Kalam Perantau

Icon

Bolehkah PAS tawan Terengganu?

Oleh Awang Harun

Hari ini, timbul pula gema ‘PAS Ganti Umno’ yang cuba dan sedang diwujudkan oleh PAS sebagai sebuah parti orang Melayu Islam yang telah lama bertapak di negeri Terengganu Darul Iman.

Kewujudan PAS sejak lebih 50 tahun lalu juga berikutan ‘serpihan’ di kalangan para alim ulama’ yang pernah sama-sama berjuang dalam Umno dan tidak bersetuju dengan dasar-dasar Umno yang bertentangan dengan Islam.

Maka, dalam beberapa siri persidangan golongan ulama’ yang benar-benar berpegang dengan Islam bertindak keluar dari Parti Kebangsaan Nasionalisma Melayu atau Umno.

Sehubungan itu, Umno yang telah lama wujud sejak lebih 60 tahun itu kini telah memasuki usia ‘warga emas’ yang ‘nyanyuk’. Masalahnya, jika panjang umur tetapi ‘beriman’ dan ‘beramal soleh’ tidak menjadi beban.

Tetapi, yang menjadi masalahnya Umno yang telah memasuki usia warga emas itu bukan sekadar ‘nyanyuk’ tetapi diperkatakan orang semakin ‘jahat’, ‘bodoh sombong’ dan ‘gila’ kuasa.

Maka, kali ini menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang mungkin paling awalnya dijangka bulan Jun atau November 2011? atau mungkin Mac 2012? atau mungkin Jun atau November 2012?

Sehubungan itu, PAS kali ini melancarkan ‘gelombang’ agar rakyat sudi membuat perubahan demi masa depan agama, banga dan negara. Gelombang ‘PAS Ganti Umno’ itu diharapkan segera disambut rakyat dan pengundinya.

Persoalannya, bersediakah rakyat dan para pengundi Melayu hari ini membuat perubahan untuk menukar rumah yang telah lebih 60 tahun didiaminya hingga beranak cucu dan bercicit-cuit?

Rata-rata rakyat dan pengundi dibawa masih ‘mamai’ atau ‘pening-pening lalat’ atau ‘mabuk’ dalam membuat pilihan untuk menukar Umno kepada PAS. Kenapa?

Alasannya, kerana adanya Umnolah maka, orang Melayu boleh mencapai kemajuan sehingga hari ini dan kerana orang Melayu-Umnolah membolehkan kita hidup senang. Benarkah begitu wahai rakyat?

Sebenarnya, usahlah biarkan kita rakyat bawahan ini terus-menerus diperbodohkan. Cukuplah wahai rakyat Melayu sekalian. Jadilah, kita seorang manusia yang merdeka jiwa dan mindanya.

Namun begitu, hanya orang Melayu-PAS dan Melayu PKR sahaja yang dikategorikan cerdik dan berjiwa merdeka. Sebab itu, PAS dan PKR yang celik internet pasti akan bebas jiwa dan mindanya.

Hari ini, Umno dan kerajaan Barisan Nasional sudah tidak kuat lagi. Dia hanya bergantung kepada ‘tongkat’ yang masih ada disekelilingnya. Tongkat itu ialah MCA, MIC, Polis dan Tentera, Pegawai dan Kakitanagan Kerajaan.

Jika PAS dan Pakatan Rakyat boleh ‘tawan’ hati golongan tersebut dan hati rakyat dan hati para pengundi. Awang beri jaminan barulah ‘gelombang rakyat’ untuk buat perubahan akan bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Justeru itu, senario politik yang berlaku di Terengganu hari ini, PAS berkeyakinan boleh mengulangi kejayaan memerintah semula negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib berkata PRU ke-13 akan datang boleh jadi seperti PRU ke-10 tahun 1999.

Ini kerana, katanya berdasarkan situasi politik di Terengganu hari ini PAS boleh mengulangi kejayaan pada PRU ke-13 sebagaimana PRU ke-10 dan memerintah semula negeri.

“Kita telah siapkan 30 tawaran PAS kepada rakyat untuk pilihan raya (PRU ke-13) akan datang supaya rakyat boleh membuat perubahan.

“Situasi politik hari ini, PRU ke-13 boleh jadi seperti PRU ke-10 tahun 1999 dan PAS boleh kembali memerintah Terengganu, Insya’Allah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Nadwah Ulama’ PAS Terengganu bertajuk “Cabaran dan Resepi Kemenangan Dalam Konteks Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13” di Markaz Tarbiyyah PAS Kubang Lembek, Manir, 3 Februari lalu.

Namun begitu, katanya ahli dan petugas PAS perlu ‘menghadamkan’ resepi dalaman bagi menghadapi cabaran serta mencapai kemenangan tersebut.

Kata Ustaz Harun, jentera PAS perlu mempelajari ilmu menguasai hati rakyat dan para pengundi dalam pilihan raya.

“Kita, parti dakwah perlu memujuk orang (pengundi) dengan kita menerangkan dasar Islam, kebaikan Islam berbanding dengan dasar parti lain.

“Saya tidak suka ‘menyerang’ dengan bahasa yang kasar dalam ceramah-ceramah kerana tidak disukai oleh orang Umno atau orang atas pagar,” ujarnya.

Antara lain, katanya jentera parti perlu sentiasa bersedia berkorban sama ada yang murah atau mahal, mempunyai pendirian yang tetap dan tabah.

Menurutnya, ahli PAS hendaklah sentiasa taat kepada Allah dan RasulNya, tidak berbantah-bantahan serta bersabar menghadapi halangan dan tentangan.

Awang diberitahu, hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Hussin Awang, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali dan Bendahari PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dan ramai lagi.

Kesimpulannya; “USAH BIAR KESILAPAN KITA HARI INI MENYEBABKAN ANAK CUCU KITA KENCING DI KUBUR KITA DI MASA HADAPAN”

Filed under: News, , , , , , , ,

Analisa Politik Terengganu, Mampukah PAS kembali memerintah?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Berikutan tulisan saya bertajuk Analisa Pilihanraya kecil: Dimanakah kesudahannya strategi politik PAS? dalam Siasah keluaran lepas, bil: 0251 (18-24 Februari, 2011) telah mendapat respons dari beberapa orang kenalan meminta saya mengulas berkaitan dengan pandangan saya terutama berhubung dengan cakap-cakap politik dewasa ini bahawa PAS mempunyai peluang kembali memerintah  Terengganu selepas PRU-13 tidak lama lagi.

PAS telah melepaskan satu peluang yang baik untuk berkuasa semula di Terengganu bagi kali ke-3 dalam PRU ke-12 dimana PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Kedah bersama dengan Pakatan Rakyat serta membentuk kerajaan di Selangor dan Perak pada tahun 2008 yang lepas. Kegagalan PAS menawan Terengganu dalam PRU ke-12 adalah kerana kesilapan strategi atau ada sebab lain?

Saya masih ingat, lebih kurang 9 bulan sebelum PRU ke-12 yang lepas, Ikatan Anak Perantauan Terengganu (Perantau) mengadakan “Seminar : Analisa Politik Terengganu – Mampukah PAS Menguasai Terengganu?” sempena dengan Kongres Anak Terengganu pada Sabtu, 30hb. Jun 2007 di Kuala Lumpur.

Seorang wakil Perantau, Dr. Shafie Abu Bakar membuat satu kertas induk bertajuk ‘Mampukah PAS kuasai Terengganu?’ dan mantan Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberikan ucaptama yang bertajuk, “Kembalikan Pemerintahan Islam di Terengganu” serta saya sendiri memberikan ucapan aluan bertemakan ‘memikirkan masa depan Terengganu!.

Masa depan PAS di Terengganu

Dalam satu kajian lapangan (Perantau, 2007) menunjukkan beberapa fakta yang menarik, iaitu mereka (rakyat Terengganu) tidak kisah siapa yang memerintah, asalkan tidak ganggu kerja mereka (63%), manakala yang mahu memastikan pemerintah (32%) dan yang tidak tahu (5%). Pandangan pihak wanita pula lebih berbeza, tak kisah, jangan ganggu kerja mereka (67 %), perlu pastikan pemerintah (24%) dan tak tahu (9%) (Perantau, 2007: 11 & 19)

Ini menunjukkan penduduk Terengganu bersifat terbuka dan sedia menerima pelbagai parti dan ideologi. Tiada elemen budaya dan dialek bahasa tempatan (seperti Kelantan) yang boleh mengikat rasa ‘kekitaan dan kemegahan’ yang tinggi untuk mempertahankan identiti negeri khususnya bila berada di luar Terengganu di kalangan penduduk negeri Terengganu berbanding dengan penduduk negeri Kelantan.

Kerajaan PAS berjaya memerintah Terengganu sebanyak 2 kali. Kali pertama bertahan selama 2 tahun 4 bulan (1959 hingga 1961) pimpinan (Allayarham) Daud Samad sebagai Menteri Besar dan kemudiannya selama satu penggal sahaja pada kali kedua (1999-2004) pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar.

Setakat ini PAS hanya mampu bertahan memerintah Terengganu tidak lebih dari satu penggal  berbanding di Kelantan. Kali pertama kerajaan PAS Kelantan bertahan selama 18 tahun dan kali kedua bertahan sehingga sekarang (telah melebihi 20 tahun).

Semasa berkuasa selama 4 tahun (1999-2004) di Terengganu, PAS berusaha mewujudkan pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat seperti pembahagian tanah kepada rakyat, menghapuskan cukai pintu dan tol serta berusaha melaksanakan pemerintahan Islam di Terengganu tetapi disebabkan berbagai halangan dari segi ekonomi dan politik, kemampuan mereka dilihat sebagai terhad.

Selepas kekalahan PAS kepada UMNO (BN) pada pilihanraya 2004, PAS seharusnya telah mengatur langkah bagi memulihkan kekuatan bagi menguasai pemerintahan di Terengganu. Mengikut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib, “perancangan untuk merampas semula telah berlaku lama sejak 2004 lagi, selepas Terengganu dirampas semula oleh BN…Bermula tahun ini, kita mulakan satu langkah baru daripada persiapan peribadi sehingga menyerang BN dengan slogan yang digunakan diperingkat pusat, iaitu “PAS Ganti UMNO”.

ADUN Manir tersebut berkata, “kita sudah mula bergerak untuk menyakinkan rakyat negeri Terengganu bahawa PAS mesti menggantikan UMNO. Sekarang ini kita sudah menyerang. Kita menerangkan kepada rakyat tentang penyelewengan-penyelewengan yang dibuat oleh kerajaan BN Terengganu, ketidakupayaan UMNO BN Terengganu memberikan kesegaran kepada rakyat negeri itu”.

Diperingkat ‘grass root’ rakyat bermuafakat sesama mereka, dan kata orang Terengganu…”tahun ini kita ubah (kerajaan) sekali”, kadang-kadang bukan orang PAS sahaja, orang UMNO pun sama juga. Mereka mahu berubah kepada kerajaan PAS”, tegas beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Pengundi memberi sokongan politik bergantung kepada isu semasa. Dari segi psikologi dilihat jiwa dan fikiran rakyat Terengganu kurang berstrategik sebagaimana pengundi di Kelantan, sebaliknya dilihat sebagai ‘mudah berubah angin dan berubah rasa’. (Dr. Shafie Abu Bakar, Analisa Politik Terengganu: Mampukah PAS Kuasai Terengganu: 10)

Di sini pentingnya adunan diantara calon lama dan baru berdasarkan kelayakan dan kesesuaian. Kelapan-lapan ADUN sedia ada terdiri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Rhu Rhendang), Dato’ Harun Taib (Manir), Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), Dr. Syed Azman Syed Nawawi (Batu Burok), Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Landang), Wan Hassan Mohd Ramli (Sura), Mohd Nor Hamzah (Bukit Payong) dan Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal) boleh dipertaruhkan sebagai “muka lama” yang akan mempertahankan kerusi masing-masing.

Daripada 24 kerusi berbaki yang masih dipegang oleh BN, PAS hanya memerlukan 9 kerusi sahaja lagi (dengan syarat 8 kerusi diatas kekal)  untuk membentuk kerajaan ke-3 PAS yang baru di Terengganu. Di sinilah letaknya kebijaksanaan percaturan politik Datuk Harun Taib sebagai “nakhoda” atau Pesuruhjaya PAS di Terengganu.

Dalam menghadapi PRU ke-13 nanti, PAS mesti bijak membuat percaturan politik dalam usahanya menggantikan UMNO di Terengganu. Pemilihan calon pilihanraya hendaklah dari kalangan berkelayakan yang boleh menang dan menepati kehendak pengundi serta dilihat sebagai satu pasukan yang boleh memberikan “harapan baru” kepada PAS memerintah negeri Terengganu.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: News, , , , , , , , ,

100 Hari: Rakyat Terengganu yakin dengan PAS

Oleh AZIZ MUDA   

KUALA LUMPUR : PAS mempunyai harapan cerah untuk menang di Terengganu dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 nanti, berdasarkan perkembangan terkini yang memperlihatkan rakyat negeri itu sudah mempunyai alternatif untuk ubah kerajaan dari yang ada sekarang kepada PAS atau Pakatan Rakyat.

Momentum itu diketahui oleh PAS Terengganu berdasarkan kajian terkini yang dilakukan dan ia turut dikesan oleh Umno, sehingga menyebabkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri terpaksa diserahkan oleh Datuk Hishammuddin Tun Hussein kepada Menteri Besar Terengganu sendiri, Datuk Seri Ahmad Said. 

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib menegaskan, punca-punca yang menyebabkan rakyat Terengganu mula mempunyai alternatif untuk mengubah kerajaan yang ada kini agak banyak.

Menurut beliau, antaranya termasuklah kekecewaan rakyat Terengganu kepada kerajaan BN negeri itu yang gagal memberikan kesegaran kepada seluruh rakyatnya.

“Faktor itu pula disokong oleh kegagalan Umno BN yang memerintah negeri Terengganu dalam membasmi kemiskinan, sehingga menyebabkan orang ramai berfikir kenapa mereka tidak boleh menggantikan Umno BN kepada PAS,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Janji 100 hari Pakatan Rakyat, katanya, turut memberikan kesan baik kepada PAS di Terengganu, apabila rakyat negeri itu sendiri lebih yakin kepada PAS berbanding Umno BN untuk melakukan pembaharuan yang diharapkan oleh mereka.

“Janji yang dibuat oleh Pakatan Rakyat itu tidak kosong, tetapi mempunyai asas yang kukuh berdasarkan keupayaan para pemimpin Pakatan Rakyat untuk melakukannya.

“Ia juga bersesuaian dengan potensi kewangan negara yang sememangnya mencukupi untuk memberikan keselesaan kepada rakyat sekiranya ia diurus dengan baik. Manakala para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat pula sudah terbukti kejujurannya dan mereka tentunya tidak membuat janji kosong kepada rakyat,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, menurut beliau, PAS negeri itu turut mempunyai peluang yang lebih baik untuk menawan Terengganu dengan pertukaran Hishamuddin kepada Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

“Perubahan itu sebenarnya bukan merumitkan, malah semakin memudahkan PAS untuk menawan Terengganu kerana Datuk Ahmad Said dilihat tidak pandai mentadbir dan mengurus kewangan oleh sesetengah pihak dalam Umno sendiri,” ujarnya.

Maknanya, menurut beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, pergolakan dalam Umno sendiri gagal diselesaikan oleh Umno Terengganu dengan baik. Ini menyebabkan para penyokong Umno sendiri memandang PAS jauh lebih baik dan berkeupayaan untuk mentadbir negeri dengan baik sekiranya diberikan mandat untuk memerintah negeri itu dalam PRU Ke-13 nanti.

Dalam masa yang sama pula, PAS terus melangkah ke hadapan dengan strategi-strateginya yang tersendiri dalam usaha memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai dasar-dasar parti itu.

Antara perancangan terkini yang dilakukan mulai tahun ini termasuk langkah mula menyerang Umno BN dengan slogan “PAS Ganti Umno” yang telah dilancarkan secara tertutup di Kuala Ibai baru-baru ini, dengan dihadiri lebih 1,000 orang pemimpin PAS negeri itu.

Pada 15 Januari ini, program itu akan diadakan secara terbuka di Dataran Tok Guru, Cukai, Kemaman dan kemudian akan disusuli pula di daerah-daerah lain di seluruh Terengganu.

Serangan yang akan dilakukan oleh PAS terhadap Umno dengan memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat tentang penyelewengan Umno BN kepada rakyat selama ini.
Dengan itu, rakyat pasti akan menjadi lebih sedar tentang kesilapan mereka yang memberikan mandat kepada Umno BN untuk memerintah Terengganu, malah Malaysia selama ini.

“Dalam masa yang sama, kita juga akan terus memberikan penjelasan kepada orang ramai tentang dasar-dasar PAS dengan dasar Islam, bagi membolehkan orang ramai berfikir dengan sendirinya betapa lebih baik kepada mereka jika mereka memberikan kepercayaan kepada PAS bagi mengganti Umno untuk memerintah Terengganu, menepati slogan kita itu sendiri,” tegasnya.

Filed under: News, , , , , , ,

Kes Khir Toyo : Perlu adil dalam siasatan

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bersikap adil dalam siasatannya, walaupun jika ia melibatkan pemimpin daripada kalangan parti pemerintah.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, walaupun enggan mencampuri kes melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kerana dilihat lebih bersifat peribadi, namun beliau berpendapat, SPRM perlu lebih telus.

Menurutnya, sekiranya Mohamad Khir didapati bersalah, dia perlu dihukum dan jika terbukti sebaliknya, dia perlu dibebaskan.

“Kita ada mahkamah dan perlu mengikut prosedur sepatutnya. Bagi saya, siapa yang salah, tetap salah dan siapa yang betul, perlu mendapat pembelaan.

“Dalam kes ini, saya rasa semua pihak perlu bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian

Filed under: News, , , , , ,

Majlis Perantau: Terimakasih Dato PJ Ganu Kite !

oleh:tokpepijat

Majlis Perantau yang diadakan oleh PAS Terengganu bagi meraikan anak-anak Terengganu yang tinggal di luar Terengganu berlangsung hari ini dengan kehadiran yang memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.

Majlis yang diadakan di Markaz PAS Kuala Terengganu juga kali ini turut dihadiri oleh pimpinan tertinggi PAS seperti Presiden, Setiausaha Agung dan Ketua Dewan Ulamak.

Saudara Suhaimi Al Maniri mempengerusikan sesi dialog.

Lebih memeriahkan majlis dengan kesudian Presiden TG Haji Hadi Awang untuk turut bersama berdialog bersama perantau setelah 3 tahun beliau sekadar memberi ucapan perasmian.

Slot dialog yang diadakan selepas ucapan perasmian oleh TG Presiden lebih didominasikan oleh kalangan mahasiswa.

Saya sebagai anak Terengganu juga turut hadir dan sertai dialog terebut. Antara pertanyaan dan kongsi bicara yang diutarakan oleh saya ialah berkenaan perhargaan oleh kerajaan PAS kepada golongan perantau seandainya PAS dapat menguasai semula Terengganu dalam PRU 13 nanti.

Saya berpendapat seharusnya pimpinan PAS juga memikirkan jasa dan pengorbanan mereka. Antara cadangan saya agar perantau yang tidak mempunyai tanah dan rumah di Terengganu dipertimbangkan untuk dikurnia rumah walaupun sekadar Rumah Murah.

Ini kerana bukan semua perantau mempunyai tanah dan rumah semasa mereka meninggalkan bumi Terengganu untuk mencari rezeki di luar. Ada dikalangan mereka menyewa, tinggal di kawasan perkuburan dan setinggan (tiada geran).

Apabila mereka berhijrah ke negeri lain, mereka juga menyewa dan tinggal di kawasan setinggan.

Tetapi pengorbanan dan kesetiaan mereka terhadap PAS adalah tinggi. Setiap pilihanraya, mereka sanggup tinggalkan sementara kerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang balik menaiki bas ekspress menuju Terengganu untuk mengundi PAS.

PAS Terengganu seharusnya tidak lepas pandang dalam soal ini.

Jika Kerajaan Terengganu semasa PAS memerintah boleh bagi tanah kepada pemain bola yang pakai seluar pendek semata-mata kerana menang Piala Malaysia 2001, mengapa anak rantau tidak mendapat layanan demikian?

Rendah benarkah taraf anak rantau yang setia dan berkorban untuk Islam berbanding pemain bola pada kacamata pimpinan PAS Terengganu?

Kerajaan dicadang agar buat kawasan perumahan untuk anak rantau yang layak. Apabila mereka balik mengundi, rumah itu boleh dijadikan tempat menginap. Ataupun ini satu galakkan agar anak rantau pulang berkhidmat di bumi Terengganu.

Alhamdulillah, cadangan saya diberi respon positif oleh Dato PJ Ustaz Harun Taib semasa bersalaman dengan beliau di akhir majlis.

Filed under: News, , , , , ,

Pemimpin Umno ‘Baham’ Komisyen Projek

https://i0.wp.com/buletinonline.net/images/stories/berita31/P1170553.JPGKUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib mendakwa ada di kalangan pemimpin Umno memperolehi komesyen dari projek-projek di negeri ini.

Ini kerana, katanya peruntukan tambahan yang dibuat oleh kerajaan Umno-BN Terengganu melebihi bajet asalnya.

“Saya dapati tambahannya lebih banyak dari peruntukan asal. Peruntukan asal (pejabat Menteri Besar & Setiausaha Kerajaan) RM106 juta dan peruntukan tambahan yang dikehendaki RM127 juta.

“Saya dapati dalam setengah kawasan saya (Manir) ada (projek) rumah mampu milik di Batu Hampar. Peruntukan dalam anggaran dulu RM3 juta dan tambahannya RM10 juta.

“Apa yang saya khuatir dan bimbang ialah pungutan ‘tol’ (komesyen) daripada jumlah projek ini. Ada orang yang dapat kutipan ‘tol’ dari projek ini. Projek RM10 juta, ‘tol’ RM2 juta dan yang RM2 juta itu ‘hilang’ sahaja,” tegasnya.

Beliau yang juga ADUN Manir berkata demikian ketika perbahasan peruntukan tambahan sebanyak RM157 juta di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Ke-12, di Wisma Darul Iman, dekat sini, 9 Ogos.

Menurutnya, adakah peruntukan asal itu tidak dikaji dengan teliti atau berlaku sesuatu di dalam perjalanan projek tersebut.

Katanya, pemberian ‘tol’ atau komesyen tertentu boleh merugikan rakyat serta menjejaskan kualiti pembinaan sesuatu projek.

Ustaz Harun menjelaskan kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh kemungkinan berlaku pembinaan secara tidak sempurna.

“Sebagaimana berlaku (runtuh) kepada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kompleks sukan itu belanja banyak (mahal) tapi kompleks tidak kompleks.

“Jadi runtuh mungkin kerana tidak cukup duit untuk buat sempurna kerana duit sudah bagi ‘tol’ (komesyen).

“Saya hendak mengingatkan ‘tol’ (komesyen) itu membahaya, merugikan rakyat dan kualiti rumah yang kita (kerajaan) bina adalah rendah (tiada kualiti),” ujarnya.

Beliau menasihatkan kerajaan negeri agar memantau serta mengkaji pembayaran ‘tol’ yang melibatkan pihak tertentu.

Filed under: News, , , , , ,

Menjelang PRU13, Guru boleh berpolitik?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Gendang pilihanraya telah mula dipalu. Sejak, BN (SUPP)  kalah dalam pilihanraya kecil Miri baru-baru ini, Perdana Menteri dan timbalannya telah memberikan lebih perhatian terhadap Sarawak, satu-satunya negeri yang UMNO “tiada berkuasa”.

Sejak itu, beberapa kali melakukan lawatan-lawatan politik ke negeri Sarawak dengan memberikan “gula-gula pilihanraya”.  Ramai pemerhati politik menjangkakan bahawa pilihanraya umum ke-13 nanti akan diadakan serentak dengan pilihanraya Negeri Sarawak bagi menjimatkan kewangan negara. Sarawak menjadi tumpuan parti-parti Pakatan Rakyat (PR).

Dalam keadaan yang sedikit terdesak, UMNO dan BN mula mendekati semula guru-guru yang menjadi tonggak kepada perjuangan UMNO sejak awal lagi. Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48  dibenarkan melibatkan diri dalam politik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Bagi tujuan itu, Mohd. Sidek berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Langkah ini akan menjadikan guru-guru kumpulan A terpaksa aktif semula dalam politik dalam politik parti-parti pro kerajaan untuk peningkatan kerjaya mereka dalam bidang pendidikan. Mana mungkin Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian Pelajaran untuk membenarkan guru-guru aktif dalam parti-parti tidak pro kerajaan.

Berikutan pengumuman tersebut, ia membolehkan kira-kira 190,000 guru berijazah di seluruh negara terlibat dalam politik. Disebabkan institusi sekolah dan guru-guru  dipandang tinggi oleh masyarakat setempat. wajarkah guru-guru ini dibenarkan berpolitik semasa berkhidmat?

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan terus menyokong langkah ini dan dilaporkan berkata, adalah sesuatu yang positif apabila semakin ramai golongan pendidik berminat menyertai politik seperti mana sekarang kerana ia membantu mewujudkan lebih ramai pemimpin pelapis pada masa akan datang dalam menyuburkan budaya politik rasional kerana golongan pendidik adalah individu yang mempunyai wibawa dan pendidikan yang diperlukan seseorang pemimpin. Golongan pendidik seperti pengetua dan guru besar diperlukan untuk menyumbang pandangan dan idea memajukan Negara.

Sementara Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad mengharapkan tidak ada pilih kasih ketika kebenaran diberi samada mereka hendak aktif pembangkang atau kerajaan,  kerana kuasa muktamad kebenaran ini terletak kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran. Sekiranya ada unsur pilih kasih maka kebenaran ini tidak ada apa-apa makna untuk penyuburan demokrasi di negara ini.

PPD arah sekolah hantar wakil ke Mesyuarat UMNO

Sekarang ini pun, sekolah-sekolah telah pun dijadikan tempat mesyuarat-mesyuarat parti-parti politik tertentu. Dengan kebenaran ini, makain rancaklah sekolah-sekolah dijadikan tempat persidangan parti-parti politik. Pendekatan serampang dua mata oleh kerajaan ini akan menjadikan institusi pendidikan terutama sekolah-sekolah menjadi medan politik semula.

Dalam keadaan belum dibenarkan lagi guru-guru berpolitik, Pejabat Pelajaran Daerah di Terengganu telah mengambil langkah pro aktif dengan “memaksa” guru-guru hadir ke mesyuarat perwakilan UMNO. Sebagai contoh, mengikut Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Selain dari cerita empat orang ADUN Umno dalam Bahagian Setiu yang tidak hadir dalam Lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Setiu, ada lagi cerita lain yang menarik. Mereka terpaksa mengerah dan mengarahkan guru-guru sekolah untuk hadir mesyuarat itu. Setiap sekolah diminta (wajib) menghantar lima hingga 20 orang ke mesyuarat itu.

Jelas bahawa Umno Terengganu sudah hilang sokongan, pemimpin utama di peringkat Bahagianpun boleh boikot mesyuarat perwakilan mereka yang penting. Bagaimanapun Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selalu menegaskan bahawa krisis kepimpinan Umno di negeri ini sudah selesai. Tetapi insiden terbaru ini, jelas menggambarkan kepada kita bahawa perpecahan dalaman Umno semakin parah.

Manakala Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib, PAS akan mengejar Umno/BN bagi membuktikan salah laku pemimpin Umno/BN ‘hingga ke lubang cacing’. Menurutnya, banyak isu-isu salah laku dalam pentadbiran yang tidak dianggap salah oleh pemimpin Umno/BN seperti ketidak telusan dan ketidakadilan yang dianggap perkara biasa oeh pemimpin Umno/BN.

Beliau dilaporkan dalam Buletin Online berkata, “Kita (PAS Terengganu) ada isu-isu yang boleh menggugat dan boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional negeri Terengganu tapi isu ini kita simpan buat sementara waktu untuk kita dedahkan (bila) sampai masanya,” katanya dalam sidang media khas sempena pelancaran kursus Akademi Latihan dan Kepimpinan Negeri Terengganu (ALIM) di Kuala Ibai, dekat sini semalam, 24 Julai.

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , ,

PAS Terengganu Ada Isu Besar Yang Akan di Ledakkan

Oleh Wartawan Buletin 
  
KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu ada isu-isu besar berkaitan penyelwengan, rasuah dan salahlaku pentadbiran kerajaan Umno dan Barisan Nasional negeri Terengganu yang akan didedahkan pada masa yang sesuai.

Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib, PAS akan mengejar Umno/BN bagi membuktikan salah laku pemimpin Umno/BN ‘hingga ke lubang cacing’.

“Kita (PAS Terengganu) ada isu-isu yang boleh menggugat dan boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional negeri Terengganu tapi isu ini kita simpan buat sementara waktu untuk kita dedahkan (bila) sampai masanya,” katanya dalam sidang media khas sempena pelancaran kursus Akademi Latihan dan Kepimpinan Negeri Terengganu (ALIM) di Kuala Ibai, dekat sini semalam, 24 Julai.

Menurutnya, banyak isu-isu salah laku dalam pentadbiran yang tidak dianggap salah oleh pemimpin Umno/BN seperti ketidak telusan dan ketidakadilan yang dianggap perkara biasa oeh pemimpin Umno/BN.

Mengulas isu rasuah yang melibatkan seorang ADUN di negeri ini, beliau menyerahkannya kepada pihak mahkamah bagi menentukan hukuman

“Tindakan kepada orang yang telah ditahan polis, kes polis telah berlaku, berlaku tangkapan, maknanya, kita serah kepada mahkamah.
“cuma kita boleh sebut, terdapat salah laku oleh salah seorang ahli dewan undangan negeri sebagaimana yang disiarkan oleh (akhbar dan) SPRM,”jelasnya.

Beliau berkata, tindakan tegas yang tidak dapat diambil segera oleh pihak berkenaan merupakan satu penyelewenga Barisan Nasional didalam pentadbirannya

“Banyak kes diletak dibawah tikar, dibawah bantal, kita tahu di Malaysia ini banyak kes-kes yang tidak mudah didakwa, kenapa fail ini di kebawahkan dan tidak di keataskan,

“seolah-olah SPRM bertindak ‘double standard’ sebab itu negeri tak maju, mundur, agensi-agensi kerajaan tidak bertindak mengikut lunas yang sebenar,”tambahnya

Filed under: News, , , , , ,

Kaum lain terima negara Islam acuan Pas

KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib menganggap hanya Pengerusi DAP, Karpal Singh sahaja tidak memahami konsep penubuhan negara Islam acuan Pas sehingga sanggup menimbulkan semula kontroversi dengan membantah perkara itu.

Menurutnya, Pas tidak perlu membuat penjelasan rasmi kepada beliau kerana pendirian tersebut sudah lama diperkatakan di mana golongan bukan Islam lain telah memahaminya.

Katanya, sudah banyak ceramah diadakan dan hanya Karpal sahaja yang tidak hadir mendengar penerangan mengenai perkara itu menyebabkan Karpal sehingga kini tidak faham.

“Kita sudah buat banyak ‘round’ dengan DAP melibatkan orang Cina dan India, mereka boleh terima, cuma Karpal sahaja yang tidak hadir majlis kita. Jadi, penjelasan secara rasmi tidak perlu,” katanya kepada :Sinar Harian: ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Karpal yang sebelum ini tetap dengan pendiriannya membantah penubuhan sebuah negara Islam acuan Pas.

Harun yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, isu tersebut sudah lama dibangkitkan sejak 1980-an lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan isu yang timbul sekarang sengaja dibangkitkan dengan tujuan memanaskan keadaan ketika berada di ambang prapilihan raya umum.

“Biasa kalau dekat dengan pilihan raya umum, media akan cuba mencetuskan kontroversi. Melihat perkembangan ini, kita rasa pilihan raya umum sudah dekat,” katanya.

Sehubungan itu, Harun percaya, isu berkenaan yang dilihat hangat dikaitkan dengan Pas tidak akan sesekali mengeruhkan hubungan kerjasama parti itu dengan DAP

Filed under: News, , , , , ,

Pengundi mahu perubahan – Ustaz Harun Taib

KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib menegaskan beliau tidak bercakap kosong mengenai isu kerjasama yang diberikan kumpulan tertentu dalam UMNO bagi memastikan kemenangan Pas pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun katanya, kerjasama itu tidak membabitkan kepimpinan utama parti itu, sebaliknya melibatkan penyokong UMNO peringkat bawahan yang memberi harapan kepada Pas membuat perubahan.

Menurutnya, mereka terdiri daripada golongan yang memikirkan soal masa depan parti dan kepentingan negeri.

“Ia membabitkan kepimpinan bawahan dan pengundi yang memikirkan masa depan. Jika antara Ahli Jawatankuasa (AJK) kawasan dan bahagian, mereka memang kuat dengan parti masing-masing.

“Bagi kami, bukan semua pengundi berfikir sedemikian tetapi kesedaran dalam kalangan pengundi tinggi untuk memastikan kami membuat perubahan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bahawa ada kumpulan tertentu dalam Pas bekerjasama dengan UMNO bagi memenangkan parti itu.

Harun bagaimanapun menganggap kenyataan Wan Farid hanya sekadar membalas kenyataan beliau sebelum ini yang mengatakan terdapat kumpulan tertentu dalam UMNO menyokong Pas demi kemenangan parti itu kelak.

“Itu hanya retorik dan beliau tiada benda untuk menjawab. Bagaimana UMNO nak menang sekiranya orang UMNO sendiri tidak beri kerjasama. Pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tahun lalu pun, orang UMNO memberi undi kepada Pas,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan Wan Ahmad Farid bahawa Parlimen Kuala Terengganu akan terus menjadi kawasan Pas sekiranya pemimpin UMNO bahagian itu bertanding pada pilihan raya umum.

“Kita ingatkan, dalam kawasan Kuala Terengganu, jika Wan Ahmad Farid bertanding, orang akan sokong Pas,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Filed under: News, , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,104 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories