Kalam Perantau

Icon

AKIM jadi KITA, Zaid Ibrahim jadi presiden

Oleh : Salhan K Ahmad

Datuk Zaid Ibrahim secara rasmi dilantik sebagai presiden baru parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hari ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu mengambil-alih jawatan barunya daripada Zakaria Salleh pada mesyuarat agung luar biasa pagi ini.

Mesyuarat itu juga bersetuju AKIM kini ditukar namanya kepada Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA). Perubahan itu turut membabitkan perubahan logo dan perlembagaan.

Jawatan lain dan perlembagaan baru parti itu akan diumumkan dalam satu lagi mesyuarat parti itu pada 19 Januari depan, kata Zaid dalam ucapan penangguhannya.

Zaid juga berkata nama baru parti itu – Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) akan didaftarkan dan lambang serta matlamat parti berkenaan juga akan didedahkan pada tarikh tersebut.

Tambahnya, parti itu akan mengambil peranan sebagai parti nasional dengan keahlian berbilang kaum.

Selain beliau sebagai ketua, parti itu juga hanya akan mempunyai seorang pengerusi dan satu jawatankuasa pusat.

KITA juga hanya akan mempunyai satu cawangan di setiap negeri, kata Zaid lagi.

Dalam mesyuarat yang dihadiri seramai kira-kira 150 orang perwakilan itu, beliau turut memberi jaminan bahawa KITA akan menjadi parti yang berpengaruh dalam masa yang singkat.

Advertisements

Filed under: News, , , ,

PKR Sahkan Pengunduran Zaid Berkuat Kuasa Serta-Merta

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan permohonan keluar parti Datuk Zaid Ibrahim berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Biro Politik partiyang bermesyuarat pada Ahad bersetuju agar pengunduran Zaid disegerakan tanpa menunggu tarikh 16 Disember seperti yang dikehendaki bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu sebelum ini.

Beliau menyifatkan keputusan berkenaan tidak dianggap ‘memecat’ dari parti sebaliknya sekadar ‘menunaikan hasrat’ Zaid yang mahumeninggalkan PKR.

“Ibu Pejabat parti menerima surat Datuk Zaid pada 19 November pada pukul 10.30 pagi, jadi Biro Politik mengambil keputusan untuk tunaikan dengan segera hasrat beliau itu.

“Kita bukan pecat kerana beliau hantar surat… sekadar nak mudahkanDatuk Zaid untuk aturkan langkah yang seterusnya,” katanya pada sidangmedia di sini, Isnin.

Jumaat lalu Zaid secara rasmi mengumumkan pengundurannya daripada PKRberkuat-kuasa pada 16 Disember namun menafikan tarikh berkenaanmempunyai siknifikasi tertentu.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah parti baru danbertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Filed under: News, , ,

Yang Terbaik Untuk Zaid

Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)

MINGGU lalu penulis telah bertanya, bagaimakah kerjaya politik Datuk Mohd Zaid Ibrahim akan berakhir dalam PKR. Hari ini kita semua sudah memperolehi jawapannya – beliau mengisytiharkan keluar dari parti tersebut.

Langkah paling logika yang akan diambil oleh tokoh politik paling kontroversi tahun ini adalah untuk menubuhkan sebuah parti baru.

Hasrat untuk menubuhkan parti baru ini pun telah siang-siang lagi diumumkan oleh Zaid iaitu ketika beliau mengadakan roadshow di Kedah, Khamis lalu untuk menjelaskan kepada ahli-ahli PKR mengapa beliau bertindak menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Kini segala-galanya bergantung kepada Pendaftar Pertubuhan. Secepat manakah proses pendaftaran parti politik baru yang akan diketuai oleh Zaid Ibrahim akan diluluskan.

Yang Terbaik Untuk Zaid

Semalam (Ahad), penulis membuat andaian di dalam kolum penulis di Mingguan Mstar bahawa apabila Zaid mengumumkan untuk menubuh parti baru yang akan dinamakan Keadilan Baru seandainya dipecat, ternyata itulah yang sedang dialu-alukannya. Ternyata andaian penulis silap.

Beliau tidak menunggu untuk dipecat sebaliknya beliau mengumumkan keluar dari Keadilan. Namun itulah yang disyorkan oleh penulis kepada Zaid semalam. Jalan keluar terbaik untuk Zaid adalah untuk dia meninggalkan parti itu dan tubuh partinya sendiri. Itu lebih baik dan itu lebih sesuai untuk orang yang berperwatakan sepertimana Zaid Ibrahim ini.

Ini kerana dia masuk parti orang yang dah bersarang dan bertapak lama dan cuba merubah parti itu ikut acuan dan cara pemikirannya. Anwar, Wan Azizah dan Azmin adalah PKR dan PKR adalah mereka. Mereka orang lama yang dah berjuang dan bercalar balar berperang ketika zaman reformasi dan zaman jatuh bangun PKR dulu tiba-tiba nak disuruh berhenti oleh Zaid. Mana ada jalan.

Paling senang buka parti baru sebagaimana yang dia sendiri tengah pertimbangkan itu. Penulis percaya, Pendaftar Pertubuhan boleh dengan segera mempermudahkan permohonan Zaid sekiranya dia membuat permohonan. Sehubungan dengan itu juga, Zaid boleh menggariskan piagam dan halatuju parti baru yang diterajuinya itu mengikut acuan dan kepercayaannya selama ini.

Angka Yang Mengugat

Bila berbuat demikian, dia tidak perlu lagi nak kena rujuk kepada pucuk pimpinan atau orang atas kerana dia yang paling atas. Pada masa yang sama, semua 3,988 penyokong Zaid yang sehingga dia menarik diri daripada bertanding telah memberi undi dan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya boleh beramai-ramai keluar PKR dan sertai Keadilan Baru.

Jumlah itu pun dah cukup ramai dan ini belum termasuk lagi ahli di cabang-cabang lain yang belum sempat mengundi Zaid. Dengan jumlah undi asas 3,988 yang diterimanya, penulis berani membuat kesimpulan, jika hari ini Zaid mengisytiharkan tubuh parti baru, paling minima pun, tidak kurang daripada 6,000 orang anggota Keadilan yang akan keluar untuk turut serta bersamanya.

Itu kita cuma ambil angka konservatif belum termasuk lagi bukan ahli Keadilan yang menyokong cara politik Zaid yang serba berani ini. Campur sana campur sini, “satu Malaya” termasuk Sabah dan Sarawak, senang-senang Zaid boleh kumpul antara 10,000 hingga 15,000 ahli baru dalam tempoh satu minggu sahaja.

Ini adalah satu angka yang mengugat PKR sebenarnya. Maka tidak hairanlah “musuh politik” Zaid paling utama, Azmin Ali dengan segera pada hari Jumaat cuba “memujuk” Zaid agar tidak terburu-buru dalam langkahnya untuk menubuhkan parti baru. Azmin menasihati Zaid agar terus berjuang dalam PKR walaupun terdapat perbezaan pendapat dan cara berpolitik. Azmin lantas mengingatkan Zaid ketika dia menyertai PKR dahulu, ia adalah atas semangat bersama untuk meneruskan agenda melakukan perubahan dan reformasi.

Malangnya, Zaid tidak lagi berkongsi semangat dan citarasa yang sama kerana baginya, yang tidak sama ialah mereka bukan dia. Maka sebab itulah dia sedang ‘mengamuk’ sekarang

Filed under: News, , , , ,

Zaid: ‘Saya tidak sertai PAS, susah parti besar-besar ini’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

PETALING JAYA, 19 Nov — Datuk Zaid Ibrahim hari ini menjelaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk PAS sebaik sahaja keluar secara rasmi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) 16 Disember ini.

Sebaliknya, bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu berkata, adalah lebih baik jika menubuhkan parti baru daripada menyertai PAS.

“Saya tidak akan masuk PAS, susah parti besar-besar ini.

“Lebih baik saya sendiri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas sidang media di rumahnya di sini pagi ini.

Terlebih dahulu ketika sidang media itu, Zaid berkata beliau akan meninggalkan PKR berkuat kuasa 16 Disember ini.

Beliau turut mengesahkan kemungkinan akan menubuhkan parti baru berkata beliau “sudah pasti” akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Namun menurut Zaid, parti baru itu hanya akan ditubuhkan sekiranya mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong beliau.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sama ada parti Islam itu akan menerima Zaid sebagai ahli PAS bergantung kepada keputusan yang dibuat Zaid hari ini.

“Lagipun beliau tidak minta (masuk PAS), macam mana kita nak tahu.

“Kita tunggu sahajalah apa keputusan beliau nanti, tunggu kata putus daripada beliau dulu,” kata Had yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS walaupun berhadapan dengan hubungan “dingin” dengan Zaid sebelum ini tetapi menyokong dan berkempen untuk beliau ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Terdahulu kata Zaid, beliau menyertai PKR kerana mempercayai wadah perjuangan reformasi yang tulen yang diamalkan parti itu.

“Saya memasuki parti ini dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anak saya kerana saya mahu parti ini menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam.

“Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan karenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah satu perjuangan yang palsu,” katanya.

Menurut Zaid adalah wajar baginya meninggalkan PKR apabila beliau tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggapnya sebagai pengkhianat.

“Saya bukan penakut dan saya juga bukan kaki merajuk. Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat.

“Saya juga amat menghargai sokongan kuat yang telah diberikan oleh kawan-kawan dan ahli parti kepada saya selama ini.

“Ingin saya tegaskan bahawa karier politik saya adalah sesuatu yang kecil sahaja, (tapi) yang paling penting kepada kita ialah politik kotor dan penipuan yang mesti kita tentang walau dari mana ia datang,” katanya.

Filed under: News, , , ,

Zaid keluar PKR kuat kuasa 16 Dis, tanding PRU-13

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
 
PETALING JAYA, 19 Nov — Datuk Zaid Ibrahim akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa 16 Disember ini dan surat pemakluman mengenainya telah dihantar kepada ibu pejabat parti itu hari ini.

Zaid yang turut mengesahkan akan menubuhkan parti baru berkata, beliau “sudah pasti” akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan tahun depan.

Zaid pernah menang kerusi Parlimen Kota Baru pada pilihan raya umum 2004 ketika masih di Umno dan bertanding  pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu atas tiket PKR tetapi tewas.

Pada sidang media di rumahnya di sini hari ini, Zaid yang kelihatan terus membidas PKR dan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengambil keputusan itu ekoran perasaan kecewa terhadap parti itu dan kepimpinannya selain hasrat mahu menjana pembaharuan politik yang sebenar di negara ini.

Ketika ditanya signifikan tarikh 16 Disember yang dipilihnya, Zaid dengan ketawa besar berkata, Anwar sendiri memilih 16 September (2008) untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

Pelan 16 September itu tidak menjadi kenyataan.

“Mengapa 16 Disember? Kalau Anwar gemar 16 September, maka saya pula suka 16 Disember.

“Sekurang-kurangnya saya tidak seperti beliau, mendakwa ada cukup Ahli Parlimen akan menyertai PKR. Bagi saya, saya hanya mengumumkan saya akan keluar PKR,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakannya mahu keluar PKR dan kemungkinan menubuhkan parti baru tidak bermakna akan memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat.

“Saya mahu semua menjadi kawan saya.

“Sama ada Pakatan Rakyat terjejas atau tidak, kena tanya PAS dan DAP,” kata Zaid.

Bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu juga memberitahu, keputusan untuk menubuhkan parti baru itu akan dibentuk sekiranya mendapat sokongan daripada penyokongnya.

 “Saya kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kalau ada sokongan daripada penyokong saya akan tubuhkan parti baru tapi apa-apa pun kita tunggu reaksi daripada penyokong dulu,” katanya.

Menurut Zaid, parti baru yang akan ditubuhkan itu akan berdasarkan prinsip prinsip yang adil, demokratik dan memperjuangkan isu-isu penting.

“Perjuangan parti baru ini berasaskan perjuangan yang betul, sebuah parti yang demokratik dan berteraskan isu-isu penting.

“Kalau nak tahu dengan lanjut tentang parti baru ini, kita kena tunggu ia ditubuhkan dulu,” kata bekas pemimpin ini yang menyertai PKR pertengahan tahun lalu, beberapa bulan selepas dipecat oleh Umno.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sekiranya sehingga pilihan raya masih belum ditubuhkan parti baru beliau akan bertandung sebagai calon Bebas.

“Soal di mana saya nak bertanding, itu saya masih belum tahu. Tapi saya memang akan bertanding.

“Sekiranya dalam tempoh itu belum ada parti baru, walaupun sukar untuk gagal, maka terpaksalah saya bertanding sebagai calon Bebas.

“Tapi kalau nak bertanding lebih elok jika berada di bawah satu label (parti), selain itu kita juga akan ada penyokong,” katanya.

Tambah Zaid, rakyat di negara ini dapat membuat keputusan bijak dalam pilihan raya akan datang.

“Saya tidak boleh nak anggarkan berapa ramai penyokong saya, nanti jadi macam PKR dan Umno pula.

“Tapi saya percaya rakyat cukup bijak untuk membuat keputusan, kalau mereka masih mahu berada dalam penipuan dan bermimpi mereka boleh bersama Anwar tapi mereka mungkin juga boleh memilih untuk bersama saya.

“Saya bukan Anwar yang anggap diri sebagai pemimpin alaf 21 dan saya juga bukan penceramah terbaik macam Anwar.

“Saya percaya masih ada penyokong yang mempercayai perjuangan saya. Saya meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat untuk memahami bahawa kita mesti berpegang teguh kepada prinsip dasar yang ikhlas walau dalam apa jua situasi,” katanya.

Terlebih dahulu ketika mengumumkan keluar PKR, Zaid berkata tindakan tersebut disebabkan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan pemimpin kanan parti berhubung dengan pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang.

“Ini berikutan episod pemilihan parti di mana saya telah dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti seperti Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR) tuduh saya berniat jahat, kononnya saya telah merancang untuk menubuhkan parti baru.

“Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Azmin Ali (Naib Presiden PKR) pun sama bercakap tentang niat jahat saya untuk menggugat kepimpinan parti.

“Anwar pula menggelar saya sebagai ‘Trojan Horse’ dan ‘Sore Loser’, fitnah dan putar belit ini memaksa saya untuk keluar dari parti ini. Saya rasa hari ini mereka gembira,” katanya.

Zaid, salah seorang calon jawatan timbalan presiden PKR menarik diri daripada saingan minggu lalu atas alasan kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan dan awal minggu ini mengumumkan akan keluar PKR

Filed under: News, , , , , , ,

Masuk PAS?: Kita tunggu dulu keputusan Zaid, kata Hadi

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua pihak supaya menghentikan spekulasi yang membabitkan Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan akan keluar parti itu.

Zaid yang sebelum ini membatalkan sidang media menjadualkan semula sesi bertemu pemberita di rumahnya di Petaling Jaya, pagi esok. Malah ketika dihubungi The Malaysian Insider, Hadi berkata, Zaid sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan secara rasmi sama ada akan keluar PKR ataupun tidak.

“Beliau (Zaid) belum buat keputusan untuk keluar PKR atau tidak. Jadi kita tidak tahu apa yang akan beliau lakukan.

“Saya tidak suka kalau bercakap soal kalau sahaja, kita tunggu sahaja apa keputusan yang akan dibuat Zaid nanti,” katanya.

Ketika ditanya sama ada PAS akan menerima Zaid sebagai ahli PAS, Hadi bagaimanapun berkata “kita perlu tunggu sahaja keputusan Zaid nanti.

“Lagipun beliau tidak minta (masuk PAS), macam mana kita nak tahu.

“Kita tunggu sahajalah apa keputusan beliau nanti, tunggu kata putus daripada beliau dulu,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS walaupun berhadapan dengan hubungan ‘dingin’ dengan Zaid sebelum ini tetapi menyokong dan berkempen untuk beliau ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kelmarin, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa menafikan laporan yang memetiknya sebagai berkata parti itu akan menerima Zaid, bekas Pengerusi PKR sebagai anggotanya.

Husam berkata laporan Bernama yang memetik beliau berkata demikian adalah tidak tepat. Zaid sebelum ini mengesahkan akan meninggalkan PKR tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti itu.

Beliau mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang. Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada 8 November lepas mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding selain melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Malah Zaid meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.
Hari ini, Anwar berkata, Zaid bebas untuk meninggalkan PKR jika mahu sambil menegaskan bahawa partinya telah memberikan ruang secukupnya termasuk memilihnya sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu. Kata Anwar, PKR telah memberikan banyak peluang dan layanan khas kepada bekas menteri Kabinet dan bekas pemimpin Umno itu.

Zaid juga disebut-sebut akan menubuhkan parti barunya bagi meneruskan perjuangan politik beliau.

Filed under: News, , , , , ,

Tiada Halangan Jika Zaid Mahu Sertai PAS – Salahuddin

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA: PAS tiada halangan jika bekas Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mahu menyertai parti itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jika benar keputusan itu, ia seharusnya dihormati kerana dalam demokrasi mana-mana individu berhak untuk menyertai mana-mana parti.

“Bagaimanapun, sama ada diterima atau tidak beliau dalam parti bergantung kepada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat.

“Jika Zaid mahu, beliau boleh mohon. PAS mengambil sikap terbuka maka siapa-siapa pun boleh memohon.

“Namun keputusan melibatkan semua dalam PAS dan perkara itu perlu diperbincangkan terlebih dahulu sebelum diputuskan lebih jelas dalam mesyuarat,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Salahuddin berkata, banyak faktor dan pertimbangan perlu dilakukan melalui mesyuarat jawatankuasa kerana Zaid dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Zaid daripada PKR, sebelum itu daripada Umno. Banyak masalah dan kontroversi yang berlaku. Jadi pertimbangan sewajarnya perlu diutamakan.

“Jika dia mahu sertai PAS, itu hak dia. Tak ada masalah. Cuma sama ada lulus atau tidak untuk kita terima dia, itu belum pasti,” katanya.

Dalam pada itu, Umno pula tidak akan menerima bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut untuk menyertai semula dalam parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini berkata Umno telah ‘membuang’ Zaid maka tidak perlu diambil semula.

“Dia juga akan bagi masalah. Kita tidak suka orang yang beri masalah,” katanya.

Zaid pada 8 November lalu menarik diri daripada merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatannya dalam parti.

Keputusan itu ekoran dakwaannya bahawa terdapat penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Bekas Ketua PKR Wilayah Persekutuan itu turut berkemungkinan akan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada parti sebelum mengumumkan keluar parti.

Filed under: News, , , , , , ,

Selamat jalan Zaid…

Oleh : Abdul Rahim Sabri
 
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu akan terus bergerak ke hadapan walaupun tanpa penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan akan keluar daripada parti.

 
Saifuddin berkata, keadaan ini terbukti melalui sokongan rakyat terhadap parti itu dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini.

Katanya, pada tahun 1999, parti itu mendapat 789 ribu undi, manakala 2004 memperolehi lebih 400 ribu undi, sementara pada 2008, PKR mendapat 1.5 juta undi.

“(Oleh itu) tanpa atau dengan Datuk Zaid Ibrahim, rekod kita itu menceritakan tentang keindahan parti (ini)…Sila daftar (menjadi) ahli parti kami,” kata Saifuddin yang disambut dengan ketawa kecil kira-kira 20 pemberita.

Bercakap kepada pemberita selepas sidang medianya di ibu pejabat parti di Petaling Jaya petang ini, Saifuddin berkata, tindakan Zaid untuk berundur daripada PKR juga tidak akan memberikan impak negatif kepada parti itu.

 
“Anggota akan terus berjuang dengan PKR. Saya ucapkan selamat berjaya (kepada Zaid).

“Untuk parti, kita akan terus mara ke hadapan,” katanya dan menambah, beliau belum menerima surat rasmi daripada Zaid yang mengumumkan niat untuk berundur daripada parti itu pagi ini.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai penubuhan sebuah “parti Keadilan baru” oleh Zaid, Saifuddin menyifatkan tindakan itu sebagai satu perkembangan baik kepada politik negara.

“Ia meriah. Tetapi yang saya tahu, sudah ada parti politik baru dah ditubuhkan dan telah pun ada pemilihan untuk jawatan dalam parti itu…

“Tetapi saya tidak mahu mendedahkan parti apakah itu dan saya dapat tahu bahawa Zaid telah pun meletakkan orang-orangnya dalam parti baru itu,” dakwanya seperti dilaporkan Bernama.

Zaid yang juga bekas menteri kabinat menyertai PKR pada Jun tahun lalu selepas meninggalkan parti Umno

Filed under: News, , , , ,

Saya Akan Keluar Parti – Zaid

Oleh SIRA HABIBU

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim telah memutuskan untuk keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana beliau sudah tidak tahan lagi dengan apa yang berlaku dalam parti itu.

“Saya tahu ramai yang menghitung hari saya dalam parti kerana ada pemimpin yang sengaja membuat serangan peribadi terhadap saya.

“Saya keluar parti kerana ingin memisahkan diri saya daripada penipu-penipu ini. Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menyebarkan fitnah tanpa rasa bersalah dengan syarat matlamat mereka tercapai,” katanya kepada The Star.

Zaid yang menyertai PKR pada Jun 2009 selepas dipecat daripada Umno berkata beliau ingin berehat seketika untuk ‘melepaskan diri daripada semua perhatian.’

“Saya tidak pernah marah kepada parti, saya cuma benci dengan pemimpin-pemimpin yang gila kuasa dalam parti,” katanya.

Bekas menteri Kabinet itu menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presdein PKR minggu lalu, kerana beliau mendakwa, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dalam pemilihan PKR dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Lebih mengejutkan apabila beliau turut menasihatkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti kerana PKR tidak dapat melaksanakan agenda pembaharuannya selagi Anwar mengutamakan calon timbalan presiden, Azmin Ali untuk berkuasa dalam parti.

Zaid berkata beliau telah dikritik hanya kerana dia meminta satu pilihan raya parti yang bersih dan bebas.

Katanya sejak dari awal proses pengundian apabila beliau mendahului dalam perebutan jawatan nombor dua dalam parti dia telah menggesa pemimpin-pemimpin parti supaya melihat secara serius masalah ketaksekataan dalam proses pengundian.

“Bagaimana mereka secara terang-terangan boleh berbohong dengan mendakwa saya hanya membuat bunyi bising selepas lawan saya (Azmin) mendahului pada hari ketiga pengundian?” soal beliau.

“Mereka gelar saya seorang pengacau. Saya kata kuda Trojan yang akan memusnahkan parti. Mereka juga tuduh saya ejen Umno yang cuba memusnahkan parti dari dalam.

“Saya tidak boleh terima semua penipuan ini. Mereka (pemimpin PKR) tidak boleh menerima kritikan. Mereka menyerang orang yang bercakap benar daripada meneliti aduan-aduan yang diterima,” tambahnya.

Menurut pemerhati politik, Zaid akan keluar daripada PKR dan menubuhkan partinya sendiri.

Filed under: News, , ,

‘Sudah sampai masa akui kita ini lemah’

DATUK Zaid Ibrahim mengadakan sidang akhbar di rumahnya semalam bagi menjelaskan mengenai tindakannya menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan jawatannya dalam parti. Berikut adalah sedutan sidang akhbar itu:

ZAID: Soal pemilihan kita telah timbulkan, bukan baru. Jadi, tak betul Anwar kata saya timbulkan sebab kalah di Sabah. Saya timbulkan ini sebelum saya nak bertanding.

Saya telah tulis surat dan minta penjelasan tertentu. Kita memerlukan pemilihan yang bersih kerana bukan hanya saya sahaja bertanding, ratusan calon yang bertanding.

Ini bukan agenda peribadi, jadi saya timbulkan ini sebelum buat keputusan. Kemudian timbulkan lagi semasa hari pertama pemilihan, pada masa itu saya mendahului.

Saya cakap jangan salah guna sistem, jangan buat penipuan. Tentang bukti, kalau dia tidak dapat bukti itu dalam tempoh dua bulan ini.

Semua orang tahu, dia sudah hilang sentuhan dengan parti, jadi saya rasa, kita telah banyak kemukakan bukti ini.
Undi lebih daripada ahli yang hadir. Orang tak hadir pun tandatangan dia ada. Ada kenyataan, yang datang mengundi bukan ahli tapi guna kad orang lain. Ada video orang tawarkan duit di Alor Gajah.

Saya mahu katakan begini, masalah yang kita hadapi sekarang dalam pemilihan PKR adalah manifestasi kelemahan Anwar itu sendiri.

Kita perlu terima hakikat dan ini bukan masa untuk nafi dan berdolak-dalik.
Jika anda nak membetulkan negara ini kita mesti jujur. Saya minta maaf, masalah ini saya terpaksa dedahkan kepada masyarakat.

Semua ini mendedahkan kita lemah, hakikatnya ialah cuma 6,000 ahli sahaja yang keluar mengundi, kita gagal. Saya mahu ubah kerana saya fikir PKR mampu bertindak lebih baik.

Kita tidak boleh ada pemimpin yang lemah yang hanya sentiasa menyalahkan pihak lain. 16 September, kita salahkan BN (Barisan Nasional)… hilang negeri Perak, kita salahkan BN… MP (ahli Parlimen) tinggalkan parti, kita salahkan BN.
Sudah sampai masa kita akui yang kita ini lemah, kerana kita membawa beban yang besar iaitu kepercayaan rakyat. Untuk PKR menjadi lebih baik, perlu ada kepimpinan baru, itu tidak semestinya saya. Ia akan memberi kekuatan baru, fokus baru. Sekurang-kurangnya siapa yang sanggup terima kelemahan ini dan mengatasinya.

Bukan kita tidak hargai sumbangan Anwar, kita hargai semua, tapi masa sudah berubah dan masalah sekarang juga berbeza.

Saya cadang jika PKR mahu terus maju, Anwar dan Azmin (Ali) mesti keluar kerana mereka adalah punca kepada segala masalah.

Saya mungkin tidak mendapat sokongan. Mungkin juga saya akan mendapat sokongan dan mungkin juga akan ada dakwaan saya buat semua ini untuk kepentingan diri sendiri.

Tapi kita tengoklah. Tetapi saya juga telah ke bawah dan ingin melihat kejayaan parti pembangkang yang kuat, nak tengok pakatan pembangkang yang kuat dan kerajaan akan jadi lebih bertanggungjawab.

Itu polisi saya, saya tak buat ini untuk menunjuk. Ada orang kata, jika saya tak dapat jawatan ini saya tarik diri. Bukan, saya ada visi untuk politik negara ini menjadi lebih baik.

Saya lakukan ini semua dengan nilai kebertanggungjawaban dan kejujuran. Saya tidak kritik parti kerana tidak dapat apa yang dikejar. PKR perlukan penyelesaian radikal bagi mengatasi segala masalah yang timbul hari ini. Harap apa yang saya katakan ini dapat difahami.

SOALAN: Kalau parti tangguhkan pemilihan, nak berpatah balik?
ZAID: Tidak. Masalah parti lebih dalam daripada semua itu. Jadi, Azmin patut disingkirkan. Anda tidak boleh, kerana kantoi di cabang ini, buat pemilihan sekali lagi. Kantoi di Kubang Pasu, buat lagi. Kantoi di Libaran, buat pemilihan semula.

Saya tidak nampak pendekatan itu berkesan. Sesiapa yang menyalahgunakan sistem mesti disingkirkan.

Adakah Anwar sudah tidak relevan dengan PKR dan politik tanah air?

ZAID: Saya fikir Anwar terlalu banyak isu peribadi. Selesaikanlah isu peribadi dulu. Azmin banyak masalah juga, jadi kedua-duanya perlu berundur dan biarkan PKR dipimpin dengan cara yang berbeza.

Sedia untuk berjumpa dengan Anwar?
ZAID: Boleh. Tapi saya akan cakap benda yang sama seperti yang saya kata hari ini.

Masalah bukti yang Anwar minta, boleh tunjukkan kepada media?
ZAID: Saya tunjuk dekat media, buat apa? Saya tunjuk dekat Bersih lah. Saya yakin Anwar tahu semuanya. Tak perlu tunjuk bukti, ahli pun tahu, semua orang tahu, calon pun tahu. Apa nak buktikan? Tapi kalau nak buktikan, saya akan buktikan kepada pihak yang bebas. Nak buktikan dekat dia buat apa?

Selain video, apa bukti lain yang Datuk ada?
ZAID: Laporan-laporan yang kita terima itulah bukti. Kita bukan polis nak pergi siasat, cuma yang kita ada laporan daripada ahli. Serah kepada mereka. Kalau tak mencukupi terserahlah kepada ahli. Tapi yang tak puas hati bukan saya seorang, semua calon. Yang puas hati cuma Azmin seorang sahaja.

Takkan kita semua reka bukti-bukti. Anwar perlu terimalah banyak masalah dalam parti. Beliau kena berdepan dengan masalah itu.

Kalau Azmin disingkirkan, apa tindakan Datuk?
ZAID: Kita bergantung kepada ahli. Tindakan saya macam ini, kita perlu melakukan pembersihan dalam parti. Kita perlu orang yang baik dalam parti. Kita perlukan dasar yang kukuh.

Sejauh mana kesetiaan Datuk pada parti?
ZAID: Kesetiaan saya pada parti sentiasa ada, tidak tergugat. Cuma, ada beberapa pemimpin lemah, itu yang tidak suka pada saya. Itu sahaja.

Datuk menyesal masuk PKR dengan segala penyelewengan, duit pun sudah habis banyak?
ZAID: Tidak. Kalau saya tak masuk, mana saya tahu semua ini?

Anwar kempen untuk Azmin, macam mana?
ZAID: Itulah salah satu puncanya masalah ini. Apabila Ketua Umum sudah memihak… kempen, beritahu ketua cabang… rosaklah. Tetapi Azmin dan Anwar ini baik, terpaksalah kempen.

Ada kemungkinan Datuk akan bersama dengan Mustaffa selepas ini?
ZAID: Tidak tahu apa tindakan beliau selepas ini. Dia pun berlapik tadi.

P.S Janapala (bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR) dakwa secara terbuka Anwar bertanggungjawab atas segala penyelewengan?
ZAID: Saya tidak tahulah siapa di sebalik penipuan tetapi saya tahu ada penipuan. Mungkin Janapala ada bukti, tapi peliklah orang datang 50 orang undi 150 undi.

Datuk percaya Anwar terlibat?
ZAID: Saya tidak tahu. Saya peguam, saya perlu lihat pada bukti.

Ada kemungkinan calon lain akan mengikut jejak Datuk?
ZAID: Saya rasa begini. Mereka juga kecewa, semua calon yang bukan ‘line up’ Azmin kecewa. Tetapi apa yang mereka akan lakukan, saya tidak mahu buat spekulasi.

Notis rasmi?
ZAID: Tak apa, saya akan hantar surat kalau itu mereka mahu.

Isu di Libaran dan Sandakan?
ZAID: Benda-benda ajaib berlaku. Tong pengiraan undi berpindah randah, banyak yang tidak betul.

Filed under: News, , , , , , ,

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories