Kalam Perantau

Icon

‘Buku tulisan Mujahid keliru asas perjuangan PAS’

Dewan Ulama PAS Kedah menolak buku bertajuk Menuju PAS Baru tulisan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang antara lainnya mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus “dinasionalkan”.

Naib Ketua dewan itu Yusuf Mahmud dipetik Bernama sebagai berkata berkata pandangan seperti itu sama sekali tidak perlu lebih-lebih lagi ia disuarakan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai ahli PAS.

“Dalam keadaan sekarang, ahli-ahli PAS terutamanya pemimpin parti perlu memahamkan masyarakat mengenai kesyumulan Islam dan kesyumulan itulah yang berpijak di bumi nyata,” katanya dalam satu kenyataan.

Yusuf juga berkata beliau menolak idea yang diketengahkan oleh Mujahid iaitu mengubah konsep kepimpinan ulama yang telah menjadi amalan dalam PAS sejak lebih 20 tahun lalu.

“PAS tidak lemah dengan ulama tetapi ia perlu diperkasakan, bukan diubah kepada sebarang konsep lain,” katanya.

Beliau berkata penerbitan buku itu adalah satu percubaan untuk mengelirukan orang ramai mengenai asas perjuangan PAS yang berteraskan Islam.

“Beliau dilihat cuba menanam rasa benci masyarakat kepada kepimpinan ulama dengan mengatakan bahawa PAS tidak membawa aspirasi nasional, apabila PAS menafikan Perlembagaan Persekutuan dan menamakannya sebagai Perlembagaan Thaghut,” katanya.

Yusuf berkata masyarakat umum mungkin boleh terpengaruh tetapi ahli-ahli PAS yang telah ditarbiyah sekian lama cukup faham bahawa PAS selama ini hanya membawa aspirasi Islam bukan aspirasi nasional.

“Beliau dilihat memberi tekanan agar PAS berubah menjadi parti yang seiring dengan Perlembagaan Persekutuan agar matlamat ke Putrajaya tercapai.

“Perlu diingatkan di sini bahawa matlamat perjuangan PAS bukan untuk ke Putrajaya tetapi untuk menegakkan hukum Allah. Tidak ada gunanya ke Putrajaya jika PAS terhakis asas perjuangannya,” katanya lagi seperti dipetik Bernama.

Katanya idea “menasionalkan PAS” adalah tidak wajar kerana yang sepatutnya diketengahkan ialah Islam dalam pembentukan kenegaraan.

“Tindakan Mujahid jelas menunjukkan bahawa beliau cuba meneutralkan PAS dalam meraih undi masyarakat Malaysia. Bukan kita terpaksa menceduk apa yang telah menjadi praktikal parti-parti lain di Malaysia tetapi kita perlu ada jati diri,” katanya.

Yusuf berkata kecelaruan Mujahid semakin menjadi-jadi apabila beliau menyarankan supaya dimasukkan dalam latihan perkaderan mengenai perlembagaan, membentuk identiti nasional PAS seperti mengibar Jalur Gemilang, menyanyi lagu Negaraku dan berpakaian kebangsaan.

“Sepatutnya perkara-perkara seperti itu tidak perlu dibuat kerana kita mempunyai agenda yang lebih penting kepada generasi yang akan datang iaitu membezakan antara al-haq dan al-batil,” katanya.

Mujahid adalah juga Anggota Parlimen Parti Buntar.
– Bernama

Filed under: News, , , , ,

Ahmad Said kembali, apa petandanya?

Oleh : Dr Azman Ibrahim   

Setiausaha Agung Umno mengumumkan rombakan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri bagi tiga negeri; Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah. Sekadar catatan, selain Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah, dua lagi negeri iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan juga bukan dipengerusikan oleh anak tempatan negeri.

Menariknya kerana sebelum ini Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri yang dirombak tersebut disandang oleh 3 orang Naib Presiden, Hishammuddin, Zahid Hamidi dan Shafie Afdal sementara Selangor dan Wilayah Persekutuan dipengerusikan sendiri oleh Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Apakah misi ketiga-tiga Naib Presiden ini untuk memulihkan masalah yang melanda Umno di negeri-negeri tersebut telah berjaya (mission accomplished) lalu melayakkan ianya dikembalikan semula kepada anak negeri untuk memimpin atau hakikat sebaliknya, mereka gagal sehingga Najib terpaksa akur kepada desakan supaya mereka bertiga digantikan?

Saya berpendapat faktor kegagalan mereka lebih menjadi penyebab utama kepada perubahan ini. Persoalan yang mungkin timbul, apakah Najib sendiri dan Muhyiddin berjaya dalam misi mereka untuk memulihkan Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan sehingga mereka masih kekal sebagai Pengerusi Perhubungan bagi dua negeri berkenaan.

Kenapa Jawatan Pengerusi Perhubungan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak turut dikembalikan kepada anak negeri sama seperti Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang?

Mustahil tidak ada di kalangan pemimpin negeri yang bermimpi dan bercita-cita cuma mereka belum berani untuk mengisytiharkan secara terbuka sebagaimana beraninya Mukhriz.

Berbanding dengan Umno Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang dilihat lemah dan bermasalah setelah negeri mereka dikuasai Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, senario di Terengganu agak unik dengan negeri kekal dikuasai Umno BN tetapi krisis perebutan jawatan Menteri Besar membawa perpecahan parah dalam Umno negeri. Ahmad Said yang disokong oleh minoriti Adun Umno negeri tetapi dengan sokongan dan dokongan istana membolehkan beliau menduduki kerusi Menteri Besar mengatasi kemahuan Pak Lah yang masih inginkan Idris Jusoh menerajui negeri.

Episod panjang perbalahan kekal berterusan sekalipun kerajaan negeri berjaya juga akhirnya dibentuk sehingga sengketa yang tidak mampu lagi dirungkai mengundang campur tangan Umno Pusat dengan perlantikan Panglima Keris Panca Delima sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.

Perlantikan ini dilihat sebagai kompromi jalan tengah walaupun ianya terlalu jauh untuk menuju titik penyelesaian. Apatah lagi bila pihak yang bertelingkah sebenarnya bukan mengambil kira agenda rakyat tetapi lebih memikirkan kepentingan puak, bukan untuk mencari damai tetapi untuk membuktikan siapa lebih handal dan jaguh dalam permainan ini.

Berulang-alik lah Hishammuddin ke Terengganu kononnya untuk menyusun semula barisan. Kadang-kadang Muhyiddin pun campur tangan sekali walaupun kerap program mereka diboikot begitu sahaja. Setiap kali berkunjung ke negeri angkatnya, Hishammuddin mencanangkan segala masalah telah berlalu dan Umno sedang diperkuatkan semula. Tetapi realiti yang dilihat berlaku amat berbeza.

Senario 10 budak hitam yang bisu di sidang Dun masih berterusan, kemudiannya berkurangan kepada 4 budak hitam sahaja. Mungkin 6 budak hitam lagi yang mula bersuara melihat mereka perlu bersuara walaupun bercakap dengan nada menghentam kerajaan sendiri, lebih teruk dari pembangkang.

Kehadiran Muhyiddin merasmikan Persidangan Agung Umno Bahagian Setiu tahun ini diboikot dengan ketidakhadiran kesemua empat Adun dari Parlimen Setiu. Isu agihan kontrak dan projek yang mementingkan kroni dan puak menjadikan kudis lebih bernanah. Idris Jusoh tentu sama sekali tidak akan mengalah. Puak-puak sekelilingnya yang sanggup membujur lalu melintang patah mempertahankannya walaupun sehingga Sultan yang bersemayan digelar ‘natang’ . Majlis perdamaian demi perdamaian diatur tetapi lebih kepada simbolik dan retorik. Kita berdamai di dalam majlis, di luar nanti cerita lain. Kamu puak kamu, aku puak aku!

Dengan kedudukan Ahmad Said sebelum 1 Januari 2011 hanya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri tentu ianya akan mencetus dilema bagi seorang Menteri Besar yang tidak menerajui kepimpinan parti di negeri sendiri dalam rangka menghadapi PRU 13 nanti. Tentu sekali percaturan susun atur calon-calon tidak berada di tangannya apatah lagi dengan kedudukan Idris Jusoh sebagai Pengarah Pilihanraya Umno Malaysia.

Hubungan rapat Idris dengan orang yang berkuasa di Putrajaya boleh menggugat peluang orang-orang Ahmad Said. Apatah lagi kepimpinan Ahmad Said dilihat tidak begitu dihirau dan dihormati oleh kerajaan pusat. Timbul juga cakap-cakap politik, apakah penggal ini, penggal pertama dan terakhir Ahmad Said menduduki kerusi Menteri Besar.

Mungkin atas senario ini beberapa orang Adun Umno dilihat berani menjadi pembangkang kepada kerajaan sendiri tanpa mereka bimbang dengan peluang mereka untuk dicalonkan semula nanti. Pernah terdengar mereka berkata, “Apa kita nak takut dengan Mad Said, dia bukan Pengerusi Perhubungan. Kita lok (biar) dia duduk situ penggal ni saja, lepas ini kita bubuh (letak) dia dalam Zoo Kijal.” Begitulah optimisnya mereka tentang singkatnya hayat politik Ahmad Said. Itu pun belum diambil kira peluang Umno BN untuk kembali memerintah Terengganu selepas PRU 13 nanti.

Ketika perwakilan Umno Kedah mendesak di dalam Persidangan Agung Umno supaya dikembalikan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri kepada pemimpin dari negeri jelapang padi tersebut, perwakilan Terengganu nyata membisu.

Apakah betul bagai dikata, perwakilan Terengganu sendiri tidak menghendaki Ahmad Said dikembalikan jawatan tersebut? Kalau bukan Menteri Besar, maka siapa lagi yang layak dilantik ke jawatan ini. Idris Jusoh, Nasir Ibrahim Fikri, Ahmad Razif Abdul Rahman atau siapa lagi…?

Mampukah pengumuman Tengku Adnan Mansor semalam (Isnin, 27 Disember 2010) memberikan nafas baru kepada hayat politik Ahmad Said? Mungkinkah ini khabar duka untuk Idris Jusoh dan penyokong setianya? Episodnya masih terlalu panjang…

Filed under: News, , , ,

Surau Al-Hidayah Rawang : Demonstrasi hanya provokasi

BANDAR BARU SELAYANG – Demonstrasi bantahan terhadap Surau Al-Hidayah, Kampung Melayu Pekan Rawang yang dikatakan bakal dirobohkan hanyalah provokasi.

Yang Dipertua Pas Kawasan Selayang, Mohamad Abdul Rahman berkata, tujuan demonstrasi pihak tertentu berhubung surau itu, hanya mencari populariti murahan bagi menghasut rakyat membenci dan keliru, kononnya Pakatan Rakyat (PR) tidak prihatin isu agama Islam.

“Rakyat kini semakin cerdik menilai. Pihak berkenaan hanya mahu membuat provokasi dengan menguar-uarkan kepada penduduk Rawang, seolah-olah berlaku kelemahan dan ketidakcekapan Kerajaan Negeri sekarang, menyebabkan satu-satunya tanah orang Melayu di Pekan Rawang jatuh ke tangan syarikat swasta.

“Kita bukan sekadar mempertahankan tanah, tetapi lebih daripada itu kesucian Islam,” katanya selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Permuafakatan Nazir-Nazir Masjid Selayang berkata, pihaknya menyokong kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Kerajaan Negeri tidak terlibat dengan pelan pembangunan tapak seperti dituduh.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti mereka menghadiri demonstrasi yang majoritinya terdiri pimpinan tertentu termasuk Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sarkom, yang penglibatannya disifatkan tidak wajar.

Katanya, kenyataan semasa demonstrasi menghentam Kerajaan Negeri itu tidak berasas dan memakan diri kerana kini, daripada rakyat tidak tahu menahu, ia sebenarnya memecahkan tembelang pihak terlibat.

“Tanah terlibat dalam projek pembangunan itu sebenarnya dimiliki oleh satu syarikat yang akan menjalankan projek bersama sebuah syarikat swasta. Rekod menunjukkan syarikat yang dimaksudkan bukan lagi anak syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor semenjak 2002 lagi.

“Sebenarnya bukan setakat Surau Al-Hidayah sahaja kita sentuh, tetapi ada beberapa perkara lain berkaitan dengan tanah dan agama Islam di Rawang dan Pas Selayang akan cuba membongkar isu berkaitan,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti termasuk tergadainya sebahagian tanah Masjid Nurul Iman Rawang untuk pembinaan jalan oleh syarikat swasta sama.

Menurutnya, ini termasuk tanah surau dan rizab kubur di Rawang yang sudah digazetkan telah bertukar status, di mana ia dikatakan berlaku semasa pemerintahan Kerajaan Negeri lalu.

“Mungkin tidak ramai tahu sejarah Surau Al-Hidayah di Kg Melayu, Rawang termasuk kronologi surau itu. Oleh itu pihak kami meminta rakyat dan penduduk sekitar Rawang tidak mudah percaya kenyataan dikeluarkan pihak tertentu.

“Mereka yang mahukan maklumat lanjut boleh merujuk Pentadbir Masjid Nurul Iman Rawang sebagai penaung semua surau di dalam pentadbirannya,” katanya.

Mohamad juga menggesa penilaian rakyat sebaiknya kerana sepanjang PR memerintah tidak pernah berlaku lagi perobohan masjid dan surau begitu juga rumah ibadah bangsa agama lain. Katanya, masjid dan surau kini juga sentiasa diimarahkan oleh rakyat, berbeza berbanding masa pemerintahan sebelum ini.

Menurutnya sehubungan itu, pihaknya menyokong Kerajaan Negeri agar polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut berkenaan isu Surau Al-Hidayah.

“Siasatan ini termasuk dari sudut pengutipan sewa kepada gerai di tapak surau itu dan bayaran yang disalurkan ke tabung surau.

“Insya-Allah kami akan sentiasa memberi kerjasama bersama dengan pihak Kerajaan Negeri untuk memberi keterangan,” katanya.

Dalam demonstrasi 19 Disember lalu, Penasihat Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH), Datuk Ir Md Nasir Ibrahim mempertikaikan tapak surau yang juga rizab masjid terbabit didakwa dipecahkan kepada lapan lot, manakala lima daripadanya dikatakan sudah ada pembeli.

Filed under: News, , , ,

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Jan depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 17 Dis lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada hari yang sama.

“Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sulaiman, 59, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Beliau berkata terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

“Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi. Seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini, ” katanya.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan. Abdul Aziz berkata tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akanditubuhkan, yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan,bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen.

Kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 diadakan, yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 juta.- BERNAMA

Filed under: News, , , , , , , ,

RM1.887B: Apa rakyat Terengganu dapat

Oleh : Dr Azman Ibrahim  

Bajet Terengganu 2011 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu berakhir Khamis, 16 Disember 2010 lepas memperuntukkan anggaran perbelanjaan negeri sebanyak RM1.887 billion. Menakjubkan walaupun Terengganu adalah antara negeri termiskin di Malaysia tetapi Terengganu antara negeri yang mengemukakan bajet tertinggi untuk tahun 2011. Sebagai bandingan, Selangor sebuah negeri maju hanya memperuntukkan RM1.43 bilion bagi Bajet 2011.

Daripada jumlah itu, RM1.699 bilion diperolehi dari kerajaan pusat yang disebut oleh Menteri Besar semasa pembentangan Bajet sebagai royalti petroleum tetapi kerajaan pusat masih menganggapnya sebagai bayaran Dana Khas sahaja dan bukannya bayaran royalti. Bakinya RM188 juta atau hanya 10 peratus sahaja adalah sumber kerajaan negeri. Bayangkan di mana Terengganu tanpa dana khas ini? Pastinya kakitangan kerajaan negeri tidak akan dapat dibayar gaji apatah lagi untuk belanja pembangunan.

Kerajaan Terengganu memerlukan RM213.34 juta setahun hanya bagi pembayaran gaji dan emolumen sahaja. Untuk berlaku jujur, kita boleh menggambarkan bagaimana kesukaran dihadapi Kerajaan PAS Terengganu era 1999-2004 untuk menguruskan pentadbiran negeri apabila royalti dirampas. Kakitangan kerajaan masih mendapat gaji dan pembangunan masih berterusan walaupun seadanya.

Datuk Seri Ahmad Said juga mengakui semasa pembentangan Bajet bahawa disebabkan kerajaan negeri tidak menerima sepenuhnya pemberian dana khas oleh kerajaan persekutuan seperti mana yang diperuntukkan dalam anggaran bajet bagi tahun 2007, 2008 dan 2009 menyebabkan Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit terkumpul yang besar sebanyak RM699.01 juta bagi tahun lepas berbanding RM424.96 juta bagi tahun sebelumnya.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dari kawasan Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyatakan; mengikut pengalamannya sepanjang menjadi Ahli Dewan Negeri semenjak 2008, walaupun anggaran Bajet Terengganu adalah yang tertinggi dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi ianya tidak pernah mencukupi. Apabila berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos nanti, biasanya permohonan Bajet Tambahan akan dikemukakan kepada dewan.

Ironinya dengan Bajet 2011 sebanyak RM1.887 bilion, Bajet 2010 (RM1.881 bilion), Bajet 2009 (RM1.799 bilion), Bajet 2008 (RM1.673 bilion), bermakna Bajet pasca Pilihanraya Umum ke 12, sebanyak RM7.24 bilion telah diperuntukan dalam kesealuruhan Bajet.

Sungguh! Suatu angka yang sangat besar tapi di mana bahagian yang dapat dinikmati oleh rakyat? Bagaimana mungkin dengan peruntukan sebanyak ini, rakyat Terengganu masih kekal sebagai antara yang termiskin di negara ini. Sekadar satu contoh remeh, rakyat Selangor sekurang-kurangnya merasai bekalan air percuma walaupun nilanya hanyalah RM11.30. Di Terengganu, rakyat masih bermimpi untuk merasai nikmat air percuma walaupun nilainya mungkin sekadar RM5.

Kuasa beli rakyat Terengganu juga antara yang terendah dengan bukti jelas apabila Pasaraya Mydin Mall di buka di Kuala Terengganu, ramai peniaga kecil dan kedai runcit yang gulung tikar sedangkan di Kelantan walaupun pasaraya demi pasaraya dibuka, peniaga-peniaga kecil masih boleh meneruskan perniagaan mereka disamping pasaraya-pasaraya besar mencatatkan keuntungan luar biasa. Maklumat yang boleh dipercayai menyatakan, jualan harian biasa sebuah pasaraya besar di Lembah Sireh Kota Bharu mencecah RM500 ribu. Di musim-musim perayaan, jualan hariannya boleh mencecah RM1 juta.

Ketika bulan-bulan awal menduduki kerusi Menteri Besar, Ahmad Said ada mendedahkan bagaimana banyak projek-projek era pemerintahan Idris Jusoh dibuat tanpa kajian teliti dan tidak jelas manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat malah banyak projek menyalahi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Kenyataan ini tentu sahaja ternyata kebenarannya. Monsun Cup, Taman Tamaddun Islam, Masjid Kristal, Projek Tanaman Strawberi, Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Stadium Bolasepak, Jerteh Souq serta pembangunan Pulau Duyong semuanya menelan kos ratusan juta ringgit. Hasilnya, sama ada gagal disiapkan atau sekadar menjadi monumen kemegahan untuk dipamerkan tanpa rakyat marhain dapat menikmati manfaatnya.

Sekarang, sebagai seorang Menteri Besar yang berkuasa, tugas beliau bukan hanya sekadar mengkritik dan memburukkan pentadbiran terdahulu yang memang terbukti buruk dalam rangka untuk menutup kelemahan pentadbiran sendiri.

Rakyat sebenarnya tidak berminat untuk mengikuti episod seterusnya perseteruan dua pemimpin yang saling berkepentingan ini. Yang diinginkan rakyat bagaimana kerajaan yang memerintah boleh melakukan yang terbaik untuk mereka sesuai dengan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Nah! Sekarang, Kerajaan Negeri pimpinan Ahmad Said telah diperuntukkan sebanyak RM7.24 bilion sepanjang 2008-2011. Suatu jumlah yang sangat besar dan mengkagumkan walaupun sebahagian besarnya adalah peruntukkan Dana Khas dan bukannya melalui kebijaksanaan Kerajaan menambahkan hasil negeri. Ahmad Said tidak sepatutnya bersikap lepas tangan dan mengulangi kesilapan sama sabagaimana yang dilakukan Idris Jusoh.

Menyedihkan apabila dengan peruntukan yang sebegini besar, masih terdengar berita rakyat Terengganu tidur dibasahi hujan disebabkan atap rumah yang bocor, masih kedengaran ada anak-anak yang keciciran pendidikan disebabkan kemiskinan, masih terdengar kisah keluarga yang makan ubi kayu menggantikan nasi dan pelbagai lagi cerita memilukan. Sumbernya bukan akhbar pembangkang tetapi media arus perdana.

Pergilah ke tepi pantai, dengarlah keluhan nelayan-nelayan pantai yang masih dihimpit kemiskinan, dengarlah rintihan para petani, peniaga-peniaga kecil dan rakyat-rakyat bawahan di sebalik kemilau projek-projek mega untuk ‘memahat sejarah mencipta tamadun’

Filed under: News, , , , , , ,

Karpal: DAP terima Islam sebagai agama rasmi

Pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata, isu negara Islam perlu segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Karpal ketika berucap dalam sesi penggulungan di konvensyen kedua Pakatan, berkata DAP boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor MP merupakan satu-satunya pemimpin Pakatan yang membangkitkan isu kontroversi itu di konvensyen tersebut.

Peguam veteran itu menasihatkan PAS supaya jangan berulangkali mengatakan bahawa perlembagaan membolehkan penubuhan sebuah negara Islam, dan nasihatnya itu diterima baik oleh baik oleh sebahagian besar hadirin Melayu-Muslim di konvensyen tersebut.

Beliau menasihatkan PAS supaya mempertahankan hak bukan Melayu untuk kebebasan beragama sepertimana parti itu membela Islam sebagai agama rasmi negara di bawah perlembagaan.

“Tolong beri ‘muka’ sikit kepada DAP,” kata Karpal berseloroh, disambut ketawa para hadirin. Karpal sokong Islam negara rasmi Beliau menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan perlembagaan dan segala peruntukan yang terkandung dalamnya.

“Isunya ialah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin. DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal bersabit negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh berunding dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus,” kata Karpal.

Ini kali pertama Karpal membuat ketetapan sedemikian dan menzahirkan permuafakatan yang semakin kukuh antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Dalam ucapannya, Karpal menyentuh mengenai pelbagai isu, termasuk penggantungan Anwar dari menghadiri sidang Parlimen baru-baru ini dan perilaku hakim dalam kes liwat terhadap ketua pembangkang itu.
Tawan Putrajaya

Kemudian, pemimpin Pakatan mengesahkan dokumen bertajuk ‘Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia’ yang menggaris banyak isu yang dibangkitkan hari ini, seperti krisis, resolusi, program 100 hari, kenyataan bersama, deklarasi dan dasar-dasar Pakatan ketika gabungan mempersiapkan diri untuk menawan Putrajaya.

Dokumen 20 halaman itu yang akan diedarkan secara meluas, akan menerangkan kepada pengundi rancangan bagaimana gabungan itu akan memerintah negara jika mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan awal tahun depan .

Disokong oleh Anwar (kiri), Hadi dan penasihat DAP Lim Kit Siang, perwakilan dan ahli Pakatan diminta supaya menyebarkan dokumen itu secara meluas untuk mempersiapkan gabungan itu dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.

Anwar pula, dalam ucapan penggulungannya, berkata sebahagian besar perbincangan dan perbahasan dalam konvensyen itu menumpukan kepada nasib orang Melayu dan bagaimana BN dan Umno tidak memenuhi janji mereka untuk meningkatkan status masyarakat tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan para calon bahawa kekuatan Melayu tidak terletak pada keserakahan tetapi dalam budaya, moral dan integriti.

Sementara itu, Hadi pula berkata adalah tidak salah untuk orang Melayu, Cina dan India menyayangi kaum masing-masing.

Malah, katanya, Islam juga memastikan pengekalan hubungan baik antara satu sama lain dalam masyarakat.

Adalah salah, tambahnya, untuk berlaku kejam meskipun jika ia dilakukan kerana alasan bangsa, dan begitu juga, adalah salah menggunakan bangsa sendiri untuk berlaku kejam terhadap yang lain.

Filed under: News, , , , , , , , , , , ,

Hindraf ancam PR?

HRP kepada Pakatan: Beri kami 15 kerusi parlimen

Parti pelampau – Hindraf-Parti Hak Asasi Manusia (HRP) telah memberi kata dua kepada Pakatan Rakyat supaya memberi laluan kepada parti kaum India itu bertanding satu lawan satu dengan BN di 15 kerusi parlimen dan 38 kerusi negeri dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam surat yang dihantar hari ini kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang dan presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, setiausaha agung penaja HRP, P Uthayakumar berkata jika Pakatan tidak memenuhi permintaan parti itu, gabungan itu akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru di kawasan berkenaan.

Sebagai ganjaran tidak bertanding, menjanji sokongan dan menyediakan bantuan jentera kepada HRP, Pakatan akan mendapatkan “sokongan tidak berbelah bagi dan kerjasama di semua 207 kerusi parlimen dan 538 kerusi DUN untuk memenangi semula sokongan pengundi India.

Beliau berkata, pihaknya telah menyokong (Pakatan) dalam pilihanraya umum ke-12, dan sekarang “kami meminta anda membalas budi itu.”

Uthayakumar berkata, pihak berharap Pakatan tidak akan meletak calon di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan berlakunya pertandingan tinga penjuru “menentang musuh politik bersama kita (Umno-BN).

Dikehendaki: Ijok, Lembah Pantai, Padang Serai

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat HRP di di Bangsar, Kuala Lumpur, Uthayakumar berkata bahawa kerusi yang dipilih itu mempunyai jumlah besar pengundi India, termasuk kerusi yang kini diwakili wakil rakyat PKR seperti Padang Serai di Kedah, Ipoh di Perak Barat, Kota Raja di Selangor dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Mereka juga berminat dengan kerusi parlimen Sungei Siput, Perak, yang kini diwakili oleh anggota jawatankuasa pusat PSM, Dr D Jeyakumar.

Uthayakumar berkata, 15 aktivis setia Hindraf telah disenarai-pendekkan sebagai calon.

“Mereka telah teruji, telah menjadi sebahagian daripada Hindraf sejak hari pertama, tidak akan melompat ke parti lain dan sama kuat dengan calon PAS,” katanya.

Ditanya mengapa HRP memilih untuk tidak menyokong calon Pakatan di kawasan pilihan raya berkenaan, Uthayakumar berkata, ia kerana isu yang dihadapi oleh masyarakat miskin India di situ tidak di bawa ke Parlimen.

Bagaimanapun, HRP tidak menolak kemungkinan bertanding di bawah tiket Pakatan jika mereka gagal mendaftarkannya sebagai parti

politik dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjelang pilihan raya umum akan datang.

Uthayakumar berkata, pihaknya telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan oleh ROS pada 25 November.

Menurutnya sama ada didaftar atau tidak, mereka akan bertanding, termasuk sebagai calon Bebas.

Kerusi parlimen yang dituntut bahawa HRP ialah:

1. Padang Serai (Penyandang: PKR-N Gobalakrishnan)
2. Batu Kawan (DAP-P Ramasamy)
3. Sungei Siput (PSM-Dr D Jeyakumar)
4. Ipoh Barat (DAP-N Kulasegaran)
5. Bagan Datoh (Datuk Zahid Hamidi BN-Ahmad)
6. Cameron Highlands (BN-SK Devamany)
7. Hulu Selangor (BN-P Kamalanathan)
8. Kuala Selangor (PAS-Dzulkefy Ahmad)
9. Klang (DAP-Charles Santiago)
10. Kota Raja (PAS-Siti Mariah Mahmud)
11. Rasah (DAP-Anthony Loke)
12. Teluk Kemang (PKR-Kamarul Baharin Abbas)
13. Alor Gajah (BN-Fong Chan Onn)
14. Tebrau (BN-Teng Boon Soon)
15. Lembah Pantai (PKR-Nurul Izzah Anwar)

Malam ini, Uthayakumar juga akan dilancarkan buku kedua yang ditulisnya ketika 514 hari berada dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berjudul ’25 November Hindraf Rally 2007 “, buku setebal 400 halaman itu merupakan catatan peribadinya mengenai peristiwa yang membawa kepada perhimpunan bersejarah yang disertai oleh 30,000 kerana memprotes diskriminasi terhadap kaum India, dan pengalamannya di bawah ISA.

Filed under: News, , , , , , , , , ,

Umno Biadab Dengan Raja-Raja Melayu

Oleh : Idris Hj Ahmad 
 
Sah, pemimpin umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia.  Contohnya umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana. Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang  ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja  Melayu. Tindakan umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan “dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia”. Sebenarnya  pemimpin umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin umno. 

  1. Pengasas Umno Dato’ Onn Jaafar dibuang daripada istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta. 
  2. Tahun 1974  Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Dato’ Seri Tajul Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya. Tiba-tiba Datuk Seri Tajul Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.( UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.
  3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Dato’ Rahim Bakar bekas Menteri besar Pahang yang berselisih dengan Sultan pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.
  4. 1983  Umno hendak meminda supaya kuasa DYMM Yang Di Pertua Agong mengenai pengisytiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.
  5. Pada  tahun 1991 dalam  Persidangan Agung Umno,  Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan. 
  6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta  harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?
  7. Satu demontrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya.?
  8. Pada 18hb Jan 1993 Pindaan Perlembagaan Persekutuan  yang membolehkan raja di bawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)
  9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam raja-raja Melayu.
  10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993  atau tindakan rakyat  tidak menunjukkan hormat pada sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993.  (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.
  11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti  Sutan Ismail Putera 29hb April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Dato’ Annuar Musa . Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya?  Budaya mana pemimpin umno ambil 
  12. Kenyataan biadab  Shahidan Kasim bekas MB Perlis mengatakan “ Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti” (BH 11hb Jun 1993)
  13. Dato’ Muhamad Taib kata Nizar derhaka, Dia lupakah yang dia  bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?. 
  14.  23 daripada 24 ADUN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Dato’ Ahmad Said  selepas pilihanraya 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu.  Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan. Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang. Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar 6hb Feb 2009. 
  15. Shahidan Kasim  boikot perlantikan Dr Isa Sabu sebagai MB Perlis, bukankah ini derhaka namanya. 
  16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu. 
  17. Dato’ Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi Ketua Pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campurtangan soal pelantikan raja-raja melayu.
    Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dnegan Raja-Raja melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993 
  18. Berita harian 23/1/1993  mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara  ini. Jawabnya tentulah pemimpin Umno . Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.

Filed under: News, , , , , ,

INTIPATI UCAPAN PRESIDEN PAS SEMPENA KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT KE-2

Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang

19 Disember 2010

Mukaddimah

Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng – Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan  PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Ketetapan Konvensyen Pertama

Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu  penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka.  Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT  :

Maksudnya :

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persidangan Shah Alam 2010

Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi di berikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya. 

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Masa Bergerak Ke Depan

Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita  dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut.  Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Perlu muhasabah

Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persediaan Pilihan Raya

Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insyaAllah.

Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.

Wassalamualaikum wbr.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , ,

Bekas Naib Presiden PKR lancer Barisan Bersatu Borneo

PENAMPANG —  Bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini mengumumkan pembentukan satu pergerakan dikenali Barisan Bersatu Borneo (UBF) sebagai satu platform untuk memperjuangkan hak dan keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak.

Katanya agenda UBF termasuk mendapatkan kesamarataan dalam formula perkongsian dan perwakilan di peringkat persekutuan. Jeffrey, yang menjelaskan beliau belum menyerahkan surat keluar daripada PKR, berkata UBF mahu kerajaan pusat melindungi hak masyarakat pribumi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menubuhkan parti baru atau menyertai parti lain, beliau berkata UBF akan menyokong sesiapa saja yang dapat menjamin hak dan keadilan kepada penduduk Sabah dan Sarawak. — Bernama

Filed under: News, , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories