Kalam Perantau

Icon

Keputusan pilihanraya kecil N45 Galas mengikut saluran

Rumusan

1. Kali ini, PAS hanya menang 8 daripada 26 saluran.  Selebihnya Umno-BN

2. Manakala undi orang asli kepada BN melebihi 1,000, satu angka yang agak besar menyebabkan BN menang dengan majoriti yang besar.

3. Jika dilihat pola undi cina, keputusan ini memberi isyarat bahawa undi cina bukan lagi “fixed deposit” kepada Pakatan Rakyat. Undi mereka mungkin beralih kepada BN semua sekiranya segala aspirasi mereka berjaya dipenuhi.

Result Galas 2010

Filed under: News, , , , , , ,

Umno-BN Eksploitasi Rakyat Miskin Sebagai Simpanan Tetap Untuk Menangi Pilihan Raya

Oleh Nazar Hashim    

MS1KULIM 8 Nov – Sejak lebih 50 tahun, Umno-Barisan Nasional telah mengeksploitasi rakyat miskin, peneroka Felda, Felcra serta undi pos melalui penipuan, ugutan, rasuah dan penyelewengan bagi mengekalkan tampuk kekuasaan

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Sabu berkata Umno-BN menganggao golongan rakyat miskin terutamamnya dikalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak sebagai simpanan deposit yang boleh diguna pakai apabila ingin memenangi pilihan raya.

Ini dapat di lihat ketika pilihan raya kecil di Galas di mana Umno-BN telah menggunakan pendekatan hiburan terlampau untu mendapat undi Orang Asal sehingga sanggup membekalkan minuman arak dan konsert di tengah-tengah hutan.

Begitu juga di Batu Sapi, Umno-BN trelah mengerahkan seluruh jentera dan agensi kerajaan untuk memenangi pilihan raya kecil itu dengan apa cara sekali pun.

Bagaimanapun Mohamed berkata BN sebenarnya sedar hakikat bahawa majoriti rakyat sudah pun menolak parti itu sejak PRU-12 lalu di mana Pakatan Rakyat memperolehi hampir 52 peratus undi popular di Semenanjung.

“Menyedari hakikat kurangnya sokongan yang BN terima, maka mereka pergunakan deposit tetap yang ada dengan memperalatkan undi pos serta masyarakat miskin sepertimana yang kita sedia maklum untuk mendapatkan sokongan.

“Begitu juga dengan apa yang berlaku di Sabah. Masyarakat Bumiputera Sabah yang miskin dan melarat menjadi taruhan mereka untuk digula-gulakan bagi meraih sokongan melalui pelbagai janji pilihan raya.

“Apakah pembelaan terhadap nasib masyarakat miskin hanya terbela apabila menjelangnya pilihan raya sahaja. Inilah yang menjadi amalan pimpinan BN selama mereka menerajui kepimpinan negara, ” kata Mohamed ketika berucap pada majlis jamuan makan malam anjuran PAS kawasan Kulim-Bandar Baharu di Dewan Putra semalam.

Ujar beliau lagi, dengan mengekalkan kemiskinan kepada sebahagian besar masyarakat di pedalaman seperti Sabah itu, maka sokongan bagi mendapat undi menjelang pilihan raya sudah sedia ada melalui janji-janji politik.

Namun begitu kekalahan yang diterima dalam PRK Galas dan Batu Sapi bukan penamat kepada kebangkitan Pakatan Rakyat untuk terus menumbangkan kerajaan Umno-BN yang sedia ada.

Tambahnya lagi, amalan demokrasi secara berat sebelah yang menjadi amalan pemerintahan Umno-BN dalam negara ini harus segera dikekang supaya rakyat tidak lagi terpedaya dengan sifat hipokrit dan penipuan licik BN bersama-sama agensi kerajaan yang mereka peralatkan.

“Oleh kerana itu untuk menewaskan BN bukanlah satu perkara mudah untuk meneruskan agenda Pakatan Rakyat menuju Putrajaya. Kesedaran kepada rakyat terutamanya di kawasan pedalaman dan golongan miskin harus dilipatgandakan supaya BN tidak terus memperkudakan
golongan ini bagi mengekalkan kuasa mereka, ” katanya lagi

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , , ,

Mengapa PAS kalah di Galas

Oleh : Wan Nik Wan Yussof    

Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS. Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Punca PAS kalah

Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.

Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus.  Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?

Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.

Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.

Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.

Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.

Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.

Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010).

Faktor agensi kerajaan pusat

Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat – Lembaga  Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).

Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.

Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.

Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas.

Prestasi 2010 dibanding 2008

Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 208 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada  BN.  Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.

 

Jadual 1: Keputusan bandingan pilihan raya

Pilihan raya PAS BN Beza %PAS
2008 4,399 3,753 646 53.96
2010 4,134 5,324 -1,190 43.71
Perubahan -265 1,571   -10.25

 

Apapun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.

Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008.

Jadual 2: Bandingan trend undi Orang Asli pilihan raya 2008-2010

Pilihan raya PAS BN Beza %PAS
2008 387 755 -368 33.89
2010 321 1,322 -1,001 19.54
Perubahan -66 567   -14.35

 

Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil.

Wan Nik Wan Yussof  ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Filed under: News, , , , , , , , , , , , , ,

PRK: BN mungkin rampas Galas, kecundang di Batu Sapi?

Oleh : Mohd Suhaimi Al-Maniri

Ramalan saya supaya pilihanraya kecil DUN Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi serentak telah menjadi kenyataan. Pada 4hb. November 2010, pengundi di kedua-dua kawasan berkenaan akan menentukan wakil rakrat mereka yang baru. 

Di  DUN N45 Galas, pertandingan satu lawan satu antara calon BN (UMNO) dan PR (PAS).  BN mengemukakan Abdul Aziz Yusof, Setiausaha UMNO Gua Musang dan PR pula menamakan Dr. Zulkifli Mohamad, Pemangku Yang Dipertua PA Gua Musang.  Kerusi ini kosong ekoran kematian Che Hashim Sulaima (PAS).

Sebelum Che Hashim Sulaima (PAS) menawaskan Mohamad Saupi Deraman, calon BN pada pilihanraya umum 2008 dengan kelebihan 646 undi. Sebelum itu, kerusi ini adalah milik BN dan tidak pernah jatuh ketangan pembangkang, melainkan dalam pilihanraya umum tahun 1990 dan 1995 sahaja kepada calon parti Melayu Semangat 46 yang di pimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Malah faktor  pengaruh Ku Li turut diakui oleh PAS yang telah ber”kubu” di sini sejak lebih 3 dekad lalu.  Sekiranya Ku Li bertanding dalam pilihanraya kecil ini, PAS sanggup untuk tidak bertanding.

Kehebatan Ku Li yang sentiasa dijaja media adalah berjaya merampas Kelantan dari tangan PAS pada tahun 1978 melalui kerjasama UMNO-Berjasa dan kemudian sekali lagi berjaya merampas Kelantan pada tahun 1990 melalui kerjasama PAS-Semangat 46-Berjasa-Hamim.

Tetapi setelah membubarkan Parti Melayu Semangat 46 pada bulai Oktober 1996 dan menyertai UMNO semula pengaruh Ku Li semakin merosot. Dalam pilihanraya umum 2008, Ku Li gagal mengatasi undi yang diperolehi Dr Zulkifli Mohamad, calon PAS  di DUN Galas bagi pengundian parlimen Gua Musang.

Kekalahan BN di DUN galas dalam pilihanraya umum lalu bukanlah kerana kekuatan PAS di sini, tetapi lebih kepada faktor masalah dalaman UMNO yang wujud ekoran penyertaan semula Ku Li dan pengikutnya ke dalam UMNO Gua Musang.

Mengikut maklumat yang sampai kepada saya daripada beberapa pihak, peluang PAS dan UMNO dalam pilihanraya kecil ini adalah “50-50” tetapi kelebihan ada pada UMNO kerana kerusi ini merupakan kubu meraka sejak awal lagi.

Sungguhpun begitu peluang Dr Zulkifli memang kerusi ini tetap ada jika beliau berjaya menyakin orang asal dengan perjuangannya untuk membentuk Jawatankuasa Khas Orang Asal dan Urusetia Orang Asal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang asal di Galas ini.           

3 Penjuru di Batu Sapi

Manakala di Palimen Batu Sapi pula berlaku pertandingan 3 penjuru dalam pilihanraya kecil kali ini  diantara BN (PBS), PR (PKR) dan bekas komponen BN, SAPP. BN meletakkan balu mendiang Edmund Chong, Linda Tsen Thau Lin (PBS) yang akan bersaing dengan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee (SAPP) dan peguam, Ansari Abdullah (PKR). Kesemua calon ini adalah dari luar Batu Sapi.

Dalam pilihanraya umum 2004, Ir Edmund Chong Ket Wah (PBS) menang tidak bertanding dan dalam tahun 2008, beliau menewaskan calon bebas, Dr Chung Kwong Wing dengan majority 3,708 undi.    

Rekod PKR di kerusi ini tidak baik apabila gagal menghantarkan calon mereka dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008 yang lepas. Peluang Ansari Abdullah bergantung penerimaan lebih 15,000 pengundi muslim di sini yang menjadi pengundi majoriti kerana pengundi Cina dijangka akan lari kepada Yong Teck Lee, Presiden SAPP.

Malah mengikut maklumat yang disampaikan kepada saya, pengundi-pengundi yang menolak calon BN di sini bersedia memberikan peluang kepada bekas Ketua Menteri Sabah itu mewakili mereka dalam pilihanraya kecil kali ini.

Berdasarkan pemerhatian saya, setelah 11 PRK diadakan selepas PRU ke-12 pada 2008 lalu, Sembilan daripadanya diadakan dalam era pemerintahan Najib Tun Razak. Semuanya kekal kepada status quo, melainkan Kuala Terengganu jatuh kepada PR (PAS), Hulu Selangor kembali kepada BN (MIC) dan Sibu jatuh kepada PR (DAP).

Jika kekalahan BN di Batu Sapi benar-benar terjadi, satu lagi musibah yang akan dihadapi BN Sabah selepas ini setelah BN Sarawak juga sudah tidak semantap dulu lagi bila BN (SUPP) gagal mempertahankan kerusi parlimen Sibu pada Mei lepas kepada DAP.

Adalah lebih baik BN melipatgandakan usaha mempertahankan Batu Sapi dari menumpukan sepenuh perhatian dan usaha mereka merampas Galas. Pilihanraya kecil serentak pada April, 2009 sebelum ini pun menyaksikan BN mengekalkan kerusi DUN Batang Ai, Sarawak, PKR mengekalkan kerusi DUN Bukit Selambau dan PAS mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Apa pun, kita tunggu dan lihat keputusan kebijaksanaan pengundi-pengundi DUN Galas dan parlimen Batu Sapi pada 4hb. November, 2010 ini. Apakah kenaikan harga minyak RON97 sebanyak 5 sen mulai 2hb. November semalam memberikan kesan kepada rakyat untuk tidak lagi yakin kepada BN menjaga kebajikan rakyat?

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , , , , , ,

Calon PAS syor tubuh Urusetia Orang Asal

Oleh : Mohd Nor Yahya   

GUA MUSANG, 27 Okt: Keprihatinan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad terhadap nasib masyarakat Orang Asal jelas terbukti apabila beliau berhasrat untuk mencadangkan penubuhan sebuah urusetia yang khusus bagi menjaga kebajikan masyarakat berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Markas Besar PAS di Bandar Lama Gua Musang, pagi ini.
Pada masa ini, kerajaan negeri telahpun mempunyai tiga urusetia iaitu Urusetia Penerangan Negeri, Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO serta Urusetia Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Keluarga.

Tambahnya, tujuan utama penubuhan urusetia tersebut adalah untuk memastikan pelbagai hal ehwal yang berkaitan dengan masyarakat Orang Asal akan diuruskan secara cepat dan cekap.

“Dengan adanya urusetia seperti ini, ia boleh membantu secara langsung kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli milik Persekutuan dalam meneruskan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli ini,” ujar beliau.

Filed under: News, , , , , ,

Galas : Proses pencalonan ditutup, PAS vs BN

GUA MUSANG 26 Okt. – Tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang di sini ditutup pada pukul 10 pagi ini.

Hanya dua calon mengemukakan borang pencalonan mereka kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wan Mustapha Wan Abdul Hamid dalam tempoh sejam proses itu berlangsung sejak pukul 9 pagi ini.

Mereka ialah calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusof, 49, dan Dr. Zulkefli Mohamad, 44, daripada Pas.

Sebaik tempoh pencalonan ditutup, Wan Mustapha mempamerkan borang-borang pencalonan di papan kenyataan berhadapan pusat penamaan itu untuk semakan umum.

Tempoh bantahan dibuka selama sejam dan tamat pada pukul 11 pagi. – Bernama

Filed under: News, , , , , , , , ,

Galas: Dr Zulkefli tetap calon PAS

Oleh : Salhan K Ahmad
 
PAS akan tetap meletakkan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Galas, kata menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau turut menyatakan kehairanannya apabila ditanya sama ada PAS akan menukar calonnya itu.

“Tukar buat apa kita dah isytihar dah calon kita.

“Tak ada sebab orang tak undi PAS,” katanya kepada media selepas melancarkan Karnival Pertanian Kelantan di Gua Musang hari ini.

Kata-kata mursyidul am PAS itu sekali gus memadamkan khabar angin yang timbul hari ini bahawa parti itu akan meletakkan calon lain bagi menggantikan Dr Zulkefli.

Difahamkan, cakap-cakap itu timbul berikutan serangan yang dilancarkan Umno sejak Jumaat lalu, selepas PAS mengumumkan calon mereka bagi pilihan raya itu.

Sementara itu, ketua penerangan PAS Idris Ahmad juga berkata ura-ura itu tidak wujud.

“Tak adalah cerita macam itu,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Jumaat lalu, selepas diumumkan sebagai calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno – Umno Online – yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

“Fitnah semata-mata, – boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia,” katanya.

Filed under: News, , , , , , , ,

Galas : Tuduhan khalwat tu fitnah UMNO

Oleh Abdul Rahim Sabri
 
Tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menjadi sasaran media rasmi Umno – Umno Online – yang melaporkan bahawa beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, sebaliknya menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

“Fitnah semata-mata, – boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia,” katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, Umno Online juga memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olan beliau adalah perokok.

“Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah,” kata Dr Zulkefli.

 Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Beliau adalah lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992.

Dr Zulkefli mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, turut hadir di majlis pengumuman calon tersebut ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang atau 16.35 peratus.

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Galas: Tahniah! Dr Zulkefli calon PAS

Oleh Mohd Nor Yahya    

GUA MUSANG, 21 Okt: Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, di sini sekitar jam 11.54 malam ini.

“Inilah pemimpin yang PAS pilih sebagai ‘Calon Kita’ bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dun Galas. Beliau adalah Dr Zulkefli Mohamad,” umumnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Biodata Zulkefli:

Beliau merupakan anak kepada seorang pemimpin PAS, Mohamad Awang yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penerangan PAS Kelantan tahun 1996.

Bapanya juga adalah bekas Adun Guchil, Kuala Krai tahun 1974-1978.

Ibunya pula, Ramelah Mat Jusoh seorang yang gigih mendidik 10 orang anak.

Hasilnya, calon PAS ini adalah anak yang ketujuh, seorang yang benar-benar mewarisi bakat perjuangan ayahnya.

Dr Zulkefli  dilahirkan pada tanggal 16 Januari 1966 bertempat di Guchil 3, Kuala Krai.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Kuala Krai. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra.

Kecemerlangannya dalam pelajaran terbukti apabila mendapat tawaran belajar di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan tahun 1992.

Pengalamannya sebagai seorang doktor kerajaan di Hospital Taiping, Perak (1992) kemudian berpindah ke Hospital Besar Kota Bharu (1993) dan Pusat Kesihatan Ciku 3 Gua Musang; telah mendidik beliau menyayangi masyarakat dan memahami kesusahan hidup rakyat.

Justeru itu, beliau mengambil keputusan membuka klinik sendiri di Ciku 3, Gua Musang sebagai meneruskan khidmat dan merapatkan lagi hubungannya dengan rakyat.

Dr Zulkefli mula aktif dalam PAS apabila terlibat dengan cawangan ketika berkhidmat di Ciku 3, sehinggalah beliau terpilih untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang.

Beliau juga pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

Meskipun begitu, beliau menyedari bertanding di kubu kuat Tengku Razaleigh bukanlah mudah untuk mencapai kemenangan, namun dengan kegigihan dan kesungguhan, beliau tetap menghadapinya dan sedia memikul tanggungjawab parti.

Justeru, masyarakat dan parti menilainya sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, taat dan rela berkorban demi perjuangan Islam

Filed under: News, , , , , , , , , , ,

Galas, Batu Sapi pengukur sokongan

Pilihan raya kecil (PRK) DUN Galas di Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah bulan depan sekali lagi menjadi petunjuk aliran sokongan kepada parti politik

Sejak sokongan pengundi kaum Cina terhadap BN dilihat semakin merosot, maka dua pilihan raya kecil yang tidak diduga itu sekali lagi menjadi kayu pengukur yang penting.

Walaupun majoriti pengundi di kedua-dua kawasan itu terdiri daripada kaum Bumiputera namun 20 peratus pengundi di Galas dan 30 peratus di Batu Sapi adalah dari kaum Cina.

Orang dalaman parti menyifatkan kemerosotan sokongan kaum Cina telah menyebabkan kerusi DUN Galas, sebelum ini menjadi kubu kuat BN, jatuh ke tangan parti PAS.

Sehingga 70 peratus daripada 2,500 pengundi Cina di kawasan itu telah meimlih parti pembangkang itu pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, senario di kawasan Parlimen Batu Sapi adalah berbeza iaitu BN memperoleh 70 peratus undi kaum Bumiputera dan lebih 50 peratus undi dari masyarakat Cina pada 2008.

Dianggap sebagai kubu kuat BN, kawasan Batu Sapi mempunyai 60 peratus pengundi Bumiputera dan 38 peratus pengundi Cina.

Nampaknya BN akan mencapai kejayaan dengan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi, menurut seorang dalaman BN.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas manakala wakil DUN Galas Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS, meninggal dunia akibat barah pada 27 Sept lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Edmund menang kerusi Parlimen Batu Sapi dengan menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi.

“Sabah adalah menarik bagi BN dan pembangkang kerana belum ada pilihan raya kecil diadakan di negeri itu sejak pilihan raya umum lalu,” kata penganalisis politik Khaw Veon Szu.

“Bagaimanapun, pilihan raya kali ini adalah peluang terbaik bukan sahaja untuk menilai sokongan pengundi Cina tetapi juga kaum Bumiputera.

Pengundi Cina di Kelantan dan Terengganu adalah berbeza berbanding di Sabah atau Sarawak,” kata Khaw, Pengarah Institut Pembangunan Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR) iaitu kumpulan pemikir Parti Gerakan.

Aliran pengundian dari kaum Cina lebih berpihak kepada pembangkang dalam kebanyakan PRK sebelum ini kecuali pada PRK Kuala Terengganu dan Bagan Pinang pada 2009.

“Adalah menarik untuk melihat sama ada keputusan keluar parti oleh beberapa pemimpin BN di Sandakan untuk menyertai parti komponen BN lain di negeri itu akan membawa sebarang kesan terhadap pengundi di Batu Sapi,” kata Khaw.

Sejak dua tahun lepas, beberapa pemimpin BN seperti Datuk Peter Pang En Yin telah keluar dari Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk menjadi wakil rakyat Bebas menyokong BN manakala Datuk Raymond Tan Shu Kiah keluar dari Parti Maju Sabah (SAPP) untuk menyertai Gerakan selepas SAPP tarik diri dari BN pada akhir 2008.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Pang, yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi diadakan serentak iaitu 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan 4 Nov ini sebagai hari mengundi.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash, berkata Batu Sapi dan Galas bukan merupakan platform baik untuk mengukur tahap sokongan secara keseluruhan kerana Galas merupakan kerusi penduduk Melayu di kawasan luar bandar manakala Batu Sapi mempunyai isu-isu tempatan tersendiri.

Bagaimanapun, pengarah strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, berkata keputusan kedua-dua PRK itu masih menjadi petunjuk baik sentimen pengundi berikutan kedua-dua tempat itu merupakan kubu kuat BN.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian, dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata masalah utama di kedua-dua kawasan PRK itu bukan mengenai peluang BN tetapi bagaimana BN menangani punca sebenar kemerosotan sokongan kaum Cina.

“Mendapat kepercayaan pengundi di dua kerusi tersebut bukan merupakan masalah kepada BN jika mereka memilih calon yang sesuai dan popular tetapi isu sama ada strategi BN dapat menangani masalah itu,” katanya.

Menurutnya aliran sokongan pada 14 PRK sebelum ini jelas menunjukkan pengundi Cina bergerak ke arah pembangkang walaupun mereka mempunyai wakil dalam kerajaan pusat tetapi masih mengundi pihak pembangkang.

Katanya perancang strategi BN perlu melihat lebih daripada pilihan raya kecil dan menumpukan kepada soal menyelesaikan masalah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau pula berkata BN tidak mempunyai pilihan kecuali mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi bagi mengelak terhakisnya tanggapan bahawa Sabah dan Sarawak adalah ‘simpanan tetap’ BN.

–Bernama

Filed under: News, , , , , , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,098 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories