Kalam Perantau

Icon

PRK Batu dan Siputeh: Polemik yang disengajakan?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Tindakan Hakim Mahkamah Tinggi pada 17hb Jun lalu menurunkan denda 6 bulan penjara dan denda RM 3,000 yang dibuat oleh Mahkamah Majistret pada Oktober tahun lepas kepada denda RM 2,000 atau 2 bulan penjara telah menjadi polemik baru sama ada kerusi Batu kosong atau pun tidak?

Pertikaian pada masa ini adalah tertumpu pada kesan denda tersebut ke atas kerusi Tian Chua memandangkan Perkara 48 perlembagaan persekutuan menetapkan bahawa kerusi seseorang wakil rakyat boleh dibatalkan oleh mana-mana mahkamah sekiranya didenda “tidak kurang daripada RM 2,000”. 

Cadangan mudah Timbalan Speaker Parlimen, jika Tian Chua masuk penjara selama dua bulan sudah tentu kerusinya selamat sebab hukuman itu adalah denda RM 2,000 atau penjara dua bulan.

Karpal Singh dilaporkan memberitahu media di mahkamah Jalan Duta, pada tahun 1975, Ahli parlimen DAP terpaksa mengosongkan kerusi Menglembu selepas dipenjarakan 6 bulan dan didenda RM 2,000.  Dalam kes Tian Chua, Hakim Mahkamah Tingi, Dato’ Ghazali Cha menyebut Tian Chua didenda RM 2,000 atau 2 bulan penjara untuk mengelakkan diadakan pilihanraya kecil parlimen Batu.

Sementara itu beberapa pakar perlembagaan seperti Professor Undang-undang Dr Aziz Bari, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ NH Chan dan peguambela Karpal Singh tetap mengatakan kerusi Parlimen Batu itu mesti dikosongkan jika denda yang dikenakan itu RM 2,000.

Ini jelas dalam Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut seseorang ahli parlimen gugur jika beliau dihukum penjara tidak kurang dari setahun atau denda tidak kurang RM 2,000.  Apa yang hendak dibelit lagi?

Dr Aziz Bari menyebut “dalam kes Tian Chua, dia didenda RM 2,000. Orang biasa yang tidak belajar undang-undang pun tahu maksud ‘tidak kurang daripada dua ribu’.. Dan saya pun pelik kenapa soal mengelakkan pilihanraya kecil disebut oleh hakim Dato’ Ghazali Cha” 

Bagi Professor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, hakim patut mengelakkan meletakkan mahkamah dalam kontroversi. Bukan kerja hakim untuk mengatakan bahawa pilihanraya kecil patut diadakan ataupun tidak. Kerana kesilapan hakim berkenaan seluruh Negara menjadi kelam kabut.  

Pada saya, sepatutnya dalam kes Tian Chua ini, hakim berkenaan tidak perlu menyebut untuk mengelakka mengadakan pilihanraya kecil atau tidak. Jika beliau tidak mahu pilihanraya kecil diadakan, denda sahaja RM 1,999. Tidak jadi polemik yang berpanjangan.

Tindakan beliau menetapkan RM 2,000 itu lah menyebabkan berlakunya polemik, melainkan beliau hendak perkara ini dipolemikkan walaupun Tian Chua diberikan tempoh selama 14 hari untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggin itu yang menetapkan denda sebanyak RM 2,000 atau 2 bulan penjara atas kesalahan menggigit polis.

Begitu juga dengan satu lagi keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengistiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan membuka laluan kepada pilihanraya kecil jika penyandangnya, Datuk Abu Hasan Sarif dari UMNO/BN gagal dalam rayuannya.   

Kedua-dua kerusi ini menjadi polemik, sama ada diadakan pilihnaraya kecil atau tidak di kedua-dua kerusi berkenaan  kerana kedua-dua penyandangnya membuat rayuan dan mahkamah pula mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan.

Jika keputusan dibuat selepas bulan April tahun depan, bermakna jika kerusi tersebut kosong, pilihanraya tidak perlu diadakan. Ini adalah pilihan yang mungkin ditunggu-tunggu setelah 10 pilihanraya kecil diadakan selepas PRU ke-13 tidak memihak kepada an BN kecuali Batang Ai (Sarawak), Bagan Pinang (Negeri Sembilan) dan Hulu Selangor (Selangor) sahaja.

Sebaliknya BN kecundang di Permatang Pauh (Penang), Penanti (Penang), Permatang Pasir (penang), Kuala Terengganu (Terengganu), Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Sibu (Sarawak).

Sebab itu SPR tidak bersedia mengadakan pilihanraya kecil walaupun  beberapa kerusi telah diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN seperti Behrang dan Changkat Jering serta Jelapang oleh Speaker DUN Perak sebelum ini. 

Disebalik Rombakan Kepimpinan PKR Selangor

Rombakan kepimpinan PKR Selangor pada hujung minggu lepas sekali lagi mencetus polemik bila Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor mengosongkan kerusi Pengerusi, Majlis Kepimpinan PKR Negeri Selangor dan diambil aliih oleh Azmin Ali, Naib Presiden PKR.

Menjelang beberapa bulan lagi pemilihan kepimpinan PKR, kita tidak pasti apa percaturan politik PKR dan Anwar Ibrahim sendiri dalam hal ini. Media perdana pro BN membuat serangan psikologi kepada rakyat bahawa PR khususnya PKR sedang bergolak dan tidak boleh diberikan pengharapan untuk memerintah.

Apa yang dilakukan oleh PKR ini bukanlah sesuatu yang ganjil dalam percaturan politik. Cuba lihat kepada UMNO yang menjadi tunjang BN. Kepimpinan mereka juga caca-merba. Kenapa tidak lantik Datuk Ahmad Said yang menjadi Menteri Besar Terengganu sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tetapi melantik Datuk Hishamuddin Tun Husein, Naib Presiden UMNO dari Johor sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.     

Sepatutnya bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Khir Toyo yang tidak dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor melihat dahulu kepada kepimpinan UMNO yang caca merba, bukan sahaja di Terengganu yang diperintah oleh UMNO/BN, malah kecelaruan ini merebak kepada negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakartan Rakyat termasuk di Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah dan Pulau Pinang sebelum membuat komen terhadap rombakan kepimpinan PKR Selangor.

Bagi negeri yang dikuasaia Pakatan Rakyat, hanya di Kelantan sahaja UMNO mempunyai pemimpin mereka sendiri untuk menerajui Perhubungan Negeri tersebut. Di Selangor, UMNO terpaksa mendapatkan khidmat Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO disebabkan UMNO Selangor telah ketandusan pemimpin yang berwibawa. Begitu juga UMNO Wilayah Persekutuan terpaksa diserahkan kepada Tan Sri Muhyidin Yassin, Timbalan Pressiden UMNO.   

Manakala Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presden UMNO dihantar menerajui Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Datuk Shafie Apdal pula menerajui Perhubungan UMNO Kedah.  

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , ,

MB kecewa bumbung stadium runtuh belum dibersih

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said sekali lagi melahirkan rasa kecewa kerana kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, masih belum dijalankan.

Sehingga ini, beliau berkata masih belum ada sebarang maklumat berhubung kerja-kerja pembersihan runtuhan itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya tak tahulah, JKR yang buat penilaian dan mengeluarkan tender. Saya difahamkan ramai sangat yang masuk untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan itu sehingga 40 kontraktor.

“JKR ada penilaiannya sendiri melalui lembaga tendernya. Kalau saya, senang saja pilih yang murah untuk jimat kos. Nak nilai apa yang lama sangat sehingga lima dan enam bulan belum selesai lagi. Sayapun rasa malu juga,” katanya selepas majlis penyerahan E-Book kepada pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Kuala Terengganu.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai kerja-kerja pembersihan bumbung stadium yang runtuh pada 2 Jun tahun lalu masih terbengkalai sehingga kini walaupun laporan kertas siasatan tentang punca kejadian itu diumumkan oleh kerajan negeri April lepas.

Stadium berharga kira-kira RM292 juta itu runtuh setahun selepas ia siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 pada 2008.

Ahmad berkata pada September ini, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan program perhimpunan 40,000 remaja seluruh Terengganu di stadium itu dan sehubungan itu, MB kecewa bumbung stadium runtuh belum dibersih

Beliau berharap kerja-kerja pembersihan dilakukan secepat mungkin.

“Saya dah beritahu supaya buat cepat. Kalau mereka buat kerja betul-betul dalam tempoh sebulan boleh siap dan boleh digunakan untuk perhimpunan remaja berkenaan,” katanya.

Jika kerja-kerja pembersihan runtuhan itu belum juga dilakukan, Ahmad berkata program perhimpunan remaja “terpaksa diadakan di luar stadium itu”.

– Bernama

Filed under: News, , , ,

PRU ke-13 : Hujung Tahun 2010 atau April, 2011?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Sebagaimana dilaporkan media massa, seorang pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, pilihanraya umum ke-13 dijangka akan diadakan hujung tahun ini kerana Perdana Menteri memerlukan mandat baru daripada rakyat memandangkan mandat sekarang adalah daripada kepimpinan terdahulu, Tun Abdullah Ahamad Badawi.

Katanya, beliau bersependapat dengan Tun Dr. Mahathir bahawa pilihanraya umum wajar dipercepatkan dan menjangkakan seawal hujung tahun ini ataupun awal tahun depan. Jika pilihanraya umum diadakan pada hujung tahun depan, ianya sudah menjadi pilihanraya umum biasa dan bukan lagi dipercepatkan.

Pada Rabu, 18hb. Jun, Perdana Menteri berkata tarikh pilihanraya umum akan mengejutkan semua pihak. Dengan keyakinan popularitinya semakin meningkat sebagaimana kajian Merdeka Center for Opinion yang menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuashati dengan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.

Sukar untuk dipastikan, sejauh mana Najib bersedia melakukan pilihanraya umum lebih awal sebelum cukup tempoh tiga tahun yang menjadi amalan-alalan Perdana Menteri sebelum ini. Jika Najib memilih untuk membubarkan parlimen lebih awal dari tempoh 3 tahun, adakah semua Menteri Besar terutama yang bukan dari kalangan Barisan Nasional akan turut membubarkan DUN di negeri masing-masing bagi membolehkan pilihanraya serentak diadakan.

Pilihan yang ada pada Najib sekarang ini, adalah untuk membenarkan pilihanraya negeri Sarawak diadakan secara berasingan seperti sebelum ini, atau diadakan serentak dengan pilihanraya persekutuan. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkeyakinan pilihanraya umum kali ini diadakan pada bulan April, 2011 serentak dengan pilihanraya Sarawak.

Jika diadakan pilihanraya negeri Sarawak lebih awal sebelum pilihanraya umum persekutuan tetapi keputusan tidak memihak kepada BN seperti pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini, ini akan memudahkan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Percaturan BN kali ini agak kritikal. Jika pilihanraya persekutuan  hendak diadakan serentak dengan pilihanraya sayawak bagi menjimatkan kewangan negara, tempoh yang terbaik adalah selepas bulan Mac, 2011 hingga hujung tahun tersebut.

Talian hayat BN sekarang ini adalah bergantung kepada persempadanan semula kerusi pilihanraya parlimen dan DUN yang memihak kepada mereka. Dalam Muktamar PAS ke-56 baru-barun ini, Datuk Abdul Halim Abd. Rahman, Pengarah Pilihanraya PAS mengingatkan Pakatan Rakyat boleh terlepas Selangor dan Kedah dalam pilihanraya akan datang.

Manakala Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri kanan pula meramalkan hanya kerajaan Kelantan dan Pulau Pinang sahaja mampu dipertahankan oleh pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Kalau diimbas semula, kemenangan besar BN dalam pilihanraya umum ke-11 pada tahun 2004 lepas adalah selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2003. Pada saya tidak mustahil perkara yang sama akan berulang dalam pilihanraya akan datang kerana BN akan melakukan apa sahaja untuk terus memerintah.

Disebalik Rombakan Kabinet

Rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri ,Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 1hb. Jun lalu yang memberi  petanda bahawa kabinet kali ini adalah kabinet yang dibarisi senator untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 selain menyelesaikan krisis kepimpinan dalam parti-parti komponen BN terutama MCA, MIC dan PPP.

Empat orang senator baru lantik sebagai Timbalan Menteri berikutan rombakan kabinet pada 1hb. Jun, 2010 adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Preladangan dan Komoditi, Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Denis D’Cruz sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, serta dua orang Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Gan Ping Shou sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Sebelum itu dalam kabinet yang dibuatnya selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Pak Lah pada Mac, 2009 beberapa orang telah dilantik senator untuk dijadikan Menteri dan Timbalan Menteri. Diantaranya, dua orang pemimpin parti yang dijadikan Senator untuk dilantik sebagai Menterui adalah Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  dan Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon dijadikan Senator untuk dilantik sebagai Menteri diJabatan Perdana Menteri.

Selain dua pemimpin utama tersebut, Najib melantik 3 orang lagi sebagai Senator untuk dilantik sebagai Menteri, iaitu Mejar (B) Jamil Khir Baharom, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Idris Jala sebagai Menteri diJabatan Perdana Menteri dan Menteri wilayah Persekutuan.

Tidak cukup dengan ini, beberapa orang lagi pemimpin BN yang turut dilantik sebagai Senator untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri seperti T.Murugiah (PPP), Datuk Maznah Mazlan (UMNO), Datuk Awang Adek (UMNO), Dr. Mashitah Ibrahim (UMNO), A Kohilan Pillay (Gerakan), Chiew Mei Fun (MCA).

Najib memilih mengekalkan T. Murugiah yang berseteru dengan Presiden PPP. M Kayveas sebagai Timbalan Menteri dalam rombakan kabinet baru-baru walaupun didesak oleh PPP. Bagi meredakan kemarahan Kayveas, beliau melantik seorang lagi pemipin PPP sebagai Timbalan Menteri.

Kabinet Najib kali  ini juga janggal kerana Datuk G. Palanivel hanya dilantik sebagai Timbalan Mentei sahaja sedangkan beliau adalah  Timbalan Presiden MIC berbanding dengan Datuk Dr. S Subramaniam yang dilantik sebagai Menteri walaupun hanya menjadi naib Presiden MIC, satu tahap dibawah Timbalan Presiden.

Sama ada perkara ini terlepas pandang atau perkara ini disengajakan  oleh  Perdana Menteri keatas pemimpin MIC memnyebabkan berlaku sedikit keganjilan.  Untuk mengelak dari menggugurkan mana-mana menteri dalam rombakan kabinet baru-baru ini, Najib sepatutnya boleh melantik dua Menteri dikalangan MIC.

Kenapa Najib hendak menafikan hak kaum India diwakili sewajarnya dalam kabinet?  Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum dari ini pun pernah ada dua pemimpin MIC menjadi  Menteri kabinet serentak. Apakah Najib akan membuat perubahan kepada kedudukan perwakilan MIC dalam kabinet setelah G. Palanivel dilantik sebagai pemangku presiden? 

Sama-sama kita tunggu.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , ,

‘Berkempen’: Keahlian kelab pelajar UKM digantung

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu dan menghadapi prosiding tatatertib digantung tugas dan jawatan mereka dalam Kelab Sains Politik, universiti itu.

Menurut timbalan presiden kelab itu, Mohd Rahimi Hassan, keempat-empat mereka menerima surat penggantungan pada surat yang bertarikh 14 Jun lalu dan ditandatangani oleh ketua Jabatan Perkhidmatan Pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman.

Mereka yang digantung tugas itu ialah Hilman Idham selaku presiden, Ismail Aminuddin – naib presiden, Azlin Shafina – setiausaha dan Woon King Chai selaku exco kelab berkenaan.

“Kandungan surat yang diterima menyatakan bahawa penggantungan tugas dan jawatan mereka adalah bermula daripada tarikh 2 Jun atas alasan bahawa prosiding ke atas keempat-empat mereka masih lagi belum selesai,” kata Mohd Rahimi dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, keempat-empat mahasiswa itu berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Mereka pada 1 Jun lalu memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Menurut Mohd Rahimi, sehubungan dengan penggantungan itu, kelab berkenaan mengambil keputusan mengadakan mesyuarat tergemparnya pada Selasa depan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bagi membincangkan tindakan susulan.

“Agenda mesyuarat antaranya ialah membincangkan pendirian persatuan berkenaan keputusan UKM untuk menggantung kedudukan keempat-empat ahli berkenaan,” katanya.

Filed under: News, , ,

PAS: P’raya umum dan S’wak mungkin serentak

Oleh Abdul Rahim Sabri

PAS Kedah tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Setiausahanya, Mohamad Yusof Husin berkata kemenangan Pakatan dalam pilihan raya kecil parlimen Sibu bulan lalu membimbangkan BN mengenai Sarawak jatuh ke tangan pembangkang jika diadakan pilihan raya berasingan.

“Sarawak, kalau jatuh ke tangan pembangkang (jika pilihan raya berasingan) akan memberi kesan yang besar di Semenanjung,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Sehubungan itu, beliau meramalkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada pertengahan Mac atau awal bulan April tahun depan.

Mohamad Yusof mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa kerajaan tidak akan membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokongnya dan tarikhnya bakal “mengejutkan semua pihak”.

Baru-baru ini kajian Merdeka Centre for Opinion Research mendapati 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi perdana menteri.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusof yang juga seorang senator, menganggap Malaysia “sebuah negara pelik” kerana tarikh pilihan raya menjadi “satu rahsia” yang hanya diketahui oleh perdana menteri.

“Apa salahnya (kalau Najib) umum sekarang (bila tarikhnya)… Kita sebagai parti politik, kita bersedia (menghadapi pilihan raya) pada bila-bila masa.

“Jentera kita sudah bersedia walaupun ia diumumkan secara mendadak selepas tiga tahun, dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini PAS Kedah yakin dapat mempertahankan kerajaan negeri tersebut jika pilihan raya umum diadakan tahun hadapan.

Katanya, ini kerana rakyat melihat sendiri kelicinan pentadbiran kerajaan negeri, termasuk menguar-uarkannya melalui ceramah penerangan dan melalui risalah ‘Warta Kedah”.

Sementara itu, PAS Perak pula tidak terkejut sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, setelah kajian mendapati rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Najib.

Setiausaha PAS Perak Misbahul Munir Masduki bersependapat bahawa Najib bakal mengumumkan serentak pilihan raya umum dan pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.

“Beliau bimbang (dengan kekalahan BN di Sibu). Persepsi rakyat akan berubah,” katanya sambil menambah bahawa PAS dan Pakatan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum tahun depan.

Tambahnya, PAS Perak juga mahu pilihan raya umum dipercepatkan bagi menyelesaikan masalah politik berlaku di negeri itu termasuk mengelak dari ADUN yang melompat.

Manakala ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, pilihan raya umum mungkin tidak diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

“Kalau di peringkat persekutuan, saya tidak menjangka (pilihan raya umum diadakan) begitu awal sehingga masalah dalam parti komponen BN, ternasuk MCA dan MIC diselesaikan. Bagaimanapun PAS Selangor bersedia,” katanya.

Filed under: News, , , , ,

PAS yakin PRU 13 selepas Mac 2011

Oleh Nazri Abdullah   

KUALA LUMPUR, 17 Jun: PAS percaya tarikh paling awal Datuk Seri Najib Razak akan mempertimbangkan bagi diadakan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) adalah pada April tahun hadapan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata perdana menteri itu tidak mungkin mengadakan PRU lebih awal dari itu biarpun ada kajian mendakwa sokongan rakyat kepada pentadbiran Najib pada waktu ini sangat baik.

“Tidak mungkin dalam masa terdekat, paling awal pun April 2011 bersekali dengan pilihan raya Sarawak,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam yang mendakwa tarikh PRU 13 yang bakal diumum akan mengejutkan semua pihak.

Mengulas lanjut Mustafa berkata, mengikut pengamalan para perdana menteri terdahulu, pilihan raya umum biasanya akan diadakan selepas tempoh tiga tahun dari pilihan raya umum sebelumnya.

Jika keadaan itu diambil kira, tempoh tiga tahun untuk penggal ini, katanya akan tamat Mac tahun depan.

Sementara itu, faktor lain yang akan dipertimbang Najib katanya adalah pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Jun tahun hadapan.

Umno BN, katanya sangat takut jika Pakatan Rakyat dapat menguasai Sarawak yang kini menjadi negeri talian hayat mereka untuk terus kekal berkuasa.

Sehubungan itu katanya, Umno BN tidak akan membiarkan Sarawak jatuh begitu mudah kepada Pakatan Rakyat seperti angin perubahan yang melanda Sibu.

“Sarawak adalah faktor penting kepada Umno BN, mereka akan kurangkan tumpuan Pakatan Rakyat pada pilihan raya Sarawak dengan mengumumkan pilihan raya serentak,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, PAS bersedia bila-bila masa berdepan PRU 13 dengan segala persiapan sedang dan telahpun dibuat sejak selesai PRU 12 lagi.

Filed under: News, , , , , , , ,

Pelajar UKM dapat injuksi halang prosiding

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lepas berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh pelajar itu pada 1 Jun lepas, sehingga pelupusan saman pemula mereka.

Keempat-empat pelajar itu dari jurusan Sains Politik, pada 1 Jun lepas memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Pelajar itu tiga lelaki, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon King Chai, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan seorang pelajar perempuan, Azlin Shafina Mohamad Adza, 22, pada ketika kejadian berada di tahun kedua pengajian dan akan memulakan pengajian tahun ketiga mereka pada Julai ini.

AUKU bertentangan Perlembagaan

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Seksyen itu menyebut bahawa tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.

Mahkamah menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar saman pemula itu.

Dalam saman itu, mereka mendakwa universiti itu melalui satu surat bertarikh 13 Mei, telah meminta mereka hadir ke bilik mesyuarat universiti itu pada 2 Jun bagi menjawab dakwaan terhadap mereka, dan jika mereka tidak hadir atau tidak mengemukakan apa-apa representasi bertulis dalam tempoh 14 hari, mereka dengan serta-merta akan digantung daripada menjadi pelajar universiti itu.

Salah seorang pelajar itu, Muhammad Hilman, dalam afidavitnya bagi menyokong saman pemula itu mendakwa pada April lepas, mereka berada di Hulu Selangor antara lain untuk membuat pemerhatian secara langsung bagi membantu pemahaman mereka mengenai situasi sebenar semasa kempen sesebuah pilihan raya kecil.

“Kami juga berhasrat untuk memerhatikan cara bagaimana pihak-pihak politik dari kedua-dua parti utama yang bertanding menarik undi rakyat dalam keadaan politik negara kita yang dikatakan menuju ke arah politik baru,” katanya.

Bagaimanapun, mereka telah ditahan oleh polis serta pasukan pemantauan pilihan raya kementerian pengajian tinggi dan pegawai pemantau UKM dan diarahkan keluar dari kawasan itu.

Keempat-empat pelajar itu diwakili peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah, manakala peguam kanan persekutuan Aida Adha Abu Bakar mewakili kerajaan Malaysia serta Menteri Pengajian Tinggi dan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili UKM.

– Bernama

Filed under: News, , , , ,

Coretan Muktamar PAS ke 56: Islam Adil untuk Semua

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Muktamar PAS ke-56 berlangsung selama 3 hari dari 11 hingga 13hb. Jun, 2010 di Pusat Tarbiyah Islamiyyah Kelantan (Putik). Sebelum itu Muktamar Ulama, Pemuda dan Mustlimat diadakan pada 10hb. Jun, 2010 selepas perasmian dilakukan serentak pada 9hb. Jun, 2010 sebelah malam buat pertama kalinya oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tema ucapan Dasar Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada kali ini adalah Islam Adil Untuk Semua meliputi berbagai perkara dengan menekankan tanggungjawab Islam dalam masyarakat majmuk disamping memberikan lebih perhatian kepada memantapkan pengurusan dalaman parti terutama yang melibatkan pemerkasaan parti dan tarbiyah, peranan majlis syura dan pimpinan pusat, tanggungjawab dewan ulama, pemuda, muslimat dan himpunan penyokong pas.  

Beberapa perkara lain yang menjadi inti pati ucapan dasar Presiden PAS kali ini adalah kegagalan konsep federalism dan masa depan Negara ditangan UMNO/BN terutama berhubung dengan krisis nilai, sosial dan ekonomi disamping peranan PAS diperingkat Antarabangsa.

Beberapa perwakilan yang saya temui menyifatkan Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan Islam Memimpin Perubahan yang menekankan kepada isu-isu dalaman negara sebagai tonggakan ucapan beliau dalam muktamar ke55 yang diadakan di Shah Alam pada tahun lepas lebih segar dan menampakkan kewibawaan PAS untuk memimpin perubahan politik dalam negara bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13.

Keghairahan Muslimat, Peranan ILPAS dan IT 

Pada saya, muktamar PAS kali ini biasa sahaja dan tiada banyak kejutan yang berlaku kerana tiada pemilihan kepimpinan. Sungguhpun begitu, sambutan yang diberikan terhadap muktamar kali ini tetap meriah walaupun tiada pemilihan kepimpinan.

Apa yang menarik dan mencuri perhatian pemerhati muktamar dan media massa adalah keghairahan muslimat untuk mendapatkan kerusi Naib Presiden IV dan Timbalan Pesuruhjaya IV khusus untuk musllimat disamping 30 peratus wakil muslimat dalam kepimpinan parti.

Sehubungan dengan ini, Mahfuz Omar Naib Presiden PAS mencadangkan perlembagaan dipinda sekali lagi bagi manambahkan kerusi naib Presiden kepada 5 orang dengan 3 orang dipilih sekarang ini dan 2 orang lagi dilantik oleh Presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Beberapa parti politik mengadakan peruntukan ini termasuk parti sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat, iaitu PKR dan DAP.

Dalam keghairahan untuk mendapatkan 30 peratus wakil muslimat dalam kepimpinan parti, muslimat sekali lagi tidak bersetuju dengan cadangan  (usul) mengadakan dewan muslimat muda atau seumpamanya (seperti yang pernah diusulkan dewan srikandi sebelum ini) bagi menyaingi parti-parti politik lain dalam menaikkan kouta perwakilan muslimat dalam berbagai peringkat kepimpinan parti.

Dalam wawancara dengan webtv muktamar56, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat  cuba mencari jalan penyelesaian terhadap keperluan memenuhi aspirasi generasi muda muslimat dibawah 40 tahun bersama-sama dengan pemuda untuk membolehkan mereka mendokong gerakan memperkasakan gerak kerja pengundi muda terus mendokongi aspirasi perjuangan Pakatan Rakyat.

Apa yang menarik perhatian pihak media kali ini adalah, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  mengumumkan Majlis Syura Ulama telah membenarkan calon-calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bertanding dalam pilihanraya umum ke-13 menggunakan logo PAS.

Malah seorang Professor Datuk Dr Zainal Kling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula meminta PAS menukarkan nama partinya, Parti Islam SeMalaysia kepada nama lain yang lebih mudah diterima kaum lain kerana membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti tersebut dalam pilihanraya umum akan datang.

Perkara ini ditempelak oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dengan mengatakan adalah lebih baik profesor berkenaan menukarkan namanya dahulu sebelum menuntut PAS menggunakan nama baru kerana membenarkan bukan Islam bertanding mewakili parti itu.

“Tafsiran yang dibuat profesor itu kononnya PAS sudah menggadai prinsip kerana telah hilang keasliannya  adalah tidak benar,” kata Timbalan Presiden PAS itu pada penggulungan ucapan dasar Presiden.

Malah sebelum ini pun PAS pernah membenarkan Ibrahim Ali, Ahli Parlimen PAS yang bukan ahli PAS menggunakan lambang PAS dalam pilihanraya umum ke-12 yang lepas, Apa salahnya ahli sayap baru PAS, DHPP dibenarkan menggunakan logo tersebut.

Saya tidak pasti apa janji Ibrahim Ali dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan kepimpinan PAS terutama di Kelantan sehingga menyebabkan Ibrahim Ali yang tidak ada kena mengena dengan parti tersebut menggunakan logo PAS.

Muktamar PAS kali ini tidak banyak isu  yang boleh melaga-lagakan PAS dengan parti-parti Pakatan Rakyat yang lain khususnya PKR dan DAP. Turut mencuit perhatian media bagi menguji keutuhan PR adalah permintaan wakil Perlis bagi menjadikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am Pakatan Rakyat.

Bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS akan menumpukan strateginya kepada strategi politik dan strategi taktikal. Untuk tujuan ini, Institut Latihan Pilihanraya PAS  (ILPAS) akan dilancarkan bagi melatih kira-kira 50-60 orang petugas mahir dan amilin yang mantap disetiap negeri  melalui penyediaan 4 modul iaitu asas perjuangan PAS adalah ibadah, model perundangan pilihanraya, strategi pilihanraya dan teknikal yang terlibat sepanjang gerak kerja piliharaya seperti agen tempat mengundi (polling agent), agen kira undi (counting agent) dan undi pos.

Petikan  dari web rasmi Muktamar PAS ke56 di alamat  http://muktamar56.pas.org.my, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,   Presiden PAS dilaporkan bersyukur kerana PAS mempunyai satu pasukan pekerja profesional ICT yang konsisten setelah 10 tahun ia diwujudkan kerana pasukan ini mampu memberikan sumbangan walaupun peranannya tidak kelihatan tetapi apa yang membanggakan ialah hasil dan kesan yang dapat dirasai semua peringkat dalam dan luar parti.

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , ,

Takziah : Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah

Kalam Perantau ingin mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum diatas pemergian almarhum yang sangat tidak diduga. Pemergian beliau mengingatkan kita peristiwa pemergian almarhum Ustaz Fadhil Noor, Presiden PAS dimana kedua-duanya meninggalkan kita selepas muktamar di Kota Bharu. Al-Fatihah

Sumber Harakahdaily    

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

“Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang,” cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.

Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

“Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarahi petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.

“Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.

“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Filed under: News, , , , ,

Kemana PKR dan PAS selepas ini?

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Minggu lepas, 28-30hb. Mei, 2010 kira-kira 2,500 perwakilan dan pemerhati Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkampung di Kota Bharu, Kelantan bagi mengadakan Kongres Nasional ke-6. Minggu hadapan, 9-13hb. Jun 2010 giliran ahli PAS pula berkampung di Kota Bharu, Kelantan mengadakan Muktamar Tahunan ke-56.

Semua hotel dan rumah tumpangan di sekitar Kota Bharu menjadi tempat persinggahan ahli-ahli PKR dan PAS. Malah peniaga-peniaga di Pasar Besar Siti Khatijah dan sekitarnya termasuk di Pengkalan Kubur, Tumpat dan Rantau Panjang boleh tersenyum kerana Kelantan menjadi destinasi tumpuan pelancong domestik dalam beberapa minggu ini kebelakangan ini.

Dua tahun kebelakangan ini, yakni tahun lepas (2009) dan tahun ini PKR dan PAS nampaknya memilih negeri dan tempat yang sama untuk mengadakan Kongres Nasional dan Muktamar Tahunan mereka. Tahun lepas, PKR dan PAS sama-sama memilih Shah Alam, Selangor. Tahun ini mereka memilih Kota Bharu, Kelantan pula.

Selepas Kongres PKR, menjelang Muktamar PAS

Saya tidak pasti, sama ada pemilihan tempat Kongres Nasional PKR dan Muktamar Tahunan PAS berlaku secara kebetulan atau sengaja dirancang sebegitu rupa bagi menampakkan kerjasama erat PKR-PAS. Jika tahun depan, kedua-dua parti ini memilih Kedah dan Pulau Pinang pula sebagai negeri mereka berkampung, mungkin DAP pun boleh turut serta.

Inilah keunikan yang ada dalam parti-parti Pakatan Rakyat (BN) yang tidak ada pada Barisan Nasional (BN). Ketika parti-parti dalam PR mula serasi, parti-parti dalam BN pula semakin bercakaran. Paling teruk sengketa antara UMNO dan MIC. Malah lain-lain parti dalam BN pun semakin mencurigai tindak tanduk UMNO sebagai tunggak BN.   

Berbalik kepada Kongres Nasional PKR yang sudah berakhir, khabarnya tidak banyak yang terungkai dari sebelumnya. Cuma kali ini perwakilan PKR mula mempertikaikan kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR) yang tidak menghargai perjuangan aktivis bawahan PKR yang tidak mempunyai status ‘elit’ tetapi setia menjadi penggerak parti.

Bagi meredakan keadaan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor memberikan sedikit harapan kepada perwakilan dan pemerhati Kongres Nasional untuk melantik ‘Pegawai Pembangunan DUN’ bagi menggantikan peranan ‘exco angkat’ yang diamalkan sebelum ini.

Perlantikan Pegawai Pembangunan DUN/Parlimen atau seumpamanya (Penyelia DUN/Parlimen) telah lama diamalkan di Kelantan. Mungkin inilah satu-satunya yang dipelajari oleh PKR dari Kelantan yang diperintah oleh PAS yang boleh digunapakai dalam menyemarakkan semangat ahli-ahli dan pendokong-pondokongnya di Selangor yang dikuasai oleh mereka.

Ketika saya berjumpa dengan seorang kenalan lama yang merupakan aktivis PAS di Selangor, beliau menyebut Menteri Besar Selangor itu terlewat dua tahun. Beliau berpendapat, exco tidak perlu dibebankan untuk menjaga beberapa kawasan pilihanraya ‘angkat’ yang tidak ditandinginya. Katanya, tugas exco dan Menteri Besar adalah membangunkan negeri.   

Selain itu, PKR mula memperkenalkan konsep baru dalam perlembagaan mereka. Keutuhan parti itu juga bakal teruji lagi dengan pindaan perlembagaan barunya bulan depan yang membolehkan keseluruhan ahli layak untuk mengundi memilih presidennya. PKR menjadi satu-satunya parti politik yang membenarkan ahli memilih Presiden mereka secara langsung.

Bagaimanapun Anwar Ibrahim, Ketua Uumum PKR dilaporkan berkata, disiplin parti akan ditingkat melalui proses penyusunan semula keseluruhan majlis pimpinan tertinggi parti itu, kecuali jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung dalam pemilihan selepas ini.

Dari jangkaan saya, PKR akan terus kekal dipimpin oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Untuk itu, Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail dicadangkan oleh ketua biro latihannya Mustafa Kamil Ayub sebagai ‘profesor sepenuh masa’ di ‘Universiti Politik Keadilan’.

Selepas melihat apa yang dilakukan oleh PKR, tiba masanya kita melihat apa persiapan yang akan dilakukan oleh PAS pula dalam muktamarnya nanti demi memastikan parti tersebut terus mendapat sambutan rakyat dalam pilihanraya umum ke-13 nanti..

Perkara ini dijangka menjadi tumpuan dan perhatian perwakilan dalam perbahasan mereka selain daripada membincangkan beberapa tindakan politik terbaru parti tersebut dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS mennggantikan Kelab Penyokong PAS untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang dijangkakan oleh Datuk Mustapa Ali, Setiausaha Agong PAS  akan diadakan pada April, 2011.

Keutamaan kepada PAS sekarang adalah mempertahankan Kedah yang menjadi penanda aras baru kepada kemampuan PAS memerintah negara selepas ini. Kemampuan PAS meneruskan kesinambungan memerintah Kedah sekarang ini adalah bergantung kepada 3 ADUN PKR dan seorang ADUN DAP untuk terus istiqamah dengan kerajaan PAS-PKR-DAP dalam Pakatan Rakyat.

Dengan dua orang ADUN PKR yang pernah menjadi exco Kedah telah keluar parti menjadi bebas, tidak ada apa yang mustahil perkara ini boleh berlaku dimasa hadapan. Lebih-lebih lagi bila seorang exco Kedah, Lim Soo Nee (PKR) dalam ucapannya dalam ceramah ‘Bubar DUN Kedah ?’ pada 22hb. Mei lepas di Kota Sarang Semut sempena Ijtimak PAS Kedah mendedahkan UMNO/BN sentiasa berusaha untuk mendapatkan beliau meninggalkan PKR.   

Setelah terbukti UMNO/BN telah berjaya di Perak kerana ‘kelalaian’ PR membubar DUN lebih awal sebelum ketiga-tiga ADUN PKR dan DAP mengistiharkan diri menjadi ADUN bebas menyokong BN. Sebab itu Menteri Besar Kedah sekarang tidak boleh tidur lena, kerana UMNO/BN sentiasa berusaha menggangu gugat Kerajaan Kedah.

Pergolakan politik di Kedah belum berakhir berbanding dengan Pulau Pinang yang diterajui DAP dan Kelantan yang telah diterajui oleh PAS sejak 2 dekad yang lepas. Malah kerajaan camporan DAP-PKR-PAS dalam Pakatan Rakyat di Selangor juga belum tentu selamat dari ancaman UMNO/BN tetapi lebih bernasib baik berbanding dengan Kedah kerana majoriti kerusi DUN yang diperolehi mereka adalah lebih besar. 

Jika Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah berjaya melepasi penggal ini dan seterusnya memenangi pilihanraya umum ke-13 sekali lagi dengan majoriti kerusi PAS sendiri  bermakna peluang BN untuk kembali semula memerintah Kedah selepas itu semakin sukar.

Perkara ini telah berjaya dibuktikan oleh Kerajaan Kelantan pada penggal 2004-2008 yang diperintah oleh PAS dengan kelebihan satu (1) kerusi sahaja. Tetapi kerajaan camporan PAS-PKR-DAP di Perak walaupun dengan kelebihan tiga (3) kerusi hanya mampu bertahan tidak sampai setahun selepas memenanginya dalam pilihanraya Mac, 2008.

Selamat bermuktamar kepada PAS!

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Filed under: Siasah, , , , , , , , , , ,

Blog Stats

  • 237,071 hits

ePaper

RSS Portal Parti Islam SeMalaysia (PAS)

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Blog Ayah Chik

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories