Kalam Perantau

Icon

Pemilihan PAS dan PRU ke-13

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Ketika semua parti bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang dijangkakan akan diadakan pada pertengahan tahun ini atau selewat-lewatnya sukuan pertama tahun 2011, kebanyakkan parti terutamanya dari komponen Barisan Nasional telah menagguhkan pemilihan kepimpinan mereka kepada selepas selesai
Pilihanraya umum tersebut.

Tetapi sebaliknya berlaku bagi komponen Pakatan Rakyat. Mereka tetap meneruskan proses pemilihan kepimpinan mereka seperti biasa. Pada hujung tahun lepas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengadakan pemilihan kepimpinan mereka berkonsepkan ‘satu ahli, satu undi’ buat pertama kalinya dalam sejarah parti-parti politik di negara kita.

Pada pertengahan tahun ini, PAS pula akan mengadakan pemilihan kepimpinan parti mereka yang diadakan selama 2 tahun sekali. Kali terakhir pemilihan PAS adalah dalam muktamarnya yang ke-55 pada tahun 2009 yang diadakan di Shah Alam, Selangor.

Pada tahun tersebut, pemilihan lebih tertumpu kepada kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Dalam pertandingan 3 penjuru Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan kerusinya mengatasi dua calon lain, iaitu Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Kedua-duanya tidak mempertahan kerusi Naib Presiden yang disandang mereka sebelum itu. Seorang lagi Naib Presiden, iaitu Ustaz Ahmad Awang juga tidak bertanding. Akhirnya, PAS berjaya memperolehi 3 Naib Presiden yang baru terdiri dari Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Sallahuddin Ayub dan Mahfuz Omar.

Ketika dihubungi oleh seorang exco Kerajaan Negeri beberapa hari lepas, saya berpendapat pemilihan kali ini sekiranya berlaku (dan saya yakin tetap berlaku), ianya tidaklah sehebat pada tahun 2009.  Dia berkata, ‘ya ka?’.

Saya berkata, sekiranya diserahkan kepada aktivis parti sepenuhnya, saya yakin pemilihan kali ini akan berakhir dengan aman seperti zaman sebelum adanya dunia blog, facebook, twitter dan lain-lainnya.

Beberapa calon yang disebut-sebut akan bertanding telah dimulakan oleh media dan blogger-blogger tertentu bagi memporakperandakan ketenangan dan keharmonian PAS sebagai sebuah parti politik dan jamaah Islam.

Pemilihan ini nampak rancak dalam dunia maya sahaja, hakikatnya di peringkat bawah ahli-ahli PAS lebih bertumpu untuk pilihanraya umum ke-13 tanpa ‘ambil pusing’ secara berlebihan tentang pemilihan kepimpinan parti dalam muktamar PAS kali ini. Bagi sesetengah dari mereka, apa pentingnya tukar kepimpinan parti, kalau kalah pilihanraya.

Pemilihan PAS kali ini sengit?

Dalam keadaan perhatian tertumpu kepada Pilihanraya Negeri Sarawak pada 6 hingga 16 April ini, sebuah akhbar harian yang dipercayai banyak dibaca oleh ahli-ahli PAS pada keluaran 28hb. Mac, 2011 telah memberikan tajuk utama ‘Siapa Ganti Nasha’ dengan memasukkan 4 gambar dibawah tajuk tersebut, iaitu Sallehuddin, Tuan Ibrahim, Mahfuz dan Husam.

Sejak kerusi Timbalan Presiden dipertandingkan secara terbuka sejak beberapa sesi lepas, kerusi ini sentiasa menjadi fokus setiap kali pemilihan PAS diadakan. Banyak pihak yang sukakan pertandingan sebegini berlaku kerana merancakkan ‘politicking’ dalaman PAS.

Harakahdaily melaporkan Tuan Ibrahim Tuan Man awal-awal lagi telah mengumumkan tidak mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden. Sallehuddin dilaporkan dalam akhbar harian berkenaan tidak berminat untuk mengintai kerusi Timbalan Presiden.

Dilaporkan juga oleh akhbar berkenaan, Mahfuz Omar dan Husam Musa tidak memberikan kata putus tentang kemungkinan bertanding kerusi Timbalan Presiden PAS pada pemilihan kali ini. Husam pernah bertanding kerusi berkenaan dalam pemilihan sesi lepas. 

Manakala Mohamad Sabu yang pernah bertanding Timbalan Presiden pada sesi lepas juga dilaporkan dalam satu media tertentu sedang ‘tunggu dan lihat’ perkembangan selanjutnya setelah mendapat pencalonan pertama dari kawasan Kubang Kerian.
 
Saya sebenarnya tidak berminat untuk mengulas tentang pemilihan PAS ni tetapi menyebut secara sepintas lalu apa yang dipaparkan oleh media dan media baru dalam menghadapi pemilihan PAS kali ini.

Selain mengadakan ‘adu domba’ dalam pemilihan kali ini, media juga kelihatan bersungguh-sungguh hendak memerangkap pemimpin PAS terutamanya Mursyidul Am dan Presiden PAS untuk menonton video lucah (18SX) bikinan “Trio UMNO” yang Anwar Ibrahim dikatakan sebagai pelakon utama.
 
Ketika UMNO dikatakan sudah kuat dan pulih dari tsunami 2008, kenapakah usaha-usaha sebegini dilakukan yang menyebabkan bukan sahaja maruah UMNO itu sendiri jatuh, tetapi ianya menyebabkan orang menjadi muak dan benci dengan pemimpin Melayu dan Islam.

Jika Anwar sudah tidak berpengaruh, biarkan sahaja ianya ditolak oleh rakyat dalam PRU ke-13 nanti. Kenapa UMNO dan BN beria-ia nak PAS berpisah dengan PKR dan DAP? Biarkan sahaja rakyat yang tentukan sama ada nak undi BN semula atau memilih PR!

Sama ada rakyat memilih UMNO atau PAS, kerusi tersebut tetap ditangan kepimpinan Melayu. Sama ada PR atau BN, teras politik masih lagi ditangan orang Melayu. Sebab itu PAS telah lahirkan slogan terbarunya, “PAS Ganti UMNO” sesudah “PAS For All” diterima dengan baik oleh masyarakat. 

Artkile ini diterbit untuk akhbar Siasah          

Advertisements

Filed under: Siasah, , , , , , , , , ,

Tuah salam Cikgu Mala

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Memang sudah dijangka. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Presidennya, Dr Chua Soi Lek sudah memulakannya, lama sebelum diisytiharkan pilihan raya kecil di Tenang. Dalam suasana pemimpin Umno lain dilihat tidak senang duduk dengan Anwar Ibrahim dan asyik menyerang hebat KeADILan, Soi Lek memilih PAS sebagai sasaran utamanya.

Dengan nada “berlapek”, ahli politik yang pernah popular dengan penyebaran meluas video seksnya itu, seperti “mengangkat dan memuji” PAS, tetapi semuanya berhelah dan sarat dengan motif politik. Berulang kali Soi Lek menegaskan PAS akan menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat (dan bukannya KeADILan) serta mempunyai ahli yang berdisiplin serta struktur organisasi lebih kemas.

Tidak dinafikan kebenaran “sanjungan” Soi Lek, namun segalanya bertujuan bagi menjarakkan pengundi Cina dengan Pakatan, atas jangkaan masyarakat Tionghua mudah digertak dengan imej palsu PAS yang akan direka-reka nanti. Dan tanpa menunggu lama, rakyat dapat melihat, bukan sahaja Soi Lek, malah anak beliau, yang menggantikannya sebagai  Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, turut memperalatkan taktik kotor yang “mudah dibaca” itu, dengan melakukan fitnah dan pembohongan mengenai isu penjualan arak terhadap calon PAS di Tenang.

Begitulah, MCA — rakan karib Umno, yang mula membentuk Perikatan dan kini terus menjadi tunjang dalam Barisan Nasional — berfikiran dangkal dan cetek jangkauan politiknya. Mereka terus bermimpi bahawa pengundi Cina masih senang dikelirukan dengan tohmahan tidak berasas terhadap PAS. Sedangkan zaman pengundi dapat diadu-domba dengan “DAP yang pekat rasis Cina” dan “PAS yang fanatik dan ekstrim Islam” sudah pun berlalu.

Seolah-olah apabila dikaitkan PAS dengan agenda politik Islam, maka masyarakat Cina, tanpa berfikir panjang, secara automatik akan lari menjauhkan diri daripada parti Islam itu. “Politik label” yang ketinggalan zaman cuba dipakejkan dalam bentuk baru di Tenang tetapi majoriti rakyat Malaysia — bukan sahaja pengundi Tionghua — yang lebih bermaklumat terdedah dengan elemen politik baru, hanya mentertawakan golongan desparado itu.

Isu perkauman dan memperalatkan sentimen sempit agama, meskipun nampak masih berkesan untuk melakukan provokasi dan meraihkan sokongan, tetapi sebenarnya sedang perlahan-lahan meninggalkan pentas sejarah. Rakyat semakin terbuka dan bijak menilai. Generasi baru khususnya tidak lagi terikat dan terkongkong dengan bebanan masa lampau yang memetak-metakkan mereka atas nama kaum.

Pimpinan MCA yang cukup kecewa dengan prestasi terburuk parti itu dalam pilihan raya umum 2008, melihat Tenang sebagai peluang untuk bangkit semula, sekali gus dapat menyekat momentum luar biasa Pakatan  bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan dalam PRU13. Kesempatan itu dirasakan lebih signifikan apabila yang yang bertanding adalah calon PAS.

Walhal PAS telah melalui pelbagai fasa yang melonjakkannya sebagai parti yang paling terdedah dengan kepelbagaian dan keunikan pengalaman politik. PAS bukan lagi parti yang mudah disisihkan dengan dakwaan kosong yang “dikitar semula”, malah merupakan “pemain utama” yang semakin disegani kawan dan lawan. Kehadiran PAS dalam kompleksiti masyarakat majmuk dirasai keberkesanannya. Saya tidak fikir Soi Lek gagal untuk mengikuti perkembangan PAS itu.

Bermula “isu salam” calon PAS, Cikgu Normala Sudirman, ternyata MCA terjebak dengan perangkap sendiri. Umno pun turut terpalit apabila cuba untuk mengintai keuntungan politik jangka pendek daripadanya. Lagak Umno (baca kemunafikan) — tentu bersama Utusan Malaysia — yang seolah-olah mahu menjadi wira agama dalam beberapa kes di negeri-negeri Pakatan, terutama Selangor (Adun wanita DAP masuk surau dan kawasan masjid) dan Pulau Pinang (berdoa untuk bukan Islam dan perarakan Maulid), terserlah kejanggalannya.

Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin seperti sudah menerima tempias dan bahananya. Eksploitasi ketertiban Cikgu Mala menjaga adab Islam ketika bersalam diakui bakal menikam balik Umno-BN. 

Muhyiddin cepat-cepat mahu mengurangkan risiko politik apabila Umno diserang kerana gagal memberi kefahaman tentang hal-hal asas Islam kepada sekutunya, MCA. Beliau  tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana “ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan”. Tambahnya, “BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu.” Sedangkan peringatan yang sama disuarakan lebih lebih awal oleh pemimpin PAS sendiri. Pilihan raya adalah medan menguji isu-isu lebih serius, kritikal dan mendasar.

Ternyata PAS tidak keseorangan. Bukan sahaja tokoh-tokoh Islam seperti mufti dan NGO Muslim mempertahankan Cikgu Mala, malah rakan-rakan PAS dalam Pakatan turut memahami isu yang sengaja diputar-belitkan itu. Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo  menempelak tindakan Soi Lek yang membangkitkan isu bersalam, sekali gus mempertahankan tindakan Cikgu Mala yang bertindak menurut ajaran Islam. Lebih buruk, gelagat isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor pula yang terheret dalam pidato pemimpin Pakatan. Ia masih berlegar sekitar isu wanita, ‘kan?

Tinjauan Malaysiakini di bandar Labis Tengah dan Tenang Station mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon. Mereka lebih mementing prestasi kedua-dua calon. Malah ada yang berpendapat, mereka menyokong MCA di peringkat parlimen (Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat Dun (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan “semak dan imbang”.

Apa pun, bagi saya, pengalaman PAS berdepan serangan MCA ini cukup bermanfaat untuk ditekuninya menjelang PRU13 nanti. Kecenderungan pengundi Melayu di kawasan Felda dan negeri Johor umumnya juga menarik untuk diteliti.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 222,208 hits

ePaper

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories