Kalam Perantau

Icon

Kenyataan Ku Li pandangan peribadi : Pengelola Istana

KOTA BHARU  – Kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mempertikaikan pelantikan Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan perlu diteliti oleh pakar perundangan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, sewajarnya kedudukan baginda tidak dipertikai oleh mana-mana pihak kerana ia telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau bagaimanapun menyifatkan kenyataan Tengku Razaleigh yang juga nenda saudara kepada Sultan Muhammad sebagai pandangan peribadi bekas Menteri Kewangan itu.

“Barangkali kenyataan Tengku Razaleigh dibuat atas pandangan beliau, barangkali perlu diteliti oleh pihak yang pakar dalam bidang undang-undang kerana kedudukan sultan telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Saya tidak boleh beri apa kenyataan kerana benda ini perlu dapat titah daripada Tuanku dahulu baru boleh saya beri ulasan dengan teliti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Hijratul Rasul di Kompleks Balai Islam Lundang di sini, malam tadi.

Majlis disempurnakan oleh Sultan Muhammad V. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang mempersoalkan status Sultan Kelantan dari aspek perundangan.

Tengku Razaleigh dilaporkan turut menyifatkan Sultan Ismail Petra walaupun gering masih mempunyai keupayaan menjalankan tugas-tugas sebagai sultan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, berdasarkan pemahamannya iaitu berasaskan perlembagaan sedia ada, pelantikan sultan baru hendaklah disebabkan tiga perkara iaitu sultan terdahulu mangkat, berhenti menjadi sultan atau meninggalkan negeri lebih 12 bulan tanpa sebab.

Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad V memperkenan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri yang dikurniakan kepadanya berkuat kuasa 2 Disember lalu.

Difahamkan, penarikan tersebut berikutan kenyataannya sebelum itu yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan.

Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu dengan gelaran Sultan Muhammad V.

Berkuat kuasa tarikh yang sama, baginda turut berkenan menarik balik anugerah dan darjah kebesaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) bagi darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili I) daripada Dr. Yaacob Hussain Merican, 72, serta pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.).

Yaacob dikatakan turut mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan baginda ketika mewakili anak guamnya, Sultan Ismail Petra ketika prosiding di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur pada 25 Oktober lalu.

Pada Oktober lalu, Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran ‘Datuk’ kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor

Filed under: News, , , , , , ,

Leave a comment

Hasil Karya

HARAKAH sebagai media dakwah : Satu analisis

Archives

Categories