Kalam Perantau

Icon

Keputusan ikut Daerah Mengundi N05 Tenang

Filed under: News, , , , , , ,

Terkini : BN kekalkan kerusi DUN Tenang

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang.

Maklumat diperoleh menerusi Twitter menunjukkan calon BN Azhar Ibrahim memperoleh 6,027 undi manakala calon PAS Normala Sudirman mendapat 2,331 undi.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) juga menghantar mesej Twitter bahawa calon BN menang pilihan raya kecil hari ini.

“Tahniah BN berjaya memenangi dan mempertahankan DUN Tenang. Selamat bertugas kepada YB Azhar,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Satu lagi maklumat tidak rasmi menunjukkan BN memperoleh 6,698 undi manakala PAS pula 2,963 yang membawa kepada perbezaan 3,735 undi.

Justeru majoriti dilihat dalam lingkungan 3,700 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, calon BN menewaskan PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Filed under: News, , , , , , , ,

Aura Cikgu Mala, pusingan kedua Teori RAHMAN milik Rosmah?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Minggu ini saya tidak bercadang untuk menulis berhubung dengan keputusan pilihanraya Dun Tenang yang diadakan pada Ahad 30hb. Januari, 2010. Sejak Normala Sudirman diisytiharkan sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Tenang pada 16hb. Januari yang lepas, landskap politik negara kian rancak dan menarik.

Walau apa pun keputusan PRK Dun Tenang, sama ada PAS berjaya merampas kerusi tersebut atau tidak, bukanlah persoalan utama. Tetapi aura cikgu Mala bukan habis dengan selesainya PRK Dun Tenang tetapi ianya bakal merebak melepasi sempadan politik PAS itu sendiri.

Tidak semena-mena, Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Wanita UMNO mengakui pencalunan Cikgu Mala itu sebagai kejayaan perjuangan memartabatkan wanita dipersada politik negara. Cuma Shahrizat sahaja yang tidak berjaya melakukan perubahan ini melalui UMNO yang didokongi ini.Kelemahan Shahrizat dalam memimpin Wanita UMNO cukup dirasai berbanding dengan Rafidah Aziz sebelum ini.

Rafidah pula tidak bernasib baik kerana beliau tidak peka dengan perubahan disekelilingnya. Rafidah sepatutnya meninggalkan kerusi Ketua Wanita UMNO dizaman kemuncaknya dan  bertanding kerusi Naib Presiden supaya mencipta sejarah sebagai wanita yang pertama memegang jawatan tersebut.

Teori RAHMAN, Rosmah sertai politik?

Sebelum ini, saya telah beberapa kali menulis berhubung dengan teori RAHMAN yang begitu menakjubkan dalam menentukan kepimpinan politik negara khususnya bagi jawatan Perdana Menteri Malaysia. Ada yang kata nama RAHMAN ini diambil sempena nama Tunku tersebut. Malah ada juga yang mendakwa ianya salah satu dari nama Allah, iaitu al-RAHMAN.

Setakat yang saya tahu, tidak ada yang membuat kajian secara spesifik berhubung perkara ini. Ianyanya dibiarkan tergantung begitu sahaja. Sama ada secara kebetulan ataupun tidak, Teori RAHMAN ini telah dikatakan berjaya menyebab beberapa pemimpin UMNO “kecewa” dan tidak berjaya menjadi Perdana Menteri.

Malah ada yang bukan sahaja setakat Timbalan Perdana Menteri, tetapi telah menjadi Pemangku Perdana Menteri seperti Anwar Ibrahim semasa Dr. Mahathir bercuti selama sebulan. Selain Anwar, Musa Hitam dan Ghaffar Baba juga hanya bertahan beberapa tahun sahaja sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah Dr. Mahathir. Sebelum itu Tun Dr. Ismail juga meninggal semasa memengang jawatan Timbalan Perdana Menteri dibawah Tun Abdul Razak.

Untuk rekod, teori RAHMAN ini dikatakan bermula sebaik sahaja Tunku Abdul RAHMAN Putra Al-haj dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Selepas Tunku, Tun Abd Razak yang menjadi timbalan beliau mengambilalih jawatan Perdana Menteri ekoran rusuhan 13 Mei, 1969. Ketika ini teori RAHMAN belum muncul lagi tetapi telah terdengar cakap-cakap siapa pengganti selepas Tun Abdul Razak..

Bila Tun Razak maninggal secara mengejut, Timbalan Perdana Menteri Hussein Onn menggantikannya sebagai Perdana Menteri. Timbul masalah untuk melantik Timbalan Perdana Menteri kerana Hussein Onn tidak berapa berkenaan untuk melantik dari kalangan Naib Presiden UMNO yang ada, iaitu Tengku Razaleigh, Ghaffar Baba dan Dr Mahathir.  Hussein Onn dikatakan lebih serasi dengan Tan Sri Ghazali Shafie yang lebih dikenali sebagai King Ghaz untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setelah “terpaksa” memilih salah seorang daripada tiga (3) Naib Presiden yang ada, Hussein Onn memilih yang paling junior iaitu Dr. Mahathir. Pada masa ini mula timbul cakap-cakap siapa pengganti Huseein Onn yang sebenarnya selepas ini. Maka dicetuskan teori RAHMAN ini secara mendadak, supaya dapat dipastikan pengganti Hussein Onn adalah Dr. Mahathir untuk mewarisi huruf ‘M’ sebagai Perdana Menteri.

Keadaan politiking UMNO yang semakin memuncak ini memaksakan Husein Onn bertahan selama 5 tahun sahaja sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Dr. Mahathir pada tahun 1981. Malah bila Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau merubah tradisi UMNO sebelum ini dan membiarkan pertandingan antara Tengku Razaleigh dan Musa Hitam sebagai Timbalan Presiden UMNO untuk ditentukan oleh ahli.

Dr. Mahathir yang sepatutnya berkecuali telah memihak kepada Musa Hitam dalam pertandingan  tersebut. Bila Musa Hitam memang pada tahun 1981, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li bertanding sekali lagi patahun 1984 melawan Musa Hitam.

Sekali lagi Musa Hitam menang tetapi meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 (tetapi masih mengekalkan jawatan Timbalan Presiden UMNO selepas dipujuk) dan digantikan oleh Ghaffar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pada pemilihan UMNO 1987 yang bersejarah, Musa Hitam bergabung dengan Ku Li pula. Musa Hitam ditentang oleh Ghaffar Baba dan Klu Li pula mencabar Dr. Mahatir. Kedua-duanya kalah dengan majorti yang sangat tipis. UMNO kemudiannya diharamkan dan Dr Mahathir menubuhkan UMNO (Baru) dengan tidak membenarkan seterusnya menyertai UMNO baru kecuali Abdullah Ahmad Badawi dari Team B yang menang kerusi Naib Presiden UMNO.

Selepas beberapa tahun, giliran Anwar pula mencabar Ghaffar Baba dengan kerusi Timbalan Presiden UMNO danm kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tetapi Mahathir terpaksa memecat Anwar dalam satu tragedik yang memalukan dan melantik Abdullah Ahmad Badawi pula untuk mewarisi huruf ‘A’ sebagai Perdana Menteri.  Selepas Pak Lah menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Najib, maka lengkaplah teori RAHMAN tersebut.

Perbincangan Perdana Menteri selepas Najib berjaya menamatkan pusingan pertama teori RAHMAN tersebut pada tahun 2009 yang lepas,  kembali menjadi cakap-cakap di ‘coffee house’. Malah ada yang menyebut, pusingan kedua teori RAHMAN lebih hebat dari pusingan pertama dahulu kerana lanskap politik sudah berubah khususnya dikalangan UMNO. Ada yang mula menjaja siapakah ‘R’ yang boleh dipertimbangkan.

Kalau mengikut senario politik UMNO yang ada hari ini, nama Rais Yatim cuba dimasukkan ke dalam pertimbangan  kumpulan ini setelah nama Razaleigh Hamzah sudah menjadi sejarah. Kata mereka, peluang Ku Li bukan melalui UMNO. Kesilapan terbesar Ku Li dalam memenuhi cita-citanya menjadi Perdana Menteri adalah bila dia sanggup membubarkan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang dipimpinnya bersama dengan Rais Yatim kerana terpengaruh dengan Rais.

Selain dua nama ini, ramai yang lebih berminat menonjolkan nama Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri sendiri sebagai pengganti Najib. Melihat kepada’ idea’ beliau menubuhkan program Permata negara, kehadiran beliau jauh lebih menyerlah dari lain-lain Menteri, hatta Menteri Pelajaran yang sekarang menjadi Timbalan Perdana Menteri yang jelas tidak memenuhi cirri-ciri huruf ‘R’ yang sedang dicari pada pusingan keduaTeori RAHMAN  ini.

Apakah mungkin Rosmah yang dimaksudkan dengan “R’ pada pusingan kedua ini? Jika kita lihat apa yang berlaku kepada Hillary Clinton, walaupun beliau gagal dipilih menjadi calon Presiden Amerika, tetapi telah dilantik menjadi Setiausaha Negara yang setaraf dengan Perdana Menteri. Tidak mustahil Rosmah sedang mengatur langkah daripada ‘First Lady’ kepada ‘First Women Prime Minister’.

Artikel ini diterbit untuk akhbar SIASAH

Filed under: News, , , , , , , , ,

Mahkamah tolak rayuan ISA5

Oleh S Pathmawathy

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan lima bekas mahasiswa yang didapati bersalah menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001.

Hakim Datuk Su Geok Yiam mengekalkan putusan Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM3,900 tiap seorang atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Hakim Su berkata, beliau berpuas hati dengan kes pendakwaan dan menolak rayuan mereka.

isa7 proceedings 120406Lima pelajar terbabit ialah Nik Norhafizi Ibrahim, 31; Zulkefle Idris, 31; Ahmad Kamal Abdul Hamid, 30; Rafzan Ramli, 34, dan Khairul Amal Mahmud, 31.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda antara RM2,000 dan RM10,000 dan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, jika sabit kesalahan.

“Perkara 27(5)(a) Akta Polis tidak melanggar hak perlembagaan persekutuan untuk berkumpul dan ianya adalah sah dan mengikut berperlembagaan,” katanya.

Filed under: News, , , , ,

‘Cikgu Mala suka P.Ramlee’, ikuti wawancara dengan beliau

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN (Mstar)

APAKAH latar belakangnya sebagai bekas guru memberi kelebihan kepada calon PAS, Normala Sudirman, 38, pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang?

Sebelum diangkat sebagai calon, Normala tidak begitu dikenali ramai. Lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mala, Ketua Muslimat PAS Kawasan Labis ini bagaimanapun tidak lokek bercerita mengenai perkara yang disukainya kepada mStar Online.

Ikuti temu bual dengannya yang diadakan di Markas PAS Labis baru-baru ini.

Mstar: Adakah ‘Cikgu Mala’ mempunyai blog atau akaun laman web sosial seperti Facebook?

Cikgu Mala: Saya ada laman blog dan akaun Facebook. Saya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk mengemaskini medium online ini. Kedua-duanya saya gunakan untuk berkomunikasi dengan masyarakat mengenai pandangan serta masalah mereka.

Mstar: Adakah anda meminati apa-apa cabang seni?

Cikgu Mala: Saya tidak pernah belajar bermain apa-apa alat muzik tetapi saya suka dengar muzik nasyid kerana melodi dan liriknya memberi ketenangan kepada saya. Kumpulan nasyid yang saya gemari ialah, In Team dan Hijjaz.

Mstar: Adakah anda suka menonton wayang?

Cikgu Mala: Saya bukan kaki tengok wayang dan saya tak ada filem yang betul-betul saya minati. Ini disebabkan tugas saya sebagai seorang ibu dan sibuk dengan aktiviti parti menyebabkan saya tidak mempunyai masa untuk menonton wayang.

Mstar: Anda suka membaca? Buku apa yang anda gemari? :

Cikgu Mala: Saya suka baca buku agama dan perjuangan nasionalisme kerana di sini saya mendapat inspirasi untuk amalan kehidupan seharian.

Mstar: Makanan kesukaan anda?

Cikgu Mala: Saya suka makan nasi goreng kampung dan ikan siakap masak stim.

Mstar: Apakah yang anda gemar lakukan pada waktu lapang?

Cikgu Mala: Saya suka membaca buku pada waktu lapang dan saya suka pergi sauna selepas melalui aktviti yang meletihkan. Namun disebabkan oleh jadual yang padat, saya hanya dapat tidur tiga jam sehari dan yang mengejutkan ini tidak langsung memenatkan saya kerana saya sentiasa teruja untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Mstar: Sukan apa yang anda gemari?

Cikgu Mala: Saya suka bermain bola jaring dan aktif di sekolah. Saya juga suka menyaksikan pelajar saya bermain bola jaring ketika saya menjadi guru.

Mstar: Adakah anda mempunyai nama samaran atau timbangan?

Cikgu Mala: Teman rapat dan ahli keluarga memanggil saya Nor tetapi sejak saya menjadi cikgu mereka panggil saya Cikgu Mala dan gelaran itu kekal hingga hari ini.

Mstar: Bahasa yang anda kuasai?

Cikgu Mala: Selain Bahasa Malaysia. Saya boleh berbahasa Inggeris dan cakap bahasa Jawa. Selalunya saya lebih banyak bercakap dalam Bahasa Malaysia.

Mstar: Anda mempunyai binatang peliharaan?

Cikgu Mala: Saya suka haiwan dan saya ada bela kucing namanya ‘Mickey’.

Mstar: Siapakah idola anda?

Cikgu Mala: Idola saya, Nabi Muhammad SAW. Baginda sumber insipirasi kepada saya dan kegigihan, ketabahan serta kepayahan yang dihadapinya merupakan contoh kepada orang Islam.

Mstar: Pelakon yang anda sukai?

Cikgu Mala: Saya suka P. Ramlee. Dia seorang legenda dan salah seorang artis tempatan yang paling berbakat kita pernah miliki.

Mstar: Perkara yang anda sukai tentang Malaysia?

Cikgu Mala: Kepelbagaian budaya, agama serta adat resam yang kita miliki. Kepelbagaian budaya dan masyarakat menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa dan unik untuk dikunjungi.

Mstar: Perkara yang anda tidak suka tentang Malaysia pula?

Cikgu Mala: Satu faktor yang saya tidak suka tentang Malaysia ialah kita masih belum mempratikkan nilai demokrasi sebenar. Banyak yang masih boleh diperbaiki lagi dan kita sudah pasti akan bergerak ke arahnya.

Biodata

Nama: Normala Sudirman,38.

Suami: Maarof Abdul Mutalib

Anak: Nur Hasanatul Fadillah 13, Muhammad Aiman Zulhakim 11 dan Muhammad Irfan Mukhlis, 8.

Ayah: Sudirman Suratman

Ibu: Mukmini Yahya

Kelulusan: Diploma Maktab Perguruan Tuanku Bainon Pulau Pinang.

Pekerjaan terakhir: Guru.

Jawatan dalam parti: Ketua Muslimat PAS Labis, Exco Pendidikan PAS pusat.

Pembabitan dalam pertubuhan kebajikan: Setiausaha Program Literasi dan Numerasi (LINUS) dan Pemulihan Kanak-Kanak Buta Huruf 3M, Penyelaras Program Pemulihan Khas dan Intervensi (PINCH), AJK Bimbingan dan Kaunseling, AJK Kantin Sekolah.

Filed under: News, , , , , ,

Dolah Kok Lanas : Letak calon boleh menang

Oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Gender telah diuji tidak mustahak dalam kerjaya politik, bisnes, pendidikan, perkhidmatan awam dan profesion hatta dalam kalangan pasukan keselamatan, juga dalam penerbangan awam dan angkatan tentera diraja. Kalau ketua agung UMNO, BN dan kerajaan, Datuk Seri Najib Razak, tegas dia tidak akan memilih sebagai calon walaupun mereka ketua bahagian, setiausaha politik, menteri besar atau menteri dan mereka yang rapat dengannya seperti kata orang seberang ‘yang tidak bisa menang’ dalam PRU 13 tidak kira bila ia diadakan tahun ini, 2012 atau 2013 pun

Usia kerajaan Najib tidak tamat hingga April 2013. Tegas Speaking, ‘what’s the hurry? – kenapa mahu dipercepatkan?’ Ambillah iktibar apa yang berlaku kepada Gordon Brown. Jangan terikut-ikut dengan tradisi PAP di Singapura kerana pulau itu dan parti itu terkecuali! Mengikut pakar ekonomi dan kewangan bebas, ekonomi kita akan berkembang dan tumbuh antara 5 – 6 peratus tahun ini dan kalau yang terkecuali berlangsung 7 peratus tahun depan. Satu berita baik.

Najib telah menekankan hanya ‘calon yang diterima pengundi akan dipilih’ yakni yang berkemungkinan besar boleh menang sahaja kalau tidak BN akan kehilangan kerusi kerana salah tapis calon. Moleklah tu. ‘Tetapi bolehkah Najib bikin seperti cakapnya?’ tanya seorang ketua UMNO di Kelantan pada saya. Saya yakin niat Najib baik. Begitulah harapan Najib. Iltizamnya? Walaupun amat berkuasa – all powerful – dia juga tertakluk kepada realisme dan landskap politik kawasan dan negeri. Di setengah kawasan di Kelantan, seolah calon sudah pun dipilih kerana sudah ada secara ketara dan mendadak mutakhir ini yang ‘turun naik rumah’ diiringi rombongan, menghulur buah tangan, ada RM50 dan tahfifah yang lain.

Bagi saya ini agak pra masa. Kempen terlalu awal! PRU 13 tergenting, crucial, penentu ke mana kita hendak dibawa oleh pemenang – ‘transformasi’ atau ‘reformasi’; realisme atau ilusi? Bertenang dengan apa yang ada atau mengejar apa yang dilihat (atau rasa rindu) kepada perubahan dengan segala risikonya, menderita merayan atau dianugerahi kebaikan. Siapa calon akan menentukan besar kecil BN atau Pakatan menang. Meletak calon yang baik sukar tetapi tidak mustahil tetapi sebaik-baiknya memilih wakil parti kepentingan parti wajib (bukan harus) mengatasi kepentingan peribadi, kepentingan-kepentingan tertentu, kronisme dan favoritisme.

Ada bakal calon akrab atau dilihat rapat dengan Najib, tauke BN yang lain dan pelobi. Mereka disenangi oleh tauke politik, pegawai tinggi kerajaan tetapi mereka ini kekok bergaul dengan rakyat dan orang bawahan.

Pada teori hasrat Najib bagus. Realiti pula bukan begitu. Mengimbangkan antara teori dan realisme, antara ideal dengan realpolitik tidak begitu sukar kalau pintar. Pertama Najib, Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Haji Hadi, Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng dan Chua Soi Lek mesti menolak mereka yang syok sendiri dan oportunis (peringatan kepada BN), yang berpura-pura dan katak puru (peringatan kepada Pakatan Rakyat). Najib terutamanya menghadapi terlampau ramai mereka yang syok sendiri. Ada sudah macam diberi isyarat mereka bakal calon. Oh syoknya mereka ini! Ke hulu ke hilir, ke barat ke timur! Ada antara mereka baik tetapi dulu dan sekarang pun dilihat tidak boleh menang.

Contohnya banyak di Kelantan terutamanya. Keterlaluan sangat mahu menjadi YB, timbalan menteri dan menteri bukan kerana hendak mengabdikan diri kepada rakyat tetapi hati amat tertarik kepada glamor jadi MP dan kemudahan-kemudahan seperti elaun, pencen dan publisiti! Ingin jadi selebriti! Ada orang pula menjadi figura awam (public figure)!

Penyakit atau sindrom syok sendiri berat. Suami berkali kalah, isteri pun kalah. Mungkinkah kali ini anak atau menantu dicalonkan pula? Masakan tidak ada orang lain yang layak dalam serba serbi dari mereka? Bagaimana ini telah berlaku bukan sekali dan dua kali? Zaman Tunku – Tun Razak dahulu ada dua syarat yang UMNO amal: kalau calon itu pernah kalah sekali pun dia tidak akan dicalon semula kecuali yang terkecuali: Ungku Muhussin Abdul Kadir di Kuala Terengganu dan dia menang kali kedua.

Syarat kedua ialah seorang tidak boleh bertanding dalam dua kawasan yakni kena pilih parlimen atau negeri sahaja. Sudah berlaku pertama kali dalam sejarah UMNO apabila Mustapha Mohamad telah serentak bertanding Parlimen dan ADUN pada tahun 2004 dengan harapan untuk menggulingkan Pas kerana kepimpinan UMNO waktu itu terlampau bergantung kepada seorang yang kononnya ‘contoh’! UMNO gagal (walaupun satu kerusi saja). Sepatutnya Mustapha dikekalkan sebagai ketua UMNO Kelantan tetapi telah disingkir dengan berkesudahan UMNO Kelantan kalah teruk pada pilihan raya ke 12.
Pas pula pernah meletak muka yang sama walaupun kalah berkali-kali kerana waktu itu Pas tidak ramai ahli yang layak atau mampu. Kini Pas seperti UMNO ramai ahli yang berkaliber maka tiada harus mengemukakan calon yang telah kalah kecualilah calon yang kalah itu benar-benar akan menang. Pemimpin Pas Kedah Ustaz Abu Bakar Umar telah bertanding banyak kali dalam pilihan raya tetapi pada akhirnya dia menang dan terus menjadi timbalan menteri kesihatan semasa Pas dalam BN pertengahan 70-an. Abu Bakar juga penolong whip dan saya ketua penolong whip dalam parlimen.

Saya harap Najib tidak ‘salah hisab’ seperti yang dilakukan oleh Badawi tahun 2008 dan Brown 2010. Badawi sepatutnya tidak membubarkan Parlimen tahun itu. Apa boleh buat kerana syok dia ‘amat popular’ dan ‘bapa’. Badawi orangnya baik walaupun dia singkirkan saya dari ketua pengarang NSTP. Apa boleh buat dia diserang teruk oleh halusinasi, tanggapan palsu; diayun dan dikhayalkan oleh budak-budaknya di tingkat empat, anak dan menantu dan ‘sepuluh budak hitam’! Najib bukan sembarangan orang, bukan senang boleh dikhayalkan tetapi tidak mustahil kerana ramai yang ‘beragenda’ di sekelilingnya. Awasilah mereka yang membawa gifts – yang membawa persembahan; pengampu dan mereka yang syok sendiri.

Secara ringkas pilihlah calon yang disukai pengundi tauke-tauke; elaklah memilih mereka kerana jawatan dalam parti atau kerajaan. Pilihlah mereka yang berwibawa, telus, tulus, ikhlas dan pandai berkomunikasi dan berinteraksi dengan rakyat. Pilihlah mereka yang berpotensi mara ke depan (bakal menteri) bakal menjadi backbenchers yang berkesan yang menguasai dwi atau tiga bahasa dan berakhlak baik.

Mereka yang prihatin dan sanggup pula membela cabaran dan masalah rakyat, bangsa, watan dan agama tanpa silu dan takut. Iltizam, keikhlasan Najib dan ketegasannya akan diuji tetapi kita juga sedar dia seorang realis maka janganlah kita optimis sangat! Janganlah terperanjat beberapa kerat yang sah tak laku pun akan dipilih bertanding. Manusia berkenaan tidak akan rugi, UMNO dan BN lah bersia-sia mencalon, membelanja dan membazirkan kerusi dalam pilihan raya umum yang tergenting ini…

Memilih masa yang terbaik membubar parlimen sukar. Itu semata-mata budi bicara perdana menteri lazimnya keputusan akan dibuat olehnya setelah konsultasi dengan penasihat terdekatnya. Kebijaksanaannya terjelas kalau menang besar. Parah kalau silap haribulan. Ingatan masa lampau deras kembali, pengalaman saya dengan bapa Najib, Tun Razak, terutama dalam pilihan raya 1964, 1969 dan 1974. Sungguh nostalgik, satu kenangan yang menggamitkan hati. UMNO/BN kononnya telah berubah, terus menyesuaikan dengan keadaan masa. Baguslah kalau itu benar. Umpamanya China terus bertukar tetapi bukan untuk kepentingan Amerika Syarikat, pesaing dan lawannya. Beijing berlain dulu, kini dan akan datang semata-mata bagi faedahnya bukan faedah negara lain. Kita juga harus bertukar bagi keperluan dan manafaat kita bukan orang lain!

Apa pun ‘kaki syok sendiri’, oportunis, pembodek, tukang angkat, tukang kipas kalau tidak kesempatan pada PRU 13 janganlah kecewa sangat: selagi ada nafas ada harapan!

Filed under: News, , , , , , , ,

PRK lagi: Selepas Tenang, Merlimau pula

Oleh SUHAIMI AL-MANIRI

Tulisan saya dalam kolum ini minggu lepas menjangkakan suhu politik politik negara menjadi semakin panas pada tahun ini berikutan Pilihanraya Kecil (PRK) Tenang pada 30hb. Januari nanti. Belum pun sempat penamaan calon PRK Tenang diadakan pada 22hb. Januari, lepas, satu lagi pilihanraya kecil yang ke-15 pula akan diadakan di Merlimau, Melaka berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20hb. Oktober lepas.

DUN Merlimau mempunyai jumlah pengundi sebanyak 10,471 dengan pecahan komposisi pengundi 64 peratus Melayu, 21 peratus China dan 14 peratus India. Dalam pilihanraya umum 2008 yang lepas, Hidhir yang bertanding atas tiket BN (UMNO) mendapat undi sebanyak 4,981 mengalahkan calon PAS, Jasme Tompang (undi: 2827) dengan majoriti 2,154. Sebelum itu pada pilihanraya umum 2004, beliau menang dengan majoriti 5,087 setelah  mendapat 6,332 undi berbanding dengan calon PKR, S Jayantas yang mendapat 1,245 undi.   

Semua negeri lain telah ada pilihanraya kecil, iaitu Kedah (Bukit Selambau; kekal dimenangi PKR), Pulau Pinang, Permatang Pauh dan Penanti; kekal dimenangi PKR, Permatang Pasir; kekal dimenangi PAS), Perak (Bukit Gantang; kekal dimenangi PAS), Selangor (Hulu Selangor; dirampas BN (MIC) dari PKR), Kelantan (Manek Ural; kekal dimenangi PAS, Galas dirampas BN dari PAS), Terengganu (Kuala Terengganu dirampas PAS dari BN9UMNO), Negeri Sembilan (Bagan Pinang kekal dimenangi BN), Sarawak (Batang Ai kekal dimenangi BN; Sibu dirampas DAP dari BN) dan Sabah (Batu Sapi kekal dimenangi BN).

Setakat ini hanya di Perlis dan Pahang serta Wilayah Persekutuan sahaja lagi yang belum ada pilihanraya kecil. Setakat 13 pilihanraya kecil yang lepas, hanya 4 kerusi sahaja yang berpindah dari parti yang menyandang sebelumnya; Kuala Terengganu dari UMNO (BN) kepada PAS (PR), Hulu Selangor dari PKR (PR) kepada MIC (BN), Sibu dari SUPP (BN) kepada DAP (PR) dan yang terakhir Galas dari PAS (PR) kepada UMNO (BN). Selainnya kekal kepada penyandang sebelumnya.Kedudukan sekarang BN Versus PR adalah seri 2-2.

Cikgu Mala ada peluang buat kejutan?

Kelantangan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO untuk meletakkan Haslinda Salleh, Ketua Wanita UMNO bahagian Labis  sebagai calon BN pada kerusi pengundi wanita melebihi 50 ini pada pilihan raya kecil Tenang ini tidak menjadi kenyataan.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu memperjuangkan Wanita UMNO diletakkan sebagai  calon kerusi DUN Merlimau yang juga wanita menjadi  pengundi majoriti melebihi 50 peratus juga. Pada masa itu, Shahrizat sekali lagi boleh meminta Ketua Wanita UMNO Jasin pula dicalunkan.

Cuma Shahrizat perlu sedar, UMNO dibawah kepimpinan Najib sekarang ini berbeza dengan dibawah kepimpinan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi). Najib telah menekankan hanya calon yang mempunyai kreteria untuk menang sahaja akan dipilih sebagai calon untuk mengelak BN kehilangan kerusi yang dipertandingkan. Dia tegas untuk tidak memilih Ketua Bahagian, Setiausaha Politik atau orang yang rapat dengannya ‘yang tidak boleh membawa kepada kemenangan’ dalam pilihanraa umum ke-13 nanti.  

Di Bagan Pinang, Najib berani memperjudikan Isa Samad sekali lagi kerana ada potensi untuk menang walaupun sudah di’pencen’kan dan tidak berapa ‘selesa’ dengan Menteri Besar Negeri Sembilan. Terbaru di Galas, Najib juga meletakkan muka baru walaupun calon lama, Saupi Deraman berminat untuk bertanding semula menebuskan kekalahannya yang tipis kepada PAS dalam PRU 2008.

Begitu juga di Hulu Selangor, Najib tidak merestui G.Palanivel, Timbalan Presiden MIC dan calon yang kalah di Hulu Selangor bertanding sekali lagi dalam pilihanraya kecil selepas itu kerana tiada peluang untuk menang semula. Ternyata percaturan Najib meletakkann muka baru, P.kamalanthan membuahkan hasil merampas semula kerusi berkenaan daripada PKR.

BN seolah-olah terkejut atau tidak percaya PAS meletakkan calon wanita Normala Sudirman, 38, Ketua Muslimat Labis yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala, bekas guru sekolah menengah di Tenang  dalam pilihanraya kecil ini.

Sabtu, 22hb Januari lepas, saya berpeluang pergi melihat sendiri proses penamaan calon yang diadakan di majlis Daerah Labis. Entah apa sebab saya pun tak pasti, saya tergerak hati untuk berarak mengiri calon pada hari tersebut. Biasanya saya hanya meninjau dari jauh sahaja untuk melihat suasana. 

Buat pertama kali saya diberitahu oleh orang-orang Labis bahawa mereka terkejut bila PAS dan parti-parti PR mampu membawa begitu ramai penyokong (dianggarkan lebih 10,000 orang) dan mereka melihat sendiri penyokong-penyokong PR hari itu melebihi penyokong calon BN. Beberapa orang Cina dan Melayu yang saya temui, mereka tidak segan silu mengatakan PAS membuat percaturan yang bijak kali ini meletakkan Cikgu Mala sebagai calon. 

Aura Cikgu Mala cepat merebak di Labis sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai calon. Sejak itu percaturan UMNO mula tidak kena. Bermula dengan adegan, suaminya nak ditukarkan ke JB dalam masa 24 jam, tapi tak jadi kerana bantahan dan menyebabkan rakyat semakin benci kepada UMNO. Begitu juga UMNO tidak mampu memperjudikan Ketua Wanita Labis di kerusi DUN Tenang yang majoriti pengundinya adalah wanita. Sebaliknya BN terpaksa meletakkan  Mohd Azhar Ibrahim, seorang Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Rengit sebagai calon “payung terjun” BN.  

Berjayakah Tok Ai (nama panggilan Azhar) menjaga air muka Tan Sri Muhyiddin untuk menang di sini? Jika Kak Ijat (nama timangan Shahrizat) dan wanita UMNO berpegang kepada perjuangan mereka untuk melihat lebih ramai wanita berada dalam DUN atau parlimen, tidak menjadi masalah bagi wanita UMNO memberikan laluan kepada Cikgu Mala memenangi pilihanraya kecil ini kerana pilihanraya umum akan diadakan beberapa bulan sahaja lagi. Jika Cikgu Mala menang sekalipun ianya tidak menjejaskan pemerintahan UMNO di Johor.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , ,

PAS nafi calonnya tanya ‘kenapa jual arak’

Oleh Abdul Rahim Sabri

NONEPAS menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina – China Press – yang memetik ahli parlimen Labis Chua Tee Yong sebagai berkata calon PAS Normala Sudirman bertanya kepada seorang peniaga Cina “kenapa jual minuman arak”.

“Cikgu Mala telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa itu adalah tuduhan berniat jahat,” kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“(Ia) satu perancangan yang jahat untuk menimbulkan keresahan dan ketakutan orang Cina,” katanya dalam satu sidang media di bilik operasi PAS di Tenang hari ini.

Filed under: News, , , , , , ,

Sidang Dun Tergempar lancar: Ikuti kronologi di dalam dewan dan di luar dewan

Oleh Tarmizi Mohd Jam

ADUN dan para wartawan tiba awal hari ini untuk menghadiri sidang DUN Selangor yang akan membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri, lapor Malaysiakini.

Dua trak anggota polis kelihatan berada di pintu masuk DUN manakala satu trak lagi berada berhampiran Wisma MBSA, ekoran kemungkinan berlakunya protes pagi ini. Kedua-dua pintu masuk dan keluar DUN dibuka separuh, dengan ruang yang mencukupi untuk dilalui sebuah kereta. Sidang DUN dijadual bermula jam 10 pagi di mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat bercadang meminda Undang-undang Tubuh Negeri tersebut.

BN sebagai pembangkang negeri bagaimanapun menuduh kerajaan merancang untuk menambah kuasa menteri besar dalam menentukan pelantikan pegawai tinggi kerajaan negeri. Cadangan pindaan itu dibuat ekoran tindakan kerajaan pusat melantik bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri yang baru.

Kerajaan Selangor membantah keras pelantikan tersebut dan menuduh Putrajaya mengetepikan kuasa negeri, apabila melantik Khusrin tanpa berbincang dengan menter besar. Sultan Selangor bagaimanapun memperkenankan pelantikan Khusrin yang mengangkat sumpah pasa 5 Januari lalu.

LAPORAN LANGSUNG 9.30 pagi: ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah tiba di bangunan SUK, diiringi dua pembantu.  Beliau disambut oleh silauan lampu kamera jurufoto, menyebabkannya agak terkejut. “Wah, banyak peminat ni!” katanya berseloroh. Beliau enggan menjawab sebarang soalan walaupun ditanya bertubi-tubi oleh pemberita, sama ada akan mencabar keputusan speaker Teng Chang Khim yang mengisytiharkan kerusinya kosong.

9.32 pagi: Kira-kira 200 berkumpul di Dataran Shah Alam bawa pengawasan ketat polis. Sebahagian peserta memakai ikat kepala bertulis GAPS (Gagasan Anti Penyelewengan Selangor). Empat unit pasukan polis berkawal di depan pintu SUK. 9.40 pagi: Didesak pemberita, Badrul Hisham Abdullah memberitahu akan memfailkan saman bagi mencabar keputusan itu tengah hari ini selepas menghadiri sidang DUN. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada beliau dibenarkan memasuki dewan ekoran kerusinya telah diisytihar kosong. 

10 pagi: Dewan mula bersidang. Badrul Hisham Abdullah – yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker – duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan. Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan perkenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan. Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.

10.24 pagi: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membacakan ucapannya. Berdasarkan perkara 10(3) peraturan dewan, kerajaan Selangor membentangkan pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Selangor 1959 terhadap perkara 52(1), kata menteri besar. Pindaan itu dicadangkan supaya generasi akan datang tidak lagi tertanya-tanya dan tiada pihak yang berani melanggar kuasa kerajaan negeri dan Sultan, kata Khalid. Pakatan Rakyat memberikan komitmen menjunjung perlembagaan negara dan undang-undang tubuh negeri serta Rujun Negara, yang menjadi asas kepada kerajaan Selangor hari ini, tambahnya. Pakatan juga, tambah Abdul Khalid, berhasrat menegakkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

10.35 pagi: Selepas duduk di bilik khas media kira-kira 30 minit, Badrul meninggalkan bilik itu dan bercadang mengadakan sidang media di luar. 10.50 pagi: Dalam sidang media selepas itu, Badrul Hisham mengaku beliau masih merupakan wakil rakyat yang sah dan akan terus berkhidmat kepada rakyat. Bagaimanapun, ditanya lagi sama ada beliau mahu memfailkan tuntutan di mahkamah, beliau hanya menjawab “mungkin”. Beliau juga memberitahu, setelah menunjukkan surat jemputan bertarik 11 Januari daripada speaker, pihak keselamatan masih tidak membenarkannya masuk ke dalam dewan.

11.20 pagi: Abdul Khalid selesai berucap. Ketua pembangkang negeri yang baru dilantik Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) berucap mempersoalkan tindakan Teng memanggil sidang DUN tanpa notis 14 hari. Speaker menegur kembali Mohamad Satim supaya mengingat peraturan tetap dewan sebelum membangkitkan sebarang perkara atau beliau akan diminta keluar untuk mengingatinya. Penyokong Pakatan ketawa besar. 11.25 pagi: Mohamad Satim ketika membahaskan pindaan itu mendakwa kerajaan negeri ‘syok sendiri’. Katanya, Umno Selangor tidak akan sesekali menyokong cadangan itu kerana bertentangan dengan perlembagaan negara dan bermotifkan politik. Menurutnhya lagi, kerajaan BN terdahulu tidak pernah membelakangi Sultan, berbeza dengan menteri besar baru yang didakwa tidak dapat menerima pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah mendapat pekenan Sultan.

11.26 pagi: Peserta perhimpunan di Dataran Shah Alam kini bertambah sehingga 500 orang. 11.41 pagi: Mohamad Satim mengulangi dakwaan bahawa wakil Pakatan biadan dan derhaka terhadap Sultan dalam banyak tindakannya, antaranya dalam isu penggunaan kalimah Allah dan tulisan dalam blog Shuhaimie Shafiei (PKR-Sri Muda) yang didakwa menghina Sultan.

12.10 tengah hari: Pengerusi Kelab penyokong kerajaan negeri Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) membalas Umno yang derhaka kerana enggan menyokong cadangan pindaan undang-undang itu. Katanya, walaupun Umno boleh menukar fakta menggunakan media arus perdana, mereka tidak boleh mengubah sejarah. Azmin juga berkata Umno sudah lama menikmati kekebalan bawah pentadbiran ‘Mamak Bendahara’ dan pihak eksekutif, yang mengundang bantahan ADUN Taman Templer Subahan Kamal. Subahan berkata Azmin berniat jahat dengan menggunakan perkataan ‘mamak’. Sementara bangun Shamsudin Lias (Umno-Sungai Burong) menyokong Subahan, mendakwa Azmin menggunakan perkataan itu dengan cuba merujuk kepada Subahan. Azmin pantas membidas kefahaman “cetek” pembangkang negeri berhubung penggunaan prosa Melayu klasi di mana gelaran ‘mamak bendahara’ dirujuk kepada pembantu utama Sultan.

1 tengah hari: Sidang dewan ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini. 1.10 tengah hari: Sekumpulan 20 pemuda Pakatan Rakyat berhimpun di depan bangunan DUN bagi menunjukkan sokongan terhadap cadangan pindaan itu. Mereke membawa kain rentang dan menjerit perkataan “Daulat Tuanku!” dan “Hidup Rakyat!” sebelum beredar sepuluh minit kemudian.

Filed under: News, , , , , ,

Isu salam : 53 tahun merdeka, Umno gagal didik MCA

Tajuk Asal : BN gagal beri penerangan

LABIS – Calon Pas, Normala Sudirman (gambar – tengah) membidas pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana gagal memberi kefahaman jelas terhadap parti komponennya MCA berhubung adab bersalam individu Muslim dengan orang lain.

Menurutnya, perkara tersebut tidak harus dijadikan isu pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kerana ia merupakan fakta yang perlu difahami oleh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam negara.

“Ini menunjukkan setelah 53 tahun Merdeka, kerajaan BN masih gagal memberi penerangan terperinci kepada parti komponennya seperti MIC dan MCA tentang adab bersalam seorang wanita Muslim dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

“Kami sebagai seorang wanita Muslim memang tidak bersalam dengan seorang lelaki dan bersalam dengan masyarakat Cina wanita memang tiada masalah kerana mereka adalah perempuan,” katanya pada sidang media di markas Pas di sini semalam.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dilaporkan secara sindiran membuat perbandingan cara Normala bersalaman dengan Presiden Parti PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa berkempen di Tenang yang memakai sarung tangan.

Beliau berkata, bersalaman dengan seorang lelaki yang bukan muhrimnya tidak dibenarkan dalam Islam.

“Walau sesiapa pun hatta kami saudara seagama sekalipun, tidak boleh bersalaman dengan lelaki Islam yang mana sepatutnya rakan-rakan komponen BN faham dengan budaya ini supaya ia difahami oleh masyarakat supaya tidak lagi berbangkit,” katanya.

Perkara tersebut didakwa menjadi isu kalangan pengundi Cina di Tenang kerana mereka mendakwa calon Pas itu tidak mesra dengan penduduk di kawasan tersebut.

Ketika ditanya tentang tentang bersalam dengan pengundi Cina di pasar tani Labis pagi semalam, Normala berkata tiada golongan lelaki masyarakat Tionghwa menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya kerana telah mendapat penerangan dalam sesi santai yang diadakan oleh parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

“Kami memang fleksibel tapi prinsip asas sebagai seorang Islam itu saya cukup prihatin untuk mencari redha Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Dr Zulkefly Ahmad menggesa media tidak menggunakan isu salam sebagai modal kempen pada pilihan raya kecil kali ini.

“Tolong jangan jadikan isu salam sebagai perkara pokok pada kempen pilihan raya kecil ini.
“Saya minta sungguh-sungguh kerana kita punya isu yang lebih besar seperti kepentingan rakyat. Jangan sampai media hanya memainkan isu ini dan menutup isu lain,” katanya

Filed under: News, , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories