Kalam Perantau

Icon

Rombakan Kabinet selepas Pilihanraya Kecil Hulu Selangor?

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Sebelum ini, spekulasi rombakan Kabinet memang bertiup kencang dan ramai berpendapat Perdana Menteri akan menunggu selepas pemerintahan memasuki usia setahun dan MCA meleraikan isu kepemimpinannya sebelum membuat sebarang pengumuman rombakan kabinet 1Malaysia. 

Tulisan saya berhubung Kemelut Presiden MCA dan Rombakan Kabinet pada minggu lepas (bil: 193) mendapat perhatian. Sekarang, kemelut dalaman MCA hampir menenui jalan penyelasaiannya dan mungkin reda buat sementara waktu. Ramai membuat spekulasi rombakan Kabinet hanya akan diadakan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor berakhir. Perdana Menteri dijangka akan menunggu pula keputusan pilihanraya kecil Hulu Selangor yang secara tradisi ditandingi MIC berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk merombak kabinet kali ini.

April ini, genap setahun kabinet Najib yang ada hari ini. Dengan berbagai masalah yang melanda MCA dewasa ini sewajarnya ia dirombak semula bila dua menteri  MCA iaitu Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan)  gagal mengekalkan kerusi  Presiden MCA  dan Kong Cho Ha (Menteri  Perumahan dan Kerajaan Tempatan)  pula kecundang dalam cubaan untuk menjadi Timbalan Presiden dalam pemilihan semula MCA baru-baru ini.

Tee Keat dijangka tidak akan menunggu sehingga digugurkan daripada Kabinet untuk membuat keputusan meletak jawatan, begitu juga dengan Datuk Seri Kong Chong Ha, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri bila ditanya sama ada Datuk Seri Chua Soi Lek akan menyertai kabinet semula ekoran kemenangannya dalam pertandingan tiga penjuru  Presiden MCA pada Ahad, 28hb. Mac yang lepas hanya menjawab beliau perlu menganalisa signal yang dihantar oleh perwakilan MCA 

Beliau juga dilaporkan berkata, ”saya juga tidak akan menetapkan tempoh masa (isu rombakan Kabinet) kerana saya perlu menemui Soi Lek terlebih dahulu,”. Berhubung rombakan Kabinet Perdana Menteri berkata, beliau akan menemui Soi Lek untuk mendapatkan maklum balas mengenai pandangan serta cadangannya secra spesifik mengenai jawatan-jawatan dalam kerajaan.

MCA dipertuntukkan dengan empat (4) kerusi Menteri penuh dan beberapa kerusi Tmbalan Menteri. Empat Menteri yang mewakili MCA adalah Datuk Ong Tee Keat sebagai Menteri Pengangkutan, Datuk Liow Tiong Lai sebagai (Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan  dan Datuk Ng Yen Yen, sebagai Menteri Pelancongan.

Presiden MCA dilantik ke dalam kabinet sebagai Menteri. Secara tradisinya diberikan portfolio   Menteri Penangkutan yang kini disandang bekas Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat.  Sejak menyertai BN, satu atau dua kali sahaja Presiden MCA tidak mahu menyertai kabinet. Kalau tidak silap, Tun Tan Siew Sin dan Ong Ka Ting pernah menolak tawaran Perdana Menteri untuk dilantik sebagai Menteri untuk seketika sahaja. Itu pun bersifat sementara.

Datuk Seri Ng Yen Yen, Naib Presiden MCA yang mendapat undian tertinggi dilaporkan media massa berpendapat, soal jawatan bukan agenda penting Dr Chua, sebaliknya MCA akan membentuk pasukan untuk membantu BN menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor. Tetapi jika sesiapa mengikuti perjalanan politik Dr Chua Soi Lek, pemimpin veteran MCA ini nyata suka membuat kejutan.

Berakhirkah kemelut MCA?

Perwakilan MCA sudah pun memilih Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden baru parti itu secara demokrasi kelmarin, setelah mengalahkan saingannya Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat. Chua Soi Lek memperoleh 901 undi dan berjaya mengetepikan cabaran bekas pemimpin nombor satu, Tan Sri Ong Ka Ting (833 undi) dan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat (578 undi).

Kemenangan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA perlu diterima semua pihak.  Ternyata percaturan Soi Lek meletak jawatan bersama beberapa pengikutnya menjelang Perhimpunan Agung MCA  dan bersedia mengadakan pemilihan baru seperti yang dituntut oleh kumpulan Liow Tiong Lai adalah berpihak kepada mereka berdua.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menang tipis apabila majoriti yang diperolehnya hanya 65 undi sahaja. Tiong Lai berjaya memperoleh 1,171 manakala lawannya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekas Naib Presiden memperoleh 1,106 undi.

Manakala jawatan Naib Presiden pula, dimenangi oleh Datuk Seri Ng Yen Yen( Menteri Pelancongan), Datuk Donald Lim Siang Chai; (Timbalan Menteri Kewangan), Datuk Chor Chee Heung dan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Gan Ping Sieu.

Penganalisis politik berpendapat, pemilihan Chua Soi Lek  itu turut memberi satu mesej jelas bahawa MCA tidak perlu menoleh kebelakang dengan meletakkan semula Presiden yang telah berundur (Ong Ka Ting) atau Presiden yang telah ditolak kempimpinannya oleh perwakilan (Ong Tee Keat).

Dengan keputusan tersebut, Chua Soi Lek, Presiden MCA yang baru mempunyai tugas berat dalam usaha menyatukan semula kepimpinan MCA selepas parti berkenaan melalui fasa krisis kepimpinan sejak dua tahun lalu.

Kepimpinan Soi Lek dan Tiong Lai yang kumpulan yang berbeza  diperlukan untuk mengembalikan semula kepercayaan ahli-ahli parti serta masyarakat Cina keseluruhannya kepada MCA. Lebih penting, timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, perlu mengetepikan kekecewaan dengan kekalahan regunya, Tan Sri Ong Ka Ting bagi jawatan Presiden MCA dan memulakan kerjasama dengan Dr Chua untuk mengukuhkan parti.

Ramai mengharapkan keikhlasan Dr Chua apabila berjanji akan menyatukan semua puak berpecah di dalam MCA, termasuk memberi tempat untuk bekerjasama dengan Tee Keat dan Tan Sri Ong Ka Ting. Persoalannyanya, mampukah mereka berkerjasama menyatukan semula MCA yang sudah berpecah kepada 3 kumpulan; Soi Lek-Cho Ha, Ka Ting-Tiong Lai dan Tee Keat.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

Tahniah! Tok Guru Nik Aziz dahului terima darjah kebesaran

Oleh Muhammad Yusri Amin  

KOTA BHARU, 30 Mac:  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mendahului senarai darjah kebesaran negeri pada pengurniaan kehormatan negeri Kelantan hari ini. Menteri Besar dianugerah gelaran Dato’ Bentara Setia oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra pada istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini pagi ini.

Turut menerima anugerah tersebut Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria menerima Dato’ Lela Negara.

Manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dianugerahkan Dato’ Sri Setia Raja. Sementara anugerah Darjah-Darjah Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.), mendahului senarai penerima ialah isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor diikuti Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Mendahului senarai penerima anugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.) ialah Datuk Tengku Salwani Al-Marhum Sultan Yahya Petra, diikuti Dato’ Tengku Rozan Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.). Anugerah gelaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.), mendahului senarai penerima ialah peguambela, Datuk Sukri Mohamed, diikuti Pengelola Istana DiRaja, Datuk Abdul Halim Hamad.

Manakala penerima Anugerah Geralaran Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.), mendahului senarai ialah Ketua Polis Kelantan, SAC I Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Penerima Anugerah Kebesaran bagi gelaran Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (P.Y.G.P.) ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman mendahului senarai penerima anugerah Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.).

Selain itu, Speaker Dewan Negeri Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, bekas pegawai Yayasan Islam Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar dan bekas Adun Banggol Judah, Yahya Othman. 

Mudir Pondok Pasir Tumboh, Tuan Guru Hashim Abu Bakar menerima gelaran Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.). Penerima gelaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K.) seramai 34 orang termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam, Ahmad Mahmood dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Ismail Samah.

Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Ghazali Abdul Rahman. Manakala seramai 10 orang menerima pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.) termasuk Adun Air Lanas, Abdullah Ya’kub.

Keseluruhan penganugerahan tersebut membabitkan penerima seramai 84 orang. Sementara itu seramai 555 lagi akan menerima penganugerahan pada Majlis Pengurniaan Kehormatan Negeri bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Pingat-Pingat dan Surat-Surat Kepujiandian pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Tiga anggota Exco, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Wan Ubaidah Omar pula disenarai penerima Ahli Yang Ketiga (Taulan) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Mulia Amat Mulia (J.M.K).
Senarai penerima tersebut diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri pada sidang media di Istana Balai Besar semalam.

“Istiadat penganugerahan kali ini bukan merupakan acara perayaan ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan. “Ia adalah semata-mata merupakan anugerah daripada Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan kepada mereka yang telah diampuni perkenan oleh baginda sendiri,” katanya.

Filed under: News, , , ,

PAS Mahu Menteri Bertanggungjawab Terhadap Kerugian RM546 juta Pos Malaysia

Oleh Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil pandangan yang serius terhadap ucapan YB. Wee Choo Keong (Wangsa Maju) di parlimen berhubung pendedahan bekas ahli parlimen yang juga mantan Pengerusi POS Malaysia & Services Holdings Bhd, Tan Sri Adam Kadir dalam majalah Malaysian Business bertajuk ‘Is whistle-blowing really serious’. Artikel berkenaan turut menyentuh secara langsung isu kehilangan wang rakyat berjumlah RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia.

Tindakan Khazanah Nasional yang mempengaruhi Pos Malaysia untuk melambatkan penjualan sahamnya dalam syarikat pengendali kargo yang bermasalah-Transmile Group Bhd telah menyebabkan negara rugi bila mana sahamnya jatuh kepada harga 35 sen seunit dengan nilai keseluruhan hanya RM 14 juta pada 26 Februari 2010.

Sebelum ini Pos Malaysia boleh menjual saham itu pada harga tinggi iaitu RM 14 dengan nilai keseluruhan adalah RM546 juta. Namun percaturan yang dibuat jelas merugikan rakyat.

Pos Malaysia adalah pemegang saham kedua terbesar dalam Transmile Group Bhd selepas raja gula Malaysia-Robert kuok (Kuok Brothers Sdn Bhd). Pada tahun 2004 Pos Malaysia menjual 30 peratus kepentingan dalam Transmile Air Services Sdn Bhd iaitu anak syarikat Transmile Group Bhd sebelum membeli saham Transmile Group Bhd.

Walaubagaimana pun penjualan dan pembelian saham-saham itu ternyata tidak mendatangkan faedah bila mana Transmile Group Bhd selepas itu mengalami kemerosotan dan nilai sahamnya jatuh teruk selepas itu.

Tahun lepas sahaja Pos Malaysia mengumumkan kerugiannya sebanyak RM113.20 juta, dimana RM107.19 juta adalah kerugian yang diterima dalam pelaburan di Transmile Group Bhd.

Rakyat pasti bertanya, kenapa Pos Malaysia tidak mahu melabur dalam Malaysia Airlines Cargo Sdn. Bhd (MASKargo) yang juga salah satu GLC milik negara yang lebih menguntungkan dalam operasi penghantaran kargonya? Adakah pelaburan sebelum ini ada kepentingan untuk membantu menyelamatkan syarikat Transmile Group Bhd yang turut dimiliki bersama dengan Robert Kuok?

PAS hanya melihat kes ini sebenarnya mengulangi insiden kegagalan pengurusan GLC milik negara seperti Proton yang menjual sahamnya dalam MV Agusta dengan harga 1 Euro sahaja. Pendedahan mantan pengerusi Pos Malaysia ini juga harus disiasat dan rakyat mahukan jawapan.

PAS mahu kerajaan mengkaji kegagalan urusniaga niaga ini dan mahu Pengerusi Pos Malaysia, Pengerusi Khazanal Nasional dan Menteri Kewangan bertanggungjawab di atas kerugian ini. Pos Malaysia sebagai GLC milik negara membelanjakan wang rakyat untuk urusniaganya seharusnya memberikan pulangan yang positif bukannya memberikan kerugian yang besar.

Idris Ahmad adalah Ketua Penerangan PAS Pusat

Filed under: News, , , ,

Terengganu Darul Runtoh: Campurtangan Orang Politik antara Sebab Bumbung Stadium Runtuh

Campurtangan Orang Politik antara Sebab Bumbung Stadium Runtuh

KUALA TERENGGANU – PAS yakin ada campur tangan ‘orang politik’ dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada runtuhnya bumbung stadium tersebut, Jun tahun lalu.

“Saya percaya berlaku campur tangan politik, ditambah dengan individu berkepentingan kerana insiden runtuhan sedemikian tidak patut berlaku berikutan ia membabitkan wang rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Menurutnya, campur tangan itu menyebabkan kerja pembinaan tidak lancar dan pihak terbabit berkemungkinan tidak amanah serta tidak jujur.

Beliau berkata demikian kepada akhbar Sinar Harian, keika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sebelum ini bahawa semua pihak yang terbabit dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, adalah penyumbang kepada insiden kejadian runtuhan bumbung stadium berkenaan.

Ahmad ketika membentangkan hasil laporan kejadian bumbung runtuh itu berkata, berdasarkan punca yang dikenal pasti melalui laporan terakhir Jawatankuasa Siasatan (IC), semua bahagian terbabit didapati melakukan kesilapan.

Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat turut menasihatkan Kerajaan Negeri supaya melaksanakan sistem tender terbuka bagi menggalakkan ketelusan dan menghindarkan amalan ‘kronisma’.

Katanya, pemantauan juga perlu dilakukan secara telus supaya kemudahan untuk kepentingan rakyat benar-benar dapat digunakan selari dengan matlamat pembinaannya.

“Mereka juga kena ingat bahawa pembinaan ini adalah harta rakyat dan mereka perlu bertanggungjawab sehingga akhirat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya kontraktor diberi kursus dan motivasi keagamaan dalam usaha mewujudkan kekuatan rohani yang boleh memberi keharmonian kepada pengguna sekeliling.

Filed under: News, , , ,

Tahniah! Nik Aziz, Harun Din kekal Mursyidul Am dan timbalan

Oleh Nazri Abdullah   

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PIC) dan Datuk Dr Haron Din mengekalkan jawatan mereka masing-masing sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun dari 2010 hingga 2015.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat kedua Majlis Syura untuk sesi ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, pemilihan semula Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana kelayakannya dan tidak mahu Mursyidul Am PAS itu bersara dari perjuangan.

“Ramai yang layak, tetapi kita anggap beliau yang lebih layak dari orang lain kerana dalam budaya perjuangan Islam tiada persaraan dalam perjuangan.

“Kita tidak mahu tok guru kita bersara dari perjuangan,” katanya pada sidang media memaklumkan keputusan tersebut di parlimen hari ini.
Turut serta pada sidang media tersebut, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Mengulas lanjut beliau berkata, keuzuran Tuan Guru Nik Aziz bukan masalah besar kerana beliau akan dibantu ahli mesyuarat yang lain.

“Keuzuran beliau boleh dibantu ahli-ahli yang lain kerana keputusan majlis syura bukan individualistik tetapi dibuat secara kolektif,” tambahnya lagi.

Selain mereka berdua, turut dilantik ke dalam Majlis Syura dalam mesyuarat mereka yang pertama adalah Datuk Seri Azizan Razak, Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Hassan Syukri.

Kelima-lima mereka dilantik sebagai ahli Majlis Syura dalam mesyuarat pertama mereka minggu lepas. Mesyuarat hari ini membuat perlantikan untuk dua jawatan utama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya.

Selain mereka ahli Majlis Syura adalah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (mewakili Jawatankuasa PAS Pusat).

Mewakili Dewan Ulamak adalah Datuk Harun Taib, Datuk Ahmad Yaakub, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh, mewakili Dewan Pemuda Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ustaz Zaharudin Mohamad dan dua wakil Dewan Muslimat yang nama mereka belum diperolehi.

Ditanya berhubung kenyataan Tuan Guru Nik Aziz semalam yang bersedia berundur, Abdul Hadi berkata ianya menunjukkan sikapnya yang tinggi akhlaknya sesuai dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya untuk tidak meminta jawatan.

“Itu satu moral yang tinggi yang sangat kami hargai. Memang kita dalam Islam diajar tidak meminta jawatan, tidak berebut jawatan dan Islam mengajar orang yang tidak meminta jawatan itu yang layak kita lantik,” jelasnya lagi.

Sesi baru Majlis Syura bermula dengan mesyuarat pertama mereka minggu lalu. Dalam mesyuarat di kalangan 12 anggota yang telah dilantik oleh AJK PAS Pusat (4), Dewan Ulama (4), Dewan Pemuda (2) dan Dewan Muslimat (2) itu, lima anggota tambahan dilantik.

Majlis Syura adalah badan tertinggi dalam PAS. Mengikut pindaan terbaru Perlembagaan PAS, anggotanya menjadi 17 orang berbanding 12 sebelum ini dan tempoh sepenggal dipanjangkan dari tiga tahun ke lima tahun.

Filed under: News, , , ,

Zaid bakal calon PKR?

Oleh Zulkifli Sulong   

Ketika para pemimpin Barisan Nasional (BN) saling berebut antara satu sama lain siapakah bakal diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, PKR nampaknya memberikan tanda yang jelas dalam majlis mereka malam tadi.

Ia semacam disahkan pula oleh Twitter yang disebarkan oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis itu bermula. Ada empat pemimpin PKR yang menyertai majlis perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ di Stadium Kuala Kubu malam tadi, selain beliau sendiri.

“Alhamdulillah.. sambutan hangat. Sen SHusin, ybAzmin TSKhalid, ybSiva, DZaid.” bunyi Twitter Anwar.

Ekoran itu, nama Datuk Zaid Ibrahim semakin jelas akan menjadi calon PKR dalam pilihan raya kecil ini kerana selain beliau semua pemimpin PKR yang disebutkan sudah menjadi wakil rakyat di samping senator.

Datuk Zaid, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, dilihat antara tokoh nasional PKR yang perlu kembali ke Dewan Rakyat. Jika tidak, suara beliau sukar untuk diberi perhatian sewajarnya.

Dipihak BN pula, ramai yang menyerang MIC selepas nama timbalan presidennya, Datuk G Palanivel diumumkan bakal menjadi calon BN sekali lagi di situ selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Umno Hulu Selangor sendiri mahukan tokoh veteran Selangor Tan Sri Muhamad Muhd Taib menjadi calon kononnya untuk mengulangi kejayaan mereka dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang. Bekas MB, Datuk Dr Muhamad Khir Toyo juga membantah cadangan MIC itu.

Menambahkan lagi kecenderungan ke arah itu adalah apabila Datuk Noh Omar dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil tersebut dan ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Mohamed Idris Bakar dilantik sebagai timbalannya.

Dalam pilihan raya Bagan Pinang, Umno berjaya mengekalkan kerusi itu bahkan berjaya menambahkan undi majoriti apabila bekas MB Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad diletakkan.

“Jika kita mahu mengembalikan kegemilangan di Bagan Pinang, tokoh veteran Umno perlu diletakkan di sini. Kita yakin, kemenangan mudah bakal dicapai,” kata seorang pemimpin Umno Bahagian sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah laman web.

Namun begitu, risiko yang dihadapi Umno adalah ‘merampas’ kerusi MIC ketika parti yang mewakili kaum India dalam BN itu sedang ‘luka’. Sedangkan dalam masa yang sama, 19 peratus pengundi di sini adalah dari kaum India. Pengundi Melayu adalah kira-kira 53 peratus manakala Cina 28 peratus.

Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, Datuk G Palanivel tewas kepada kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia semalam akibat barah otak.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan memanggil pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut dalam tempoh 60 hari. SPR pula akan bermesyuarat Jumaat depan untuk memutuskan tarikhnya.

Walaupun ia merupakan kerusi majoriti Melayu, tetapi ianya telah diperuntukkan kepada MIC sejak sekian lama. Jika mencari kerusi majoriti India nescaya tidak adalah calon MIC yang dapat bertanding. G Palanivel menang pada pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi tewas kepada Zainal Abidin pada 2008. Zainal Abidin mendapat 23,177 undi untuk menang tipis dengan 198 undi. Palanivel pula mendapat 22,979 undi.

Pujukan yang dibuat Umno kepada MIC adalah parti itu akan diberikan kerusi lain dalam pilihan raya umum nanti. Tetapi, kerusi manakah itu, belum disebutkan lagi. Ini menyebabkan ramai pemimpin MIC beranggapan ini janji kosong Umno sahaja.

Walaupun tuntutan agar PKR juga meletakkan calon India dalam pilihan raya ini berkumandang juga namun jika PKR terus dengan calon Melayu ia tidak berapa sukar. Ini kerana, kerusi ini dimenangi dalam pilihan raya 2008 lalu melalui calon Melayu iaitu Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Jadi jika

Datuk Zaid yang bertanding, ia bakal diterima dengan baik. Tambahan pula, jika Zaid yang terpilih, ia lebih senang kerana dia sangat diterima baik oleh India, Cina maupun Melayu di negara ini.

Zaid pula dikatakan sudah mula ‘bekerja’ untuk menjadi wakil rakyat kawasan ini setelah Dr Zainal sekian lama tidak mampu untuk menjalankan tugasnya dengan baik kerana skit barah otak yang dialaminya itu.

“Walaupun Zaid orang Kelantan tetapi dia sudah lama menjadi ‘rakyat Selangor’ selepas bekerja dan tinggal di sini sejak sekian lama,” kata seorang pemimpin kanan PKR.

Halangan besar beliau dalam memenangi kawasan ini adalah empat kawasan Felda yang ada dalam kawasan Hulu Selangor Felda Gedangsa, Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan. Ia bakal menjadi kubu Umno.

Namun sejarah 13 tahun lalu di mana ke empat-empat kawasan Felda ini mahu dijadikan zon industri oleh bakal calon Umno kini, iaitu Tan Sri Muhamad, bakal menjadi mimpi ngeri untuk Umno. Sekurang-kurang 70 keluarga kakitangan Felda yang terpaksa bersara awal untuk menyambut kawasan industri itu tentu masih merasa peritnya.

Jika Zaid dan PKR dengan sokongan penuh PAS dan DAP boleh berbuat sesuatu di sini, sudah pasti angan-angan Umno untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai Bagan Pinang kedua bakal meleset.

Filed under: News, , , , , ,

Tuanku Ismail masih gering : Tok Guru Nik Aziz

Oleh Norliza Wasilan

Nik Aziz sahkan Sultan Kelantan belum mampu laksana tugas

MACHANG: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra masih gering dan mungkin memerlukan masa agak panjang untuk pulih berdasarkan keadaan baginda yang memerlukan jagaan rapi daripada doktor ketika ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menziarahi baginda baru-baru ini bersama Exco berkata, Tuanku Ismail Petra masih menggunakan kerusi roda selain sentiasa memerlukan bantuan orang sekeliling. “Tuanku masih gering, saya sudah lawat dengan Exco, saya lihat Tuanku guna kerusi roda dan kena ada orang di kiri, kanan sebagai orang tengah. Keadaan Tuanku mungkin perlu makan masa lagi dan perlu penjagaan doktor yang rapi.

“Tuanku (Sultan) masih perlu serahkan benda ini (urusan negeri) kepada Tengku Mahkota (Tengku Muhammad Faris Petra). Insya-Allah, rakyat Kelantan akan sentiasa doakan supaya keadaan baginda sihat dan anakanda dapat memandu Kelantan dengan baik,” kata selepas merasmikan Kilang GMP Nutraseutikal dan pemeteraian perjanjian antara Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd dan Global Biotech Produce Sdn Bhd di sini, semalam.

Selain itu, Nik Aziz menolak cadangan Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan supaya memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi membincangkan krisis istana.

Nik Aziz menyifatkan isu istana sebagai masalah teknikal yang wajar diselesaikan tanpa perlu dihebohkan sehingga membawa aib.

“Ini masalah teknikal. Kalau boleh, kita buat dengan cara tidak heboh, apabila ada sidang, hebohlah. Istana adalah perkara yang dekat dengan orang Melayu terutama rakyat Kelantan.

“Kalau sesuatu berlaku di istana, ia perlu diselesaikan dengan cara hikmah, kalau tak boleh juga, (barulah) cara campur tangan perlembagaan,” katanya

Nik Aziz berkata, isu istana perlu diselesaikan dengan sebaiknya dan tidak boleh secara sebarangan sehingga boleh menjejaskan negeri dan rakyat.

“Minta rakyat Kelantan doa dan tenang supaya tidak berlarutan, bimbang kes lantik raja di Ketereh (berulang), memalukan. Kita doakan Tuanku sihat.

“Perintah negeri bukan satu tradisi saja tetapi membabitkan agama, nak perintah negeri dengan sebarangan tak boleh,” katanya

Filed under: News, , , , ,

Krisis istana: Nik Aziz minta rakyat Kelantan bertenang

Oleh : M Faqih    

MACHANG, 28 Mac: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) meminta rakyat bertenang ekoran berlaku krisis membabitkan istana Kelantan sekarang.

Katanya, rakyat hendaklah bertenang dan berdoa kepada Allah Taala meminta supaya krisis yang berlaku sekarang tidak berpanjangan.

“Saya bimbang berulang kembali peristiwa lama iaitu pelantikan raja seperti di Ketereh suatu ketika dahulu, itu memalukan,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan kilang GMP Nutraseutikal di Labok, hari ini.

Kilang itu milik Kilang Biotech Corporation Sdn Bhd anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Che Abdullah Mat Nawi, Abdul Fattah Mahmood dan Wan Ubaidah Omar.

Selain itu, anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman serta Yang Dipertua PAS Machang, Datuk Hassan Muhamad juga hadir.

Khamis lalu, krisis membabitkan istana Kelantan memuncak apabila Tengku Muhammad Faris Petra cuba dilucut jawatannya sebagai Pemangku Raja.

Kenyataan itu dibuat bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku sebagai Setiausaha Sulit Sultan.

Ekoran itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias yang juga Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) mengumumkan Pemangku Raja memecat Yang Dipertua MPN, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dan diganti dengan Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.

Peristiwa pelantikan raja di Ketereh berlaku pada 29 April 1993 apabila Tengku Ibrahim Petra disambut besar-besaran pemimpin Umno ketika pulang ke Kelantan.

Menteri Besar turut berdoa mudah-mudahan Pemangku Raja berada di dalam keadaan sihat walafiat dan Tuanku Sultan sihat kembali.

“Keduanya kita kena ingat memerintah negeri ini bukan satu tradisi tetapi terlibat sama dengan agama iaitu ada dosa dan pahala.

“Hendak memerintah negeri dengan sebarangan tidak boleh,” ujarnya.

Beliau juga berkata, krisis itu tidak sukar diselesaikan apabila semua pihak kembali kepada perlembagaan negeri memandangkan tuanku masih lagi gering sekarang.

“Saya telah melawat bersama anggota-anggota Exco dan melihat tuanku berada di atas kerusi roda, kena ada orang di kiri dan kanan baginda sebagai orang tengah.

“Jadi keadaan tuanku ini perlu memakan masa lagi, perlu kepada penjagaan doktor dan tuanku perlu serah kepada anakandanya, Tengku Muhammad Faris untuk mentadbir negeri.

“Insya Allah rakyat Kelantan akan berdoa semoga tuanku sihat walafiat dan anakanda Tengku Mahkota dapat memandu Kelantan secara fizikal dan rohani,” katanya.

Ditanya krisis itu berlaku kerana ada pihak enggan mematuhi undang-undang, beliau tidak mahu ganggu perkara tersebut.

“Saya bukan ahli undang-undang. Yang menjaga perlembagaan ada orangnya iaitu peguam,” ujarnya.

Mengenai cadangan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) supaya diadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (Dun) katanya, itu masalah teknikal.

Menurutnya, kalau boleh beliau tidak mahu isu berkenaan dihebohkan, dan apabila ada persidangan Dun tentunya ia menjadi heboh.

Kata beliau, istana merupakan institusi kesayangan orang Melayu, khasnya orang Kelantan.

“Dan apabila timbul sesuatu isu membabitkan istana, kita kena selesai dengan cara bil hikmah. Dan kalau tidak boleh, kita buat kena kembali kepada perlembagaan,” katanya

Filed under: News, , , , ,

CC: 60 peratus penyokong Chua menang?

Kira-kira 60 peratus daripada 25 kerusi jawatankuasa pusat MCA dimenangi oleh penyokong Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, demikian menurut sumber-sumber yang layak dipercayai.

Difahamkan, kebanyakan calon yang memegang jawatan kerajaan – exco negeri dan timbalan menteri – berjaya dipilih, selepas 80 peratus undi selesai dikira.

Bagaimanapun, beberapa senator dikatakan gagal terpilih menganggotai jawatankuasa pusat.

Manakala penyokong Chua pula kelihatan bertepuk kegembiraan di luar dewan.

Pengiraan undi bagi jawatankuasa pusat selesai dijalankan pada kira-kira jam 4.30 petang.

Pada kira-kira jam 5.45 petang, dua calon jawatankuasa pusat, Gan Hong Su dan Datuk Alex Chuah Poh Khiang minta pengiraan semula bagi tempat terakhir ke-25 bagi jawatankuasa pusat.

Manakala pengiraan undi bagi 10 calon yang bertanding jawatan naib presiden bermula kira-kira jam 4.37 petang tadi.

Filed under: News, ,

Tahniah! Dr Chua Soi Lek menang Presiden MCA

Keputusan Rasmi Pemilihan MCA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Chua Soi Lek diisytiharkan sebagai Presiden parti dengan meraih 901 undi, Ong Ka Ting (833 undi) dan Tee Keat (578 undi).

Manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai menang jawatan Timbalan Presiden dengan 1171 undi, mengalahkan Datuk Seri Kong Cho Ha (1106 undi).

Empat jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk Seri Ng Yen Yen (1,528 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469 undi), Datuk Chor Chee Heung (1,202 undi) dan Gan Ping Sieu (1,202 undi).

Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (1,528 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469 undi), Datuk Chor Chee Heung (1,202 undi) and Gan Ping Sieu (1,202 undi).

Filed under: News, , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories