Kalam Perantau

Icon

Bukan Kerajaan Campuran BN-PAS, Tapi Kerajaan Perpaduan Semua Parti

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Tiba-tiba sahaja kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam wawancara khas dengan akhbar Siasah (Bil. 0138, 1- 7hb. Mac, 2009) berhubung kerajaan perpaduan dengan penglibatan semua parti pembangkang dibentuk untuk kepentingan negara dalam mengatasi kesan kemelesetan ekonomi dunia yang membawa kesan buruk kepada rakyat mendapat reaksi positif dari berbagai pihak.

Diantara yang terawal menyokong kerajaan perpaduan cadangan Presiden PAS ini adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan mengatakan kerajaan campuran itu akan membawa kepada kestabilan kepada negara ini. Negara berhadapan dengan pelbagai krisis seperti perlembagaan, ekonomi, agama dan politik yang memerlukan kepada penyelesaian segera. Tapi BN tidak mampu melakukannya bersendirian. Inilah masanya untuk bersama.

Ku Li menyebut dalam wawancaranya dengan Siasah (Bil: 0140, 15-21hb. Mac, 2009) menggariskan gagasan kerajaan perpaduan, kita boleh mencari titik pertemuan dan persefahaman dengan dapat menjalinkan kerjasama untuk rakyat dan untuk masa depan negara  dengan tiada masalah untuk mengekalkan perjuangan  politik ideologi masing-masing.

Cuma kita hendak kepada iltizam, will power, strong political will untuk sanggup duduk semeja berunding untuk kepentingan rakyat. Tetapi kalau kita terus bertelagah di medan politik, tidak akan berhasil cita-cita kita nak bawa pembangunan kepada rakyat.  Jadi kerana itu ada cadangan supaya kita bersatu dibawah satu gagasan politik yang lebih besar.

Bagaimanapun Naib  Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin nampak begitu positif dengan hasrat ini dan  meminta penjelasan yang lebih terperinci berhubung dengan apa yang dimaksudkan oleh PAS berkaitan cadangan menubuhkan kerajaan campuran  antara BN dan pakatan pembangkang.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyebut, parti itu masih belum lagi membincangkan secara terperinci cadangan berkenaan dalam mesyuaratnya baru-baru ini. 

Mengikut cadangan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kerajaan perpaduan ini berbeza dengan kerajaan campuran yang pernah disertai oleh PAS pada dekad 70’an dulu. Cadangan ini menjuruskan kepada pembentukan kerajaan tanpa pembangkang dengan penglibatan semua parti politik.

Beliau mencadangkan agar kerajaaan B.J. Habibie di Indonesia selepas kejatuhan kerajaan Suharto dijadikan contoh. Melalui kerajaan ini Habibie telah Berjaya memberikan impak demokrasi, penentangan terhadap rasuah, kebebasan media dan lain-lain di Indonesia sehingga negara jiran itu Berjaya keluar dari kemelutnya dan sekarang berada di depan.

Bagi mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, idea itu pernah cuba dilaksanakan pada 1970-an apabila PAS menyertai BN tetapi gagal kerana parti itu tidak bertindak sebagai komponen BN, sebaliknya bertindak untuk kepentingan parti itu sendiri.

Untuk rekod, PAS pernah bersama parti-parti pembangkang lain seperti Gerakan, PPP dan SUPP bersetuju menyertai gagasan yang dianjurkan oleh Tun Razak dan pemimpin yang lain membentuk kerajaan campuran pada tahun 1971 sebelum bersetuju menubuhkan BN pada tahun 1974. Tetapi beeberapa parti lain seperti DAP, PRM dan lain-lain masih kekal sebagai parti pembangkang.

Bagi saya secara peribadi, idea tersebut mungkin tepat pada masanya untuk semua pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama mengadakan “gencatan senjata” seketika sehingga pilihanraya umum ke-13 bagi memberikan keutamaan menyelesaikan isu kegawatan ekonomi dewasa ini.

Apa yang terjadi kepada politik Perak hari ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kedua-dua pihak, baik pembangkang mahupun kerajaan. Kedua-dua pihak terherat dalam kemelut politik dan perundangan yang panjang sehingga menjejaskan tumpuan kepada keselesaan kehidupan rakyat.
 
Sungguhpun begitu, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS tidak bersedia untuk mengadakan kerajaan campuran BN-PAS sekali lagi kerana kesan ‘luka lama’ yang belum hilang kerana PAS ditendang dari BN.

“PAS dari dulu nak bergantung dengan BN…masa tu nak perpaduanlah, tapi UMNO tak hargai susah payah PAS, usaha PAS dahulu gagal, bukan gagal kerana kami tetapi kerana UMNO tendang kami keluar”  katanya  yang juga Menteri Besar Kelantan.

Dengan keadaan yang berbeza dari situasi pada dekad 1970’an dahulu, DAP tidak terburu-buru menyatakan pendirian berhubung dengan perkara ini. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menuntut Abdul Hadi memberikan pen jelasan kepada majlis Pimpinan Tertinggi DAP-PAS-PKR tentang apa yang dimaksudkan dengan cadangan itu.

Manakala menjelang pembentangan mini budget pada 10hb. Mac, 2009 yang lepas, dua pemimpin tertinggi negara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama menjadi tetamu istimewa kepada seorang tokoh agama dari Indonesia yang diadakan sempena dengan sambutan Maulidur Rasul di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, Selangor.  

Artikel ini disiarkan untuk akhbar SIASAH bilangan 141 (22-28 Mac, 2009)

Filed under: Siasah, , , , ,

Kuasa Speaker Perak tidak terjejas, Sidang Dewan dibawah pokok tetap sah!

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Krisis politik dan perlembagaan di Perak belum lagi ada tanda-tanda  penyelesaian. Perebutan kuasa (kerajaan) kini sedang berlaku dan berlarutan sejak lebih sebulan lalu. Malah ianya menjadi bertambah kronik. Laporan polis dan  saman menyaman di mahkamah makin banyak.

Satu kerajaan yang juga dilantik oleh Sultan bersama barisan Exconya masih mengaku merekalah kerajaan sah di Perak. Manakala satu lagi kerajaan yang baru dibentuk selepas rampasan kuasa juga mengakui merekalah kerajaan yang sah.

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak telah mengemukakan tuntutan kesahihan kerajaan Dr. Zamry Abdul Kadir ke mahkamah.  Kes ini sedang dikendalikan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung dengan beberapa pertikaian berkaitan dengan aspek perlembagaan dan kuasa sultan.

Malah saya difahamkan, Mahkamah Tinggi Ipoh telah mencampuri urusan DUN bila menghalangnya bersidang, selepas DUN telah pun bersidang. Sidang DUN diadakan pada sebelah pagi. Mahkamah pula mengeluarkan injuksi pada sebelah petang. Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Perak yang dipanggil oleh Speaker V. Sivakumar terpaksa diadakan di bawah pokok pada 3hb. Mac, 2009 kerana Ahli Dewan Undangan Negeri dilarang memasuki  tempat DUN bersidang yang dikhaskan kepada mereka.  

Speaker DUN Perak telah memangil sidang khas Dewan yang antara lain; untuk mendapatkan pengesahan (endorsement) ke atas keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Terpilih mengenai penggantungan YB Datuk Dr. Zambry dan keenam-enam EXCO yang didapati telah melakukan  kesalahan kerana merampas Kerajaan Negeri Perak  melalui cara yang tidak berperlembagaan dan juga, Untuk membuat keputusan bagi dipersembah perkenan DYMM supaya Dewan negeri dibubarkan.

Menurut Wan Abdul Mutalib Embong, seorang pengamal undang-undang dalam satu kertas kerjanya berhubung dengan Krisis Politik dan krisis Perlembagaan di Negeri Perak menjangkakan akan memakan masa yang lebih panjang daripada jangkaan awal semua pihak.  Dengan perlantikan (Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak) dan pemasyhuran kerajaan baru pimpinan BN itu bererti Negeri Perak mempunyai dua Menteri Besar dan dua Kerajaan dalam satu ketika.  Siapa pun mendakwa lebih berkuasa dan sah permasalaahan itu telah sampai kepada cabang ketiga pemisahan kuasa organ pentadbiran Negara iaitu Mahkamah. 

Sekarang telah berlaku banyak tindakan mahkamah diambil yang akan melibatkan masa, kedudukan kuasa perundangan, hak-hak tersendiri tiga (3) cabang kuasa yang sepatutnya terasing iaitu:-

(1) Kuasa Dewan (Legislature),
(2) Kuasa Eksekutif, dan
(3) Kuasa Kehakiman.

Beliau yang berpengalaman menjadi  exco Kerajaan Terengganu sebelum ini menyebut, dalam ‘doktrin’ pemisahan kuasa,  Dewan memiliki kuasa yang tersendiri dalam menentukan urusan dan prosedurnya.  Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Dewan tidak boleh dipersoalkan dalam Mahkamah.  Fungsi Mahkamah ialah untuk mentafsirkan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan/Parlimen dan tidak boleh menyoal kesahihan prosedur Dewan dan kewajaran hukuman yang dibuat oleh Dewan seperti penggantungan hak seseorang Ahli Dewan.

Baginya, walaupun pada ketika ini kuasa Speaker dilihat telah terhalang oleh kuasa eksekutif (Pentadbiran dan Polis) yang menghalang sidang Dewan yang dipanggil oleh Speaker, kuasa Speaker masih tidak terjejas.  Speaker hanya boleh dibatalkan perlantikan/pecat oleh Dewan yang akan bersidang.  Mahu tidak mahu Dewan diwajibkan bersidang dalam satu tempoh yang tidak melebihi enam (6) bulan dalam satu-satu masa.  Bilamana Kerajaan Kedua mahu mengadakan sidang Dewan, Speaker yang sama juga akan memanggil Dewan.  Dalam masa itu Speaker masih boleh menggunakan kuasanya dalam mengurus kendalikan kerja-kerja Dewan mengikut kuasa yang diberi kepadanya oleh Perlembagaan dan Peraturan Tetap Dewan.

Manakala Asmuni Awi seorang pengamal undang-undang di Perak memberitahu saya semasa kami makan tengahari pada minggu lepas, keadaan  yang berlaku di Perak sekarang ini cukup luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Amat jarang, malah hampir tidak pernah berlaku pihak judiciary, mencampuri urusan legislatif.  Yang banyak berlaku adalah pihak eksekutif mencampuri urusan sama ada judiciary ataupun legislatif  sebelum ini.

Malaysian Bar Council meminta  pembubaran Dewan Negeri dilakukan supaya mandat rakyat diminta semula yang akan sekaligus menyelesaikan perbalahan politik dan krisis perlembagaan di Perak sekarang ini.

Pembubaran ini turut disokong oleh 25 badan bukan kerajaan (NGO) Islam dikenali Jaringan Per-muafakatan Pertubuhan Islam Negeri dengan memghantar memorandum kepada Sultan Perak untuk menzahirkan kekecewaan rakyat terhadap keputusan Sultan Azlan Shah yang dianggap tidak telus dalam pelantikan kerajaan baru..

Jika tidak, yang dibimbangkan ialah porak poranda, perbalahan kaum dan kehancuran kepada satu sistem yang selama ini telah pun diterima semua rakyat. Apa yang mendukacitakan ialah institusi istana turut terlibat secara langsung, dipertikai dan dipersendakan.  Ada pula yang mengambil kesempatan (UMNO-BN) untuk melebelkan anti perajaan, penderhakaan dan berbagai-bagai lagi desakan untuk pelaksanaan undang-undang yang akan menzalimkan sebahagian rakyat.

Artikel ini disiarkan untuk akhbar SIASAH bilangan 140 (15-21 Mac, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , , ,

Selepas Pakatan Rakyat, Abdul Hadi cadang Kerajaan Perpaduan

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Sabtu, 7hb. Mac 2009 ini satu lagi sejarah akan dirakamkan. Rakyat diajak berhimpun dalam menjayakan Himpunan Aman 100,000 Mansuhkan PPSMI di hadapan Istana Negara. Peristitiwa tokoh budayawan dan akademik berarak ke Istana Negara bagi saya  adalah peristiwa yang sangat menarik.

Kali ini para budayawan dan cendikiawan terkenal bersatu hati bagi dengan rakyat menyelamatkan masa depan bahasa Mahalaysia sebagai bahasa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matermetik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)

Kegigihan Sasterawan Negara, Dato’ A. Samad Said, Pengerusi Gerak mansuhkan PPSMI (GMP) dan lain-lain tokoh pendidikan dan budayawan seperti  Dato Dr. Hasan Ahmad, Prof. Dr. Shahril Mohd Zain, Prof Dr. Abdullah Hassan, Ainon Mohd, Dinsman, Dr. Muhammad Salleh, Prof Dr. Nik Safiah Karim, Prof Dr. Awang Sariyan dan lain-lain kerana kegagalan persidangan Meja Bulat dan juga ‘kedegilan’ Menteri dalam mempertahankan dasar PPSMI yang tidak menguntungkan ini.   

Tokoh-tokoh bahasa dan sastera serta pendidikan bergandingan tenaga dan kudrat untuk milihat masa depan anak-anak mereka terjamin dalam pelajaran. Cukuplah 6 tahun kegagalan PPSMI dan rakyat  berharap Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi berjaya memansuhkan PPSMI sebelum berundur pada Mac ini demi kepentingan generasi akan datang.

Ulangtahun Pakatan Rakyat dan Cadangan Kerajaan Perpaduan 

Bila seorang rakan mengajak saya turut serta menyertai himpunan ini sebagaimana Gerakan   Pilihanraya yang adil dan bersih (BERSIH) setahun yang lalu, secara spontan saya mengatakan alangkah baiknya jika Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) memilih tarikh 8hb. Mac, 2009 sebagai sempena ulangtahun hari kebangkitan rakyat di peti-peti undi pada pilihanraya 8hb. Mac, 2008 yang lepas. 

Bagi saya tarikh 8hb. Mac adalah tarikh kebangkitan rakyat menolak kerajaan yang telah memerintah negara kita sejak lebih 50 tahun tanpa dapat menyelesaikan banyak isu-isu kehidpuan rakyat miskin yang selama ini terlalu bergantung kepada UMNO dan BN.

Keputusan pilihanraya umum menunjukkan rakyat menolak BN dibeberapa buah negeri. Beberapa negeri yanmg sebelum ini tidak ada pengalaman diperintah oleh parti lain selain daripada parti-parti Perikatan/Barisan Nasional seperti Selangor, Perak dan Kedah serta Pulau Pinang telah berjaya membentuk sebuah kerajaan baru pilihan rakyat pasca pilihanraya umum 8hb. Mac, 2008.

Keadaan ini memaksa pembangkang bersatu dan berkerjasama membentuk kerajaan camporan yang baru menggantikan Barisan Nasional. Dalam masa yang sama UMNO turut memujuk PAS untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional  terutama di Perak dan Selangor.

Dalam satu ceramah Presiden PAS,  Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di stadium Hulu Langat beberapa hari selepas pilihanraya 8hb. Mac, beliau mencadangkan diwujudkan kerajaan Barisan Rakyat yang menggabungkan ketiga-tiga parti pembangkang, PAS, PKR dan DAP khususnya bagi memerintah negeri Selangor dan Perak.

Kerajaan campuran PAS dan PKR di Kedah dan kerajaan campuran DAP dan PKR di Perak berjaya dibentuk lebih awal selepas pilihanraya tersebut kerana kemenangan PAS dan DAP jelas dikedua-dua negeri tersebut. Begitu juga di Kelantan.

Kebuntuan membentuk kerajaan hanya berlaku di negeri Selangor dan Perak sahaja kerana majoriti yang diperolehi tidak begitu besar. Akhirnya kerajaan campuran DAP-PKR-PAS dibentuk di Selangor dan Perak. Di Selangor Menteri Besar di serah kepada PKR dengan persetujuan PAS  dan di Perak Sultan memilih wakil PAS menjadi Menteri Besar.   

Kemudiannya bila pemimpin ketiga-tiga parti bermesyuarat cadangan, nama Barisan Rakyat ditukarkan kepada Pakatan Rakyat bagi  menonjolkan kesepakatan ketiga-tiga parti membentuk kerajaan dan terikut-terikut dengan Barisan Nasional.

Bulan March, 2009 ini merupakan ulangtahun pertama kerajaan pakatan Rakyat yang wajar diambut meriah di kalangan rakyat Selangor, Kedah dan pulau Pinang serta Kelantan disamping Perak yang secara perlembagaannya mempunyai dua kerajaan yang belum ditentukan kesahihan di mahkamah.

Banyak pihak mendakwa kemelut politik di Perak menjadi tidak terkawal dan menghadapi krisis perlembagaan kerana tindakan sultan Perak yang gopoh memperkenankan pembentukan kerajaan BN ekoran rampasan kuasa di luar Dewan Undangan Negeri yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional setelah kedua-dua parti terikat masing-masing 28 kerusi sama.

Manakala 3  kerusi yang kononnya diistiharkan bebas tetapi didakwa menyokong Barisan Nasional telah dikosongkan oleh 2 mantan exco PKR dan seorang Timbalan Speaker DAP juga belum diputuskan oleh mahkamah.  

Dalam kekalutan politik yang berlaku dalam negara dewasa ini, sekali lagi Tuan Guru Presiden PAS mencadangkan kerajaan Perpaduan di mana Barisan Nasional dan pakatan Rakyat sama-sama memerintah dan masing-masing menumpukan usaha memulihkan ekonomi supaya rakyat hidup selesa.

Dalam wawancara Presiden PAS dalam akhbar Siasah pada bil. 138 pada terbitan 1-7hb. Mac, 2009 Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyarankan agar kerajaaan perpaduan dibentuk di negara ini dengan penglibatan semua parti politik yang ada dan bersatu untuk kepentingan negara seperti yang dilakukan oleh Habibie selepas kerajaan Suharto Berjaya dijatuhkan.

Bagi saya tidak terjadi kerajaan perpaduan jika ada mana-mana parti tertinggal menjadi pembangkang seperti mana  pembentukan kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1973 atau 1974 dahulu di mana parti DAP  dan PRM tidak menyertainya dan terus menjadi pembangkang.   Ini ditegaskan Abdul hadi dalam wawancaranya, sebarang perpaduan itu melibatkan semua.  

Pada saya cadangan ini cukup sesuai dilaksanakan selepas kerajaan Abdullah berakhir dan sebuah kerajaan perpaduan segera dibentuk oleh Yang Dipertua Agong (YDPA) dengan melibatkan semua komponen BN dan semua parti-parti Pakatan Rakyat.

Cadangan Kerajaan Perpaduan ini turut disokong oleh Ahli Parlimen Gua Musang (UMNO) yang pernah memimpin parti Melayu Semangat 46 (PMS46) sebelum ini. Ketua Wanita UMNO, Rafidah Aziz secara terbuka tidak bersetuju dengan kerajaan perpaduan. Manakala  Naib presiden UMNO, Muhyidin Yassin  untuk memahami konsep kerajaan Perpaduan yang dicadangkan ini.     

Beberapa pemimpin UMNO lain masih berbelah bahagi sama ada untuk mewujudkan kerajaan perpaduan atau tidak dikalangan rakyat.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah bil: 0139 (8 – 14 Mac, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Kabinet April Fool: Pak Lah Menteri Kanan, Mahathir Menteri Mentor ?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Sekarang episod Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berundur telah berkumandang disetiap tempat. Baik parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR) tidak terkecuali membincangkannya.

Malah dalam titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin  semasa membuka persidangan Parlimen pada 16hb.Februari, 2009 baru-baru ini pun tidak terkecuali memperkatakan tentang pengunduran Memanda Perdana Menteri pada hujung bulan Mac, 2009 ini.

Tetapi sekarang nampaknya Pak Lah masih membisu tentang persaraan ini. Beliau belum mengumumkan tarikh yang tepat bila peralihan kuasa ini hendak dilakukan. Adakah pada bulan Mac, sebaik sahaja perhimpunan Agung UMNO berakhir pada 26hb. Mac, 2009 dan sebelum penamaan calon PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 29hb. Mac, 2009 atau selepas tarikh penamaan calon dan pilihanraya kecil tersebut pada 7hb. April bagi membolehkan Najib menumpukan kepada pilihanraya kecil tersebut terlebih dahulu.    

Dengan perkembangan yang berlaku kebelakangan ini, agak sukar untuk Pak Lah bertahan sebagai Perdana Menteri sehingga tahun 2010, hatta sehingga bulan Oktober, 2009 untuk menggenapkan tempoh pemerintahannya selama 6 tahun pun belum tentu dipersetujui oleh UMNO yang akan diketuai oleh Najib selepas pada 26hb. Mac, 2009 ini.

Sekarang ini beberapa pemimpin UMNO telah memulakan gerakan dimana mahu diletakkan Abdullah selepas ini supaya episod yang dilalui oleh mantan Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr. Mahathir tidak akan berulang sebagaimana yang sering disebut oleh anaknya, Mukhriz Mahathir.

Seorang Ahli Parlimen BN, Mohamad Abd Aziz ada mencadangkan agar Malaysia mencontohi negara jiran, Singapura dengan melantik Abdullah Ahamad Badawi sebagai Menteri Kanan supaya bekas Perdana Menteri itu terus dihormati dan tidak menjadi ‘back bencer’ seperti beliau, Bung Moktar dan lain-lain.

Pada saya cadangan ini wajar dipertimbangkan oleh Datuk Najib Tun Razak supaya pisang tidak berbuah dua kali. Peristiwa Tun Mahathir menyerang semula parti dan kerajaan yang ditinggalkannya tidak harus berulang jika UMNO dan BN hendak melanjutkan hayatnya di bumi Malaysia.

Malah saya merasakan Najib Tun Razak sendiri akan pergi lebih jauh lagi dengan melantik Tun Dr. Mahathir sebagai Menteri Mentor, jika formula yang dilakukan oleh Singapura dalam meraikan bekas Perdana menteri mereka digunapakai oleh UMNO dan BN.

Kerajaan Dr Zamry di Perak kelam kabut?

Perkara ini tidak mustahil dalam politik. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Dr. Zamry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak yang dipertikaikan sekarang ini telah melakukan apa yang tidak pernah dilakukan olen mana-mana Menteri Besar dan Ketua Menteri sebelum ini dengan melantik 3 orang Penasihat bertaraf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco).

Lebih menarik lagi dua orang calon yang kalah pilihanraya  sebagai exco melalui pintu belakang sesudah beliau membentuk kerajaan secara pintu belakang setelah UMNO dan BN memperguna istana secara yang tidak berpelembagaan.

Perkara ini sedang dipertikaikan oleh kerajaan pilihan rakyat Perak, yakni kerajaan Pakatan Rakyat yang mendakwa kerajaan mereka masih sah di sisi perlembagaan Perak. Isu ini sedang dibicarakan di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dr Zambry telah melantik Datuk Chang Ko Youn (wakil Gerakan) selaku Penasihat Hal Ehwal Kaum Cina dan Datuk S. Veerasingam (wakil MIC) sebagai Penasihat Hal Ehwal Kaum India yang bertaraf exco.

Saya juga hairan kenapa Datuk Mohd Najumuddin Elias sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama Islam bertaraf exco. Dalam hal ini dimanakah maruah dan peranan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Harussani Zakaria yang sepatutnya menjadi tempat rujuk yang utama dalam hal-hal agama?

Dengan bahasa lain, Datuk Harussani bukan sahaja dipertikaikan oleh rakyat, malah kerajaan UMNO dan BN sendiri seolah-olah turut meragui kemampuannya. Jika kerajaan negeri Perak menghargai kredebiliti Datuk Harusani sebagai mufti kenapa tidak diberikan taraf exco tersebut kepada beliau.

Bagi saya Perdana Menteri wajar mempunyai Penasihat Agama yang bertaraf Menteri kerana tidak ada jawatan Mufti Negara yang boleh menasihatkan beliau dalam hal-hal keagamaan. Apakah justifikasi Dr. Zamri melantik Penasihat Agama bertaraf exco dengan membelakangkan Mufti Perak?

Begitu juga dalam kes Datuk Hamdi Abu Bakar. Kenapa tidak dilantik sebagai exco dan bertanggungjawab terhadap portfolio penerangan? Sebaliknya hanya dilantik sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri dan diberikan taraf exco. Satu jawatan yang tak pernah diwujudkan olen mana-mana   negeri sebelum ini.

Dalam hal ini DAP Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir melantik tiga penasihat kepada Menteri Besar yang didakwa oleh parti itu sebagai salah guna kuasa.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata pelantikan itu dibuat tanpa kelulusan exco kerajaan Perak dan juga melanggar peruntukan undang-undang tubuh negeri tetapi SPRM tidak mengambil sebarang tindakan setakat ini.

Sikap double standard Ketua Pengarah SPRM begitu ketara sekali. Aduan melibatkan Menteri Besar Perak tidak di siasat tetapi kes yang sebaliknya melibatkan Menteri Besar Selangor, SPRM kelam kabut menyiasat kes penyelenggaraan kereta persendirian Tan Sri Khalid Ibrahim yang dijadikan kereta rasmi Menteri Besar Selangor.

Begitu juga dengan kes lembu korban yang diberikan oleh agensi-agensi Kerajaan Selangor kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan yang diwakili oleh beliau.

Dalam hal ini, Lim Kit Siang, Penasihat DAP meminta Ketua Pengarah SPRM segera meletak jawatan dan digugurkan dari menjadikan SPRM atau MACC sebagai Malaysian Agency for Car and Cows).        

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Siasah  bil:0138  (1 – 7 mac, 2009)

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,097 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories