Kalam Perantau

Icon

MAZA : Pulangkan Harta Kami…

Assalamualaikum Wa Barakallah Hu Fikum…

Sekadar berkongsi,

Luahan hati buat mereka yang terlibat pada pandangan Ilahi..
 
Kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
Kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju
Kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta Negara…
Kalian berbahasa: bukan barang naik harga cuma subsidi turun sahaja..
 
Kami orang desa mungkin tidak pandai kira berjuta-juta. .
Kami orang kecil kota mungkin tiada sedemikian harta..
Jika kalian tipu sebegitu biasanya kami diam selalu..
Tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?
 
Apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
Papa semakin parah..? wang semakin lelah..?
Jika semalam berlauk, hari ini cuma berkuah..
Kerana kerajaan kita sedang susah..?
Maka subsidi kita terpaksa diserah..
Jika semalam kau makan sepinggan, hari ini separuh..
Kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh..
Apa yang dapat dibisik kepada anak berkopiah ke madrasah..?
Makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang..
Jika mereka bertanya siapa yang bawa lari,
pada siapa patut kami tuding jari..?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi..
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang..
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
Tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang..
 
Dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
Pernahkah kalian mengintip kehidupan kami..
Pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati…
Kami yang semput bagai melukut di kota kedekut..
Kami yang bekerja hingga senja di desa yang semakin terseksa
Bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja..
 
Pernahkah kau merasa?
Rumah bocor yang lanjut usia..
Baju dan kasut anak yang koyak
Tinggal dalam rumah yang berasak-asak
Siang kami sebak, malam kami sesak..
 
Sedangkan kalian manusia angkasa..
Istana permata dibina, kereta berjuta dirasa..
Elaun di serata, dari isteri sehingga ke seluruh keluarga..
Hidangan istimewa konon meraya kemakmuran Negara..
 
Tapi kami masih di sini..di teratak ini..
Dengan lauk semalam..
Dengan hidangan yang tidak bertalam..
Dengan rumah yang suram..
Dengan wang yang hampir padam..
 
Tiada istana lawa ..tiada kereta berharga..
Tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
Tiada kediaman menteri..tiada hidangan v.i.p..
Taida persen di sana-sini..tiada bahagian anak dan bini..
 
Tiba-tiba kalian kata: kamilah beban Negara..
Aduhai celaka bahasa yang kalian guna..
Kalian yang belasah, kami yang bersalah..
Kalian buat untung, hutang kami yang tanggung..
Kalian mewah melimpah, kami susah parah..
Kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang..
Kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa..
Kalian makan isi, kami dijadikan abdi..
 
Lantas kalian rampas lagi subsidi..
Ke mana wang itu pergi nanti..?
Jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami..
Jika tidak pun buat gula konon merbahaya..
Mengapa tidak beras diturun harga..?
Jika tidak untuk minyak kereta..
Mengapa tambang tidak potong sahaja..?
Tapi entah berapa kali janji..
Konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti..
Hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi..
Kami terus termanggu di sini..
Kalian juga yang ni’mati..
Kami hanya menggigit jari..
 
Kembalikanlah pada kami harta Negara..
Jangan hanya kalian sahaja yang merasa..

Semoga ALLAH kurniakan Hidayah & Petunjuk pada kalian, saudara seislam ku yang tercinta..

Petikan Ilmu Al-Fadhil Dr.Mohd Asri Bin Zainul Abidin

Filed under: News, , ,

Subsidi rakyat dikerat, kroni dibayar RM222.58 juta

Oleh : Abdul Aziz Mustafa    

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Tindakan kerajaan mengarahkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membuat pembayaran RM222.58 juta kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) membuktikan lagi bahawa kepentingan kroni lebih diutamakan berbanding rakyat, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Bernama melaporkan, semasa membuat keputusan itu, kerajaan melalui kenyataan Kementerian Pengangkutan mendakwa telah mengambil kira semua faktor berkaitan termasuk komitmen kerajaan kepada pemegang bon, serta tanggungjawab LPK di bawah perjanjian yang telah ditandatangani.

Salahuddin mempersoalkan, adakah ia merupakan tanggungjawab Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) atau tanggungjawab KDSB.

Beliau merujuk kepada laporan mengenai jaminan KDSB bahawa sebarang kekurangan dalam pembayaran semula bon adalah tanggungjawab syarikat tujuan khas itu dan wang rakyat tidak akan digunakan untuk membayarnya.

“Kerajaan perlu menjelaskan, tanggungjawab siapa untuk menanggung bebanan ini? Tanggungjawab rakyat atau KDSB?

“Kalau untuk rakyat, subsidi direntap, dikerat. Kalau untuk kroni, adakah kerajaan senang-senang belanjakan RM222.58 juta walaupun ahli lembaga LPK memutuskan tidak mahu membuat pembayaran tersebut,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tindakan kerajaan itu menguatkan lagi ingatan rakyat kepada dakwaan salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker bahawa ramai tokoh Umno dan MCA yang menerima wang dari Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing (gambar).

Tiong juga adalah Ahli Parlimen Bintulu dan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

“Sebelum ini beria-ia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Idris Jala kata subsidi berterusan akan menyebabkan negara ini bankrap sembilan tahun lagi, tetapi pada masa yang sama kerajaan semakin kelihatan membelanjakan wang rakyat dengan sesuka hati,” kata Salahuddin lagi

Filed under: News, , , , , , , , , ,

BREAKING NEWS : Bekas Presiden MCA Didakwa Menipu

PKFZ: Ling hadapi tuduhan pecah amanah

Bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan pecah amanah berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ling, 67, juga adalah bekas presiden MCA. Beliau adalah antara ahli politik terkemuka pernah didakwa atas tuduhan rasuah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau tiba di mahkamah pada jam 4,45 petang dengan ditemani isterinya, Toh Puan Ena Ling serta dua anak lelakinya.

Ling kemudian mengambil tempatnya di kandang tertuduh.

Beliau adalah presiden MCA yang kedua dihadapkan ke mahkamah selepas Tan Koon Suan.

Ling didakwa menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Kelang.

Dia juga didakwa dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.

Sehubungan itu, beliau dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bekas menteri pengangkutan itu juga berikan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman lebih ringan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan ikat jamin ditetapkan pada RM1 juta.

Hakim, Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan kes.

Ling kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan akan membayar wang ikat jaminnya di Mahkamah Sesyen, esok.

Sebelum ini, desas desus seorang personaliti terkenal dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen itu menyaksikan puluhan wartawan, termasuk agensi berita luar negara bekejar ke mahkamah sejak awal pagi ini.

Kebanyakan mereka berhimpun di lobi dan pintu masuk mahkamah manakala ada pula yang menunggu di kawasan sekitarnya.

Pada jam 4 petang tadi, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan tiga timbalan pendakwa raya, termasuk ketua pendakwa Datuk Tun Abdul Majid Hamzah, tiba di mahkamah tanpa bercakap kepada wartawan.

Dua yang lain itu adalah Manoj Kurup and Dzulkifli Ahmad.

Sebelum kehadiran mereka di mahkamah, sebuah kereta Proton Perdana hitam dilihat memasuki perkarangan mahkamah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.

Sumber : Malaysiakini

Filed under: News, , , , ,

Menjelang PRU13, Guru boleh berpolitik?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Gendang pilihanraya telah mula dipalu. Sejak, BN (SUPP)  kalah dalam pilihanraya kecil Miri baru-baru ini, Perdana Menteri dan timbalannya telah memberikan lebih perhatian terhadap Sarawak, satu-satunya negeri yang UMNO “tiada berkuasa”.

Sejak itu, beberapa kali melakukan lawatan-lawatan politik ke negeri Sarawak dengan memberikan “gula-gula pilihanraya”.  Ramai pemerhati politik menjangkakan bahawa pilihanraya umum ke-13 nanti akan diadakan serentak dengan pilihanraya Negeri Sarawak bagi menjimatkan kewangan negara. Sarawak menjadi tumpuan parti-parti Pakatan Rakyat (PR).

Dalam keadaan yang sedikit terdesak, UMNO dan BN mula mendekati semula guru-guru yang menjadi tonggak kepada perjuangan UMNO sejak awal lagi. Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48  dibenarkan melibatkan diri dalam politik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Bagi tujuan itu, Mohd. Sidek berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Langkah ini akan menjadikan guru-guru kumpulan A terpaksa aktif semula dalam politik dalam politik parti-parti pro kerajaan untuk peningkatan kerjaya mereka dalam bidang pendidikan. Mana mungkin Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian Pelajaran untuk membenarkan guru-guru aktif dalam parti-parti tidak pro kerajaan.

Berikutan pengumuman tersebut, ia membolehkan kira-kira 190,000 guru berijazah di seluruh negara terlibat dalam politik. Disebabkan institusi sekolah dan guru-guru  dipandang tinggi oleh masyarakat setempat. wajarkah guru-guru ini dibenarkan berpolitik semasa berkhidmat?

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan terus menyokong langkah ini dan dilaporkan berkata, adalah sesuatu yang positif apabila semakin ramai golongan pendidik berminat menyertai politik seperti mana sekarang kerana ia membantu mewujudkan lebih ramai pemimpin pelapis pada masa akan datang dalam menyuburkan budaya politik rasional kerana golongan pendidik adalah individu yang mempunyai wibawa dan pendidikan yang diperlukan seseorang pemimpin. Golongan pendidik seperti pengetua dan guru besar diperlukan untuk menyumbang pandangan dan idea memajukan Negara.

Sementara Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad mengharapkan tidak ada pilih kasih ketika kebenaran diberi samada mereka hendak aktif pembangkang atau kerajaan,  kerana kuasa muktamad kebenaran ini terletak kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran. Sekiranya ada unsur pilih kasih maka kebenaran ini tidak ada apa-apa makna untuk penyuburan demokrasi di negara ini.

PPD arah sekolah hantar wakil ke Mesyuarat UMNO

Sekarang ini pun, sekolah-sekolah telah pun dijadikan tempat mesyuarat-mesyuarat parti-parti politik tertentu. Dengan kebenaran ini, makain rancaklah sekolah-sekolah dijadikan tempat persidangan parti-parti politik. Pendekatan serampang dua mata oleh kerajaan ini akan menjadikan institusi pendidikan terutama sekolah-sekolah menjadi medan politik semula.

Dalam keadaan belum dibenarkan lagi guru-guru berpolitik, Pejabat Pelajaran Daerah di Terengganu telah mengambil langkah pro aktif dengan “memaksa” guru-guru hadir ke mesyuarat perwakilan UMNO. Sebagai contoh, mengikut Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Selain dari cerita empat orang ADUN Umno dalam Bahagian Setiu yang tidak hadir dalam Lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Setiu, ada lagi cerita lain yang menarik. Mereka terpaksa mengerah dan mengarahkan guru-guru sekolah untuk hadir mesyuarat itu. Setiap sekolah diminta (wajib) menghantar lima hingga 20 orang ke mesyuarat itu.

Jelas bahawa Umno Terengganu sudah hilang sokongan, pemimpin utama di peringkat Bahagianpun boleh boikot mesyuarat perwakilan mereka yang penting. Bagaimanapun Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selalu menegaskan bahawa krisis kepimpinan Umno di negeri ini sudah selesai. Tetapi insiden terbaru ini, jelas menggambarkan kepada kita bahawa perpecahan dalaman Umno semakin parah.

Manakala Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib, PAS akan mengejar Umno/BN bagi membuktikan salah laku pemimpin Umno/BN ‘hingga ke lubang cacing’. Menurutnya, banyak isu-isu salah laku dalam pentadbiran yang tidak dianggap salah oleh pemimpin Umno/BN seperti ketidak telusan dan ketidakadilan yang dianggap perkara biasa oeh pemimpin Umno/BN.

Beliau dilaporkan dalam Buletin Online berkata, “Kita (PAS Terengganu) ada isu-isu yang boleh menggugat dan boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional negeri Terengganu tapi isu ini kita simpan buat sementara waktu untuk kita dedahkan (bila) sampai masanya,” katanya dalam sidang media khas sempena pelancaran kursus Akademi Latihan dan Kepimpinan Negeri Terengganu (ALIM) di Kuala Ibai, dekat sini semalam, 24 Julai.

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , ,

62% pengundi muda ‘atas pagar’ : Ketua Pemikir Gerakan yakin masih sokong Pakatan

KUALA LUMPUR 25 Julai – Seramai tujuh juta pengundi muda akan menjadi faktor penentu dalam keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Makmal Pemuda BN telah memberi wawasan tentang pemikiran golongan pengundi muda dengan kebanyakan mereka mengambil pendirian non-partisan (tidak memihak) berhubung politik negara.

Berikutan majoriti golongan belia bukan penyokong mana-mana parti, kajian itu mendapati tiga daripada lima pengundi muda atau 62 peratus daripada mereka masih ‘duduk atas pagar’ mengenai parti pilihan mereka.

Hasil kajian ke atas kira-kira 1,000 responden dari seluruh negara itu serta cadangan dasar telah disampaikan oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.
Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik khas selama dua bulan mulai Mac lalu itu bagi membantu parti pemerintah menggubal dasar bersesuaian dengan keperluan generasi muda di negara ini.

Hasil laporan itu akan diumumkan kepada awam pada satu mesyuarat bersama Perdana Menteri dijadual pada 20 Ogos ini.

Kebimbangan utama yang disuarakan oleh responden adalah berkaitan dengan pekerjaan, pendidikan, peningkatan kos hidup dan pengangkutan awam.

“Golongan belia ini akan mengundi mana-mana calon yang mereka fikir lebih baik pada pilihan raya umum akan datang,” menurut hasil kajian itu.

Hasil kajian itu adalah serangkai dengan arah aliran politik semasa yang ditonjolkan oleh pelbagai pemerhati dan penganalisis politik termasuk Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.

“Pengundi muda kini lebih berpandangan terbuka dan membina dan mereka tidak menilai sesuatu isu berdasarkan ideologi politik. Sokongan mereka mudah berubah atau bertindak kepada situasi pada bila-bila masa,” kata Abu Hassan.

Menurutnya, generasi muda tidak lagi berpegang kepada kata-kata atau janji ahli politik tetapi sebaliknya menilai bagaimana parti-parti berkenaan menangani pelbagai isu.

Bagi Khaw Veon Szu, Pengarah Institut Pembangunan Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR), iaitu kumpulan pemikir Parti Gerakan, pula, beliau percaya kebanyakan belia di negara ini masih cenderung kepada pembangkang, walaupun perangkaan 60 peratus pengundi belia ‘atas pagar’ seperti dilaporkan oleh Mahkamah Pemuda BN.

“Saya percaya pengundi muda ‘atas pagar’ sebenarnya pada kadar 30 peratus dan saya tidak kata ia akan mencecah sehingga 60 peratus,” katanya.
“Pengundi sentiasa berubah secara bulanan tetapi ia hanya sekadar mana tahap perubahan itu.

“Konsensus secara umum bagi golongan muda dan ligat itu pada amnya mereka memihak pembangkang,” katanya.

Veon Szu berkata, pembangkang mempunyai sedikit ‘simpanan tetap’ dalam masyarakat Cina dan ini dijelaskan mengapa mereka begitu gigih mendaftar pengundi baru dan muda kerana mereka menganggap golongan itu adalah tambahan kepada ‘simpanan tetap’ mereka.

Bagi memenangi hati pengundi muda, katanya, BN tidak mempunyai masa tetapi sebaliknya perlu mempunyai rancangan drastik bagi mengejar usaha pembangkang mendaftar pengundi baru.

Salah satu sektor yang boleh membawa impak segera dan berkesan yang boleh meninggalkan kesan mendalam dalam minda dan hati pengundi muda adalah rombakan dasar pendidikan.

Bagaimanapun, sebilangan pemerhati politik dan ahli parti berpendapat bahawa apa yang BN perlu sekarang ialah penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan oleh golongan ini dan bukan satu lagi kajian untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh belia.

“Anda tidak perlu menjalankan satu kajian untuk mengetahuinya. Sebagai seorang pemuda, saya boleh beritahu apa yang golongan pemuda inginkan – pekerjaan, keselamatan, kualiti hidup yang lebih baik dan urus tabir yang cekap,” kata seorang pemimpin pemuda dari sebuah parti komponen BN.
Bagaimanapun, sebarang bentuk kajian adalah penting dan dapat membantu BN merangka strategi bagi membantu golongan itu di peringkat bawahan.
Usaha kajian seperti itu adalah langkah tepat seperti dilakukan oleh Pemuda MIC di mana lebih ramai pemimpin muda diberi tanggungjawab di peringkat cawangan dan bahagian.

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan, berkata pada 21 Ogos ini, sebanyak 50 cawangan pemuda baru dengan pemimpin baru akan dibentuk selain mendaftar ahli baru sebagai pengundi jika mereka mencapai umur 21 tahun.

“Sebelum ini, kita terpaksa menunggu sehingga seseorang itu melepaskan jawatan atau meninggal dunia. Tetapi kini, kita melakukan rombakan dan maklum balasnya adalah baik.

“Kami kini mempunyai pengerusi cawangan berusia antara 20-an dan 30-an,” katanya.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, kecenderungan pengundi muda kepada parti pembangkang sebahagian besarnya disebabkan faktor ‘tolakan’ dari BN dan bukan faktor ‘tarikan’ oleh pembangkang.

“Perebutan mendapatkan sokongan pengundi muda masih terbuka luas. Pengundi muda akan memilih calon yang dapat membuktikan kelebihan yang ada pada diri mereka,” katanya.

Oleh itu, Siew Fook berkata, pembangkang menumpukan kepada dua pendekatan iaitu pendaftaran pengundi baru secara agresif dan memaklumkan kepada golongan itu bahawa mereka boleh membuat keputusan dengan apa yang mereka fikirkan penting.

Pensyarah Sains Politik, Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI), Dr. Ong Kian Ming berkata, Pemuda BN tidak mempunyai rancangan bersepadu untuk membabitkan golongan pemuda serta gagal mengetengahkan dasar untuk mereka.

“Misalnya, isu biasiswa. Kita tidak lihat sebarang usaha bersepadu untuk menyelesaikan isu itu sehingga pengumuman oleh Perdana Menteri,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, Najib mengumumkan bahawa semua pelajar yang memperoleh keputusan 9A+ dan ke atas pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan atau luar negara.
Kian Ming berkata, golongan muda nampaknya lebih cenderung kepada pembangkang tetapi parti pembangkang tidak boleh mengambil mudah berikutan keputusan pilihan raya umum lepas menunjukkan sedikit peningkatan sokongan golongan muda kepada BN.

‘‘Pada PRU 1999 dan 2004, corak pengundian golongan muda menunjukkan penurunan sokongan terhadap BN tetapi pada 2008, terdapat sedikit peningkatan sokongan kepada BN, khususnya dari generasi selepas reformasi berusia antara 21 dan 30 tahun,’’ katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih ada banyak cabaran bagi pihak pembangkang dan pemerintah tetapi kedua-dua pihak itu telah menampilkan beberapa pemimpin muda yang berjaya mendekatkan diri dengan golongan belia di negara ini. – Bernama

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Apakah PR ada peluang pilihanraya Sarawak?

Oleh Wan Nik Wan Yussof   

Premis asal dan agak matang dalam menilai politik Sarawak sekarang ialah “Sarawak tetap kubu kuat Barisan Nasional (BN).” Maka tugas menumbangkan BN dalam pilihan raya negeri ke-10 nanti dijangka berdepan laluan sukar dan mencabar. Sesungguhnya, tugas menumbang BN itu terletak di tangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan dua pertiga daripadanya berada di luar bandar. Mana-mana parti atau pakatan politik menguasai majoriti DUN atau setidak-tidaknya 36 kerusi selayaknya parti itu membentuk kerajaan negeri. Namun hasil pilihan raya negeri 2006, didapati BN memenangi 62 kerusi DUN dan parti-parti pembangkang hanya sembilan DUN.  Semua kerusi dimenangi pembangkang adalah berada di sekitar bandar. Ia bermakna pengaruh BN amat tegar di kalangan 50 peratus daripada 2.5 juta penduduk yang tinggal di luar bandar.

Demografi politik perkauman

Demografi politik Sarawak adalah terdiri daripada 28 peratus suku kaum; Iban 33 peratus, Cina 26 peratus, Melayu 21 peratus, Melanau tujuh peratus, Orang Ulu lapan peratus, dan Bidayuh lima peratus. Pengundi luar bandar adalah terdiri daripada suku Bumiputera (Iban, Melayu, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh). Sementara pengundi bandar merupakan campuran, dengan majoritinya orang Cina. Ia bermakna, pengundi Cina lebih berpihak kepada pembangkang, khsusnya DAP. Disebabkan demikian, BN agak kuat di kawasan bandar yang majoriti pengundi Melayu.

Justeru landskap politik Sarawak kini masih dibayangi dengan gambaran penaungan dan keutuhan perkauman yang kuat. Jika landskap ini belum berubah untuk tempoh pilihan raya akan datang, maka BN kekal selamat untuk terus memerintah Sarawak. Namun, landskap politik pasca pilihan raya kecil Sibu ada petunjuk khusus untuk membuat bacaan politik di bumi yang kuat asas perkauman ini. Tatkala keputusan di Sibu pada 16 Mei lalu telah membuktikan DAP mendapat sokongan baru 2,942 undi. 

Jika asas ini dianalisis seacara mudah, maka kesemua DUN yang BN menangi dengan majoriti kurang 2,500 undi adalah tidak selamat. Apa pun itu bergantung kepada kestabilan mood pengundi Cina dan faktor-faktor politik seamasa.

Jangkaan pilihan raya

Namun, kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak nanti dijangka akan berlaku dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang. Jika tempoh itu memberi implikasi besar kepada perubahan mood pengundi untuk kembali kepada normal, ia akan menyebelahi BN. Sekiranya mood itu berkekalan dan mengalami bauran (diffusion) kalangan pengundi Bumiputera, seperti mana arus penolakan terhadap BN di negeri-negeri lain, khususnya di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ia pasti menggugat peluang BN mencapai majoriti selesa di Sarawak.

Nilai-nilai perubahan itu akan berlaku di Sarawak jika demografi politik mengalami transisi sosiopolitik seperti pengundi luar bandar ramai celik maklumat, penduduk di luar bandar memprotes tahap kemajuan yang mereka alami sekarang, disokong pula dengan ramainya pengundi muda mendaftar sebagai pemilih, tinggi kadar kematangan berpolitik apabila keinginan naungan mulai longgar dan tinggi pendedahan kepada maklumat melalui media alternatif.

Di samping, kesan gerakan politik PR yang menjadi fenomena semasa pilihan raya kecil Sibu mula terbaur ke kawasan luar bandar. Realiti ini cukup menghantui pemikiran politik pemimpin BN Sarawak. Lebih-lebih lagi berlaku perkembangan terbaru pihak PR di Sarawak menunjukkan pihak DAP, PAS dan KeADILan serta SNAP sudah mula mengukuhkan gerakan politik masing-masing. Misalnya pihak PAS telah sedia tampil di Sibu, Miri dan Bandar Raya Kuching. Kesemua kawasan ini amat berpotensi bagi PR untuk menang apabila mengambil kira petunjuk pasca Sibu dan langkah-langkah penubuhan cawangan baru serta persefahaman kukuh PR mula mendapat sambutan hangat kalangan pengundi tempatan.

Walau bagaimanapun, pihak PR seharusnya dapat memperkasakan lagi beberapa pendekatan persefahamana pakatan bagi menghadapi pilihan raya nanti. Antaranya yang paling berpengaruh di dalam membina keyakinan pengundi ialah formula pembahagian kerusi yang mengutamakan keupayaan menyumbang kepada nilai kemenangan. Mungkin di antara formula itu ialah mempersetujui kerusi-kerusi di kawasan bandar untuk semua parti dalam PR. Maksudnya semua empat parti dalam PR diberi hak untuk bertanding di Miri, Sibu, Bandar Kuching, Bintulu dan Mukah. Jika formula ini dipakai, PAS setidak-tidaknya boleh bertanding satu kerusi di semua DUN di bandar-bandar tersebut. Selain itu, tumpuan untuk bertanding di beberapa DUN di luar bandar yang dominan pengundi Melayu.

Pilihan raya 2006

Pada pilihan raya negeri 2006, daripada 71 kerusi dipertandingkan. Undi popular diraihnya BN telah merosot sebanyak 8.3 peratus (71.2 peratus pada 2001 kepada 62.9 peratus pada 2006). Rekod pencapaian BN menunjukkan PBB amat utuh apabila memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandinginya. Demikian juga SPDP memenangi kesemua lapan kerusi. Manakala SUPP kalah lapan daripada 19 kerusi dan PRS kecundang di satu daripada sembilan kerusi.

Sementara pihak pembangkang pula menguasai sembilan kerusi melalui DAP yang memenangi enam kerusi, manakala KeADILan, Bebas dan SNAP masing-masing menang satu kerusi. Apa pun perkembangan dalam pembangkang selepas itu didapati wakil SNAP yang mengalahkan SUPP di DUN Engkilili telah menjadi Bebas tidak lama selepas memenangi kerusi itu. Begitu juga wakil Bebas, Gabriel Adit Demong yang bertanding di DUN Ngemah telah menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM) pada Disember 2009.

Peluang tambahan kerusi PAS

Perubahan kedudukan parti tidak berlaku kalangan wakil rakyat DAP dan KeADILan. Ini menunjukkan semangat PR amat kukuh di Sarawak. Tinggal lagi, PAS sendiri yang hanya bertanding satu kerusi di DUN Beting Maro wajar menagih simpati rakan dalam PR untuk mendapatkan tambahan kerusi di kawasan bandar.

Harapannya, kepimpinan PAS Sarawak wajar melakukan kesepakatan mesra, terutama dengan DAP yang dominan di kawasan bandar. Peluang tambahan itu wajar bagi PAS disebabkan realitinya PAS berupaya untuk mewujudkan petugas parti di semua kawasan bandar, di samping bersedia membantu calon-calon DAP dan KeADILan di tempat-tempat PAS bertanding.

Pilihan raya yang dijangka Mac atau April tahun depan dijangka menyaksikan dua pertembungan politik permuafakatan: BN dan PR. Pihak BN sebagai pihak hegemoni dianggotai PBB, SUPP, SPDP dan PRS, dan PR sebagai pakatan pembangkang setakat ini gandingan DAP, KeADILan SNAP dan PAS.  Sementara PCM belum pasti menyertai mana-mana permuafakatan, di samping terdapat satu lagi parti, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) yang baru mendaftar.

Kemunculan parti baru

Walau bagaimanapun, ketika pakatan pembangkang bersatu hati untuk mengemukakan calon di semua kawasan dalam perlawanan satu lawan satu dengan BN, PERSB  dan PCM selaku parti baru muncul dengan impian masing-masing. PERSB mempamerkan hasrat untuk bertanding di semua kawasan. Ia meletakkan PERSB sebagai pihak ketiga di dalam persaingan pilihan raya Sarawak. Manakala PCM hanya akan meletakkan calon di 10 hingga 15 kawasan, sekali gus membayangkan PCM sebagai parti baru yang bakal bergabung sama ada dengan BN atau PR. Berdasarkan latar belakang PCM Sarawak asalnya diketuai seorang wakil Bebas, kemungkinan besar beliau akan bersendirian yang akan bertanding di kawasan popular bagi calon-calonnya.

Menilai dari segi peluang mencapai kemenangan, nyata sekali BN masih berkeyakinan besar dan selesa mempertahankan dominasi dan menguasai majoriti dua pertiga. Meskipun berlaku hambatan keyakinan berikutan mood pengundi pasca pilihan raya kecil Sibu, permasalahan pengundi Cina belum cukup menggugat nilai majoriti dua pertiga tersebut. Kerusi yang pengaruh pengundi Cina agak tinggi hanya sekitar 15 kerusi. Jika BN kehilangan semua kerusi itu, masih ada lagi 56 kerusi. Nilai majoriti dua pertiga ialah 47 kerusi, maka keselesaan bagi BN cukup mantap ke arah kelangsungan hegemoni BN di Sarawak.
Impak pasca Sibu

Meskipun begitu, impak pasca pilihan raya kecil Sibu itu mungkin boleh menggugah keyakinan tersebut sekiranya pihak PR mampu mempamerkan persetujuan mantap dari segi isu calon, pembahagian kerusi, kerjasama petugas parti dan manifesto parti. Misi PR di Sarawak adalah untuk memastikan tidak berlaku peluang BN berkuasa dengan dua pertiga.

ebagaimana kenyataan Haji Mohamad Sabu ketika di Miri (20 Julai lalu), pilihan raya Sarawak merupakan peluang bagi rakyat bertindak sebagai kuasa check and balance untuk menafikan kuasa dua pertiga BN. Bagi mencapai misi ini, BN tidak akan tergugat, cuma mungkin terjejas moralnya seperti mana dihadapi di peringkat Pusat sekarang yang agak sulit menguruskan kuasa di parlimen tatkala memerlukan sokongan dua pertiga. Manakala bagi PR pula, ia cukup berat untuk dicapai kerana jumlah kerusi yang harus dimenangi ialah sebanyak 25 kerusi dan BN pula memenangi 46 kerusi. Apa pun sekiranya berkehendak, maka seribu daya harus diusahakan.

Sejauh mana keupayaan pihak PR untuk meraih tambahan kerusi akan terjawab sekiranya persiapan yang ada tinggal kira-kira enam bulan sahaja lagi. Ia satu tempoh yang singkat bagi PR untuk menjayakan sekurang-kurang lima persiapan asas: ketetapan kerusi bertanding bagi masing-masing parti, memilih bakal calon yang teruji, mengurus penyokong agar mendaftar sebagai pemilih, melatih pasukan dan petugas pilihan raya dan tidak kurang penting adalah persediaan kewangan pilihan raya yang secukupnya.
Peranan parti baru

Tidak harus juga diketepikan peranan dua parti baru (PCM dan PERSB) dalam merancakkan pilihan raya Sarawak akan datang. Ada pihak yang meramalkan PCM akan ditolak mentah-mentah oleh rakyat ekoran sikap Gabriel Adit Demong yang dianggap tokoh lompat parti kerana pernah keluar daripada KeADILan menjadi Bebas. Justeru itu, kerusi yang dimenangi atas tiket Bebas hanya dengan majoriti kecil pada pilihan raya 2006 dijangka menghadapi lalui sukar untuk mempertahan kemenangannya. Melainkan jika berlaku persefahaman semula dengan PR atau BN melalui straight fight menghadapi lawan. Apa pun, tidak mungkin bagi BN bekerjasama dengan PCM sebagai parti yang belum dilihat berjasa kepada rakyat.

Demikian pula dengan PERSB yang diasaskan sekumpulan ahli perniagaan dan golongan professional muda. Berbekalkan komitmen untuk mengubah nasib penduduk luar bandar dijangka terlalu sukar untuk bertapak dan merubah status penaungan pengundi di luar bandar oleh BN. Ia akan menghadapi lalun sama dengan PCM kerana sebagai parti baru, sukar baginya untuk bertapak dalam waktu singkat. Amat sesuai bagi PERSB adalah bergabung di bawah PR dan boleh menerima prinsip pembahagian kerusi yang seimbang menghadapi BN.

Misi PR membawa arus perubahan

Persoalan yang berputar kalangan penganalisis politik kini adalah sejauh mana komitmen PR yang membawa misi arus perubahan dalam senario politik Sarawak; mampukah PR menawan kerusi-kerusi panas yang dimenangi BN sekian lama? Apa pun di sana sudah ada petunjuk, iaitu sikap penolakan pengundi Cina terhadap BN cukup jelas kepada SUPP, di samping sudah berlaku penerimaan baik dan harapan tinggi pengundi kepada misi arus perubahan yang sudah berjaya digerakkan semasa pilihan raya kecil Sibu. Penerimaan dan harapan pengundi itu masih segar dan komitmen pemimpin PR sudah terserlah. Tinggal lagi, bagi memenuhi peluang itu adalah pengisian program mendepani pengundi dan connecting pihak kepimpinan PR dengan pengundi harus diatur secara tuntas.

Sungguh pun begitu, BN negeri Sarawak di bawah kepimpinan Abdul Taib Mahmod cukup sedar dengan perkembangan mutakhir ini dan sedang merungkai segala permasalahan yang tertangguh selama ini kerana janji ditaburkan dalam pilihan raya lalu masih belum terlangsai. Soalannya, apakah rakyat sekian lama terbuai dengan janji akan terus terlena dan pemimpin BN terus gebu dengan keempukan kuasa anugerah rakyat? Hanya rakyat selaku pengundi bakal memberi jawapannya dalam pilihan raya nanti.

Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , ,

PAS Terengganu Ada Isu Besar Yang Akan di Ledakkan

Oleh Wartawan Buletin 
  
KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu ada isu-isu besar berkaitan penyelwengan, rasuah dan salahlaku pentadbiran kerajaan Umno dan Barisan Nasional negeri Terengganu yang akan didedahkan pada masa yang sesuai.

Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib, PAS akan mengejar Umno/BN bagi membuktikan salah laku pemimpin Umno/BN ‘hingga ke lubang cacing’.

“Kita (PAS Terengganu) ada isu-isu yang boleh menggugat dan boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional negeri Terengganu tapi isu ini kita simpan buat sementara waktu untuk kita dedahkan (bila) sampai masanya,” katanya dalam sidang media khas sempena pelancaran kursus Akademi Latihan dan Kepimpinan Negeri Terengganu (ALIM) di Kuala Ibai, dekat sini semalam, 24 Julai.

Menurutnya, banyak isu-isu salah laku dalam pentadbiran yang tidak dianggap salah oleh pemimpin Umno/BN seperti ketidak telusan dan ketidakadilan yang dianggap perkara biasa oeh pemimpin Umno/BN.

Mengulas isu rasuah yang melibatkan seorang ADUN di negeri ini, beliau menyerahkannya kepada pihak mahkamah bagi menentukan hukuman

“Tindakan kepada orang yang telah ditahan polis, kes polis telah berlaku, berlaku tangkapan, maknanya, kita serah kepada mahkamah.
“cuma kita boleh sebut, terdapat salah laku oleh salah seorang ahli dewan undangan negeri sebagaimana yang disiarkan oleh (akhbar dan) SPRM,”jelasnya.

Beliau berkata, tindakan tegas yang tidak dapat diambil segera oleh pihak berkenaan merupakan satu penyelewenga Barisan Nasional didalam pentadbirannya

“Banyak kes diletak dibawah tikar, dibawah bantal, kita tahu di Malaysia ini banyak kes-kes yang tidak mudah didakwa, kenapa fail ini di kebawahkan dan tidak di keataskan,

“seolah-olah SPRM bertindak ‘double standard’ sebab itu negeri tak maju, mundur, agensi-agensi kerajaan tidak bertindak mengikut lunas yang sebenar,”tambahnya

Filed under: News, , , , , ,

PAS Parti Islam Terbesar Di Malaysia

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 1951 kini mengorak langkah lebih jauh sebagai parti yang berteraskan perjuangan Islam dan membawa mesej Islam yang terbesar dinegara ini.

Kita tidak menafikan sumbangan rakan-rakan NGO lain yang turut sama memperjuangkan dakwah Islamiah dinegara ini dan dari semasa ke semasa PAS turut menjalinkan hubungan yang akrab serta saling bekerjasama dengan mereka.

PAS memilih untuk menyertai politik dan pilihanraya sebagai satu wadah bagi menyumbang kepada penyebaran dakwah serta mengangkat martabat umat Islam dinegara ini disamping kekal menjalankan tanggungjawab mengharmonikan hubungan antara kaum dan agama lain.

PAS parti yang mengutamakan keamanan, perpaduan serta berpegang teguh kepada prinsip bahawa akidah Islam dan dasar-dasar Islam mampu memberikan kesejahteraan kepada semua.

PAS bukanlah parti perkauman yang khusus buat kaum-kaum tertentu, tetapi kita tidak nafikan bahawa majoriti ahli PAS adalah dari kalangan umat Melayu. Namun mereka bersama dengan parti ini atas semangat Islam dan bukannya kerana semangat Melayu.

PAS juga jelas berdiri teguh menghormati dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu khususnya dalam aspek agama, budaya, tanah dan juga sosialogi yang lain. PAS prihatin dengan nasib umat Melayu akhir-akhir ini yang sering dijadikan mangsa dasar Liberalisasi dan Model Ekonomi Baru Kerajaan BN yang akhirnya mengecilkan kuota ekuiti Melayu daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus sahaja. Banyak lagi hak Istimewa orang Melayu yang gagal diangkat oleh Umno walaupun mereka bangga mengatakan bahawa merekalah Parti Melayu Terbesar.

PAS sedar kepentingan orang Melayu dan mengajak seluruh umat Melayu untuk bangkit berjuang atas nama Islam, kerana hanya dengan Islamlah mereka akan lebih dihormati. Perpaduan umat Melayu atas nama Islam adalah pilihan terbaik berbanding apa yang ditawarkan oleh Umno, kerana dalam Islam kita tegas mengharamkan apa yang haram dan menghalalkan apa yang halal.

PAS akan terus berjuang untuk semua, kerana PAS yakin setiap yang lahir kedunia ini ada hak untuk diperjuangkan tanpa mengira apa bangsa mereka. Keterbukaan PAS ini jelas dengan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS, dimana sebagai parti Islam kita juga mempunyai sokongan yang kuat kalangan bukan Islam untuk memimpin negara ini.

Pemerintahan PAS di Kedah dan Kelantan berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama yang memberikan kesejahteraan kepada semua bangsa dan agama. Tidak cukup dengan itu, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat jelas memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya. Dan PAS dari semasa ke semasa akan terus menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran Kerajaan yang harus difahami bahawa sesuatu perkara yang ingin dilakukan haruslah bermula dari tangga pertama hingga tangga terakhir secara bijaksana.

Oleh itu, PAS terus menyeru kepada rakyat untuk sama-sama menyertai parti ini, menyokong parti ini dan memberikan kepercayaan untuk parti ini menjadi alternatif kepada Umno menjelang Pilihanraya ke-13.

Idris Ahmad ialah Ketua Penerangan PAS Pusat

Filed under: News, , , , , ,

Kenyataan Hassan: Harussani wajar mohon maaf

Abdul Aziz Mustafa   

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memohon maaf secara terbuka kepada PAS dan seluruh orang Melayu Islam berikutan penjelasan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang menunjukkan mufti itu mwngeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Sambil menyifatkan Harussani melakukan pembohongan yang memalukan, Mahfuz berkata, pengakuan Dr Hassan yang menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Harussani tidak ada agenda khusus membincangkan penyatuan Umno dan PAS sekaligus mendedahkan kedudukan dan peranan Harussani sebagai alat dan pencacai Umno.

“Kenyataan Dr Hassan jelas mendedahkan penyelewengan fakta seorang mufti seperti Harussani. Kekeliruan yang ditimbulkan Harussani serta kesediaan beliau menjadi pencacai Umno sangat memalukan ulama khususnya para mufti yang ada di Malaysia.

“Harussani sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan, sebagai mufti beliau tidak membuat kenyataan yang mengelirukan itu, sedangkan pendedahan Dr Hassan memperjelaskan apa yang dikatakan Harussani adalah tidak benar,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menggesa Harussani tidak membiarkan dirinya terus menjadi pecacai Umno yang sedang tenat dan nazak.

Menurut Mahfuz, berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Dr Hassan, amat jelas bahawa pertemuan tersebut langsung tidak menyentuh soal kerjasama PAS dan Umno.

“Pertemuan tersebut sempena mesyuarat kebangsaan hal ehwal Islam. Dr Hassan juga menyatakan beliau tidak pernah dimandatkan oleh PAS untuk membincangkan dengan Harussani isu kerjasama PAS dan Umno,” kata Mahfuz.

Filed under: News, , , , , ,

Tiada keperluan kerjasama politik dengan Umno

Sumber : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Julai: PAS bukan sahaja menolak malah tidak melihat sebarang keperluan untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno biarpun pelbagai pendekatan mahu digunakan pemimpin parti pemerintah itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempelawa orang tengah dalam menjayakan kerjasama Umno-PAS sebagai sia-sia.

 “Kita dah tutup fail untuk kerjasama dengan Umno dan tak timbul lagi isu ini.

“Guna orang tengah ni menunjukkan Umno kritikal sungguh,” katanya kepada Harakahdaily.

PAS, jelasnya hanya bersetuju bekerjasama atas semangat faderalisme antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat atau “Goverment to Goverment”.

Dalam konteks itu jelasnya, PAS tidak melihat kenapa orang tengah diperlukan.

“Yang kita setuju adalah kerjasama kerajaan dengan kerajaan atas sifat federalisme.

“Selesaikan masalah negeri yang sudah lama tertunggak. Saya pelik kenapa G to G pun kena guna orang tengah,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Lebih menimbulkan persoalan jelasnya, kenapa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dicadangkan menjadi orang tengah untuk kerjasama G to G tersebut.

“Saya pelik kenapa Mufti Perak dicadang jadi orang tengah, sedangkan dia cenderung kepada kerjasama politik PAS-Umno yang kita memang dah tolak,” soalnya pula.

Semalam, Muhyiddin dalam kenyataannya mempelawa mana-mana pihak untuk menjadi orang tengah dalam merealisasikan kerjasama PAS-Umno.

Beliau mempelawa bekas mufti atau Mufti Perak sendiri berbuat demikian.

PAS bagaimanapun tetap berpendirian menolak sebarang bentuk kerjasama politik selain atas semangat federalisma G to G.

“Prinsip Islam, tolong menolong dalam perkara baik dan taqwa, tapi dalam Umno segala macam kemungkaran ada.

“Kita tidak akan mendukung biawak hidup dengan babi hidup,” tegas Tuan Ibrahim.

Filed under: News, , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories