Kalam Perantau

Icon

NIZAR IKON PR PERAK

Pakatan Rakyat Perak mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat mencipta sejarah baru ketiga tiga parti PAS-PKR-DAP memimpin penyatuan dan perubahan lanskap politik Malaysia.

DS NIzar Jamaludin- MB Pakatan Rakyat Perak membuat pembentangan pengalaman cabaran serta harapan PR di Perak selain Kehadiran YAB Lim Guan Eng yang turut membentangkan pengalaman perpaduan rakyat di Pulau Pinang. Turut dijadualkan membentangkan kertas kerja ialah MB Selangor- Datuk Khalid Ibrahim.
 
Berikut gambar suasana Konvensyen berkenaan.

Filed under: News, , , , , , ,

Nasrudin Tantawi Tidak cabar Khalid

1. Hari ini Utusan Malaysia meletakkan tajuk kecil di muka surat 15 ” Nasrudin cabar Khalid “.

2. Apa yang saya nak betulkan di sini ialah saya tidak mencabar tetapi meminta agar YB. Khalid Samad mengemukakan bukti terhadap kenyataan beliau bahawa mana – mana pimpinan yang berminat dengan UMNO boleh keluar dari Pakatan Rakyat .

3. Tidak perlu ada cabar mencabar antara kita . Tajuk akhbar itu jelas satu provokasi untuk mencetus sengketa . Apa yang jelasnya ialah saya meminta agar YB. Khalid mengemukakan bukti atas kenyataannya .

4. Siapa pimpinan yang dimaksudkan itu dan apakah bukti yang ada sehingga mendorong beliau membuat kenyataan terbuka . Jika tidak disertakan bukti sebaliknya hanya membuat kenyataan umum begitu , maka ia menjadi serkap jarang yang akan melebarkan fitnah .

5. Insyaallah , saya sendiri akan mengambil masa untuk bertemu dengan YB. Khalid Samad esok bagi mendengar sendiri dari pihak beliau . Kerana kita tidak mahu sebarang pertuduhan dilempar ke tengah melalui media . Semoga Allah swt menjernihkan parti ini .

Filed under: News, , , ,

Kemana PAS selepas ini?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Tidak semena-semena Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan merangkap Menteri Besar Kelantan melemparkan bom jangka dengan meminta PAS Pusat mengadakan Muktamar Khas untuk  menggantikan pemimpin yang tidak disukainya dengan mengikut kaedah yang dilakukan oleh MCA baru-baru ini.

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencadangkan dalam blognya www.bloktokguru.com supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat‘ pemimpin parti itu yang bermasalah.
 
Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya itu ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Seorang lagi Menteri Besar PAS, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berpendirian bahawa EGM tidak perlu buat masa ini, dan yang perlu diadakan hanyalah mesyuarat Jawatankuasa Pusat. Beliau juga dilaporkan berkata, proses penggantian boleh diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat sahaja seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. 

Malah tidak pernah berlaku dalam sejarah parti PAS sebelum ini, Muktamar Khas diadakan untuk memecat pemimpin parti. Kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala Ketua Dewan Ulamak, Datuk Harun Taib yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu pula berkata parti hanya akan mengadakan EGM untuk meminda perlembagaan parti dan bukan untuk ‘mengubat parti‘ yang dikatakan sedang berdepan masalah.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata soal mengadakan EGM tidak lagi berbangkit, sebaliknya dalam pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu kelmarin, Menteri Besar Kelantan itu mahu beliau mengemukakan satu isu dalam mesyuarat khas yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Tindakan Mursyidul Am PAS kebelakangan  ini jelas memeningkan ramai pemerhati politik dan juga ahli PAS sendiri bila beliau menganggap Muktamar Khas (EGM) dengan Mesyuarat Khas PAS Pusat itu sama sahaja, ia dapat dijadikan platform untuk menyampaikan hasratnya kepada kepimpinan parti.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad dalam kenyataan lima perenggan dalam blognya, pula berkata mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat akan menilai sama ada wujud keperluan bagi mengadakan EGM atau sebaliknya.

“PAS amat menggalakkan perbincangan dan menghargai setiap pandangan atau kritikan. tetapi pada waktu ini setiap pimpinan diminta membincangkan perkara ini secara dalaman dan tidak menggunakan media termasuk blog dan Facebook yang boleh mendatangkan banyak persepsi negatif serta membuka ruang untuk media luar memutarbelitkan isu ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, berkata masalah dalaman parti perlu diselesaikan di peringkat dalaman, bukannya membincangkannya secara terbuka seperti mengadakan EGM. 

Katanya, perbincangan secara terbuka atau EGM bertentangan dengan prinsip parti, apatah lagi kemelut yang melanda parti bukanlah isu besar yang perlu dihebohkan sehingga boleh menimbulkan kerisauan ahli Pas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu 28hb. Oktober, 2009 akan membincangkan cadangan yang diminta oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa. Nik Aziz akan hadir sebagai Pesuruhjaya Kelantan dan jemputan khas bagi membolehkan beliau memberi penjelasan kepada ahli mesyuarat berhubung cadangan beliau dalam blognya agar diadakan satu muktamar agung khas.

19 tahun Nik Aziz memerintah Kelantan

Sepanjang pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan selama 19 tahun di bawah kepimpinan Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berbagai kejayaan telah dicapai. Kejayaan paling besar adalah tidak ada satu pun kes yang melibatkan wakil rakyat, Exco dan Menteri Besar yang disiasat kerana rasuah. Perkara itu dinyatakan oleh Exco Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah dalam jawapan Drs Zainudin Awang Hamat (Adun Limbungan) dalam sesi soal jawab dalam sidang Dun Kelantan baru-baru ini.

Kejayaan Nik Aziz bertahan selama 5 penggal (sejak tahun 1990 hingga sekarang) menerajui kerajaan merupakan satu rekod luar biasa bukan sahaja kepada PAS tetapi beliau sendiri berbanding dengan kerajaan PAS sebelum ini (1959-1978) selama 18 tahun sebelum ditumbangkan oleh UMNO/BN secara tidak demokratik.

Rekod dan kepimpinan kerajaan PAS Kelantan wajar menjadi ikutan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri lain dengan sentiasa mengambil berat dan mengutamakan rakyat. Ini merupakan contoh kepimpinan yang berteraskan lunas-lunas Islam yang mengutamakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat

Artikel ini diterbitkan untuk Akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , ,

TERBARU: ADUN PKR Pelabuhan Kelang umum jadi ADUN Bebas

 

ADUN PKR Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah (kiri) umum beliau keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas yang sokong BN.Beliau umum demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur jam 5 petang Khamis.Katanya beliau tidak akan letak jawatan dan akan terus berkhidmat sebagai ADUN.Badrul kata beliau ambil keputusan ini kerana dianaktiri dari segi peruntukkan oleh kerajaan negeri.Beliau juga nafikan ada masalah mental seperti didakwa oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.Katanya dakwaan itu adalah satu fitnah- 29/10/2009 

Sumber: Agendadaily.Com

Filed under: News, , ,

EGM ditolak… ganti Seminar Politik 7hb November, 2009

Cadangan EGM Nik Aziz ditolak

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat PAS yang berlangsung selama kira-kira empat jam malam tadi memutuskan untuk tidak mengadakan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) seperti yang dicadangkan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Sebaliknya satu program seminar politik disertai oleh perwakilan parti itu dari seluruh negara bagi membincangkan isu-isu memperkasakan parti akan diadakan di Markas PAS Taman Melewar pada 7 November ini.

Keputusan ini dicapai sebulat suara setelah mengambil kira pandangan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan sesuatu untuk mengumpulkan akar umbi,” Presiden parti, Datuk Abdul Hadi Awang dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas di ibupejabat parti itu di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Hadi berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai hala tuju parti itu selepas Pilihanraya Kecil Bagan Pinang. Hadi mengumumkan mesyuarat khas itu juga mencapai kata sepakat bahawa PAS akan menjalankan peranan lebih aktif untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Katanya, mesyuarat juga memutuskan supaya isu kerajaan perpaduan ditutup dan tidak dibincangkan lagi. 

 Nik Aziz turut hadir dalam mesyuarat berkenaan, tetapi pulang lebih awal, pada kira-kira 11 malam. Mesyuarat yang bermula jam 9 malam itu berakhir seitar jam 1 pagi. – 29/10/09.

Filed under: News, , , , ,

Anak Ibrahim dan Anak Ali : Entah le..

Dari Blog Azmin Ali

Saya tampil untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul ekoran percaturan media milik pemimpin elit UMNO dan perasuah negara. Editor upahan menulis fitnah dan membuat kerja ‘sial’ demi menjamin kelangsungan kuasa politik UMNO dan mempertahankan perasuah dan perompak khazanah negara.

Tulisan wartawan kanan Joceline Tan dalam Sunday Star pada 25 Oktober 2009 bertajuk “Lobby for hot seat warms up“ mengundang pelbagai reaksi dan persoalan. Editor media UMNO dan Barisan Nasional juga sudah memulakan serangan terhadap saya dengan mengupah pengemis-pengemis politik yang sudah bankrap untuk membuat kenyataan media yang cuba menimbulkan prasangka buruk terhadap saya. Antara lain saya dituduh mendapat layanan istimewa dari YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan juga Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Saya merasakan adalah lebih adil jika rakyat dan ahli parti KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendapat penjelasan terus dari saya. Saya berharap penulisan ini dapat membantu pembaca membuat penilaian yang adil.

Siapa 3 Anak Ibrahim ? Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim. Mujurlah tidak dikaitkan dengan Ibrahim Ali ! Kita perlu wacana lain untuk membicarakan soal 3 anak Ali dalam PAS. Mustaffa Ali, Hasan Ali dan Ibrahim Ali.
Anwar Ibrahim bukan ahli politik semacam Mahathir. Anwar adalah negarawan dan pemikir bangsa. Anwar berpegang kepada prinsip bahawa persaudaraan dan persahabatan perlu ‘transcend political partisanship’. Perjuangan Anwar bukanlah kerana kedudukan untuk menjadi Perdana Menteri tetapi beliau adalah Bapa Reformasi – mendukung agenda perubahan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. Justeru itu, jatuh bangun dalam perjuangan mendidik Anwar untuk menjadi ‘a better leader and not a bitter leader’. Walaupun YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim difitnah, dihina, dipukul, diracun dan dihumban ke dalam tembok kezaliman selama 7 tahun, beliau kembali bangun dengan gagah untuk meneruskan perjuangan dan mendapat dukungan serta rasa hormat dari kawan dan lawan.

Mahathir bukan pejuang, jauh sekali reformis. Hidup dan matinya adalah politik. Sebab itu, Mahathir sering mengungkapkan kata-kata bahawa ‘there is no permanent enemies and no permanent friends in politic’. Beliau kini berseorangan menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama Hasmah Ali dan Ibrahim Ali. Kroni-kroni dalam UMNO dan korporat sudah menjauhkan diri mereka dari Mahathir.

Ada yang berpandangan bahawa Anwar Ibrahim mentadbir secara ‘pecah dan perintah’. Inilah persepsi orang yang tidak mengenali secara dekat falsafah Anwar Ibrahim. Anwar sebenarnya menganjurkan kita untuk mengambil sikap berlapang dada, lebih accommodative dan meraikan perbedaan pendapat demi pengukuhan perjuangan. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah seorang yang ‘very demanding’ dan mensasarkan ‘high expectation’ di kalangan orang-orang kepercayaannya.

Orang yang lama bersama perjuangan Anwar akan memahami prinsip ini termasuklah Khalid Jaafar, Dr. Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan saya sendiri. Yang baru bertatih untuk mendekati Anwar akan melihat sebaliknya; lalu tergelincir dalam perjuangan dan menjadi pecacai Sang Perasuah dan kini tenggelam sebagai sampah masyarakat.

Mari saya baca watak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga saya kenali selama hampir 20 tahun. Khalid Ibrahim adalah tokoh korporat yang berwajah DEB dan kini melangkah dengan berani untuk membawa perubahan besar dalam memartabatkan orang Melayu. Khalid telah melihat perkembangan DEB dan pastinya benci kepada kebejatan dan kemusnahan agenda Melayu dalam perlaksanaan DEB. Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai pemimpin Melayu yang berpaksikan prinsip keadilan dan bukan Melayu kroni.

Saya sendiri pernah menegur dan mencuit Tan Sri Khalid dengan niat untuk membantu beliau di Negeri Selangor menjana pertumbuhan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat dan pada masa yang sama peka terhadap tuntutan politik. Khalid terima teguran secara berlapang dada dan tidak melatah walaupun dilontarkan provokasi oleh media jahanam UMNO.

Orang ketiga ialah Zaid Ibrahim. Beliau berwajah liberal dan profesional. Peranan Zaid semakin mencabar untuk mengimbangi kehidupan masa kini yang mendepani kelompok fanatik kaum dan agama. Pakatan Rakyat memiliki aset penting seperti Zaid untuk berperanan memperkasa agenda bersama dalam kerangka besar Pakatan Rakyat.
Saya bersyukur dapat mengenali dan bekerja sebagai satu pasukan dengan tiga anak Ibrahim yang berlainan dimensi tetapi berpegang kepada prinsip perjuangan yang luhur dan ikhlas.

Persoalan yang hangat diperkatakan hari ini ialah mengapa saya mendapat layanan istimewa ? Saya menjawab mudah dengan senyuman. Saya mengambil pengajaran dari Nabi Yusuf a.s. yang meriwayatkan kisah 7 tahun kemarau disusuli dengan 7 tahun yang subur. Nabi Yusuf a.s. adalah seorang yang amat dicemburui oleh ahli keluarganya sendiri dan juga sanak saudaranya sehingga dihumban ke dalam perigi. Namun, berkat kesabaran dan istiqamah, Nabi Yusuf a.s. akhirnya diberikan tanggungjawab untuk memikul amanah memimpin dan membawa kesejahteraan di Mesir.

Mungkin ada yang cemburu dengan saya kerana kesetiaan dan kepatuhan saya kepada perjuangan KEADILAN yang murni ini. Mungkin ada yang cemburu kerana prestasi kerja saya untuk memperkasa parti seperti yang ditulis oleh Joceline. Mungkin ada yang cemburu kerana kesetiaan saya kepada idealisma perjuangan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim. Saya terima semua ini sebagai cabaran yang positif dan persaingan yang sihat.

Ayuh, rakyat Malaysia. Kita bangun dan lawan perosak dan penjahanam negara iaitu pemimpin elit dan bangsawan UMNO dan Barisan Nasional. Marilah kita bina Malaysia Baru yang lebih selamat dan sejahtera untuk rakyat Malaysia.
AZMIN ALI

Filed under: News, , , , , , , , ,

Dun Perak: Jubah direntap, speaker hampir lemas?

Oleh Harakahdaily 

12.50 tgh: Ketika ini semua Adun Pakatan Rakyat sedang bermesyuarat di Wisma DAP. Dijangkakan satu lagi sidang media akan diadakan pada jam 1.30 petang nanti.
12.37 tgh: Sidang media tamat, semua beredar.
12.35 tgh: Dalam sidang media itu juga Sivakumar menceritakan bagaimana beliau hampir tidak dapat bernafas dan lemas akibat jubahnya direntap dengan ganas.
12.30 tgh: Sivakumar dan Adun Pakatan Rakyat sedang membuat sidang media di dalam perpustakaan di kompleks SUK. Beliau (Sivakumar) menunjukkan cebisan jubah speaker yang dirampas sehingga terkoyak kepada media.
12.15 tgh: Dalam pada itu, Sivakumar memberitahu usul untuk melantik Osman Abdul Rahman sebagai senator telah diluluskan dalam sidang mereka sebelum ini.
12.14 tgh: Sementara itu, sidang dewan BN sedang berlangsung di dalam dewan dengan usul untuk melantik Datuk Azian Osman sebagai senator di Dewan Negara.
11.55 pagi: Adun PR sedang memberikan sidang media di luar dewan dan memberikan penerangan terperinci situasi yang berlaku hari itu.
11.52 pagi: Sambil keluar dewan semua Adun Pakatan Rakyat melambai kepada Ganesan dan mengucapkan ‘Selamat Hari Deepavali.’
11.49 pagi: Ganesan cuba mengumumkan bajet 2010 diluluskan. Sivakumar berdiri dan mengumumkan sidang telah ditangguhkan.Semua Adun Pakatan Rakyat telah keluar dewan.
11.45 pagi:Adun BN cuba mengusul untuk menerima dan membahaskan bajet tetapi ditenggelami dengan suara daripada adun-adun lain.
11.40 pagi: Mikrofon Adun Pakatan Rakyat telah ditutup tetapi tidak bagi Adun BN.
11.37 pagi: Zambry cuba berdiri untuk bercakap dan Adun PR melaungkan ‘lanun’ terhadapnya.
11.35 pagi: Seorang Adun BN menyuruh Ganesan menghukum adun-adun PR.
11.30 pagi: Kedua-dua sidang sedang berlangsung sekarang. Seorang adun PR kelihatan sedang membaca sesuatu tetapiu tidak jelas kedengaran akibat gangguan.
11.25 pagi: Ganesan menyambung kembali sidang. Adun Pakatan Rakyat menyerit menyatakan Ganesan ‘Speaker Haram’. Ganesan membuka sidang untuk debat mengenai belanjawan.Sidang mula kecoh. Riiuh. Dentuman meja kedengaran. Suara adun mula tenggelam timbul.
11.15 pagi: Sidang dijangka bermula semula jam 11.20 pagi. Suasana di luar tenang.
11.11 pagi: Adun Pakatan Rakyat terima usul dan luluskannya. Sivakumar tangguhkan sidang sementara waktu, tiada sesiapa kecuali Adun Pakatan Rakyat yang mendengar sidang tersebut.
11.01 pagi: Ganesan telah menangguhkan sidang dun. Adun Titi Serong mengusulkan agar sidang dun dibubar. Kerajaan BN adalah haram dan wajar dikembalikan kepada rakyat. Ganesan terus tidak menghiraukan sidang yang berlangsung sebaliknya berbual dengan bekjas MB, Tajol Rosli.
10.57 pagi: Ganesan disuruh oleh Sivasubramaniam untuk meninggalkan tempat duduknya. Suis mikrofon telah ditutup. Kemudian Sivakumar memberitahu dewan kejadian yang berlaku diluar dewan tentang kekasaran yang dilakukan terhadapnya.
10.56 pagi: Ngeh menyokong usul Nizar. Adun BN sedang berborak sesama sendiri. Adun Pakatan Rakyat melaungkan “setuju”. Sementara di luar SUK, polis kelihatan menyuraikan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang berkumpul berhampiran sebuah restoran.
10.55 pagi: Ganesan kelihatan menguap dan tidak mengendahkan sidang yang dijalankan. Adun BN sedang bercakap sesama sendiri dan beberapa adun BN termasuk Zambry kelihatan meninggalkan dewan.
10.53 pagi: MB Pakatan Rakyat, DS Nizar bangun dan mengusulkan agar semua program PLKN dan 1 Malaysia dihentikan serta merta.
10.52 pagi: Sivakumar berkata beliau kini telah memulakan persidangan dan mengarahkan semua adun untuk bertakafur selama 1 minit untuk memperingati tragedi titi gantung di Kampar baru-baru ini.
10.45 pagi: Adun Buntong, A Sivasubramaniam bangun dan mengarahkan Ganesan untuk beredar kerana beliau merupakan speaker yang dilantik secara haram.
10.39 pagi: Adun Pakatan Rakyat memulakan persidangan dengan Adun Khalil Idham Lim membaca doa.Ganesan menyampuk dengan memberitahu sidang telah bermula.
10.38 pagi: Ganesan (Speaker BN) hanya duduk diam dan begitu juga dengan Adun BN.
10.37 pagi: Adun Pakatan Rakyat masuk ke dalam dewan dan melaungkan “Ketibaan Speaker Dewan”. Sementara itu, DSP Glen memberikan masa 5 minit kepada penyokong PAS untuk beredar daripada kawasan SUK.
10.36 pagi: Helikopter masih kelihatan di udara.
10.35 pagi: Adun Pakatan Rakyat kelihatan di luar dewan persidangan dan mengecam Ganesan sebagai Speaker haram. 10.20 pagi: Kelihatan penyokong Pakatan Rakyat bukan beragama Islam berdiri berhampiran dengan penyokong PAS yang sedang bersolat hajat untuk menunjukkkan solariditi mereka.
10.19 pagi: Keadaan di luar SUK kelihatan agak tenang walaupun kelihatan orang ramai sedang berkumpul untuk mengikuti kejadian yang berlaku ketika ini.  Kelihatan penyokong PAS sedang melakukan solat hajat berhampiran dengan pagar halangan di luar SUK.
10.09 pagi: Nizar dan Adun Pakatan Rakyat cuba masuk sekali lagi ke dalam dewan persidangan.Sivakumar kelihatan tanpa jubah Speakernya.
10.05 pagi: Dalam dewan kelihatan pengawal (betara) seramai 20 orang mengawal sekitar ‘Speaker’ Ganesan.
10.04 pagi: Persidangan bermula di dalam dewan dengan bacaan doa tanpa kehadiran adun Pakatan Rakyat.
10.00 pagi: Adun Pakatan beredar keluar daripada SUK. Beberapa adun dan Nizar kelihatan di lluar SUK. Nizar mendakwa mereka dihalang masuk ke dalam dewan.
9.57 pagi: Polis kelihatan menyerbu ke arah Sivakumar. Beberapa adun Pakatan Rakyat cuba menghalang daripada serbuan polis. Seorang SB dilihat merampas songkok Speaker. Jubah yang dipakai oleh Sivakumar juga cuba ditarik.
9.55 pagi: Keadaan di luar, adun pakatan rakyat dihalang dan dilambatkan oleh kawalan pihak polis.
9.55 pagi: Keadaan dalam dewan, Speaker BN Ganesan kelihatan sudah mengambil tempatnya begitu juga adun-adun BN.
9.50 pagi: Adun Pakatan diketuai Nizar terus bergerak ke arah pintu SUK.Sivakumar kelihatan memakai pakaian rasmi speaker.
9.45 pagi: Adun BN bersama Zambry Abdul Kadir telah berada dalam SUK.
9.40 pagi: Adun Pakatan Rakyat mula berarak menuju ke arah SUK bersama sekumpulan penyokong PAKATAN RAKYAT. Sivakumar dilindungi dan dikawal oleh para penyokong. Mereka kelihatan menuju ke arah ‘Pokok Demokrasi’ dan cuba masuk melalui kawasan tersebut. Polis hanya benarkan Adun-adun masuk.
 9.35 pagi: Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar kelihatan di Wisma DAP.
9.25 pagi: Kawasan koridor bangunan SUK dipenuhi polis dan media hanya dibenarkan masuk setelah diperiksa dengan ketat dan disahkan pas mereka.
9.15 pagi: Adun Ngeh, Thomas, L P Seah, B P Ong, Sivanesan, Idham, Ramli, M M Leong and K W Wong adalah antara Adun Pakatan Rakyat yang kelihatan berada di Wisma DAP.
9.05 pagi: Anggota polis (SB) kelihatan mengambil gambar secara rambang kawasan sekitar.
9.00 pagi: Helikopter polis kelihatan berlegar di atas bangunan dan kawasan SUK.
8.50 pagi:Ngeh dan Thomas kelihatan terpaksa bertikam lidah dengan polis kerana dihalang daripada memasuki kawasan yang telah dikepung (dihalang) polis. Namun akhirnya mereka dibenrakan masuk.
8.45 pagi: Kelihatan Adun Ngeh dan Thomas Su berada di luar bangunan. Wartawan mula kerumuni mereka untuk mendapatkan maklumat.
8.30 pagi:Bilangan anggota polis dikatakan lebih 400 orang kini.
8.20 pagi: Pagar kawat berduri makin banyak dipasang. Antaranya bangunan ibu pejabat DAP juga kelihatan dikawal ketat. Orang ramai (awam) dihalang daripada masuk kawasan sekitar.
7.55 pagi: Semakin banyak kenderaan polis kelihatan. Trak FRU mula kelihatan. Trak meriam air juga kelihatan di sekitar bangunan SUK.
7.52 pagi: Keseluruhan kawasan SUK dikawal dengan ketat. Lebih 40 anggota keselamatan berkawal di hadapan SUK dengan memakai vest hijau dan diapit 2 buah trak merah dan beberapa kenderaan serta van polis. Kumpulan wartawan berada di hadapan hadangan berkawat berduri.
7.15 pagi: 6 buah kenderaan polis termasuk ‘Black Maria’ digunakan sebagai perisai di hadapan pagar dan pusat ‘check point’. Anggota polis berpakaian biasa (SB) kelihatan mula penuhi kawasan sekitar. Keadaan mula sibuk.

Filed under: News, , , , , , ,

Taman Ilmu Gagal, Tergendala ?

BESUT : Genap setahun pemerintahan Menteri Besar Terengganu yang penuh kontroversi, Dato’ Ahmad Said, menyifatkan projek Taman Ilmu yang bernilai RM410 juta, gagal direalisasikan sebagai sebuah ’pusat ilmu bertaraf dunia’.

Ketika mengadakan sesi soal jawab panjang (selama sejam) bersama media, beliau mendedahkan, belum ada satu pun universiti luar negara yang memohon untuk menawarkan khidmat pendidikan di Taman Ilmu.

Beliau berkata demikian di Wisma Darul Iman, Mei lalu,  apabila para wartawan mendesaknya dengan soalan bahawa, beliau telah meminggirkan Besut dalam agenda pembangunannya sebagai Menteri Besar.

Disamping itu, dalam sidang media yang sama, Ahmad tidak dapat menyembunyikan realiti bahawa, pembangunan Taman Ilmu dan Kampus Induk UDM yang dibuat ’mudah-mudah’ semasa zaman Idris dan Pak Lah, tidak berjalan dengan licin.

Katanya, projek-projek mega termasuk pembinaan Taman Ilmu sebelum zamannya adalah merupakan projek ’terus’ dari Kuala Terengganu ke Putrajaya.

Sebaliknya, katanya, beliau terpaksa memasukkan perbelanjaan pembinaan tersebut dalam bajet tahunan pada setiap tahun, dan menghantar kepada Putrajaya.

Keadaan tersebut adalah kerana, pada zaman Idris dan Pak lah, wang royalti minyak Terengganu dibelanjakan secara ’agak bebas’, namun pada masa Ahmad, ia dimasukkan dahulu kepada akaun kerajaan negeri.

Realitinya, pembinaan Taman Ilmu dan Kampus UDM benar-benar tergendala !

Senarai projek dalam pembinaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerjaraya 
negeri Terengganu (JKRNT) tahun 2008 telah menunjukkan lima ’parcel’ pembinaan komponen Taman Ilmu dan Kampus Induk UDM telah mengalami kelewatan selama sembilan bulan.

JKRNT meletakkan jangkaan, keenam-enam ’parcel’ pembinaan dijangka siap pada Disember tahun 2008. (Lihat Dokumen dibawah)

Kampus UDM Besut

Tinjauan wartawan Buletin ke lokasi tapak pembinaan Taman Ilmu dan Kampus UDM
semalam mendapati, tidak banyak aktiviti pembinaan dijalankan, bahkan sebahagiannya terhenti samasekali.

Beberapa individu yang ditemui berhampiran lokasi tersebut mengesahkan pembinaan berlaku agak perlahan sejak beberapa bulan lalu.

Mohd Sulaiman, 66, (bukan nama sebenar) seorang pesara berkata beliau sedar aktiviti pembinaan Taman Ilmu bergerak agak perlahan namun beliau tidak tahu mengapa berlaku demikian.

Manakala seorang bekas guru, Adnan Ahmad, 70, berasal dari Kampung Air Tawar, Kuala Besut, mendakwa pembangunan Taman Ilmu mungkin tergendala kerana kekurangan wang yang disalurkan oleh pihak yang berkaitan.

Beliau turut menambah, pembinaan kampus UDM disitu, bukan lagi menjadi kampus utama sebagaimana yang di ’impikan’ oleh Idris.

”Ia dah jadi kampus cawangan, UDM cawangan Besut, ’puak-puak tu’ tak mahu jadikan kampus induk,”katanya, tanpa mengulas lanjut, siapakah yang dimaksudkannya sebagai ’puak-puak tu’

Filed under: News, , , , , ,

PAS panggil mesyuarat khas JK Rabu ini

KEMASKINI: KUALA LUMPUR, 26 Okt: PAS akan memanggil satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu ini bagi membincangkan cadangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya berkata, mesyuarat itu akan diadakan jam 8.30 malam, Rabu ini di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini.

“Mesyuarat insyaAllah akan diadakan pada 28 haribulan ini, hari Rabu malam,” katanya.

Surat jemputan untuk mesyuarat ini akan dikeluarkan segera oleh beliau.

Mustafa berkata, beliau mendapat arahan dari Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar memanggil mesyuarat khas itu.

“Beliau (presiden) telah mengarahkan saya supaya mencari satu tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa pusat dalam waktu terdekat,” katanya lagi.

ImageMesyuarat ini yang akan dihadiri oleh pimpinan pas pusat dan pesuruhjaya setiap negeri itu katanya, akan membuat keputusan tindakan yang akan dibuat selepas ini.

“Jadi apa-apa yang berkait kita akan bincang dalam mesyuarat pusat nanti,” katanya.

Nik Aziz akan hadir sebagai pesuruhjaya Kelantan dan jemputan khas bagi membolehkan ahli mesyuarat mendengar sendiri penjelasan beliau berhubung cadangan dalam blognya agar diadakan satu muktamar agung khas.

Menjawab soalan pemberita mengenai cadangan mengadakan muktamar khas, beliau berkata mengikut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa hanya boleh diadakan mengikut tiga cara.

Ia boleh dilakukan apabila ada arahan daripada presiden parti, ada permintaan bersurat satu pertiga daripada ahli jawatankuasa pusat, atau permintaan bertulis satu pertiga daripada PAS kawasan-kawasan.

Semalam, Naib Presiden, Salahuddin Ayub selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu memberitahu, mesyuarat agung luar biasa tidak akan diadakan kerana Nik Aziz sendiri mencadangkan ianya ditukar kepada mesyuarat khas.

Ditanya sama ada cadangan Nik Aziz itu berkait dengan beberapa pemimpin yang dikatakan pro kerajaan perpaduan, beliau berkata isu itu tidak lagi berbangkit kerana ianya telah diputuskan dalam muktamar Jun lalu.

“Saya pernah buat kenyataan dulu, masalah kerjasama dengan Umno sudah tutup buku. Ia satu keputusan yang dibuat oleh pimpinan dalam muktamar sendiri,” katanya

Filed under: News, , , , , , , ,

AHLI PAS KENA BIJAK MENGHADAPI FITNAH MEDIA

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.
 
PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.
 
Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.
 
Dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.
 
Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok. Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.
 
PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.
 
Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.
 
PAS yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka-mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.
 
PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.
 
Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya.
 
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Filed under: News, , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories