Kalam Perantau

Icon

PERANTAU Mendokong Tawaran Terengganu Maju Berkat Sejahtera Pada PRU Ke-14

 

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa bagi memberikan laluan kepada PRU ke-14. Pada pengamatan pengkaji politik, sama ada BN berjaya mengekalkan pemerintahan atau tidak selepas PRU ke-14, saya optimis Terengganu akan mendapat seorang Menteri Besar yang baharu yang lebih berwibawa bukan. hanya ‘gah’ dengan slogan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) tetapi apa yang ‘ditransformkan’ tidak dirasai dan  dipersoalkan rakyat.

Dalam kolum Kalam Perantau (Harakah bil: 2296; 10-12 November 2017) saya ada menulis, selepas PRU ke-14: Terengganu akan mendapat MB baharu? Apa yang berlaku di Terengganu? Cakap-cakap di Terengganu ketika ini, rakyat memerlukan Menteri Besar yang baharu yang dilihat berwibawa untuk mentadbir seluruh negeri bukan sekadar Seberang Takir sahaja.

Kedudukan Menteri Besar sekarang, Ahmad Razif Abdul Rahman kini dilihat goyah dan sukar untuk dikekalkan selepas PRU ke-14. Kini beliau hanya dilihat ‘proksi sementara’ Datuk Seri Najib Razak selepas Perdana Menteri berjaya ‘mereda’kan kemurkaan Sultan Terengganu. Pertanyaan yang popular sekarang, siapa akan menggantikan beliau?

Siapakah calon Menteri Besar yang dapat ‘membangunkan semula’ negeri Terengganu yang masih menjadi negeri yang mundur, walaupun hasil petroleum berbillion ringgit? Banyak isu pembangunan dan ekonomi yang perlu dirancang semula selepas ini oleh sebuah kerajaan yang baharu.

Pendapatan negeri Terengganu secara purata  sekitar RM 1.8 bilion setahun.    Mengikut rekod (Bajet Terengganu 2005 – 2017), hasil royalti minyak (dana khas) terkumpul sejak 2005 sehingga 2016 adalah RM 18 bilion dengan purata pendapatan tahunan royalty miyak RM 1.6 bilion.  Lain-lain pendapatan adalah dalam sekitar purata RM 200 juta setahun.

PAS Terengganu
Saya yang diminta menjadi ‘moderator’ kepada wacana ini yang bertemakan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ berasa sangat sedih dan merasa bimbang bila data-data yang ada menunjukkan bahawa rakyat negeri Terengganu terus diselimuti dengan pelbagai masalah dan bebanan samada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan mahupun lain-lain. 
Kali ini, saya nak beralih kepada ‘TAWARAN PAS MEMBAWA PENYELESAIAN KEMELUT KEMUNDURAN TERENGGANU’ yang dibincangkan dalam satu wacana yang diadakan bersama dengan ana-anak Terengganu diPerantauan pada 11hb November, 2017 bertempat di Bandar Baru Bangi, Selangor.
PAS Negeri Terengganu menawarkan pelan Induk Terengganu Sejahtera (PINTAS) dan 15 tawaran awal dari Manifesto PAS Terengganu bagi PRU 14 yang menggariskan halatuju dan agenda serta program yang akan dilaksanakan dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaannya, memangkin Terengganu yang Maju serta memperoleh Keberkatan dari Ilahi.
Sebahagian dari masalah pengangguran, kemiskinan, gejala social/jenayah, kesihatan, pendidikan dan lain-lain seperti yang  disenaraikan  di bawah;

Masalah
Fakta
1.Pengangguran
4.% atau 17500 rakyat Terengganu adalah penganggur ( data Asas Terengganu 2015) merupakan yang kedua tertinggi di Malaysia. 
2.Kemiskinan
Kemiskinan masih berada dalam kelompok tercorot di Malaysia  ( data perangkaan Malaysia daripada laman web rasmi EPU, JPM). 
3.Gejala Sosial/ Jenayah
Peningkatan kes jenayah juvana sebanyak 11.8% pada tahun 2014 berbanding tahun 2013.
kes jenayah melibatkan dadah meningkat sebanyak 9.2% pada tahun 2016 iaitu peningkatan sebanyak 1252 kes berbanding tahun 2015.(maklumat daripada PDRM).
4.Pendapatan per kapita/ Kuasa membeli
Pendapatan purata isi rumah kedua terendah di Malaysia iaitu RM 1,160 mengikut tahun 2014. ( data perangkaan Malaysia daripada laman web rasmi EPU, JPM). Jelas menunjukkan jurang pendapatan antara kerajaan negeri dan rakyat yang sangat tinggi dan amat ketara.
5.Ekonomi/ Pembangunan
Kadar pelaburan langsung antara yang terendah di Malaysia iaitu sebanyak RM 1.4 bilion pada tahun 2015 dan lebih rendah berbanding tahun 2014. (data daripada MIDA).
6.Kesihatan
Bilangan Hospital antara terendah di Malaysia iaitu sebanyak  9 buah ( 1400 katil) berbanding dengan negeri Sembilan yang lebih kurang  penduduk sama dengan negeri Terengganu mempunyai 16 buah ( 2067 katil). (data asas Malaysia)
7.Pendidikan
Kadar 11.6% dari pelajar sekolah rendah tidak meneruskan ke sekolah menengah. (data asas Terengganu)

15 TAWARAN AWAL PAS DALAM MEMBAWA PENYELESAIAN KEMELUTU KEMUNDURAN TERENGGANU

Dengan mengambil kira pengalaman dizalimi oleh kerajaan pusat di bawah pentadbiran UMNO yang pernah menarik royalti minyak yang merupakan 80% daripada hasil pendapatan kerajaan negeri ketika mentadbir Terengganu (2000-2004) dahulu.  PAS Terengganu mensasarkan pendapatan negeri secara tahunan sebanyak RM 1 bilion setahun (tanpa dana khas – royalty petroleum) hasil penambahbaikan sistem pengurusan dan mengoptimakan hasil bercukai dan hasil bukan bercukai serta Pendapatan terimaan bukan hasil.

Setelah menyedari rakyat Negeri Terengganu berada dalam keadaan terpinggir dari arus pembangunan perdana, dan rata-ratanya terus diselimuti oleh kekangan kehidupan. Permasalahan yang wujud seperti kadar pengangguran tertinggi dan purata pendapatan isi rumah terendah Di Malaysia, dilihat antara bukti kegagalan kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran UMNO/BN walaupun pendapatan perkapita negeri  adalah antara tertinggi (ketiga) di negara ini.
Dengan keadaan tersebut,  PAS negeri Terengganu Darul Iman menawarkan 15 Akujanji Manifesto kepada seluruh rakyat seperti disenaraikan di bawah:

  1. Mengembalikan Tanah rakyat anugerah kerajaan PAS yang dirampas oleh kerajaan Umbo/BN dengan terus BERI GERAN KEKAL
  2. LOT TAPAK RUMAH ATAU RUMAH KEDIAMAN Untuk Rakyat Berumur 21 TAHUN Keatas
  3. RAWATAN PERCUMA WAD KELAS 3 dihospital kerajaan
  4. Bantuan LESEN MOTOSIKAL RM 300.00
  5. KARNIVAL KAHWIN PERCUMA untuk pasangan pengantin
  6. Mewujudkan Semula INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI ISLAM MILIK NEGERI@GANTI KUSZA
  7. Menyediakan 20 RIBU PELUANG PEKERJAAN Dalam Tempoh 4 TAHUN
  8. Tabung PINJAMAN USAHAWAN RM 10 JUTA Setahun
  9. Pusat PEMULIHAN DADAH Secara Komprehensif
  10. Memberi Bekalan AIR PERCUMA BAGI 20 METER PADU PERTAMA Kepada Orang MISKIN dan Golongan Berpendapatan Rendah (GBR) sebanyak RM 50 JUTA Setahun
  11. KAD SEJAHTERA RM 500.00 Untuk Golongan Berpendapatan Rendah(GBR) Setiap Bulan.
  12. TABUNG PINJAMAN PERUMAHAN RAKYAT)
  13. CUTI BERGAJI 30 HARI Bagi Isteri Kematian Suami
  14. PUSAT NURSERY Disetiap Jabatan Kerajaan Negeri
  15. BANDAR BAHARU LESTARI Disetiap daerah

5 tawaran Tambahan 

Dengan sekitar 1,000 orang pada majlis konvensyen bagi membincangkan 15 tawaran awal manifesto tersebut dan maklum balas yang diberikan untuk diambil kira bagi keperluan dan kehendak rakyat Terengganu untuk ditawarkan pada pilihanraya umumm ke-14, PAS Terengganu pada Himpunan Harapan Rakyat (harap 3,8) baru-baru ini telah mengistiharkan 5 lagi tawaran kepada rakyat Terengganu menjadikan 20 kesemuanya setakat ini.

5 Tawaran tambahan manifesto PAS Terengganu adalah;

1. Menambahkan Sekolah Menengah Agama setiap Parlimen dan Sekolah Rendah Agama Setiap Dun serta Memberi geran tahunan kepada sekolah Agama Rakyat dan Pondok.

2. Mengecualikan cukai pintu rumah kediaman

3. Mengurniakan pencen rakyat RM50.00 sebulan bagi warga emas yang layak.

4. Menambah keluasan tanah rezab Melayu dari 118hektar kepada 1,000 hektar.

5. Mengadakan Tabung Biasiswa Pelajar untuk Anak Terengganu melanjutkan pengajian diperingkat Ijazah pertama.

20 tawaran dikemukakan oleh PAS Terengganu didokong oleh Perantau yang merupakan sebahagian dari rakyat Terengganu ibagi memulakan satu ‘manifesto rakyat’ untuk bersama meneroka perubahan menuju ke arah sebuah negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera selepas PRU ke-14 nanti.

 

Filed under: Harakah, harakahdaily

Pahang : BN kekal berkuasa?

benderapahang.png

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Gendang Pilihanraya umum ke14 (PRU14) sudah dipalu dan kian terasa. Ramai pemerhati politik juga membayangkan saingan tiga atau lebih penjuru akan berlaku di seluruh negara. Sama ada daripada pihak Barisan Nasional mahupun pembangkang, masing-masing yakin bentuk kerajaan selepas PRU ke14 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Senario politik PRU14 sedikit berbeza berbanding dengan dua PRU sebelum ini terutama di Semenanjong, dimana pembangkang berpecah kepada beberapa kelopok, terdiri dari blok Pakatan Harapan (Harapan), blok Gagasan Sejahtera (Gagasan) atau kerjasama blok kiri, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang akan bersaing dalam pilihanraya kali ini.

Pertarungan sengit di Pahang 

Kali ini, Kalam Perantau menyingkap perjalanan politik Pahang ketika ini berada di bawah kekuasaan BN, yang dipimpin oleh Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Menteri Besar Pahang. negeri yang terbesar di semenanjung itu menawarkan 42 kerusi Dun dan 14 kerusi parlimen.

Adnan seperti dilaporkan media dilaporkan berkata, “senarai lengkap cadangan calon termasuk daripada parti komponen BN untuk bertanding di 14 kerusi parlimen dan 42 kerusi Dun telah dihantar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak”.

Untuk rekod, BARISAN Nasional (BN) menguasai 30 daripada 42 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pahang. Di peringkat Parlimen pula BN menguasai 10 daripda 14 kerusi selepas Pilihan Raya Umum 2013.

Situasi ini menunjukkan BN Pahang dalam kedudukan yang selamat dan masih lagi dianggap sebagai benteng kekuatan BN. Pola perubahan dan pengurangan ini dijangka tidak mustahil akan berlaku jika pembangkang berjaya menggerakkan gelombang perubahan rakyat khusus di kawasan 27 buah kerusi di kawasan Felda.

BN juga ada kekuatan lain untuk mengimbanginya iaitu faktor Menteri Besar Adnan Yaakob sendiri. Namun hakikatnya, pembangkang sedikit demi sedikit berjaya menembusi kerusi BN di Pahang. Hal ini dapat dilihat daripada 37 kerusi BN pada 2008 kini kerusi BN cuma tinggal 30 sahaja pada 2013.

Pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, pembangkang berdepan laluan sukar untuk menguasai Pahang dan akan kekal di tangan BN.

“Tiada isu besar yang boleh gugat BN di Pahang, manakala hasrat pembangkang untuk tawan Pekan dilihat kerja yang rumit,” katanya.

“Senario baru PRU14 ialah faktor PAS dan Pakatan Harapan wujud. Maknanya, undi Melayu terbahagi tiga, jadi undi bukan Melayu mungkin jadi penentu di kawasan yang ramai pengundi bukan Melayu,” katanya.

Namun katanya, beberapa kawasan bandar dan luar bandar yang ramai pengundi bukan Melayu sukar diramal.

Beliau berkata, kawasan kampung dan desa yang ramai pengundi Melayu terutama kerusi tradisi Umno juga sukar untuk pembangkang pecah masuk, dan perbandingan itu dapat dilihat menerusi apa yang berlaku dalam senario PRU12 dan PRU13.

Tambahan pula katanya, beberapa isu yang berkaitan peneroka juga telah dapat ditangani kerajaan.

“Isu tanah Felda Jalan Semarak pun selesai, jadi undi peneroka Felda untuk BN pun saya rasa selamat,” katanya.

PRU14: Cabaran daripada Harapan dan Gagasan 

Pengerusi Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman pula mengesahkan, setakat ini hampir keseluruhan pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan sudah diselesaikan.

PKR akan mengetuai gabungan HARAPAN di Pahang apabila meletakkan 14 calon daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bertanding 11 kerusi, BERSATU (sembilan) dan DAP (lapan).

Pada PRU ke-13 lalu, PKR menang dua kerusi Parlimen di Kuantan dan Indera Mahkota, manakala DAP memperoleh satu kerusi di Raub dan PAS pula satu kerusi di Temerloh. Di peringkat DUN, DAP memenangi 7 kerusi, iaitu di Tanah Rata, Tras, Mentakab, Bilut, Ketari, Sabai dan Triang. PAS menang tiga kawasan iaitu, di Tanjung Lumpur, Beserah dan Kuala Semantan.

Pilihan raya umum pada tahun 2013 tersebut, PAS mengetuai gabungan pembangkang bertanding 21 kerusi DUN di negeri kelahiran Perdana Menteri itu dibawah nama, Pakatan Rakyat.

PAS menjangkakan DAP hanya mampu mempertahankan sekurang-kurangnya tiga daripada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai parti itu di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Bagi pihak PAS Pahang pula, Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar memutuskan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 38 DUN dan 13 kerusi parlimen pada PRU14 nanti.

“Kita telah mengenal pasti calon-calon yang bakal bertanding dengan pelbagai latar belakang termasuk aktivis masyarakat, profesional dan golongan agamawan. Sebanyak 40 peratus merupakan golongan muda dan 10 peratus lagi merupakan calon muslimat,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosli berkata pihaknya yakin dapat menawan kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu meskipun tanpa kerjasama parti pembangkang lain bersandarkan sokongan 200 badan bukan kerajaan di bawah Gagasan Sejahtera.

Filed under: Harakah, harakahdaily

PRU14: Kedah milik siapa?

Oleh Shuhaimi Al-Maniri

 

kedah

Keputusan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak memecat Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir selaku Menteri Besar Kedah pada Februari, 2016 bukan sahaja membangkitkan gelombang kemarahan terhadap Umno dan BN di Kedah.

Tambahan pula, Mukhriz kononnya amat disayangi di Kedah dan pemecatannya mencetuskan kemarahan dan gelombang sokongan kepada pembangkang. Jadi, sokongan kepada Umno dikatakan turun mendadak, malah golongan muda di Kedah membuat pelbagai perhimpunan bagi membantah pemecatan itu.

Ini juga menjadi punca bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri selama 22 tahun “berkerat rotan” dan “berpatah aramg” dengan Najib Tun Abdul Razak yang dipilihnya menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kemudiannya nekad menubuhkan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Angin perubahan?

Sementara itu, penganalisis politik berpendapat Kedah bakal menjadi negeri paling sengit berdepan pertembungan antara BN dan PH pada PRU akan datang. Mana-mana parti yang menang dijangka hanya akan menang dengan majoriti tipis sahaja.

Dua penganalisis politik membuat penilaian berbeza terhadap peluang Pakatan Harapan (PH) di Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Prof Madya Awang Azwan Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata ada “gelombang besar sokongan” untuk PH dan gabungan 4 parti pembangkang itu kelihatan bersedia untuk menang di Kedah.

Katanya, ancaman kepada BN turut “diburukkan lagi” dengan tindakan Dr Mahathir meninggalkan Umno dan kemudiannya menubuhkan PPBM yang menyertai PH. Bekas perdana menteri itu mempunyai pengaruh besar dan ini mengoyahkan kubu Umno Kedah.

Bagaimanapun, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizuddin Mohd Sani tidak nampak sebarang tanda PH mampu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Kedah. PPBM dan Parti Amanah Negara (PAN) mempunyai asas lemah di Kedah. edua-duanya masih parti muda berbanding rakan PH mereka dan juga parti komponen BN.

“Kebimbangan BN di Kedah terhad kepada kesan saingan yang mungkin timbul dalam kalangan ahli Umno berebut untuk dicalonkan pada PRU14, , BN masih bersatu di Kedah, tetapi beliau mendapati sukar meramalkan jika perpaduan akan kekal selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jika tiada sabotaj dan perbalahan dalaman, BN akan menang” kata Azizudin.

Azizudin berkata pengaruh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah, beliau mengakui ada kelebihan buat bekas perdana menteri itu, tetapi ia tidak cukup untuk membantu PH menawan Kedah. Parti dalam PH juga tidak bersatu dan mempunyai masalah sendiri.

“Tambahan, hakikat yang masih kekal, PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang dan PAS kuat di Kedah. Jentera Pakatan Rakyat yang sudah dibubarkan, bergantung kepada PAS dahulu. PH menghadapi masalah dari segi jentera pilihan raya.” katanya

Cabaran PAS dan Gagasan Sejahtera

Dari penelitian sepintas lalu, PAS didapati tidak pernah kehilangan kerusi di DUN Kedah sejak 1969. PAS sentiasa ada mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri Kedah sejak hampir 50 tahun lalu.

PelancaranGagasanSejahteraKedah27Jan2018

Majlis taaruf Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Kedah dan beberapa NGO pada 27 Januari 2018

Selepas PRU ke-12 pada 2008, PAS bersama rakannya PKR serta DAP pernah mengetepikan BN untuk kali pertama dalam sejarah dengan menguasai majoriti DUN Kedah. Allahyarham Azizan yang ketika itu menjadi pesuruhjaya PAS Kedah dilantik menjadi Menteri Besar dan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh PAS .

Bagaimanapun kemelut dalaman berlaku dan akhirnya melemahkan struktur kepimpinan PAS Kedah. PAS kemudian kehilangan kuasa selepas pru ke13 apabila majoriti rakyat Kedah mengundi mengetepikan mereka dan kembali memilih BN dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik menjadi Menteri Besar sehinggalah Umno pula berdepan dengan kemelut dalaman.

PAS boleh dianggap sebagai sebuah “kerajaan menunggu” dan bersedia melaksanakan amanah sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada PRU ke-14. Sebagai “kerajaan menunggu”, PAS bersama rakan strategik mereka dalam Gagasan Sejahtera malam tadi melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-14 khusus untuk Kedah yang disempurnakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut baru_baru ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, tawaran manifesto dilakukan sebaik mungkin dengan mengambil kira pengalaman Pas mentadbir kerajaan negeri (2008-2013), kedudukan ekonomi, sosio budaya rakyat Kedah serta cabaran semasa.

Antara kejayaan Pas ketika mentasdbir Kedah (2008-2013) yang kini menjadi mercu tanda Kedah adalah, Kampus Kolej Universiti Insaniah Kuala Ketil, Aman Central, Hotel Adya Langkawi, Menara Sada, Skim Kafalah, peningkatan hasil balak, penubuhan Maahad Tahfiz Sains Kulim, serta program pembangunan insan Kem Anak Soleh/ Kem Bina Insan dan Kem Bina Sahsiah.

Manifesto kali ini bertemakan ‘Penyelesaian Untuk Kesejahteraan Rakyat’ itu mengandungi 15 agenda teras, antara lain merangkumi pentadbiran, hal ehwal agama, pendidikan, kebajikan, ekonomi, air dan tanah perumahan, pembangunan wanita dan keluarga, belia dan pembangunan insan, integrasi kaum, keselamatan dan alam sekitar.

Gagasan Sejahtera menyenaraikan antaranya sumbangan beras sejahtera, mewujudkan Skim Tabungan Anak Kedah, membangunkan Sungai Kedah sebagai produk pelancongan dan menyelesaikan masalah bekalan air secara berperingkat.

Dr Ahmad Fakhruddin memberitahu, PAS dan Gagasan Sejahtera meletakkan calon di semua 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan 15 parlimen di negeri terbabit pada PRU ke14 nanti.

Dengan 8 kerusi dun yang dimenangi pada PRU ke13 yan lepas, PAS dan Gagasan Sejahera hanya perlukan tambahan 11 kerusi DUN sahaja lagi. Justeru, PAS Kedah minta supaya tidak memandang lekeh usaha mereka merangka percaturan di negeri berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kali ini, PAS dan Gagasan Sejahtera bertekad untuk meyakinkan rakyat bahawa kami sedia memiikul amanah sebagai kerajaan menunggu dan menunaikan tanggungjawab seperti ketika Kedah bawah kepimpinan Tan Sri Azizan Abdul Razak,” katanya

Filed under: Harakah, harakahdaily

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories