Kalam Perantau

Icon

Pasca PRU 14, Politik Perak masih tidak stabil

Mengikut kaji selidik “Mood Rakyat Malaysia Menjelang PRU-14” yang dilakukan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) menyimpulkan empat negeri Perak, Kedah, Pahang dan Melaka yang ketika itu ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) akan jatuh ke tangan pakatan pembangkang dalam PRU-14 seandainya semua parti itu, termasuk Pas bersatu.

Keputusannya, Pahang kekal kepada BN, tetapi Perak, Kedah dan melakan jatuh kepada PH. Tidak seperti Melaka yang mana majoriti PH begitu jelas, dimana PH 15, BN 13. Disebabkan Perak dan Kedah, tiada mana-mana pihak yang mendapat majoriti tetapi disebabkan kerajaan pusat dikuasai PH maka kedua dua kerajaan Perak dan Kedah berjaya dikuasai oleh PH walaupun keadaannya tidak berapa jelas memihak kepada parti mereka menyebabkan keadaan politik yang tidak stabil.

Di peringkat negeri Perak dan Kedah, PAS sebenarnya boleh jadi ‘king maker’ tetapi ianya tidak berlaku atas beberapa fakor. Selepas keputusan PRU ke-14 diumumkan, Pakatan Harapan menguasai 29 kerusi di Perak berbanding 27 BN, 3 PAS. Demikian juga di Kedah, PH hanya mendapat 18 kerusi, sedangkan PAS 15, BN 3 menyebabkan keadaan tiada majority yang jelas.

Tidak seperti Kedah, Nizar gagal dinobatkan semula sebagai MB di Perak

Dalam tulisan sebelum ini, saya mengulas scenario politik Kedah pasca PRU ke-14. Di Kedah bila Datuk Mukhriz Mahathir dipaksa turun dari kerusi Menteri Besar sebelum PRU ke-14 baru-baru ini, beliau nekad untuk merampas semula kerusi tersebut dengan membuat pakatan baru dengan pembangkang, Pakatan harapan. Akhirnya selepas PRU ke-14 beliau Berjaya kembali menjadi Menteri Besar kedah sekali lagi.

Saya memfokuskan tulisan kali ini kepada politik negeri Perak pula. Keadaan yang hampir sama juga berlaku diPerak. Nizar dguling dari kerusi Menteri Besar dalam keadaan yang amat memalukan oleh BN pada tahun 2009 setelah 11 bulan menjadi Menteri Besar.

Peristiwa pada tahun 2009 apabila 3 daripada ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat (PR) dari PKR dan DAP yang belot meninggalkan parti masing-masing, menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri. Menteri Besar PR Mohammad Nizar Jamaluddin meminta Sultan Perak membubarkan dewan undangan negeri dan mengadakan pilihan raya baharu tetapi ia tidak berlaku. Sebaliknya, BN, dengan sokongan dari 3 ADUN, membentuk kerajaan negeri baharu.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin digulingkan, nama Nizar sering disebut-sebut sebagai taruhan oleh Pakatan di Perak untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar jika mereka menguasai kerusi DUN di negeri tersebut.

Pada PRU14, PH yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah menguasai 29 daripada 59 kerusi DUN manakala BN menang 27 dan PAS tiga kerusi. Bila tiada majority mana-mana pihak di Perak, tumpuan pastinya tertumpu kepada keputusan Pas sebagai ‘kingmaker’ bukan sahaja menentukan pakatan parti mana yang akan disokong bagi menjayakan pembentukan kerajaan baharu, atau parti itu memilih untuk mengamalkan dasar berkecuali bagi menjaga integriti dan imej parti PAS itu sendiri.

Ketika keadaan rundingan membentuk kerajaan camporan kedua-dua pihak dengan PAS yang memiliki 3 kerusi yang diperlukan oleh kedua-dua pihak untuk mendapatkan majoriti, tetiba ada 2 orang ADUN Umno/BN dilaporkan bersedia memberikan sokongan yang diperlukan kepada PH untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Mandat yang diperolehi setelah dua pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) memilih untuk menyertai PH menyebabkan Pakatan Harapan (PH) Perak berjaya memperoleh majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).untuk mendapat mandat membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ini, beberapa nama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dikatakan calon utama jawatan Menteri Besar Perak sekiranya pengundi menyerahkan kembali negeri itu kepada pembangkang iaitu bekas Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin, Ketua Amanah Perak Asmuni Awi, Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu dan Ketua PKR Perak Dr Muhammad Nor Manuty.

Bila PH Perak berjaya dibentuk, Nizar ter’keluar’ dari keutamaanmenjadi Menteri Besar kerana tidak lagi menjadi Pengerusi Pakatan di Perak seperti semasa beliau dalam PAS sebelum ini. Walaupun beliau bukan Pesuruhjaya PAS Perak, tetapi diperingkat Pakatan Rakyat Perak beliau masih menjadi Pengerusi.

Kali ini, Pengerusi Pakatan Harapan Perak adalah Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu. Walaubahgaimanapun, Nizar dilantik salah seorang exco dalam kerajaan Negeri Perak yang baharu memegang Pelaburan dan Pembangunan Koridor) dimana Menteri Besar, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu memegang portfolio Kewangan, Keselamatan, Tanah, Badan Berkanun (GLC), Sumber Asli dan Perancangan Ekonomi)

Berikut adalah portfolio exco lain yang diumumkan dimana Haji Asmuni Bin Awi menjadi Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Paul Yong Choo Kiong adalah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Abdul Yunus Bin Jamhari adalah Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Dr Abdul Aziz Bin Bari adalah Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan, A Sivanesan adalah Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, Cik Wong May Ing adalah (Exco Pembangunan Sahsiah, Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Encik Tan Kar Hing adalah Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Encik Hasnul Zulkarnain Bin Abdul Munaim adalah Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi dan Encik Howard Lee Chuan How Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

Susunan exco kerajaan Perak kali ini nampaknya lebih baik daripada kerajaan Perak pimpinan Nizar pada 2008 dahulu yang jelas berwajah kecinaan yang tidak mencerminkan reality sebenar sebuah kerajaan yang seimbang menyebabkan orang Melayu/islam menjadi resah,.

Filed under: Kalam Perantau

Pasca PRU14, Mampukah PAS bangkit semula dalam politik Selangor?

Pada PRU ke-14 pada 9hb Mei, 2018 yang lepas Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti besar daripada Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 sebelum ini iaitu dengan mendapat 51 kerusi DUN (PKR 28, DAP 13, PAN 5, PPBM 5), manakala BN mendapat empat (4) dan PAS satu (1) kerusi.

Untuk rekod, dalam PRU13 yang lepas, Pakatan Rakyat ketika itu juga menang besar dengan majoriti lebih dua pertiga, iaitu 44 kerusi Dun (PKR, 14; PAS, 15; DAP, 15). Berbanding pilihan raya 2008, prestasi PAS melonjak hampir dua kali ganda dari 8 kerusi kepada 15, PKR kurang satu daripada 15 kepada 14 kerusi dan DAP menambah dua kerusi daripada 13 kepada 15 kerusi. Bagaimanapun atas persefahaman bersama tiga parti, wakil PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar sejak 2008 tetap dilantik Menteri Besar.

Keutuhan Pakatan Rakyat mula goyah apabila PKR mengambil langkah drastilk dengan rancangan “Langkah Kajang” pada 2014 bagi menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjadi punca perpecahan Pakatan Rakyat (PR).

Langkah Kajang berlaku apabila PKR memaksa pilihan raya kecil di DUN Kajang pada Mac 2014, dalam usaha menggantikan Khalid sebagai MB atas tindak tanduk yang dilihat tidak sehaluan dengan dasar parti PKR. TS Khalid akhirnya dipecat daripada PKR dan menjadikan 4 exco PAS sebagai tonggak kerajaan Selangor dengan beliau sebagai Menteri Besar bebas tanpa parti seketika sebelum akhirnya terpaksa meletakkan jawatan apabila 2 adun PAS melompat parti menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Rancangan asal adalah untuk meletakkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti MB, dengan mencalonkan beliau di DUN Kajang.

Rancangan itu bagaimanapun terbantut selepas sabitan Anwar di Mahkamah Rayuan dalam kes liwat membabitkan bekas pembantu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Isteri Anwar, yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kemudian dilantik menjadi calon untuk diangkat menggantikan Khalid.

Bagaimanapun, nama Wan Azizah ditolak istana Selangor walaupun beliau menang pada PRK Kajang. Sebaliknya, Azmin dengan sokongan PAS akhirnya dilantik menjadi Menteri Besar yang baharu menggantikan TS Khalid.

Sekali lagi Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 11 Mei lalu bagi penggal yang kedua dan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 19hb Jun, 2018 digantikan oleh Aminuddin Saari, sebahai Menteri Besar Baharu bagi membolehkan Azmin ‘berpindah’ posisi bagi menerajui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di peringkat kerajaan persekutuan yang baharu diwujudkan.

Kekalahan BN dan PAS Selangor sudah dijangka? 

Berbalik kepada situasi politik dalam negeri Selangor, dengan 51 kerusi Dun yang dimenangi Harapan jelas menunjukkan kecondongan sokongan rakyat negeri ini berbanding hanya empat (4) kerusi yang menjadi milik BN dan satu (1) kerusi untuk Pas.

BN yang hanya memenangi empat kerusi, masing-masing di Sungai Air Tawar, Sungai Burong, Hulu Bernam dan Sungai Panjang jelas menunjukkan begitu banyak kerja yang perlu dilakukan untuk kembali meraih sokongan rakyat.

Kegagalan kali ketiga untuk merampas Selangor menjelaskan pendekatan BN sebelum ini serba tidak kena, malah kali ini menerima kekalahan besar dan paling parah. Pada awalnya, peluang BN untuk kembali berkuasa jika berlaku pertandingan tiga penjuru agak terbuka. Tetapi keadaan berubah pada peringkat akhir, dimana ada jangkaan tidak mungkin Umno Selangor boleh memperoleh keputusan lebih baik daripada 12 kerusi yang dimenanginya pada 2013.

Dalam situasi imej Pas dilihat negatif pada kacamata masyarakat bukan Islam, kemungkinan untuk mempertahankan 15 kerusi berkenaan yang dimenangi pada PRU ke-13 juga dilihat sukar, jika mereka menarik balik sokongan.

Menurut analisis sebuah akhbar Cina, Oriental Daily, daripada 15 kerusi yang dimenangi Pas itu, lapan Dun atas sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Akhirnya PAS hanya berjaya mengekalkan kerusi Dun Sijangkang oleh Dr Yunus Hairi dengan majoriti 1677 undi menunjukkan rakyat lebih banyak bergantung kepada HARAPAN berbanding kebergantungan kepada Pas dalam pecahan sokongan rakyat di Selangor.

Dalam PRU1999, PAS sudah menunjukkan keupayaannya sebagai pembangkang utama di Selangor apabila menguasai empat kerusi Dun sahaja disamping manakala KeADILan dan DAP masing-masing satu kerusi. Adun Pas Sungai Burong, Dr Hasan Ali dilantik ketua pembangkang dan berjaya menggegarkan sidang Dewan Negeri dengan isu salahguna kuasa MB Dr Khir Toyo.

Sebelum PRU ke-14, PAS ada 13 kerusi (sebahagian daripada kerajaan) dan Umno pula ada 12 kerusi sebagai pembangkang dalam DUN Selangor. Sekarang ini kedua-duanya berganding bahu sebagai pembangkang di DUN Selangor.

Sejauh mana keupayaan 4 Adun BN dan 1 Adun PAS menjadi suara pembangkang di dalam sidang Dewan Undangan Negeri mampu bangkit dan mengimbangi suara dan polisi kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

Persoalannya sekarang mampukah PAS bangkit semula di Selangor dalam PRU ke-15 nanti setelah tewas dengan teruk dalam PRU ke14. Tekad yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim adalah ‘sepak mula’ untuk PAS pada PRU ke-14 yang lepas untuk satu membentuk gelombang besar-besaran perlu digerakkan kembali bagi memberi kekuatan besar ke arah pembentukan kerajaan baharu yang dipimpin oleh PAS bersama GAGASAN SEJAHTERA dalam PRU ke-15 nanti.

Filed under: Kalam Perantau

Menteri Besar PH Kedah terumbang ambing?

KEHANGATAN bahang Pilihan Raya Umum ke-14 masih belum reda di negeri Kedah apabila negeri tersebut gagal memberikan majoriti yang jelas kepada mana-mana pihak sama ada Pakatan Harapan (18 kerusi) yang dibenarkan membentuk kerajaan dan pembangkang juga mendapat 18 kerusi dimana PAS ada 15 kerusi dan Umno-BN pula ada 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir yang dilantik sebagai Menteri Besar telah menolak tawaran tidak rasmi yang diberi oleh PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Kedah sebelum ini.

Tanpa berlengah Mukhriz segera melantik seramai 10 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam istiadat yang berlangsung di Istana Anak Bukit.

Senarai portfolio Exco Kedah

Dato’ Seri Mukhriz Mahathir (Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli serta Majlis Tindakan Negeri), Dato’ Ir Amiruddin Hamzah (Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Syarikat Milik Kerajaan Negeri, Industri dan Pelaburan serta Agama), Dato’ Dr Ismail Salleh (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar), Tan Kok Yew (Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan), Ir Zamri Yusuf (Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga), Azman Nasrudin (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan serta Pembangunan Insan).

Mohd Asmirul Anuar Aris (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan serta Badan-badan Bukan Kerajaan, Ooi Tze Min (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar), Dr. Salmee Said†(Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Perdagangan Dalam Negeri), R. Summugam (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan serta Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi) dan Halimaton Shaadiah Saad (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajukan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan)

‘Pening’ fikir Speaker Dun Kedah

Kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah dianggap masih lagi terawang-awang memandangkan pakatan parti itu dan pembangkang masing-masing mempunyai 18 kerusi Dun.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, konflik lebih ketara bakal timbul pada pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menteri Besar, Mukhriz pula berharap kemelut perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diselesaikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang tanpa perlu campur tangan istana.

Jika tidak mencapai persetujuan dalam soal pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkemungkinan besar, negeri Kedah terpkasa melalui sekali lagi Pilihan Raya Negeri ekoran kega- galan kerajaan dan pembangkang gagal mencapai keputusan persetujuan bersama.

Menteri besar Kedah dalam nada “merayu” berharap agar Adun pembangkang Kedah meres- tui calon Speaker Dun yang dikemukakan kerajaan Kedah bagi mengelakkan krisis pentadbiran hingga membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sehubungan itu, Mukhriz berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua pembangkang membabitkan pelantikan Speaker kerana jawatan itu memainkan peranan penting sebagai pengundi penentu dalam meluluskan dasar kerajaan dalam sidang Dun.

“Isu ini sememangnya kritikal kerana ia membabitkan pemilihan Speaker kerana (Speaker) jadi undi penentu bagi kelulusan sesuatu rang undang-undang.

“Jika calon Speaker yang kita calonkan ditolak pembangkang, begitu juga sebaliknya, maka dalam keadaan terpaksa, kena buat Pilihan Raya Negeri.

Bagi Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi PRN bukan penyelesaian terbaik kemelut tersebut kerana kehangatan Pilihan Raya Umum (PRU) masih lagi terasa. Bagaimanapun katanya, PAS Kedah tetap bersedia bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri sekiranya tiada penyelesaian lain.

Kata beliau langkah penyelesaian dengan merujuk kepada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah. Tanpa persetujuan daripada pihak pembangkang, ianya akan mendatangkan ma- salah kepada PH terutamanya kepada rakyat serta pebagai lagi pihak yang terlibat.

“Pemimpin PH seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan rakyat yang meletak- kan kedudukan seimbang 50-50, tetapi apa yang diberi penekanan agar menerima cadangan Speaker Dun dari parti lain,” katanya ketika diminta mengulas lebih lanjut tentang hal ini.

Menurutnya juga PH Kedah seharusnya menilai sokongan rakyat terhadap pembangkang pada PRU lalu lebih 60 peratus berbanding kira-kira 35 peratus me- nyokong blok berkenaan.

“Mereka juga harus akur kepada kekuatan PAS yang mempunyai 15 kerusi di dalam Dun, kekurangan empat kerusi sahaja lagi untuk membolehkan mencapai majoriti mudah menubuh kerajaan.

PAS Kedah mahu supaya isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) diselesaikan di peringkat parti-parti politik terlibat dan tidak hanya diputuskan menerusi perbincangan antara Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang semata-mata.

Filed under: Kalam Perantau

PRN penyelesaian Kemelut Menteri Besar Perlis?


Oleh : Shuhaimi AL-Maniri

KEMELUT pelantikan Menteri Besar yang sudah berlarutan hampir sebulan lamanya, sehingga menyebabkan Perlis menjadi satu-satunya negeri masih belum melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negerinya itu, kini dilihat semakin kusut dan sukar untuk diselesaikan.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan adiknya Datuk Ismail Kassim yang juga ADUN Tambun Tulang sebagai calon Menteri Besar yang baharu selepas PRU ke-14 baru-baru ini.

Bagaimanapun, Raja Perlis  berkenan melantik Datuk Seri Azlan Man, ADUN Bintong sebagai Menteri Besar sekali lagi selepas kunjungan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri  Hishamuddin Hussin yang menjalankan tugas Presiden dan Timbalan Presiden.

Pada majlis istiadat perlantikannya pada 24hb Mei lepas, sembilan ADUN BN i bertindak memboikot majlis terbabit. Susulan itu, Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sidang satu sidang media di ibu Negara pada hari yang sama telah ‘memecat’ Azlan dari UMNO kerana dilihat membelakangkan keputusan BN negeri dengan menerima perlantikan itu.

Difahamkan kemudiannya, lapan ADUN BN berkenaan dipanggil mengadap Raja Perlis bagi membincangkan jalan penyelesaian berhubung kemelut perlantikan Menteri Besar. Pada pertemuan kali ini kelapan-lapan ADUN berkenaan turut mempersembahkan permohonan maaf kepada Raja Perlis berhubung tindakan mereka memboikot majlis istiadat perlantikan Azlan pada 24 Mei lalu.

Mereka ialah ADUN Beseri, Rozaini Rais; Tee Chai Aan (Titi Tinggi), Siti Berenee Yahya (Mata Ayer); Azizan Sulaiman (Santan); Asmaiza Ahmad (Chuping); Roziena Ahmad (Pauh); Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat) dan Hamizan Hassan (Kayang).

Bagaimanapun, ADUN Bintong yang juga Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar yang baharu oleh BN, tidak kelihatan ketika lapan ADUN berkenaan memasuki pekarangan Istana Arau pada 3hb Jun lepas.

Setakat ini tidak diketahui apa keputusannya. Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berharap kemelut Menteri Besar negeri yang berlarutan dapat diselesaikan segera.

Md Isa berkata, kemelut berpanjangan dilihat tidak mendatangkan manfaat kepada parti, malah menambahkan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

“Sudah-sudahlah… isu perlantikan Menteri Besar ini sudah terlalu panjang sehingga menimbulkan kegusaran pada rakyat negeri ini.

“Rakyat menilai atas apa yang berlaku, sepatutnya mereka (wakil rakyat) ketika ini sudah turun berjumpa rakyat yang memilih mereka bersempena bulan yang mulia ini.

“Janganlah kita biarkan mereka (rakyat) tertanya-tanya di mana wakil rakyat yang dipilih tidak turun padang bahkan Aidilfitri pun bakal menjelang,” katanya yang juga bekas Menteri Besar Perlis

“Sempena bulan mulia ini, saya berharap mereka (sembilan ADUN) berlembut hati dan akur dengan keputusan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Perlukah PRN diadakan?

Janganlah kita hampakan mandat yang sudah diberikan oleh rakyat. Sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah pasti peluang BN untuk memenangi semula Perlis dilihat tipis selepas apa yang berlaku,” kata beliau yang juga bekas Menteri Besar Perlis.

Beliau berpendapat isu perebutan jawatan itu tidak akan timbul sekiranya jawatan Pengerusi BN negeri diberikan kepada Menteri Besar negeri.

“Perlis adalah satu-satunya negeri di Malaysia ketika ini jawatan Menteri Besar dan Pengerusi BN negeri dipegang oleh dua individu yang berlainan.

“Ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia seakan dua nakhoda yang memimpin dalam satu kapal. Malah kita (Mubarak Perlis) dari dahulu lagi sudah menyuarakan kepada pusat supaya jawatan Pengerusi BN negeri diserahkan kepada Menteri Besar,” katanya.

Katanya, BN pusat seharusnya tegas dalam menentukan individu yang layak memegang jawatan Pengerusi BN negeri dan tidak mengambil ringan isu berkenaan.

Seorang lagi bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh dilaporkan media berkata, beliau melihat kemelut yang melanda Perlis ketika ini sebenarnya boleh diselesaikan melalui kompromi antara pihak terlibat.

“Saya Nampak di Perlis sekarang ada dua prinsip sokongan kuat, iaitu Raja Perlis dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis. Sementara BN Perlis dengan perlembagaan, iaitu Raja berpelembagaan”, katanya.

Menurut beliau, sekiranya kemelut perlantikan Menteri Besar masih belum selesai akibat pertembungan dua prinsip itu, PRN merupakan jalan penyelesaian muktamad dan terbaik demi menangani keadaan itu.

Sementara itu, PAS Perlis berharap PRN tidak berlaku dalam usaha mencari penyelesaian kemelut Menteri Besar sekarang ini kerana hanya menyusahkan rakyat, selain memerlukan belanja yang besar.

Namun Adun PAS Sanglang itu berkata, jika PRN tidak dapat dielakkan juga, PAS bersedia kembali bertanding.

Filed under: Kalam Perantau

[Kemaskini] Pelancongan: Terengganu Diiktiraf Destinasi Mesra Muslim

Kerajaan PAS Negeri Terengganu memberi jaminan untuk terus komited bagi menggiatkan perancangan dan pelaksanaan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Negeri Terengganu.

Terengganu sebenarnya banyak kapasiti pelancongan yang boleh dibangunkan untuk menjadi hab pelancongan yang terkemuka di dunia. Sektor pelancongan Terengganu sekali lagi mencatat kejayaan apabila diiktiraf sebagai ‘Destinasi Mesra Muslim’, selain Banda Acheh, Indonesia.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, “kalau diikutkan, Terengganu mempunyai tarikan pelancongan serba lengkap dengan jajaran pantai dan pulaunya yang tercantik, alam semula jadi yang memukau selain terkenal sebagai tapak penyebaran Islam.

Beliau berkata, “pengiktirafan Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC) yang mengujakan itu juga diharap dapat menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat dan negara Timur Tengah untuk berkunjung ke negeri ini.

“”Jadi pengiktirafan sebagai Destinasi Mesra Muslim ini diharap dapat menjadi alat untuk kita menarik perhatian pelancong Timur Tengah untuk datang ke Terengganu. Moga pengiktirafan ini, menjadi pemangkin untuk kerajaan negeri mencapai sasaran menjadikan negeri penyu ini sebagai Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa”, kata Menteri Besar ketika berucap dalam majlis berbuka puasa dengan ‘pemain-pemain’ sektor pelancongan di Pulau Duyong pada 24hb Mei, baru-baru ini.

Tingkatkan Sektor Pelancongan 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudyaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman pula berkata, kerajaan berusaha untuk melipatgandakan usaha mempromosi pelancongan domestik dan antarabangsa akan membawa kesan kepada ekonomi tempatan bagi memastikan sumbangan dari industri pelancongan dapat dimanfaatkan oleh rakyat dan usahawan tempatan dari segi penyediaan pelbagai peluang pekerjaan,

“Sebenarnya ramai tidak faham dalam bidang pelancongan juga, kita ada pertimbangan Islam dan sebagai kerajaan di bawah pentadbiran PAS sudah tentu kita mahu menitikberatkan pelaksanaan tema Islam itu dalam semua aspek.

Kerajaan Terengganu pimpinan PAS sedang menyiapkan pelan induk untuk menjadikan Terengganu hab pelancongan berciri Islamik debgab jaminan kerajaan negeri yang baharu tidak akan melakukan perubahan drastik terhadap apa-apa program pelancongan yang telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu malah ia akan ditambah baik.

Ketika ditanya pemberita, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri menolak tanggapan kemungkinan tema pelancongan Islamik itu akan menjejaskan kemasukan pelancong bukan Islam terutama dari negara Barat dan China, dengan berkata, “ia persepsi salah yang perlu diperbetulkan.

“Mungkin di awalnya ada sedikit rasa pelkik dan kurang selesa bagi pelancong bukan Islam, tetapi saya yakin apabila mereka faham mengenainya ia tidak akan menjadi masalah kerana tidak ada apa yang boleh menjejaskan mereka (pelancong bukan Islam),” katanya

“Sekarang ini kita lihat, negara menerima ramai pelancong Timur Tengah, bagaimanapun sebahagian besar mereka ini tidak datang ke Terengganu. Jika mereka mahu melihat kebudayaan masyarakat Melayu Islam, keindahan pantai, pulau-pulau kita yang menarik, Terengganu sepatutnya menjadi pilihan.” jelas beliau lagi

Filed under: Kalam Perantau

Mengenang Dua Sahabat baik Dr Ahmad Samsuri

Bila mendapat perkhabaran Ustaz Ismail Che Dagang (ICD) telah pergi selamanya pada Ahad 20hb Mei, 2018 baru-baru ini saya termanggu dan hilang kata-kata apabila mendapat perkhabaran menyedihkan seorang insan yang baik dan berjasa telah mengadap Ilahi lebih kurang waktu zuhur empat Ramadan ini.

Saya diberitahu beliau mula tidak sihat sebelum ceramah di Kuala Berang lagi tetapi beliau berkeras untuk pergi juga. Saya sempat ziarah beliau di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada petang Rabu, beberapa hari sebelum beliau meninggal.

Almarhum yang dikenali dengan panggilan ringkas ICD dikalangan teman2 alumni UKM merupakan seorang pendidik dan pendakwah yang tidak asing bukan sahaja di Negeri Terengganu bahkan di seluruh pelusuk negara.

Saya agak rapat dengan ICD ketika beliau yang menjadi guru menyambung pengajian peringkat ijazah di Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia pada akhir tahun 80’an dan awal 90’an. Saya juga kebetulan menyambung ijazah juga di Pusat Pengajian Kuantitatif (PPK) UKM ketika itu.

Kami menjadi rapat ketika kerana ketika beliau menjadi Amir Islam Penyelamat Ummah (IPU) dan saya pula entah macam mana diberikan peranan sebagai ‘Penasihat’ Jentera Pilihanraya IPU.

Bila PAS menang di Terengganu pada tahun 1999, beliau dilantik sebagai Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Sekali lagi beliau meminta saya membantu beliau di YPKT dengan mengetuai sebuah anak syarikat yang berasaskan IT milik penuh YPKT.

Beliau terpaksa melepaskan kerjaya sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan tanpa pencen kerana akur dengan arahan pimpinan parti untuk memikul tanggungjawab membantu Negeri Terengganu yang kekurangan tenaga pakar yang boleh diharapkan dan serasi dengan pimpinan negeri saat itu.

Sebaik sahaja kerajaan PAS tumbang di Terengganu pada 2004, saya berpengalaman mengikutinya ke Johor yang menjadi rutin bulanannya ketika itu untuk berdakwah di sana. Saya dapati sambutan rakan-rakan dan kenalan di Johor terhadap beliau memang amat mengkagumkan dan diluar jangkaan saya.

Kali ini beliau tidak sempat untuk melihat hasil kemenangan yang diraih sekali oleh PAS pada tahun 2018 setelah beliau dan rakan-rakan bertungkus lumus memenangkan PAS dalam pilihanraya umum ke-14.

Beliau pergi ketika kerajaan Terengganu baru ditubuhkan dan dipimpin oleh Dr Ahmad Samsuri (anak buahnya) semasa di UKM dahulu. Sebenarnya banyak catatan suka duka bersama dengan arwah kalau hendak dicatatkan. Cukuplah sekadar ini sedikit catatan di sini sebagai kenangan berjuang bersama dengan almarhum sejak dari zaman kampus.

Kehilangan Dr Khazani masih terasa

Lebih kurang pada tanggal yang sama setahun lalu, saya juga dikejutkan dengan pemergian mengejut sorang lagi sahabat baik saya, Dr Mohd Khazani Abdullah. Kami sama-sama terlibat mengasas dan membangunkan NGO Perantau Terengganu sebaik sahaja PAS kalah di Terengganu pada tahun 2004 dahulu sebagai sebuah badan perkumpulan anak-anak Terengganu di luar bumi Terengganu.

Dengan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004, kami yang pernah terlibat dengan kerajaan PAS di Terengganu (1999-2004) lebih serius membantu Tuan Guru Presiden membangunkan kembali kekuatan PAS, terutama di Terengganu bagi kembali ke Wisma Darul Iman.

Kenangan bersama Arwah di Sabah. Kami terserempak di Lapangan Terbang Sabah.

Arwah adalah salah seorang dari 5 orang yang menjadi pemegang amanah kepada Perantau sejak ditubuhkan pada 2004 bersama dengan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu sekarang. Dari awal hinggalah keakhir hayatnya, arwah memegang jawatan Timbalan Presiden Perantau.

Sebelum itu beliau juga menjadi pengasas dan memegang jawatan Timbalan Presiden Ilmuan, sebuah wadah yang menghimpunkan para cendekiawan yang mempunyai fikrah Islam tetapi melepaskan jawatan Timbalan Presiden setelah beberapa sesi kepimpinan Ilmuan selepas ditubuhkan.

Sumbangan besar arwah bukan sahaja kepada PAS Terengganu malah juga kepada PAS Pusat terutamanya selepas krisis kepimpinan pasca pemilihan pada 2015 dimana di mana idea Tuan Guru Presiden ini diterjemahkan di atas kertas oleh Dr Khazani dan menjadi pemikir utama untuk pengenalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Ini adalah satu usaha besar PAS mendekati pelbagai strata sosial masyarakat dengan merangka WINS 2051(Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051) serta melakar “road map” PAS ke arah kejayaan PRU ke-14.

Apa yang saya tidak boleh lupakan adalah arwah seorang yang pemurah dan sanggup berkorban wang ringgit bagi melihat apa yang dirancang Berjaya dilakukan, Kereta STAREX beliaulah menjadi ‘kenderaan rasmi’ kami perantau berulangalik ke Terengganu saban bulan menghadapi PRU ke12 dan ke13 dahulu. Malah beliau juga salah seorang yang banyak membiayai ‘dana kewangan’ perantau untuk bergerak

Terlalu banyak kenangan suka duka untuk dicatatkan di sini bersama dengan arwah dan Perantau berjuang untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan pemerintahan berasaskan Islam yang dipimpin oleh PAS di Terengganu. Tetapi saying arwah tidak sempat untuk melihat kejayaan yang dirangka dan dirntis sebelum ini bersama dengan PAS Terengganu

Satu yang terkesan dilubuk hati, ketika arwah Dr khazani meninggal, saya bersama Hj Nurkhuzaini Abdul Rahman (sekarang exco Keusahawan Terengganu), kami dalam perjalanan ke Air Kuning Perak untuk satu program Konvensyen IT di Perak dan ketika Ustaz Ismail Dagang meninggal, saya bersama Ustaz Ariffin Deraman (exco Pelancongan dan IT Terengganu) dalam perjalanan ke pejabat Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil mantan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan

Tidak dapat menahan sebak dengan pemergian arwah.

Marilah sama-sama kita sedekahkan Alfatihah kepada kedua-dua arwah dan lain pejuang yang telah mendahului kita semua dalam perjuangan ini.

Filed under: Kalam Perantau

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories