Kalam Perantau

Icon

Bukan Islam bersama PAS, UMNO kena tukar dasar perkauman

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Lebih sedekad yang lalu, saya pernah menulis satu artikel dalam sebuah majalah yang dikelolakan oleh Harakah berhubung keperluan PAS mengadakan sebuah dewan untuk bukan Islam khususnya Cina dan India bersama-sama dengan perjuangan PAS  ini selepas melihat usaha-usaha PAS mendekati kumpulan bukan Islam ini dengan berbagai cara tanpa ada satu mekanisma yang khusus.

Tetapi pada waktu itu, idea seperti ini hanya bagaikan mencurah air kedaun keladi sahaja kerana mendahului zaman dan belum tiba masanya untuk dilaksanakan dalam PAS. Saya menulis cadangan tersebut sebagai satu respons kepada tindakan PAS memperkenalkan Chinese Consultative Council (CCC) pada pertengahan tahun 1980’an bagi memecahkan tembok perkauman yang dibina oleh Barisan Nasional (BN).

Usaha ini tidak berapa berjaya, tetapi PAS tidak mudah patah semangat. Pada tahun 1990’an pula, mereka menubuhkan Jabatan Antara Budaya sebelum mewujudkan Lajnah Perpaduan Nasional. Selepas itu mereka mara setapak lagi kehadapan membentuk Kelab Penyokong PAS, dibawah kelolaan Lajnah Perpaduan Nasional.

Tanpa disangka, angan-angan yang saya tulis secara tidak sengaja akhirnya menjadi kenyataan juga bila pada  Ahad 23hb. Mei, 2010, sebuah lagi dewan baru khusus untuk bukan Islam yang menyopkong perjuangan  PAS diwujudkan dalam PAS secara rasmi. 

Kelab Penyokong PAS (KPP) yang ditubuhkan lebih kurang 6 tahun dulu yang ahlinya dianggarkan seramai 20,000 orang sudah dinaikkan taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Banyak perubahan sikap di kalangan masyarakat bukan Islam PAS dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS pada tahun 2004 yang lalu. Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw mengakui penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang kini sudah dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) banyak mengubah sikap dan pandangan bukan Islam terhadap Islam.

“Penubuhan tersebut merupakan titik tolak kepada pencerahan pemikiran orang bukan Islam yang sering dimomokkan dengan pandangan serong terhadap Islam dan PAS itu sendiri” katanya. Perkara ini turut diperakukan N. Balasubramaniam yang turut berucap di majlis tersebut disamping mengucapakan terima kasih kepada Presiden PAS dan pimpinan tertinggi yang lain kerana menaik taraf kelab ini kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS,

Kesungguhan PAS dalam menggerakkan “politik baru” ini, digambarkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa dengan berkata, PAS tidak harus mensia-siakan kejayaan besar menubuhkan DHPP sebaliknya harus membuktikan kepada seluruh rakyat bahawa semua kaum di negara ini dapat bersatu di bawah naungan PAS tanpa ada prejudis di antara satu sama lain.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Haji Awang pula dalam sidang medianya selepas pelancaran tersebut menyebut, PAS bersedia meminda perlembagaannya bagi membolehkan ahli DHPP ini menghadiri muktamar dan mengundi dalam muktamar PAS.

Bagi menyokong kesungguhannya, beliau menyebut semasa PAS memerintah Terengganu (1999-2004), beliau telah meminda perlembagaan negeri Terengganu bagi membolehkan orang bukan Islam dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Terengganu jika tiada orang bukan Islam yang memenangi pilihanraya.

Sementara itu, pensyarah Program Sains Politik UKM Dr. Nidzam Sulaiman berkata,  tindakan PAS membenarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diangfgotai oleh bukan Islam adalah strategi politik untuk merai sokongan kelopok yang berbeza. Tindakan ini mengubah pendirian konservatifnya kepada liberal.

Kemana UMNO selepas ini ?

Melihat kepada kesungguhan PAS membuka sayapnya kepada bukan Islam, UMNO perlu melihat kembali cadangan Dato’ Onn Jaafar  supaya membuka keahliannya kepada semua kaum lebih 60 tahun dulu.

Disebabkan UMNO tidak bersedia membuka pintunya kepada kaum-kaum lain, maka berundurlah pengasas dan presiden pertama UMNO membawa diri menubuhkan parti lain, IMP untuk memperjuangkan ideologi politik berbagai kaum yang dipeloporinya.

Tetapi dalam keadaan Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, Presiden UMNO membawa gagasan satu Malaysia sekarang ini, adalah amat wajar UMNO membuka pintu partinya kepada kaum-kaum lain.

Apatah lagi sekarang ini, UMNO bukan lagi parti Melayu sejati kerana turut disertai oleh orang-orang Siam dan juga bumiputera bukan Islam di Sabah. Jadi sekarang ini, UMNO mula meng’swasta’kan perjuangan Melayu kepada sebuah NGO, Perkasa yang dianggotai sebahagioan besarnya ahli-ahli UMNO juga.

Barisan Nasional memerintah dengan MCA untuk orang Cina, MIC untuk orang India dan Umno untuk orang Melayu. MCA dan MIC serta lain-lain parti komponen yang menjadi rakan kongsi UMNO dalam BN terpaksa berhempas pulas menyelesaikan krisis dalam parti masing-masing.

Dalam suasana politik hari ini, UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada MCA dan MIC serta lain-lain parti komponen untuk terus kekal berkuasa menjadi peneraju kerajaan pusat. UMNO terpaksa berdepan dengan realiti, tembok-tembok perkauman yang mereka bina selama ini sudah tidak sesuai lagi sekarang ini. 

Jika UMNO hendak terus relevan dalam politik Malaysia, mereka perlu segera berubah. Datuk Hishamudin Tun Hussein, bakal pewaris kepimpinan UMNO selepas ini kena menjayakan agenda politik yang dihasratkan oleh datuknya yang terbengkalai dalam UMNO sebelum ini disamping membantu sepupunya, Datuk Najib.   

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , ,

PRK Sibu jadi titik perubahan pilihanraya Sarawak ?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu yang berpihak kepada Pakatan Rakyat memberi gambaran buruk kepada BN untuk kekal relevan dalam pilihan raya negeri Sarawak selepas ini. Walaupun keputusan kali ini bagaimanapun menunjukkan DAP menang dengan kelebihan sebanyak 398 undi sahaja, namun ia menunjukkan BN kehilangan sokongan dengan begitu banyak

Calon DAP, Wong Ho Leng, memenangi pilihanraya kecil itu dengan majoriti 398 undi setelah memperolehi 18,845 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas, Narawi Haron, meraih 232 undi.

Tulisan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof yang juga Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pilihanaraya PAS Kelantan dalam Harakah Bil: 1359 (14-16Mei, 2010) berhubung dengan keputusan “PRK Sibu jadi titik perubahan pilihanraya Sarawak” bakal memberi nilai yang tepat kepada scenario politik Sarawak.

Manakala  saya pula, “PRK Sibu: penentu kemenangan BN atau PR?” dalam akhbar Siasah Bil: 200 (16-22 Mei, 2010) yang diedarkan sehari sebelum hari mengundi pada 16hb. Mei, 2010 yakin akan berlaku satu kejutan di Sibu bila mana ada gerakan dari pemimpin bumiputera bukan Islam seperti Datuk Daniel Tajem, bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak menyeru rakyat Sibu membuat perubahan kali ini sebagai persediaan awal mengubah pemerintahan di Sarawak.

Kehadiran Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dengan lebih 700 jentera PAS dari Semenanjung membantu jentera DAP di Sibu telah berjaya menggagalkan propaganda undi DAP untuk Negara Islam yang sengaja diputarbelitkan SUPP dan BN dalam pilihanraya kecil ini.    

Taib Mahmud ditolak, Najib tidak diterima ?

Tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan banyak masa keemasannya sebagai Perdana Menteri pergi ke Sibu memberikan “gula-gula politik” pada masa kempen pilihanraya kecil ini untuk mendapatkan (membeli?) undi ternyata tidak berhasil.

Malah menurut peguam Karpal Singh, jika Najib tidak berhati-hati mencabuli Akta Kesalahan Pilihanraya menyebabkan beliau sendiri akan mengundang risiko bila menjanjikan kerajaan persekutuan akan memberi RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sibu jika BN menang pilihan raya berkenaan.

Pengundi Cina ini ada sikap berdikari yang tinggi. Pemberian projek-projek mi segera (seperti diumumkan oleh pemimpin BN) ini dianggap menghina mereka. Apatah lagi, apa saja projek yang diberikan itu, bagi mereka, sememangnya merupakan hak mereka.

Masyarakat yang dikenali dengan sikap berdikari ini menunjukkan sikap yang negatif apabila disogok dengan bentuk-bentuk sumbangan yang mendadak ketika tempoh kempen pilihan raya. Malah ada diantara mereka yang menyindir BN, kalau nak dapat peruntukan cepat, minta wakil-wakil rakyat mereka kosongkan kerusi segera. Bila pilihanraya kecil diadakan, barulah kerajaan BN membuat pembangunan ala “mi segera”.   

BN walaupun mempunyai kelebihan dari segi sumber kewangan bagi menjalankan jentera dan kempen pilihan raya, namun tidak berjaya mendalami perasaan pengundi Cina di Sibu.

Bagi kaum Cina, apalah sangat RM 18 juta yang diberikan kepada sekolah-sekolah Cina kerana selama ini pun mereka boleh membangun tanpa duit tersebut. Sama ada mereka undi BN ataupun tidak, duit tersebut tetap milik mereka.

Professor James Chin daripada Universiti Monash berkata, ia merupakan antara tiga pengajaran utama yang boleh diambil daripada pilihan raya kecil Sibu. “Pertama sekali, majoriti pengundi Cina menghantar mesej yang jelas kepada Taib supaya meletakkan jawatan. Saya rasa, Taib sudah terlalu lama memegang jawatan ketua menteri,” katanya.Taib menerajui Sarawak sejak tahun 1981, tahun yang sama menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri.

Kedua, pengundi Cina juga telah muak dengan pemimpin-pemimpin SUPP. SUPP kekal tidak berubah semenjak dulu dengan pemimpin-pemimpin lama. Sekiranya anda lihat, kebanyakan pemimpin SUPP berusia lebih daripada 60 tahun. Malah mendiang Robert Lau memegang kerusi Sibu selama empat penggal. Saya rasa pengundi Sibu sedar bahawa mereka mahukan perubahan. SUPP gagal meraih sokongan daripada golongan muda masyarakat Cina dan mereka gagal menghasilkan pemimpin muda yang berkebolehan.

Ketiga; masyarakat Foochow itu sudah bersedia dengan komuniti lain di semenanjung untuk meninggalkan BN. Sekarang, ini menjadi satu realiti kepada masyarakat Cina Foochow di Sibu. Mereka (menerima) lebih kesedaran politik.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata BN menerima kekalahannya itu dengan hati terbuka dan keputusan itu harus dihormati kerana ia adalah pilihan rakyat. Katanya, kekalahan itu tidak seharusnya menjadi kayu ukur kepada situasi sebenar tentang sokongan rakyat Sarawak kepada BN setakat ini.

Chin juga berkata, “Mungkin tekaan saya salah kerana sukar untuk menjangka bilakah pilihan raya negeri akan diadakan. Tapi saya rasa, berikutan kekalahan di Sibu, Taib akan menyelaraskan pilihan raya negeri dengan pemilihan peringkat persekutuan”.

Keputusan pilihan raya kecil ini mungkin memaksa Abdul Taib untuk menunda tarikh pilihan raya negeri yang dijangka secara meluas akan berlangsung pada Julai tahun depan. Langkah ini lebih selamat untuk BN Sarawak kerana jika dilakukan serentak dengan Semenanjong, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak dapat turun sepenuh masa untuk mencampurin urusan politrik Sarawak.

Pada pilihanraya Negeri Sarawak pada tahun 2006, 3 parti pembangkang utama di Sarawak SNAP, PKR dan DAP membentuk kerjasama Barisan Bersatu Sarawak. Sementara PAS tidak terlibat dan hanya mengadakan kerjasama dengan PKR  serta bertanding satu kerusi sahaja di Beting Maro dalam parlimen Batang Lupar.  

Keputusan 2006 mengejutkan BN Sarawak khususnya dikalangan kerusi Cina yang ditandingi oleh SUPP. SUPP tewas lima kerusi kepada DAP (Pending, Batu Lintang, Meradong, Bukit Asek dan Kidungan), satu kerusi kepada PKR (Padungan) dan satu kerusi kepada SNAP  (Engkili).

BN tidak boleh lagi menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai deposit tetap untuk mereka terus memerintah Malaysia. Jika pilihanraya Sarawak terus diadakan secara berasingan, besar kemungkinan, pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS atau PR Plus (termasuk SNAP) akan menjadi kerajaan negeri yang baru setelah rakyat muak dengan kuno BN.

Kita tunggu apa tindakan Taib Mahmud seterusnya selepas ini.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , ,

PRK Sibu : Penentu keputusan kemenangan BN dan PR ?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Kemenangan status quo berlaku di Permatang Pauh (PKR), Bukit Gantang (PAS), Bukit Selambau (PKR), Batang Ai (BN), Penanti (PKR), Permatang Pasir (PAS) Manik Urai (PAS) dan Bagan Pinang (BN) bila mana parti-parti yang memenangi kerusi dalam pilihanraya umum ke-12 lalu, berjaya mengekalkan kerusi masing-masing dalam beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini.

Kekalahan BN di Kuala Terengganu pada tahun 2009 telah berjaya ditebus semula dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor baru-baru. Ini menjadikan kedudukan sekarang seperti selepas keputusan PRU ke-12 dengan BN dan PR saling bertukar kerusi di Kuala Terengganu (PR) dan Hulu Selangor (BN) tanpa mengambil kira kerusi-kerusi yang dilarikan tanpa direstui pengundi masing-masing.

Pilihanraya Kecil Sibu pada 16hb. Mei, 2010 ini menyaksikan pertandingan 3 penjuru diantara calon BN Robert Lau Hui Yew (SUPP) dan calon DAP Wong Ho Leng (PR) serta calon Bebas. Narawi Haron diadakan berikutan kematian penyandangnya, Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Parlimen Sibu mengandungi tiga kawasan dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka.  DUN Bawang Assan didominasi pengundi Iban (65 peratus), Pelawan pula pengundi Cina (91 peratus) dan pengundi Melayu/Melana pula adalah majoriti di DUN Nangka. 

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar iaitu 52,158 adalah pengundi biasa dan 2,537 undi pos yang merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis. Daripada keseluruhan pengundi , jumlah pengundi di kalangan kaum Cina adalah 67 peratus, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus), Iban (18 peratus), Orang Ulu (1.1 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).

Dalam pilihanraya umum ke-12 pada Mac, 2008, Datuk Robert Lau Hoi Chew, Timbalan Menteri  Pengangkutan  menang dengan majoriti 3,549 dalam pertandingan 3 penjuru bersama DAP dan PKR. Beliau berjaya mengekalkan kerusi yang disandangnya sejak beberapa penggal yang lepas  setelah a merampas kerusi tersebut dari DAP yang memenangi kerusi tersebut pada tahun 1982.

Selepas Pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada tahun lepas, pilihanraya kecil Sibu ini adalah agak seimbang kerana kedua-dua parti BN dan PR pernah memenangi kawasan tersebut dimasa lalu. Di Kuala Terengganu Terengganu, PAS pernah memenanginya pada tahun 1999. Begitu juga DAP pernah menang di Sibu pada tahun 1982.

Kejutan berlaku di Sibu?

Sebagaimana yang saya tulis dalam Siasah keluaran lepas, jika DAP menang di Sibu mereka bukan sahaja akan menambahkan seorang lagi Ahli Parlimen DAP di Sarawak, tetapi lebih penting dari itu adalah petanda Pakatan Rakyat diterima untuk membawa sinar baru kepada Sarawak dalam pilihanraya negeri yang akan diadakan bila-bila masa sahaja mulai pertengahan tahun ini.

Pada pilihanraya umum tahun 1982, DAP membuat kejutan  dengan memenangi kerusi ini melalui Ling Soe Ming mengalahkan Timbalan Ketua Menteri, Tan Srin Wong Soon Kai. Pemerhati-pemerhati mula mencongak-congak angka sama ada pilihanraya kecil Sibu ini akan kekal status quo atau adakah berlaku kejutan sekali lagi? Berjayakah DAP sekali lagi membuat kejutan pada pilihanraya kecil Sibu kali ini?

Melihat kepada trend pengundi Cina dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor baru-baru ini dimana hanya 25 peratus sahaja memihak kepada BN berbanding dengan 75 peratus lagi kepada PKR (Pakatan Rakyat) menyebabkan DUN Kuala Kubu Bharu yang dulunya dimenangi oleh MCA telah memihak kepada Pakatan Rakyat.

Malah disesetengah tempat undi Cina melebihi 80 peratus. Contohnya di DUN Kuala Sepetang, Perak, 84 peratus pengundi Cina telah memberikan undi kepada calon PAS, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang.

BN khususnya SUPP sangat bimbang dengan perkembangan yang berlaku ini dalam pilihan raya Sibu apabila sokongan untuk calon DAP semakin meningkat. Mereka hanya mengharapkan sokongan pengundi Cina 50-50 antara SUPP (BN) dan DAP (PR).

Penasihat DAP, Lim Kit Siang awal-awal lagi menyebut hanya keajaiban sahaja yang boleh menyebabkan DAP menang pada kali ini. Ini kerana, mereka terpaksa menentang parti pemerintah yang kuat di negeri Sarawak ini di samping masyarakat Cina yang masih lagi percaya dengan isu seperti negara Islam yang dimainkan oleh BN di negeri ini.

Kempen ini dimulakan oleh Ketua SUPP Sibu yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh. ‘Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam’.

Jadi peranan penceramah PAS menjadi penting untuk menjelaskan isu ini kepada masyarakat Cina di sini” kata seorang wartawan yang aktif menulis untuk akhbar DAP, Rocket. Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar dipetik Harakahdaily berkata “kehadiran PAS saya lihat seperti ditunggu-tunggu, dan mereka layan kita seperti sudah bersedia membuat perubahan”

Seorang pemimpin Bumiputera Bukan Islam yang berpengaruh yang menjadi Penasihat PKR di Sarawak, iaitu Datuk Daniel Tajem, bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak menyeru rakyat Sibu membuat perubahan kali ini sebagai persediaan awal untuk membuat perubahan kepada pemerintahan Sarawak selepas ini.

Tetapi pengundi Cina merasakan mereka tidak perlu takut untuk mengundi DAP sekali lagi kali ini kerana keputusan ini hanyalah sekadar untuk menghantar wakil mereka ke parlimen bukannya untuk membentuk kerajaan yang baru. Kerajaan Pusat tetap kekal ditangan BN. 

Memandangkan pilihanraya kecil ini bukan sahaja penting kepada kedua-dua pihak (BN dan PR), lebih 700 jentera PAS dari semenanjung telah berkampung di Sibu sejak sebelum penamaan calon lagi. Tetapi  kehadiran Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Sibu mulai Jumaat ini amat ditunggu-tunggu masyarakat Cina di sini  bagi menjelaskan kekeliruan tentang isu Negara Islam yang sengaja ditimbulkan dan diiputarbelitkan oleh SUPP dan BN dalam menghadapi pilihanraya kecil kali ini.

Kita tunggu keputusan pengundi-pengundi Sibu pada 16hb Mei ini sama ada untuk kekal status quo atau mencipta sejarah sekali lagi!

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: News, , , , , , , , ,

Presiden PAS ke mahkamah beri sokongan moral untuk Anwar

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 11 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan atas tuduhan liwat.

Beliau dilihat tiba di mahkamah pada jam 9 pagi bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan. Namun mereka tidak berada lama di mahkamah kerana ia ditangguhkan sejurus selepas itu. Turut mengiringi Anwar adalah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ibrahim.

Ustaz Hadi kemudiannya menaiki kenderaan dan menuju rumah Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman di rumahnya dekat Ampang. Lutfi baru selesai menjalani pembedahan pintasan jantung minggu lalu dan kini sedang bercuti rehat.

Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008. Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dihukum 20 tahun penjara.

Sementara itu, perbicaraan pagi ini melibatkan penghujahan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh.

Karpal pagi ini mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan berbohong mengenai kenyataannya bahawa dia diliwat tanpa kerelaannya.

Karpal juga berkata cara rekaan kes ini cacat kerana menurut beliau, Anwar sepatutnya didakwa mengikut seksyen 377c iaitu mengadakan hubungan seks luar tabii secara paksa ke atas Saiful bukannya seksyen 337b iaitu melakukan  hubungan seks luar tabii secara rela.

Ini berikutan dari keterangan Saiful dalam perbicaraan ini, dia dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii itu.
Karpal berhujah oleh kerana Saiful mendakwa hubungan seks yang dilakukan itu adalah tanpa kerelaannya, manakala Anwar pula didakwa menurut Seksyen 377b atas kesalahan mengadakan hubungan di luar tabii, maka berlaku percanggahan antara dakwaan dan kenyataan Saiful.

“Memang pasti ada kesilapan berhubung dakwaan, dan perlu untuk melihat semula kenyataan yang dirakamkan.

“Di Malaysia, kita ketahui hubungan seks antara lelaki dengan lelaki walaupun dengan kerelaan adalah satu kesalahan. Bagaiamanapun, saksi telah berulangkali berkata dan menegaskan bahawa perhubungan seks itu tanpa kerelaaanya,” kata Karpal.

Katanya lagi, penyiasatan sepatutnya dijalankan mengikut seksyen 377c.

Karpal kemudiannya berkata Saiful menipu dan cuba mencabar keboleh-percayaan atau kewibawaannya sebagai saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah berkata ini kali pertama perkara seumpama itu timbul – tertuduh didakwa dengan hubungan seks (liwat) secara rela sedangkan bukti yang dikemukakan menunjukkan ia dilakukan tanpa rela.

Beliau kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga esok dan akan memutuskan sama ada membenarkan pemohonan peguam bela untuk mendapatkan kenyataan beramaran Saiful.

Mahkamah ditangguhkan jam 9 pagi esok.

Filed under: News, , , , , , , , , ,

PAS Mahu Forum Ekonomi Islam Dunia Kuala Lumpur Sokong Iran Boikot APCO-Israel

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Forum Ekonomi Islam Dunia (World Islamic Economic Forum -WIEF) kali ke-6 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 18-20 Mei 2010 membincangkan beberapa isu berkaitan hubungan ekonomi negara-negara Islam dengan Israel secara serius.

Forum yang dihadiri oleh ketua-ketua negara yang majoriti rakyatnya Islam harus melihat perkara ini sebagai isu bersama. Jika di Malaysia kita dikejutkan dengan hubungan kayu tiga Malaysia-Israel melalui promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, syarikat perunding APCO worldwide, Satchi & Satchi serta pelbagai pertemuan sulit pemimpin Umno dan Menteri Israel. Di negara lain pula ada yang secara terbuka menjalikan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel seperti Indonesia, Turki, Jordan, Mauritania dan beberapa lagi negara.

Perkara ini harus diperhalusi oleh setiap ketua-ketua negara yang kononnya menjadi kumpulan simpatisan kepada Palestin yang dizalimi Israel sedangkan mereka semua termasuk Kerajaan BN Malaysia bersekongkol untuk menyokong Zionis Israel. Mereka kena boikot Israel dan semua syarikat yang ada hubungkait dengan pelobi Israel termasuk APCO.

PAS yakin umat Islam seluruh dunia menuntut keikhlasan ketua-ketua negara Islam untuk melihat apa yang dilakukan oleh regim Zionis Israel kepada Palestin dan segera memulaukan negara haram yang tidak berdaulat itu.

PAS mahu pemimpin-pemin Islam secara terbuka menyatakan komitmen mereka dalam Forum ini untuk menekan Israel sebagaimana Israel kini melobi dengan kuatnya di Majlis Keselamatan PBB untuk menkan negara Iran yang menjadi ancaman mereka.

PAS juga mahu, negara-negara Islam menyatakan pendirian mereka terhadap isu di Iraq, Afghanistan dan terkini di Iran. PAS mahu, ketua-ketua negara Islam menunjukan bahawa mereka boleh bersatu mempertahankan Iran dari dikenakan sekatan ekonomi. Inilah masanya untuk mereka menunjukan kepada dunia bahawa mereka bukan budak suruhan Amerika.

PAS menanti reaksi Kerajaan Malaysia dan persiapan Forum ini. Diharapkan forum yang akan memfokuskan 8 perkara melibatkan soal pelancongan, Logistik, SMEs, pengurusan air, penjenamaan, teknologi pendidikan, keusahawanan dan etika perniagaan, inovasi dan perbankan Islam ini tidak menutup mata dan pemikiran mereka dari memikirkan soal kezaliman Israel kepada Palestin.

Idris Ahmad adalah Ketua Penerangan PAS Pusat

Filed under: News, , , , , , , ,

Nik Aziz: Najib Ceroboh Sempadan Moral Saya

Sumber MalaysiaKini

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkannya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah satu pandangan bertujuan melaga-lagakannya dengan pihak Istana Selangor.”Dalam hal tersebut, Datuk Seri Mohd Najib sebenarnya telah menceroboh sempadan moral saya dan membelasah imej saya yang dilakukan sehari sebelum berlaku pengundian di Hulu Selangor,” katanya dalam blognya.

Nik Aziz menjelaskan sudah menjadi kelazimannya, apabila hadir di mana-mana masjid atau surau di Kelantan, prinsip yang diamalkannya adalah tidak akan bercakap atau berkhutbah atau menjadi imam selagi tidak diminta oleh pihak masjid atau surau berkenaan.

Katanya lagi, prinsip yang sama dipegang apabila hadir di masjid atau surau di mana-mana negeri termasuk di Selangor.

“Oleh sebab itu, sekali lagi saya nyatakan bahawa tuduhan Datuk Seri Mohd Najib sehingga menyifatkan saya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ia adalah tindakan mala fide bukan sahaja untuk melaga-lagakan saya dengan Sultan Selangor, malah menimbul fitnah besar kepada umat Islam untuk menggambarkan kononnya ‘orang beragama’ dan pemimpin seperti saya suka mengingkari dan menghina Sultan.

“Atas dasar itu, sesungguhnya saya tidak bersikap seperti difitnahkan oleh Datuk Seri Mohd Najib, maka saya tidak akan halal di dunia dan di akhirat. Kecuali beliau menarik balik secara terbuka memandangkan fitnah itu telah dibuat secara terbuka. Saya sedia menghalalkan apabila beliau menarik balik tuduhan itu secara terbuka.,” kata Nik Aziz.

Kenyataan Najib itu disiarkan oleh Utusan Malaysia secara online (24 April 2010) atas tajuk “Nik Aziz hina Sultan Selangor – PM” yang kemudiannya disiarkan dalam Utusan Malaysia cetak (24 April) edisi nasional di muka depan dengan tajuk “Pembangkang ingkari Sultan”.

Antara petikan artikel itu – “Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi mempertikaikan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid untuk kempen politik. Beliau menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah.”

“Pada saya, kesemuanya adalah tidak benar dan berniat melaga-lagakan saya dengan Sultan, kerana sesungguhnya saya tidak pun memberi respon dengan merujuk kepada titah KDYMM Sultan Selangor. Ia adalah petikan yang direka-reka oleh akhbar berkenaan,” kata Nik Aziz.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata pandangan Najib yang dirasainya paling tidak bermoral apabila akhbar yang sama pada hari mengundi (25 April), menyiarkan semula di muka dua dengan tajuk “Tindakan Nik Aziz pertikai titah Sultan Selangor: Pengingkaran yang serius – PM.

“Ia suatu pengulangan yang dibuat untuk menjatuhkan moral saya dan suatu bentuk fitnah media yang disengajakan bagi mempengaruhi umat Islam agar menolak kefahaman agama yang telah saya jelaskan secara sopan semasa sidang media pada malam 23 April di Kuala Kubu Bharu.

“Bagi saya, pandangan Datuk Seri Mohd Najib yang melabelkan saya sebagai ‘melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor’ adalah suatu pandangan yang tidak adil dan fitnah. Ia menggambarkan kenyataan bermotif politik dan penyelewengan fakta sebenar yang dipanjangkan oleh Utusan Malaysia, kerana ia sengaja disiarkan sebagai tajuk besar di muka depan (front page),” katanya.

Filed under: News, , , , , ,

PAS nafi bayar Kickdefella RM4 juta

Oleh Abdul Rahim Sabri

PAS hari ini menjelaskan bahawa pucuk pimpinan parti itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kewujudan Global Media Channel Sdn Bhd (GMC) iaitu pusat penyebaran propaganda bagi parti itu di Kelantan.

Selain itu Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali turut menafikan bahawa parti itu pernah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella bagi tujuan mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah di Kelantan.

“Saya telah semak dengan PAS Kelantan dan PAS Malaysia, kita tidak pernah keluarkan RM4 juta,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Syed Azidi, sebelum ini mendakwa dia dibayar RM4 juta bagi tujuan melemahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu menjadi perdana menteri.
Menurut Mustafa, beliau sendiri yang telah membuat pemeriksaan sama ada di peringkat pusat atau negeri dan didapati penyaluran peruntukan itu tidak pernah berlaku.

Selepas dipecat daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) November tahun lalu – Syed Azidi menjadi tumpuan kerana kerap mendedahkan pelbagai dakwaan ‘kepincangan’ dalam kerajaan pimpinan PAS itu.

Bukan agenda parti

Menurut Mustafa lagi, beliau “tidak tahu menahu” mengenai dakwaan sejumlah wang tersebut digunakan untuk menjatuhkan Abdullah.

“Kita menentang dasar parti (lawan) dan matlamat (parti mereka) sebab ia bercanggah dengan dasar perjuangan PAS.

“Pak Lah turun, dan (Datuk Seri) Najib naik, semacam juga… kita tidak hadap (serangan) kepada (tubuh) orang,” katanya sambil mendakwa Abdullah ‘dijatuhkan’ oleh pemimpin di dalam Umno sendiri.

Bagaimanapun beliau mengakui adalah menjadi agenda parti politik sama ada Pakatan Rakyat dan BN untuk menjatuhkan parti lawan mereka masing-masing.

“Pakatan Rakyat hendak menjatuhkan Umno, dan BN memang nak menjatuhkan kerajaan negeri (Pakatan). Ia memang menjadi agenda politik masing-masing.

“Menjatuhkan seseorang, tidak, (sebaliknya) menjatuhkan kerajaan, ya,” katanya.

Serah kepada SPRM

Sehubungan itu, katanya, PAS akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyiasat dakwaan tersebut.

“Kami serahkan kepada SPRM menyiasat sehingga akar umbi. SPRM lah siasat, PAS tak perlu buat apa-apa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, PAS tidak dihubungi SPRM berhubung pendedahan Syed Azidi.

Dalam sidang media itu juga, Mustafa berkata beliau mengikuti perkembangan pendedahan Syed Azidi (kiri) di akhbar dan mempersoalkan motif penulis blog itu, yang dibuatnya selepas dipecat dari PMBK.

Katanya, secara peribadi beliau tidak mengenali secara dekat penulis tersebut dan menyifatkannya “seorang lelaki yang tidak ada integriti dan tentera upahan politik”.

Mengulas mengenai GMC, Mustafa berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya dan hanya mengetahui selepas didedah melalui akhbar.

Tambahnya, pemimpin tertinggi PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mengetahui kewujudan pusat tersebut.

“Kalau saya tidak tahu, mereka lagi tak tahu,” katanya.

Sumber :  Malaysiakini.com

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories