Kalam Perantau

Icon

PRK: BN mungkin rampas Galas, kecundang di Batu Sapi?

Oleh : Mohd Suhaimi Al-Maniri

Ramalan saya supaya pilihanraya kecil DUN Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi serentak telah menjadi kenyataan. Pada 4hb. November 2010, pengundi di kedua-dua kawasan berkenaan akan menentukan wakil rakrat mereka yang baru. 

Di  DUN N45 Galas, pertandingan satu lawan satu antara calon BN (UMNO) dan PR (PAS).  BN mengemukakan Abdul Aziz Yusof, Setiausaha UMNO Gua Musang dan PR pula menamakan Dr. Zulkifli Mohamad, Pemangku Yang Dipertua PA Gua Musang.  Kerusi ini kosong ekoran kematian Che Hashim Sulaima (PAS).

Sebelum Che Hashim Sulaima (PAS) menawaskan Mohamad Saupi Deraman, calon BN pada pilihanraya umum 2008 dengan kelebihan 646 undi. Sebelum itu, kerusi ini adalah milik BN dan tidak pernah jatuh ketangan pembangkang, melainkan dalam pilihanraya umum tahun 1990 dan 1995 sahaja kepada calon parti Melayu Semangat 46 yang di pimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Malah faktor  pengaruh Ku Li turut diakui oleh PAS yang telah ber”kubu” di sini sejak lebih 3 dekad lalu.  Sekiranya Ku Li bertanding dalam pilihanraya kecil ini, PAS sanggup untuk tidak bertanding.

Kehebatan Ku Li yang sentiasa dijaja media adalah berjaya merampas Kelantan dari tangan PAS pada tahun 1978 melalui kerjasama UMNO-Berjasa dan kemudian sekali lagi berjaya merampas Kelantan pada tahun 1990 melalui kerjasama PAS-Semangat 46-Berjasa-Hamim.

Tetapi setelah membubarkan Parti Melayu Semangat 46 pada bulai Oktober 1996 dan menyertai UMNO semula pengaruh Ku Li semakin merosot. Dalam pilihanraya umum 2008, Ku Li gagal mengatasi undi yang diperolehi Dr Zulkifli Mohamad, calon PAS  di DUN Galas bagi pengundian parlimen Gua Musang.

Kekalahan BN di DUN galas dalam pilihanraya umum lalu bukanlah kerana kekuatan PAS di sini, tetapi lebih kepada faktor masalah dalaman UMNO yang wujud ekoran penyertaan semula Ku Li dan pengikutnya ke dalam UMNO Gua Musang.

Mengikut maklumat yang sampai kepada saya daripada beberapa pihak, peluang PAS dan UMNO dalam pilihanraya kecil ini adalah “50-50” tetapi kelebihan ada pada UMNO kerana kerusi ini merupakan kubu meraka sejak awal lagi.

Sungguhpun begitu peluang Dr Zulkifli memang kerusi ini tetap ada jika beliau berjaya menyakin orang asal dengan perjuangannya untuk membentuk Jawatankuasa Khas Orang Asal dan Urusetia Orang Asal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang asal di Galas ini.           

3 Penjuru di Batu Sapi

Manakala di Palimen Batu Sapi pula berlaku pertandingan 3 penjuru dalam pilihanraya kecil kali ini  diantara BN (PBS), PR (PKR) dan bekas komponen BN, SAPP. BN meletakkan balu mendiang Edmund Chong, Linda Tsen Thau Lin (PBS) yang akan bersaing dengan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee (SAPP) dan peguam, Ansari Abdullah (PKR). Kesemua calon ini adalah dari luar Batu Sapi.

Dalam pilihanraya umum 2004, Ir Edmund Chong Ket Wah (PBS) menang tidak bertanding dan dalam tahun 2008, beliau menewaskan calon bebas, Dr Chung Kwong Wing dengan majority 3,708 undi.    

Rekod PKR di kerusi ini tidak baik apabila gagal menghantarkan calon mereka dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008 yang lepas. Peluang Ansari Abdullah bergantung penerimaan lebih 15,000 pengundi muslim di sini yang menjadi pengundi majoriti kerana pengundi Cina dijangka akan lari kepada Yong Teck Lee, Presiden SAPP.

Malah mengikut maklumat yang disampaikan kepada saya, pengundi-pengundi yang menolak calon BN di sini bersedia memberikan peluang kepada bekas Ketua Menteri Sabah itu mewakili mereka dalam pilihanraya kecil kali ini.

Berdasarkan pemerhatian saya, setelah 11 PRK diadakan selepas PRU ke-12 pada 2008 lalu, Sembilan daripadanya diadakan dalam era pemerintahan Najib Tun Razak. Semuanya kekal kepada status quo, melainkan Kuala Terengganu jatuh kepada PR (PAS), Hulu Selangor kembali kepada BN (MIC) dan Sibu jatuh kepada PR (DAP).

Jika kekalahan BN di Batu Sapi benar-benar terjadi, satu lagi musibah yang akan dihadapi BN Sabah selepas ini setelah BN Sarawak juga sudah tidak semantap dulu lagi bila BN (SUPP) gagal mempertahankan kerusi parlimen Sibu pada Mei lepas kepada DAP.

Adalah lebih baik BN melipatgandakan usaha mempertahankan Batu Sapi dari menumpukan sepenuh perhatian dan usaha mereka merampas Galas. Pilihanraya kecil serentak pada April, 2009 sebelum ini pun menyaksikan BN mengekalkan kerusi DUN Batang Ai, Sarawak, PKR mengekalkan kerusi DUN Bukit Selambau dan PAS mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Apa pun, kita tunggu dan lihat keputusan kebijaksanaan pengundi-pengundi DUN Galas dan parlimen Batu Sapi pada 4hb. November, 2010 ini. Apakah kenaikan harga minyak RON97 sebanyak 5 sen mulai 2hb. November semalam memberikan kesan kepada rakyat untuk tidak lagi yakin kepada BN menjaga kebajikan rakyat?

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

Calon PAS syor tubuh Urusetia Orang Asal

Oleh : Mohd Nor Yahya   

GUA MUSANG, 27 Okt: Keprihatinan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad terhadap nasib masyarakat Orang Asal jelas terbukti apabila beliau berhasrat untuk mencadangkan penubuhan sebuah urusetia yang khusus bagi menjaga kebajikan masyarakat berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Markas Besar PAS di Bandar Lama Gua Musang, pagi ini.
Pada masa ini, kerajaan negeri telahpun mempunyai tiga urusetia iaitu Urusetia Penerangan Negeri, Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO serta Urusetia Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Keluarga.

Tambahnya, tujuan utama penubuhan urusetia tersebut adalah untuk memastikan pelbagai hal ehwal yang berkaitan dengan masyarakat Orang Asal akan diuruskan secara cepat dan cekap.

“Dengan adanya urusetia seperti ini, ia boleh membantu secara langsung kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli milik Persekutuan dalam meneruskan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli ini,” ujar beliau.

Filed under: News, , , , , ,

Galas : Proses pencalonan ditutup, PAS vs BN

GUA MUSANG 26 Okt. – Tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang di sini ditutup pada pukul 10 pagi ini.

Hanya dua calon mengemukakan borang pencalonan mereka kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wan Mustapha Wan Abdul Hamid dalam tempoh sejam proses itu berlangsung sejak pukul 9 pagi ini.

Mereka ialah calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusof, 49, dan Dr. Zulkefli Mohamad, 44, daripada Pas.

Sebaik tempoh pencalonan ditutup, Wan Mustapha mempamerkan borang-borang pencalonan di papan kenyataan berhadapan pusat penamaan itu untuk semakan umum.

Tempoh bantahan dibuka selama sejam dan tamat pada pukul 11 pagi. – Bernama

Filed under: News, , , , , , , , ,

Galas: Dr Zulkefli tetap calon PAS

Oleh : Salhan K Ahmad
 
PAS akan tetap meletakkan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Galas, kata menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau turut menyatakan kehairanannya apabila ditanya sama ada PAS akan menukar calonnya itu.

“Tukar buat apa kita dah isytihar dah calon kita.

“Tak ada sebab orang tak undi PAS,” katanya kepada media selepas melancarkan Karnival Pertanian Kelantan di Gua Musang hari ini.

Kata-kata mursyidul am PAS itu sekali gus memadamkan khabar angin yang timbul hari ini bahawa parti itu akan meletakkan calon lain bagi menggantikan Dr Zulkefli.

Difahamkan, cakap-cakap itu timbul berikutan serangan yang dilancarkan Umno sejak Jumaat lalu, selepas PAS mengumumkan calon mereka bagi pilihan raya itu.

Sementara itu, ketua penerangan PAS Idris Ahmad juga berkata ura-ura itu tidak wujud.

“Tak adalah cerita macam itu,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Jumaat lalu, selepas diumumkan sebagai calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno – Umno Online – yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

“Fitnah semata-mata, – boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , ,

Galas : Tuduhan khalwat tu fitnah UMNO

Oleh Abdul Rahim Sabri
 
Tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno – Umno Online – yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

“Fitnah semata-mata, – boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia,” katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, Umno Online juga memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olan beliau adalah perokok.

“Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah,” kata Dr Zulkefli.

 Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Beliau adalah lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992.

Dr Zulkefli mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, turut hadir di majlis pengumuman calon tersebut ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang atau 16.35 peratus.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Galas: Tahniah! Dr Zulkefli calon PAS

Oleh Mohd Nor Yahya    

GUA MUSANG, 21 Okt: Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, di sini sekitar jam 11.54 malam ini.

“Inilah pemimpin yang PAS pilih sebagai ‘Calon Kita’ bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dun Galas. Beliau adalah Dr Zulkefli Mohamad,” umumnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Biodata Zulkefli:

Beliau merupakan anak kepada seorang pemimpin PAS, Mohamad Awang yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penerangan PAS Kelantan tahun 1996.

Bapanya juga adalah bekas Adun Guchil, Kuala Krai tahun 1974-1978.

Ibunya pula, Ramelah Mat Jusoh seorang yang gigih mendidik 10 orang anak.

Hasilnya, calon PAS ini adalah anak yang ketujuh, seorang yang benar-benar mewarisi bakat perjuangan ayahnya.

Dr Zulkefli  dilahirkan pada tanggal 16 Januari 1966 bertempat di Guchil 3, Kuala Krai.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Kuala Krai. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra.

Kecemerlangannya dalam pelajaran terbukti apabila mendapat tawaran belajar di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan tahun 1992.

Pengalamannya sebagai seorang doktor kerajaan di Hospital Taiping, Perak (1992) kemudian berpindah ke Hospital Besar Kota Bharu (1993) dan Pusat Kesihatan Ciku 3 Gua Musang; telah mendidik beliau menyayangi masyarakat dan memahami kesusahan hidup rakyat.

Justeru itu, beliau mengambil keputusan membuka klinik sendiri di Ciku 3, Gua Musang sebagai meneruskan khidmat dan merapatkan lagi hubungannya dengan rakyat.

Dr Zulkefli mula aktif dalam PAS apabila terlibat dengan cawangan ketika berkhidmat di Ciku 3, sehinggalah beliau terpilih untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang.

Beliau juga pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

Meskipun begitu, beliau menyedari bertanding di kubu kuat Tengku Razaleigh bukanlah mudah untuk mencapai kemenangan, namun dengan kegigihan dan kesungguhan, beliau tetap menghadapinya dan sedia memikul tanggungjawab parti.

Justeru, masyarakat dan parti menilainya sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, taat dan rela berkorban demi perjuangan Islam

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories