Kalam Perantau

Icon

Politik Terengganu suam-suam kuku, kemana Ahmad Said selepas ini?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kemunculan semula Kalam Perantau dalam akhbar harakah Edisi Jumaat (bil 2120; 5-7 Februari, 2016) menyebabkan rakan-rakan bertanya kenapa saya tidak menulis tentang politik Terengganu? Ada yabg hantar Private Message dan sebagainya.

Saya sendiri tidak ingat bila kali terakhir saya menulis tentang politik Terengganu?

Dalam satu artikel bertajuk Politik Terengganu Selepas Ahmad Said, Peluang PAS makin Sukar? dalam Kalam Perantau pada 24hb Februari, 2010 menyebut, “Bagi saya peluang PAS dan UMNO di Terengganu tetap seimbang, cuma peluang mungkin lebih berpihak kepada BN kerana beberapa faktor. Tetapi anak-anak muda yang baru kenal politik ini masih tidak berpuashati kerana mereka begitu yakin bahawa PAS Terengganu tidak ada peluang jika PAS tidak berani berubah setelah mereka melihat kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang mirip kepada politik perdamaian dan mesra PAS”.

Setahun kemudian, sekali lagi saya menulis satu artikel pada 22hb Februari 2011 bertajuk Analisa Politik Terengganu, Mampukah PAS kembali memerintah? dalam Kalam Perantau menyebut, “PAS telah melepaskan satu peluang yang baik untuk berkuasa semula di Terengganu bagi kali ke-3 dalam PRU ke-12 dimana PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Kedah bersama dengan Pakatan Rakyat serta membentuk kerajaan di Selangor dan Perak pada tahun 2008 yang lepas. Kegagalan PAS menawan Terengganu dalam PRU ke-12 adalah kerana kesilapan strategi atau ada sebab lain?

Tulisan penuh berkaitan artikel diatas dan beberapa tulisan yang lain yang berkaitan dengan politik PAS Terengganu boleh dirujuk dan dibaca secara online dalam kalam perantau (https://kalamperantau.wordpress.com) tersebut.

Bila rakan-rakan media dan kenalan-kenalan politik meminta pandangan saya tentang politik Terengganu dalam pilihanraya umum ke-14 nanti, saya masih berpendirian seperti yang saya tulis beberapa tahun sebelum ini seperti sebelum PRU ke-13 yang lepas.

Pada saya, PAS telah ‘terlepas’ peluang untuk kembali ke Wisma Darul Iman dalam dua pilihanraya umum 2008 dan 2013 sebelum ini. Dalam tulisan kali ini saya tidak berminat untuk tulis berkaitan dengan politik PAS Terengganu kerana tiada apa yang baru untuk diperbincangkan di sini.

Malah seorang pemimpin kanan PAS (tak perlu saya sebutkan namanya) bertanya pandangan saya tentang kemampuan PAS tawan Terengganu pada PRU ke-14 nanti, secara jujurnya saya beritahu kepada pemimpin berkenaan untuk mencari ‘wow factor?’ atau mencari ‘X factor’ yang perlu ada untuk rakyat Terengganu beri undi kepada blok PAS dalam PRU ke-14 nanti.

UMNO Terengganu di hujung tanduk?

Politik UMNO Terengganu bergolak sebaik sahaja Ahmad Said yang membelakangkan kehendak kepimpinan UMNO Pusat dan Negeri menerima perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas UMNO/BN menang semula Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008.

Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh. Sultan Terengganu tidak dapat menerima perlantikan semula Datuk Idris Jusoh untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu.

Sejak itu, UMNO Terengganu seolah-olah mempunyai dua blok dan dua nakhoda, satu team yang setia kepada Idris Jusoh (ADUN Jertih) dan satu team lagi yang ‘menerima’ jawatan exco kerajaan negeri dan bekerjasama Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kemudiannya.

Dalam pilihanraya umum ke-13, kebangkitan semula PAS menyebabkan UMNO Terengganu dibawah teraju Ahmad Said kecundang lebih banyak kerusi, yakni 15 kerusi DUN (14 kepada PAS dan 1 kerusi kepada PKR) dan hanya tinggal 17 kerusi sahaja daripada 32 kerusi DUN.

Menjadi cakap-cakap politik dikalangan UMNO, Ahmad Said akan dilantik sebagai Menteri Besar sementara selama setahun selepas PRU ke-13 bagi membolehkan UMNO mengenal pasti pengganti yang sesuai bagi menghadapi PAS dalam PRU ke-14 nanti kerana UMNO yakin kecundang jika Ahmad Said masih menjadi peneraju UMNO Terengganu menjelang PRU ke-14 nanti.

Beberapa nama ADUN disebut-sebut untuk menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru, tetapi akhirnya Pengerusi Jawatankuasa Sains,  Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, ADUN Seberang Takir dan juga Ketua UMNO Kuala Nerus dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12hb Mei, 2014.

Untuk rekod, Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari Umno (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman dari Umno (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman  dari Umno (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari Umno (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari Umno (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said dari Umno (2008-2014).

Beberapa jam selepas berundur daripada tampuk kekuasaan pemerintahan negeri selaku Menteri Besar, Ahmad Said (Adun Kijal), mengisytiharkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas. Turut mengambil tindakan sama keluar parti adalah Adun Ajil, Ghazali Taib.

Disebabkan gara-gara Ahmad Said dan Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi Adun bebas, politik Terengganu bergolak dan tidak menentu selama 2 hari sebaik sahaja Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bila bilangan adun UMNO/BN mempunyai jumlah yang sama dengan pembangkang (PAS dan PKR) terikat pada kedudukan 15 – 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap gabungan dalam DUN yang mempunyai majoriti 32 kerusi – pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Sejarah hitam ini tentu sahaja bukan hanya memalukan Razif, Menteri Besar yang baru dlantik ketika itu tetapi juga memalukan UMNO itu sendiri yang sehari selepas hari ulang tahun Umno yang disambut pada 11Mei setiap tahun.

Rasanya itulah satu satu pilihan yang ada pada Ahmad Said melepaskan amarahnya kepada BN yang mengarahkannya meletakkan jawatan Menteri Besar ketika sedang mengadakan ‘kenduri’ perkahwinan anak beliau akan berlangsung pada 17hb Mei 2014 menyebabkan Najib dan UMNO ‘panik’ seketika ketika itu dan seterusnya menghadapi kocakan politik dalam ‘cawan kopi’ Ahmad Said sehingga DUN Terengganu dibubarkan untuk PRU ke-14 nanti.

Selepas tidak lagi menjadi pemimpin utama parti UMNO di peringkat negeri Terengganu dengan hanya menjadi Ketua UMNO Kemaman sahaja, sejauh mana kesan-kesan pengaruh Ahmad Said kepada politik UMNO di Kemaman khususnya di Kijal. Apa yang menarik untuk dilihat sekarang ini adalah kemana politik Ahmad Said selepas ini. Tentu sahaja ianya bukan lagi pilihan utama Umno Terengganu untuk bertanding semula di Kijal.

Sebagai anak Terengganu, saya juga mengikuti perkembangan politik Terengganu secara dekat dan jauh sejak kenal erti politik pertengahan dekad 1980’an yang lalu. Saya tidak dapat membuat kesimpulan pada peringkat ini tetapi membiarkan politik ‘suam-suam kuku’ di Terengganu ini kepada semua pihak yang berkepentingan bagi melihat perkembangan selanjutnya menjelang PRU ke-14 nanti.

Filed under: Harakah, , , , , , , , ,

Leave a comment

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories