Kalam Perantau

Icon

Politik Terengganu suam-suam kuku, kemana Ahmad Said selepas ini?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kemunculan semula Kalam Perantau dalam akhbar harakah Edisi Jumaat (bil 2120; 5-7 Februari, 2016) menyebabkan rakan-rakan bertanya kenapa saya tidak menulis tentang politik Terengganu? Ada yabg hantar Private Message dan sebagainya.

Saya sendiri tidak ingat bila kali terakhir saya menulis tentang politik Terengganu?

Dalam satu artikel bertajuk Politik Terengganu Selepas Ahmad Said, Peluang PAS makin Sukar? dalam Kalam Perantau pada 24hb Februari, 2010 menyebut, “Bagi saya peluang PAS dan UMNO di Terengganu tetap seimbang, cuma peluang mungkin lebih berpihak kepada BN kerana beberapa faktor. Tetapi anak-anak muda yang baru kenal politik ini masih tidak berpuashati kerana mereka begitu yakin bahawa PAS Terengganu tidak ada peluang jika PAS tidak berani berubah setelah mereka melihat kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang mirip kepada politik perdamaian dan mesra PAS”.

Setahun kemudian, sekali lagi saya menulis satu artikel pada 22hb Februari 2011 bertajuk Analisa Politik Terengganu, Mampukah PAS kembali memerintah? dalam Kalam Perantau menyebut, “PAS telah melepaskan satu peluang yang baik untuk berkuasa semula di Terengganu bagi kali ke-3 dalam PRU ke-12 dimana PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Kedah bersama dengan Pakatan Rakyat serta membentuk kerajaan di Selangor dan Perak pada tahun 2008 yang lepas. Kegagalan PAS menawan Terengganu dalam PRU ke-12 adalah kerana kesilapan strategi atau ada sebab lain?

Tulisan penuh berkaitan artikel diatas dan beberapa tulisan yang lain yang berkaitan dengan politik PAS Terengganu boleh dirujuk dan dibaca secara online dalam kalam perantau (https://kalamperantau.wordpress.com) tersebut.

Bila rakan-rakan media dan kenalan-kenalan politik meminta pandangan saya tentang politik Terengganu dalam pilihanraya umum ke-14 nanti, saya masih berpendirian seperti yang saya tulis beberapa tahun sebelum ini seperti sebelum PRU ke-13 yang lepas.

Pada saya, PAS telah ‘terlepas’ peluang untuk kembali ke Wisma Darul Iman dalam dua pilihanraya umum 2008 dan 2013 sebelum ini. Dalam tulisan kali ini saya tidak berminat untuk tulis berkaitan dengan politik PAS Terengganu kerana tiada apa yang baru untuk diperbincangkan di sini.

Malah seorang pemimpin kanan PAS (tak perlu saya sebutkan namanya) bertanya pandangan saya tentang kemampuan PAS tawan Terengganu pada PRU ke-14 nanti, secara jujurnya saya beritahu kepada pemimpin berkenaan untuk mencari ‘wow factor?’ atau mencari ‘X factor’ yang perlu ada untuk rakyat Terengganu beri undi kepada blok PAS dalam PRU ke-14 nanti.

UMNO Terengganu di hujung tanduk?

Politik UMNO Terengganu bergolak sebaik sahaja Ahmad Said yang membelakangkan kehendak kepimpinan UMNO Pusat dan Negeri menerima perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas UMNO/BN menang semula Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008.

Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh. Sultan Terengganu tidak dapat menerima perlantikan semula Datuk Idris Jusoh untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu.

Sejak itu, UMNO Terengganu seolah-olah mempunyai dua blok dan dua nakhoda, satu team yang setia kepada Idris Jusoh (ADUN Jertih) dan satu team lagi yang ‘menerima’ jawatan exco kerajaan negeri dan bekerjasama Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kemudiannya.

Dalam pilihanraya umum ke-13, kebangkitan semula PAS menyebabkan UMNO Terengganu dibawah teraju Ahmad Said kecundang lebih banyak kerusi, yakni 15 kerusi DUN (14 kepada PAS dan 1 kerusi kepada PKR) dan hanya tinggal 17 kerusi sahaja daripada 32 kerusi DUN.

Menjadi cakap-cakap politik dikalangan UMNO, Ahmad Said akan dilantik sebagai Menteri Besar sementara selama setahun selepas PRU ke-13 bagi membolehkan UMNO mengenal pasti pengganti yang sesuai bagi menghadapi PAS dalam PRU ke-14 nanti kerana UMNO yakin kecundang jika Ahmad Said masih menjadi peneraju UMNO Terengganu menjelang PRU ke-14 nanti.

Beberapa nama ADUN disebut-sebut untuk menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru, tetapi akhirnya Pengerusi Jawatankuasa Sains,  Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, ADUN Seberang Takir dan juga Ketua UMNO Kuala Nerus dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12hb Mei, 2014.

Untuk rekod, Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari Umno (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman dari Umno (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman  dari Umno (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari Umno (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari Umno (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said dari Umno (2008-2014).

Beberapa jam selepas berundur daripada tampuk kekuasaan pemerintahan negeri selaku Menteri Besar, Ahmad Said (Adun Kijal), mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas. Turut mengambil tindakan sama keluar parti adalah Adun Ajil, Ghazali Taib.

Disebabkan gara-gara Ahmad Said dan Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi Adun bebas, politik Terengganu bergolak dan tidak menentu selama 2 hari sebaik sahaja Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bila bilangan adun UMNO/BN mempunyai jumlah yang sama dengan pembangkang (PAS dan PKR) terikat pada kedudukan 15 – 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap gabungan dalam DUN yang mempunyai majoriti 32 kerusi – pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Sejarah hitam ini tentu sahaja bukan hanya memalukan Razif, Menteri Besar yang baru dlantik ketika itu tetapi juga memalukan UMNO itu sendiri yang sehari selepas hari ulang tahun Umno yang disambut pada 11Mei setiap tahun.

Rasanya itulah satu satu pilihan yang ada pada Ahmad Said melepaskan amarahnya kepada BN yang mengarahkannya meletakkan jawatan Menteri Besar ketika sedang mengadakan ‘kenduri’ perkahwinan anak beliau akan berlangsung pada 17hb Mei 2014 menyebabkan Najib dan UMNO ‘panik’ seketika ketika itu dan seterusnya menghadapi kocakan politik dalam ‘cawan kopi’ Ahmad Said sehingga DUN Terengganu dibubarkan untuk PRU ke-14 nanti.

Selepas tidak lagi menjadi pemimpin utama parti UMNO di peringkat negeri Terengganu dengan hanya menjadi Ketua UMNO Kemaman sahaja, sejauh mana kesan-kesan pengaruh Ahmad Said kepada politik UMNO di Kemaman khususnya di Kijal. Apa yang menarik untuk dilihat sekarang ini adalah kemana politik Ahmad Said selepas ini. Tentu sahaja ianya bukan lagi pilihan utama Umno Terengganu untuk bertanding semula di Kijal.

Sebagai anak Terengganu, saya juga mengikuti perkembangan politik Terengganu secara dekat dan jauh sejak kenal erti politik pertengahan dekad 1980’an yang lalu. Saya tidak dapat membuat kesimpulan pada peringkat ini tetapi membiarkan politik ‘suam-suam kuku’ di Terengganu ini kepada semua pihak yang berkepentingan bagi melihat perkembangan selanjutnya menjelang PRU ke-14 nanti.

Filed under: Harakah, , , , , , , , ,

Harakah, Kalam Perantau dan Pilihanraya Sarawak

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Sudah lama kolum Kalam Perantau tidak ditulis secara tetap dan berkala. Sebelum ini, kolum Kalam Perantau ini (https://kalamperantau.wordpress.com) adalah ditulis seminggu sekali untuk pembaca akhbar Siasah.

Hari ini Isnin 1hb Februari, 2016 saya berkesempatan meluangkan sedikit masa untuk menulis kembali kolum Kalam Perantau setelah dipelawa oleh Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Sdr. Wan Nordin untuk tatapan pembaca Harakah.

Saya diberitahu Harakah sukar didapati di Sarawak. Saya ada diberitahu, sekitar 2,000 naskah sahaja Harakah yang beredar di Sarawak. Saya kira sejumlah itu juga beredar di Sabah. Cukupkah dengan jumlah itu untuk rakyat atau pengundi Sabah dan Sarawak mendapat maklumat terus dari PAS?

Jika di Semenanjung akhbar harakah sukar diperolehi, bagaimana agaknya dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang mempunyai rangkaian perhubungan jalanraya yang tidak sebaik di Semenanjung untuk mendapatkan akhbar Harakah ini?.

Mungkin PAS kena mempertimbangkan untuk mengadakan edisi Sabah dan Sarawak, malah berusaha memcetak akhbar berkenaan di Sabah dan Sarawak pada masa hadapan untuk membolehkan PAS terus berkembang di kedua-dua negeri berkenaan.

Bila akhbar Harakah sukar didapati di Sarawak atau terhad pengedarannya, bagaimana mungkin maklumat hendak disalurkan kepada rakyat Sarawak untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan dan seterusnya berubah untuk memilih PAS dalam pilihanraya Sarawak yang akan diadakan. Malah ada mencadangkan agar dermawan-dermawan membeli pada harga kos untuk diedarkan dalam pilihanraya Negeri Sarawak nanti.

Untuk mengatasi masalah komunikasi dan birokrasi di Sabah dan Sarawak, Harakah sudah memperkenalkan ePaper Harakah (eharakah) sejak 2009 lagi dan mulai tahun 2015, epaper telah menjadi sebahagian produk digital kad Istiqamah yang dilancarkan pada Muktamar PAS ke61 pada Jun tahun lepas.

Masa menghadiri Konvensyen Usahawan (koUSAHA) pada 16hb Januari, 2016 di Hotel Everly, Putrajaya. Saya telah bertemu seorang wakil PAS Sarawak, Abang Raini yang bersedia menjadi ejen Kad Istiqamah di Kuching, Sarawak.

Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11

Saya ke Sarawak tiga hari, 29-31hb Januari untuk meninjau perispan PAS bagi menghadapi pilihanraya Sarawak. DUN Sarawak bakal dibubarkan dalam masa terdekat dan pilihanraya negeri diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Malah telah terdapat khabar-khabar angin yang berlegar-legar dalam aplikasi maya khususnya whatsapp yang DUN Sarawak bakal dibubarkan pada 25hb Februari, 2016 sebaik sahaja selepas perayaan tahun baru Cina diadakan dan pilihanraya diadakan pada bulan April, 2016 .

Sama ada benar atau tidak DUN Sarawak dibubarkan pada tarikh tersebut, tiada siapa pun yang tahu lagi setakat ini. Ianya masih menjadi rahsia, Tan Sri Adenan Satem, Ketua Mentri Sarawak bila dia hendak bubar DUN Sarawak bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menguruskan Pilihanraya Negeri Sarawak yang ke-11.

Tetapi Adnan Satem membuat satu kejutan, dia beritahu telah membincangkan dengan wakil SPR untuk mengadakan PRN ke-11 Sarawak pada 30 April, 2016 dengan penamaan calon pada 18hb April 2016. Ini satu kejutan dan pembaharuan yang sedang dibuat Ketua Menteri Sarawak yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Mengimbau kembali pilihanraya negeri Sarawak ke10 pada 2011 yang lepas, pada awalnya Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS) berbincang dengan parti lama yang di asaskan di Sarawak, SNAP berbincang untuk bertanding satu lawan satu menentang Barisan Nasional di 71 DUN. Akhirnya, PKR dan SNAP bertembung di 25 kerusi semasa hari penamaan calon.

Selepas proses penamaan selesai, terdapat pertandingan tiga penjuru membabitkan 23 DUN dan empat penjuru di 17 DUN. Dua kawasan berlaku pertandingan enam penjuru iaitu di DUN Belaga dan DUN Balai Ringin manakala pertandingan lima penjuru berlaku di DUN Ngemah serta DUN Jepak.

BN meletakkan 67 calon lelaki dan empat wanita, PAS (tiga lelaki dan dua wanita), DAP (11 lelaki dan empat wanita), Snap (26 lelaki), Bebas (40 lelaki dan seorang wanita) PKR (45 lelaki dan empat wanita), PCM meletakkan lima calon lelaki dan seorang wanita.
BN meneruskan penguasaan Kerajaan negeri buat penggal ke-10 dengan memperolehi kemenangan majoriti 2/3 dalam pilihan raya ini dimana BN memperolehi 55 kerusi namun peratusan undi popular yang diperolehnya menurun berbanding pilihan raya negeri 2006.

Berdasarkan maklumat dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada keluar mengundi kali ini. 5 tahun lalu, pada 2006 BN menerima 62.91 peratus (341,587 undi) dan 71.16 peratus (382,137 undi) pada 2001.
Keputusan rasmi, BN memenangi 55 kerusi, DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1). Keputusan itu menunjukkan BN kehilangan lapan kerusi, berbanding 63 kerusi yang dimenanginya pada 2006. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bertanding di 35 kawasan DUN telah memenangi kesemua kawasan yang dipertandingkan.

Bagi Pakatan Rakyat pula, memenangi sebanyak 15 kerusi dengan Democratic Action Party (DAP) sebanyak 12 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 3 kerusi serta satu lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas Faktor undi cina telah menyebabkan DAP dan PKR juga menyapu bersih kesemua lima kerusi DUN di Kuching.

Bagaimana pula dengan prestasi BN dan pembangkang dalam pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 yang akan diadakan pada bila-bila masa dibawah ketua Menteri yang baru, Tan Sri Adenan Satem?

Berbanding dengan pilihanraya Sarawak ke 10 pada 2011 yang lepas dengan 71 kerusi DUN, SPR telah berjaya mendapat kelulusan DUN Sarawak dan Parlimen Malaysia untuk menambah 11 kerusi DUN lagi menjadikannya 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada pilihanraya Negeri Sarawak ke11 kali ini.

Sebelas (11) bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan pindaan nama ke atas kawasan Parlimen Mambong (P.198) di Sarawak kepada Parlimen Puncak Borneo. Juga terdapat pindaan nama ke atas empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak iaitu: N.19 daripada Bengoh ke Mambong, N.34 daripada Batang Air ke Batang Ai, N.41 daripada Belawai ke Kuala Rajang dan N.68 daripada Kidurong ke Tanjung Batu. Bagi bahagian Pilihan Raya Persekutuan, tiada perubahan bilangan dan kekal dengan 31 kawasan Parlimen

Filed under: Harakah, harakahdaily, , , , , , , , , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories