalam surat terbukanya kepada Anwar petang ini, Dr Mohd Asri berkata, selain tajuk yang ‘garang’, laporan di Utusan sebelum ini daripada laman blognya dipetik dengan tepat.

“(Ia) bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya.

“Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan,” katanya.

Menurut Mohd Asri lagi, beliau sendiri tidak tahu bahawa dua calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub – yang turut dikaitkan dalam ‘perancangan’ itu – akan mengeluarkan kenyataan mengkritik Anwar dan PKR.

“Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka,” kata Dr Mohd Asri.

Sambil mengakui kelebihan Anwar dalam politik – terutama dalam pemikiran Islam, pidato dan umur – Dr Mohd Asri yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu perlu mengambil kira banyak persoalan lain.

SMS pada Anwar

“Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.

“Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot,” jelas beliau lagi.

Selain itu, Dr Mohd Asri berharap apa yang berlaku tidak merosakkan hubungan sesama Islam dengan Anwar.

“Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi.

“Saya telah SMS secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Utusan Malaysia putar belit kenyataan Presiden PAS

Oleh Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Akhbar Umno, Utusan Malaysia telah mengambil kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita bertajuk “Umno mula alami perubahan yang baik – Hadi” dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan.
Jelas, apa yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah berbeza.

Berikut adalah kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk ‘Tiada percanggahan dengan MB Kelantan – Presiden PAS‘.

S:      Datuk Seri, boleh perjelaskan sedikit apa yang dikatakan percanggahan pendapat antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz dengan Presiden PAS dalam isu perbincangan PAS dengan Umno?
J:       Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Dato’ Nik Abdul Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam. Agama dengan politik dengan sosial dan sebagainya. Apa sahaja masalah dalam dunia ada kaitan dengan agama. Di mana, Tuan Guru Nik Aziz bercakap dalam konteks ‘ad-deen’ (agama dengan cara yang menyeluruh) dan saya mungkin menyentuh aspek-aspek tertentu. Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Guru Nik Aziz.

S:      Ini bermakna, apa yang diperkatakan orang tentang berlaku percanggahan itu jauh sekali berlakunya?
J:       Tidak…kita mesti memahami agama mengikut definisi Islam dari perkataan ‘ad-deen’ yang disebut al-Quran oleh Tuhan. Berbeza dengan agama yang diterjemahkan ‘religion’ dalam bahasa Inggeris atau agama dalam bahasa ‘Sanskrit’. Di mana, Islam adalah ‘ad-deen’ bukan sahaja agama, bukan sahaja ‘religion’ termasuk di dalamnya cara hidup ‘way of life’ yang termasuk di dalamnya politik, ekonomi, sosial dan segala perkara yang berkait dalam urusan kehidupan manusia secara individu dan masyarakat, secara bangsa dan antarabangsa, secara globalisasi.

Berkait dengan segala aspek yang menjadi tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini. Apa yang disebut oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz ialah tentang surat yang dihantar kepada Perdana Menteri. Surat itu menyatakan PAS sedia berbincang dengan Umno dalam aspek Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini sebagai satu penyelesaian cara hidup bagi negara kita. Setelah kita melihat kegagalan-kegagalan yang dialami dalam negara kita talu-bertalu.

Kita mengalami masalah politik yang belum selesai. Masalah ekonomi, masalah sosial yang makin hari makin parah. Sepatutnya, dibincang apakah penyelesaiannya. PAS boleh mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian secara Islam. Dalam hal ini, kita mengambil sikap yang terbuka dan boleh berbincang dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan sendiri. PAS pernah melibatkan diri dengan forum Islam. Bukan sahaja melalui Parlimen, melalui Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bahkan, PAS pernah menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen). PAS pernah menyertai apa sahaja forum secara khusus yang diatur oleh kerajaan. Termasuklah yang terkini dalam isu kalimah Allah. Di mana, PAS telah menghantar wakil dalam perbincangan dengan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dan kita mengemukakan pandangan kita sebagaimana dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam kitab yang banyak yang dikarang oleh mereka.

S:      Tuan Guru, adakah kaedah bagi penyatuan tersebut kerana isu perbincangan antara Umno-PAS telah lama tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?
J:       Masalah penyatuan ini kita hendaklah faham. Di sana ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang harus bersatu dan ada perkara yang haram bersatu dan tidak boleh bersatu sampai bila-bila. Perkara yang haram bersatu antara benar dan salah, adil dan zalim, antara haram dan halal, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah.

Perkara yang prinsipal, perkara yang konsep, yang diputuskan oleh al-Quran, yang ada nas. Di mana, dalam hal ini tidak boleh disatukan sama sekali antara perbezaan yang berlaku dengan manusia. Ini tidak boleh kita satu, perkara yang ‘tabie’, perkara yang naluri. Dan di sana, ada perkara yang boleh disatukan. Perkara yang menjadi kepentingan bersama, yang menjadi tujuan bersama, keadilan untuk semua. Hak kebaikan untuk semua, menolak keburukan untuk semua. Walau pun persepsinya berbeza itu boleh dibincangkan. Perkara yang boleh disatukan ada, perkara yang boleh diraikan antara satu sama lain, tolak ansur itu ada dan ini perlu dilihat.

Kita tidak boleh melihat secara menyeluruh sebagai satu prinsip yang beku, yang jumud, yang tidak boleh rungkai. Oleh sebab itu, PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dalam perkara yang boleh dirungkai, yang boleh diselesaikan secara ‘ijtihad’, secara kebijaksanaan yang berpandukan kepada prinsip-prinsip ‘fleksibel’ yang ada dalam al-Quran, yang diajar oleh Nabi kita Muhamad SAW.

S:      Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?
J:       Kita (PAS) tidak pernah menentukan si anu bin si anu kafir. Kita (PAS) menyatakan batas-batas iman dan kufur. Saya sendiri mengarang sebuah buku tentang Aqidah Muslim. Dan Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis. Jilid yang pertama yang menyatakan batas-batas Iman dan Kufur.

Di sana, ada dinyatakan ada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa. Dan kita (PAS) tidak boleh menentukan siapa-siapa jadi kafir melainkan melalui Badan Kehakiman secara Islam yang sah. Dalam Islam ada hukum dan undang-undang orang yang murtad. Dengan sebab itulah, mesti melalui Badan Kehakiman Islam yang kita (umat Islam) kena faham. Apa yang kita (PAS) sampaikan adalah secara ilmu.

Kita (PAS) tidak menafikan ada di kalangan masyarakat kita yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, yang menghina hukum hudud, yang menghina hukum qisas. Dan ada di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak perlu saya sebut namanya yang mengatakan sekiranya dilaksanakan hukum hudud akan jadi huru-hara.

Jika laksanakan hukum Islam ramai orang Islam yang kudung (potong tangan). Ini hukum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Mungkin mereka mengatakan demikian kerana jahil dan jika kerana jahil dia berdosa kerana tidak belajar. Tetapi, jika dia kata dengan pengetahuan dia, dengan tahu dia sebagai seorang Islam dan tiba-tiba dia menafikan hukum Allah. Ini boleh merosakkan aqidah (Islam) dia. Dan menjadi tanggungjawab kitalah (PAS) menyampaikan. Alhamdulillah, kita (PAS) telah berjaya menyampaikan mesej kita (Islam) sehingga hari ini Umno tidak boleh mendedahkan kesilapan kita dalam masalah ini.

Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.

Apa yang berlaku ialah mereka (Umno-BN) telah melanggar semangat dan konsep federalisma yang diamalkan, tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Bila pakatan Rakyat telah menubuhkan kerajaan, mereka (Umno-BN) mesti menghormati keputusan ini tetapi seolah-olah tidak berlaku penghormatan terhadap keputusan ini. Ini suatu hal yang lain dari prinsip Islam. Dengan sebab itu, perbincangan Islam secara ‘usuli’ secara asas perlu antara PAS dengan Umno yang merupakan ada di kalangan Islam disemua pihak.

Jadi perbincangan secara ilmu sangat penting. Dan PAS telah meneroka, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menjemput kami (PAS) menghadiri perjumpaan dengan IKIM dan saya sendiri hadir dalam majlis itu bersama dengan wakil PAS dalam persidangan itu dan kita (PAS) telah mengemukakan pandangan- pandangan kita (PAS). Ini suatu perkembangan yang sangat positif dan kita (PAS) bersedia untuk hadir jika dibuka ruang untuk kita (PAS) menghadirinya

Filed under: News, , , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories